Menurut laporan portal berita Daily Mirror, remaja berusia 21 tahun itu, Sara Brautiga, menghidap penyakit berkaitan jantung yang dikenali sebagai Sindrom Postural Orthostatic Tachycardia (PoTS) sejak empat tahun lalu.
Jelas laporan itu, akibat sindrom tersebut, Brautiga mengalami masalah kadar degupan jantung yang meningkat dengan cepat sehingga menyebabkan organ itu berhenti berdegup dan tekanan darahnya menurun.
Apabila keadaan itu berlaku, doktor merekodkan remaja yang berasal dari Doncaster tersebut sebagai mati secara klinikal.
Menurut Brautiga, ada ketika dia ‘mati’ selama setengah jam dan membolehkan jantungnya dipenuhi darah semula dan kembali berfungsi seperti normal.
“Kebiasaannya saya akan berasa pening, sakit dan teramat letih sebelum sindrom itu menyerang dan menyebabkan saya ‘mati’ sebentar.
“Sepanjang waktu itu, saya masih boleh mendengar bunyi di sekeliling saya dan saya selalu cuba untuk menjerit, tetapi tiada suara yang keluar,” katanya.
Brautiga berkata, setiap kali jantungnya berhenti, pasukan perubatan perlu mengejutkannya melalui kesakitan dan tidak boleh diberikan bantuan pernafasan selagi jantung tidak dipenuhi darah.
Katanya, sudah banyak kali dia bangun dengan kesan lebam yang teruk dan pernah satu ketika pasukan perubatan cuba mengorek kukunya tetapi masih gagal sehingga dia kembali sedar.
“Akibat sindrom ini, saya tidak lagi boleh menyertai aktiviti sukan dan harapan untuk menjadi tentera laut juga musnah selain memberi kesan kepada pemanduan dan pekerjaan saya.
“Tetapi saya tidak akan mengalah dengan penyakit ini dan saya kini sedang menyertai kelas tarian untuk mendapatkan semula kehidupan saya yang ceria sebelum ini,” katanya.