Pages

Wednesday, May 7, 2014

Pendaki rakam kelibat bigfoot


video yang diambil Myles Lamont dipercayai bigfoot berjalan di kawasan pergunungan berhampiran Squamish, British Columbia, Kanada, dua tahun lalu. - AGENSI
VANCOUVER 6 Mei - Seorang pendaki Kanada dilaporkan berjaya merakam kelibat makhluk yang dipercayai seekor bigfoot, berjalan di kawasan pergunungan berhampiran Squamish, British Columbia, dua tahun lalu.
Laman web Mail Online melaporkan, pendaki tersebut Myles Lamont mendakwa dia berjaya merakam makhluk berkenaan ketika sedang melakukan aktiviti mendaki di Tantalus Range, utara Vancouver, sebelum memuat naiknya ke laman sosial YouTube.
Sehingga kini, video yang dirakam daripada jarak 2.1 kilometer itu sudah dilihat lebih 260,000 orang.
“Saya yakin terdapat bigfoot di kawasan pergunungan itu, saya dapat melihatnya dengan jelas, bagaimana makhluk tersebut bergerak di tengah-tengah kawasan bersalji.
“Makhluk itu mempunyai sepasang kaki, tidak memakai kasut dan tidak membawa beg galas," jelas Lamont.
Tambah Lamont, berjalan di atas permukaan salji yang lembut tanpa menggunakan kasut dan dapat bergerak dengan pantas, merupakan satu perkara yang sukar dilakukan tanpa bantuan peralatan yang sesuai.
“Dalam video itu kita dapat lihat makhluk tersebut mendaki kawasan curam sepanjang 300 meter, dan tanpa peralatan mendaki mustahil untuk manusia melakukannya dalam masa yang singkat," ujarnya.
Lamont turut menolak sebarang kemungkinan bahawa makhluk yang berjaya dirakamnya itu adalah seekor beruang atau binatang liar lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_10/Pendaki-rakam-kelibat-bigfoot#ixzz30yTsmgP9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kabin pesawat Etihad umpama hotel



TEMPAT tidur kelas perniagaan yang bakal terdapat di dalam pesawat Airbus A380 dipamerkan kepada media di pusat inovasi syarikat Etihad Airways di Abu Dhabi pada 4 Mei lalu.


ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu - Syarikat penerbangan Etihad Airways merancang mengubah kabin penumpang dua buah pesawat miliknya menjadi seperti sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Antara kemudahan yang akan disediakan termasuklah bilik suite peribadi yang mempunyai ruang istirehat, bilik air, bilik mandi, bilik tidur dan juga seorang pembantu penumpang serta cef.
Ruangan eksklusif tersebut diletakkan di dalam pesawat jenis Airbus A380 dan Boeing B787 Dreamliner milik syarikat itu.
Bagaimanapun, penumpang yang mahu perjalanan istimewa itu perlu membayar sekitar £12,500 (RM40,675) untuk satu penerbangan sehala yang tidak dinyatakan destinasi pesawat tersebut.
Hiasan dalaman di ruangan tersebut direka khas dengan fabrik bermutu yang dibekalkan pembuat hiasan dalaman kereta Ferrari iaitu Poltrona Frau.
Ruangan tersebut turut mempunyai sebuah ruangan senaman dan almari pakaian untuk kemudahan penumpang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Etihad Airways, James Hogan berkata, perkhidmatan terbaharu syarikat itu bakal menaikkan taraf perkhidmatan penerbangan dan mengubah jangkaan keselesaan serta kemewahan.
"Kami akan menyediakan ruangan kabin penerbangan paling maju dalam industri penerbangan," katanya.
Pihak syarikat itu juga akan menyediakan ruang untuk penumpang Islam bersolat dengan dilengkapi arah kiblat semasa pesawat sedang terbang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz30yHg9PDP 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, May 6, 2014

Dahan kalimah Allah dijual RM4.4j


Riyadh: Seorang ahli perniagaan dari negara Teluk sanggup membelanjakan SR5 juta (RM4.15 juta) untukm membeli dahan yang berukir kalimah Allah.

Ahli perniagaan yang tidak dikenali itu membelinya daripada Ahmed Al Gamdi, anak orang yang menemui dahan berkenaan ketika menebang pokok kurma lebih 25 tahun lalu.

“Dahan itu dijual SR5 juta (RM440 juta) di satu pameran seni di ibu negara minggu lalu.



Ia dibeli oleh ahli perniagaan dari negara di Teluk Arab,” lapor akhbar Sabq.

Gamdi berkata, selepas 25 tahun bapanya memotong pokok berkenaan di Makkah, barat Saudi, kalimah Allah itu masih kekal pada dahan itu sedangkan yang lain musnah.

Katanya, kebanyakan dahan lain pokok itu sama ada mati atau bentuknya berubah kecuali dahan yang mempunyai kalimah Allah itu saja kekal dan tidak berubah.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Isytihar kubur besar


Aab Bareek: Mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus sebuah kampung di utara Afghanistan semalam meratapi kematian anggota keluarga mereka.
Sementara itu, usaha membantu 700 keluarga yang kehilangan tempat tinggal di kawasan pergunungan itu dilancarkan.
Sebahagian besar kampung Aab Bareek di wilayah Badakhshan ditelan bumi Jumaat lalu selepas tanah dan batu di sisi gunung runtuh, menimbus kira-kira 300 rumah.
Pegawai kerajaan berkata, ketika ini jumlah kematian ialah seramai 300 orang tetapi memberi amaran ia mungkin naik beratus-ratus lagi selepas laporan awal mendakwa seramai 2,500 orang mungkin terbunuh.
Orang ramai semalam berkumpul di tempat bencana di kawasan pedalaman itu.
Timbunan tanah yang dalam menyebab tidak banyak yang boleh dilakukan dalam operasi menyelamat.
Setakat tengah hari semalam, hanya segelintir mayat berjaya ditarik keluar.
Begum Nisa, 40, yang ditemui meratap berhampiran rumah bapanya yang musnah menceritakan mengenai kejadian itu.
“Ketika itu saya makan tengah hari di sebelah tingkap rumah saya.
“Tiba-tiba saya dengar bunyi kuat sebelum menyedari tanah di sisi gunung berhampiran runtuh.
“Saya menjerit ke arah keluarga saya supaya menyelamatkan diri.

Tetapi sudah terlambat kerana kejadian itu terlalu pantas.
“Saya kehilangan bapa dan ibu.
Foto

Seorang bapa saudara dan lima anggota keluarga saya yang lain juga tidak ditemui,” katanya.
Penduduk tempatan dan pekerja bantuan menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang terselamat tetapi tidak berjaya.
Operasi itu beralih kepada membantu 700 keluarga yang kehilangan tempat kediaman.

Khemah, makanan dan air mula tiba Sabtu lalu.
Sebahagian besar penduduk yang terselamat tidur di kawasan terbuka kerana bimbang kemungkinan kejadian itu berulang.
“Berdasarkan senarai, kira-kira 350 orang disahkan mati.
“Kami tidak dapat meneruskan usaha mencari dan menyelamat kerana rumah itu tertimbus sedalam beberapa meter.
“Kami akan mengadakan solat ghaib dan berdoa untuk mangsa dan menjadikan kawasan itu pusara besar,” kata Gabenor Badakhshan, dan eb.
Sebahagian besar penduduk kampung berada di masjid untuk menunaikan solat Jumaat di dua masjid sekitar kampung berkenaan apabila mereka ditimbus oleh lumpur.

Tanah runtuh kedua pula berlaku ketika penduduk lain berusaha menyelamatkan mangsa.
Afghanistan semalam mengadakan upacara bertafakur selepas Presiden Hamid Karzai mengucapkan takziah kepada mereka yang kematian anggota keluarga.
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan berkata, anggotanya berada di tempat kejadian bersama-sama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan kumpulan bantuan lain.
“Tumpuan utama kini ialah terhadap 700 keluarga yang hilang tempat kediaman,” kata jurucakap misi PBB itu.
Menurutnya, lebih banyak bekalan air, makanan, ubat-ubatan diperlukan.
Badakhshan ialah wilayah pergunungan di timur laut Afghanistan yang bersempadan dengan Tajikistan, China dan Pakistan.
Wilayah itu agak aman ketika pencerobohan tentera Amerika Syarikat pada 2001 tetapi kegiatan Taliban semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Kejadian tanah runtuh itu menyusuli banjir teruk di bahagian lain di utara Afghanistan yang meragut 150 nyawa dan menjejaskan kehidupan 67,000 penduduk di wilayah Jowzjan, Faryab dan Sar-e-Pul.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Robot punca manusia pupus?


Filem terbaharu lakonan Jonny Depp iaitu Transcendence, menceritakan tentang masalah yang dihadapi dunia apabila keupayaan komputer melebihi kemampuan manusia. - AGENSI
LONDON 5 Mei - Penghasilan robot dan mesin-mesin pintar yang digunakan untuk membantu memudahkan kerja-kerja manusia, merupakan antara tanda-tanda awal kepada berakhirnya peradaban manusia.
Amaran itu disuarakan oleh Profesor Stephen Hawking dalam satu artikel yang disiarkan di laman web The Independent.
Beliau berkata, manusia bakal berhadapan masa depan yang tidak menentu, apabila teknologi mula berfikir serta mengadaptasi persekitaran semasa.
Artikel tersebut ditulis oleh pemenang anugerah Nobel itu, bagi membincangkan tentang filem terbaharu lakonan Johnny Depp iaitu Transcendence, yang menceritakan tentang masalah yang dihadapi dunia apabila keupayaan komputer melebihi manusia.
Kata Hawking, melabelkan sesuatu filem sebagai sains fiksyen merupakan ‘satu kesilapan besar dalam sejarah’.
Jelasnya, teknologi tidak dapat disangkal banyak memberi manfaat kepada manusia khususnya dalam membasmi penyakit dan kemiskinan, selain membanteras peperangan.
"Penghasilan mesin dan robot merupakan antara perkara penting dalam sejarah manusia, bagaimanapun perkara itu mungkin jadi penamat kepada zaman manusia kecuali kita belajar untuk menangani masalah.
"Pandang ke hadapan dan tiada sebarang had kepada keupayaan dan pencapaian manusia," ujar Hawking seperti yang dilaporkan Mail Online.
Tambah Hawking, manusia harus bertanya kepada diri sendiri tentang apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan peluang meraih manfaat daripada teknologi yang dihasilkan dan berfikir untuk mengelakkan risiko.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140506/lu_09/Robot-punca-manusia-pupus#ixzz30sjsQ16d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bina menara roti setinggi 15 meter



BEBERAPA Bukit Roti kecil dipamerkan dalam Festival Roti di Hong Kong.- REUTERS


HONG KONG - Penduduk beragama Buddha di sini membina beberapa buah menara daripada ribuan biji roti atau dipanggil Bukit Roti bagi meraikan sambutan Festival Roti yang disambut setiap tahun.
Menara setinggi 15 meter itu diletakkan dengan ribuan roti berbentuk bulat yang ditulis dengan tulisan Cina, Ping An bermaksud ketenangan dan selamat.
Sempena pesta itu, peserta pertandingan yang paling cepat naik ke puncak menara dikatakan akan mendapat kebahagiaan dan akan bernasib baik.
Sambutan itu juga diadakan sebagai tanda memohon ketenangan kepada roh-roh yang tidak tenang termasuk semangat jahat.
Perayaan itu turut diserikan dengan perarakan di mana para peserta akan mengenakan pakaian tradisi mereka termasuk persembahan tarian singa yang diiringi pukulan gong dan gendang. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz30sfy7rO8 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak dikhatan beramai-ramai di Bulgaria



KANAK-KANAK Islam diarak menaiki kuda ketika mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai di kampung Draginovo, Bulgaria kelmarin.- REUTERS


DRAGINOVO - Seramai 100 kanak-kanak Islam lelaki mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai di Bulgaria kelmarin.
Majlis tersebut berlangsung di desa ini yang terletak di tenggara ibu kota negara itu, Sofia.
Bulgaria yang memiliki seramai 7.4 juta penduduk turut dihuni oleh etnik minoriti Turki beragama Islam.
Terdapat kira-kira 740,000 penduduk etnik berkenaan di negara Eropah Timur tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz30sfONvf1 
Hakcipta terpelihara 

Monday, May 5, 2014

Wanita Peru diisytihar wanita kedua tertua di dunia


Filomena Taipe Mendoza (tengah) bergambar bersama anggota keluarganya di luar rumahnya di Huancavelica, 440 kilometer ke timur Lima pada 30 April lalu. - AFP
LIMA 3 Mei - Seorang wanita Peru berumur 116 tahun, Filomena Taipe Mendoza diisytiharkan sebagai wanita kedua tertua di dunia.
Filomena yang dilahirkan pada 20 Disember 1897 dan tinggal dalam keadaan serba kekurangan di Andes, hanya tiga bulan lebih muda daripada wanita Jepun, Misao Okawa yang diiktiraf sebagai wanita tertua di dunia oleh Guinness World Records dan Gerontology Research Group yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Pembangunan dan Lima Sosial Peru berkata, kad pengenalan Mendoza mengesahkan tarikh lahirnya.
Wanita itu berkata, dia sangat tua kerana dia bukan berasal dari abad lepas tetapi kurun sebelum itu.
"Rahsia saya hidup lama adalah kerana saya mengamalkan pemakanan daripada sumber semula jadi. Saya sentiasa makan ibu kentang, daging dan susu kambing, keju dan kacang," katanya. Dia berkata, apa yang dimakannya adalah hasil tanamannya. "Saya tidak pernah minum minuman dalam tin," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_03/Wanita-Peru-diisytihar-wanita-kedua-tertua-di-dunia#ixzz30r1pNNgy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Trak tercanggih untuk anak kesayangan



APABILA sudah siap, KiraVan mampu mengembara sejauh 2,000 batu tanpa perlu mengisi semula minyak dan melalui curam sehingga 45 darjah.
BRAN Ferren, 61, ahli teknologi, jurutera, pereka kenderaan, arkitek dan usahawan terkenal menghabiskan berjuta-juta dolar untuk menghasilkan trak gergasi yang sangat istimewa.
Trak tersebut mampu untuk mengembara ke serata dunia dan ia dinamakan KiraVan, bersempena nama anak perempuannya yang berusia empat tahun.
Rekaan dalaman trak tersebut sungguh tidak masuk akal. Ia mempunyai hampir semua keperluan asas daripada pejabat, dapur lengkap dengan meja makan dan bilik tidur.
KiraVan turut mampu mengembara sehingga 2,000 batu tanpa perlu mengisi semula minyak dan tayarnya yang istimewa mampu membawa ia melalui jalan berselut di kawasan paya.
Malah, kenderaan gergasi beroda enam itu turut dilengkapi motosikal khas dan pesawat kecil tanpa pemandu bagi memeriksa keadaan lalu lintas.
Menariknya, trak tersebut direka khas oleh Bran untuk membawa anak kesayangannya itu bercuti dan berkhemah dengan selamat.
Ujar pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif Applied Minds, firma teknologi dan rekaan yang antara kliennya ialah General Motors, Intel dan Tentera Udara Amerika Syarikat, dia menghabiskan masa selama empat tahun bertemu dengan pelbagai pakar sebelum memuktamadkan rekaan trak tersebut.
Sebelum mempunyai anak, Bran merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak dan berbahaya seperti berlumba motosikal dan memandu helikopter.
Namun, semua itu berubah apabila dia dianugerahi anak sendiri. Bran lebih memikirkan keselamatan diri demi anaknya tetapi pada masa yang sama masih mahu mengembara.
Dia memastikan KiraVan mencapai tahap keselamatan yang paling tinggi demi anaknya itu.
Bran juga kini sedang menyiapkan kerusi khas untuk Kira yang dapat menghilangkan hentakan supaya anaknya itu dapat menonton kartun dengan gembira tanpa gangguan.
Bahagian atas KiraVan turut memiliki khemah istimewa untuk Kira menikmati perkhemahan dengan selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_06/Trak-tercanggih-untuk-anak-kesayangan#ixzz30r1KpKMf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penangis profesional jadi kerjaya


Kumpulan penangis profesional sedang membuat persiapan untuk menangis pada majlis berkabung. - AGENSI
KESIBUKAN ahli keluarga dengan urusan kerja membuatkan penduduk di sebuah daerah di China mengambil inisiatif baharu bagi meramaikan lagi majlis pengebumian ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.
Untuk itu, mereka mengupah sebuah kumpulan penangis profesional bagi menangis dan meraung pada majlis pengebumian ahli keluarga mereka kerana amalan itu telah menjadi tradisi keagamaan sejak sekian lama.
Bagi mereka, ketiadaan tangisan pada sesuatu majlis pengebumian menunjukkan si mati merupakan seorang yang tidak disayangi dan memalukan keluarganya.
Pada masa sama, kehadiran kumpulan berkabung itu yang menangis dan meraung dapat menarik orang ramai yang berkabung turut sama menangis kerana sedih.
Bagi Chen Shuqiang, 35, yang mengetuai sebuah kumpulan penangis di daerah Feishan di wilayah Fujian, tenggara China, perniagaan mereka mula berkembang maju sejak kebelakangan ini.
Dengan upah kira-kira 300 pound (RM 1,623), kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang itu akan meraung dengan kuat seperti diharapkan ahli keluarga si mati selain menarik orang lain yang menghadiri majlis pengebumian itu supaya turut sama bersedih.
"Setakat ini, ahli kumpulan berkabung profesional ini dianggotai kebanyakannya wanita muda kerana kurangnya permintaan untuk pelakon lelaki,'' katanya.
Shuqiang berkata, ahli keluarga si mati mahu kumpulannya membuat lebih banyak bunyi bising dan kelihatan terlalu sedih ekoran kematian ahli keluarga mereka.
"Antara cara yang paling mendapat perhatian adalah apabila ada di antara kami sengaja menjatuhkan diri di hadapan keranda selain cuba berebut-berebut kayu pemegang keranda,'' katanya.
Menurut Shuqiang, selain daripada ahli keluarga si mati, mereka turut menerima bayaran daripada rakan-rakan atau kenalan si mati yang terlalu sibuk hingga tidak dapat menghadiri sesuatu majlis pengebumian.
Menjelaskan lebih lanjut tentang kerjayanya itu, Shuqiang berkata, perkhidmatan pelakon itu hampir sama eksklusif dengan pelakon filem dan televisyen.
Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pelakon berkabung itu hampir sama tarafnya dengan mengupah pelakon biasa.
Shuqiang sendiri pernah menjadi seorang penyanyi opera di kawasan pedalaman, namun agak sukar baginya memperolehi wang pada ketika itu hinggalah dia menyedari menjadi seorang penangis profesional mempunyai potensi besar untuk mendapatkan wang.
"Sejak itu, saya tidak pernah mempunyai masalah dengan duit, ia merupakan pekerjaan yang lumayan dan saya masih dapat melakukan apa yang saya suka,'' katanya.
Tambahnya, dia suka untuk berfesyen, membuat lagu dan menari di hadapan orang ramai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_07/Penangis-profesional-jadi-kerjaya#ixzz30r0ZJreJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Basikal boleh dilipat


Basikal ini boleh dilipat seperti saiz payung. - AGENSI
ROM 4 Mei - Seorang pereka dari Itali berjaya menghasilkan sebuah basikal yang boleh dilipat menjadi sebesar saiz payung, bagi memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana.
Laman web Mail Online melaporkan, pereka tersebut Gianluca Sada berkata, idea untuk menghasilkan basikal itu timbul selepas dia berasa kecewa dengan rekaan basikal lipat masa kini.
“Idea penghasilan basikal ini mengambil kira aspek menurunkan berat dan dimensi basikal. Bagaimanapun, rangka basikal yang kecil dan ringan akan memberi kesan kepada kestabilannya.
“Namun begitu, apa yang penting adalah produk ini mudah digunakan dalam pelbagai situasi," jelas Sada.
Kata Sada lagi, pada awalnya dia menetapkan matlamat untuk menghasilkan basikal yang mempunyai tayar bersaiz 66 sentimeter diameter beserta rangka dan komponen yang boleh dilipat.
Dia turut mencipta berpuluh-puluh prototaip bagi mencari rekaan yang benar-benar memenuhi cita rasanya.
“Akhirnya saya berjaya menghasilkan sebuah basikal yang mudah digunakan serta mesra alam," ujarnya lagi.
Tambahnya, ketika ini, dia sedang mencari pelabur yang berminat untuk menanam modal bagi menghasilkan basikal tersebut agar boleh dipasarkan secara besar-besaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140505/lu_08/Basikal-boleh-dilipat#ixzz30qwp7q7b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, May 3, 2014

Anjing dijel seumur hidup


Hakim Deborah Griffith memutuskan anjing bergelar Mickey itu perlu menghabiskan sisa hidupnya di tempat perlindungan berkenaan.
Pada 20 Februari, Kevin Vicente, empat, dibaham anjing itu, menyebabkan soket mata dan rahangnya cedera.
Akhbar Newsday melaporkan mangsa terpaksa menjalani pembedahan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun pada masa depan.
Aktivis hak asasi haiwan bertindak membela anjing berkenaan dan berkongsi imej Mickey dalam talian untuk menyelamatkan nyawanya.
Dalam media sosial, berita kejadian ini mendapat sambutan berbelah-bahagi.
Ada yang berpendapat Mickey perlu dibunuh dan sebahagian lagi berkata, langkah menyerahkannya kepada pusat perlindungan adalah lebih berperikemanusiaan.

- Agensi
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Penyelidik universiti cipta telefon pintar miliki fungsi komputer tablet



UNIVERSITI QUEEN'S
GAMBAR menunjukkan telefon pintar PaperFold yang boleh dilipat-lipat.


OTTAWA - Sepasukan penyelidik di Universiti Queen's, Kingston Kanada mencipta sebuah telefon pintar yang boleh berubah menjadi komputer tablet, lapor akhbar MailOnline semalam.
Telefon pintar itu yang dinamakan PaperFold dilengkapi tiga skrin sentuh yang boleh dilipat ke dalam atau keluar.
Skrin gajet itu juga boleh diceraikan dan disambung bagi membolehkan pengguna menghasilkan beberapa bentuk berlainan.
Setiap skrin pula boleh digunakan secara berasingan.
Skrin PaperFold yang boleh dilipat itu akan menyebabkan ia menjadi sebuah telefon pintar.
"Setiap paparan PaperFold boleh berfungsi secara berasingan atau sebahagian daripada sistem tunggal," kata ketua penyelidik yang membangunkan teknologi tersebut, Dr Roel Vertegaal dari universiti tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz30bNN1bRO 
Hakcipta terpelihara 

Kain bertindak penjana elektrik


Sekeping alat yang diperbuat daripada gentian kaca dan kain diuji bagi memastikan ia mampu menjana tenaga elektrik. - AGENSI
SEOUL 2 Mei - Sekumpulan saintis Korea Selatan berjaya menghasilkan teknologi yang mampu mengecas bateri telefon pintar daripada haba badan manusia.
Portal berita Daily Mail melaporkan, saintis dari Universiti Teknologi dan Sains Lanjutan Korea (KAIST) itu mencipta sejenis alat pengecas yang diperbuat daripada kain yang berfungsi sebagai ganerator untuk mengecas haba.
Profesor Byung Jin Cho, pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik mengetuai pasukannya mencipta termoelektrik (TE) penjana fleksibel yang membolehkan anda mengecas semula peranti elektronik daripada haba badan anda sendiri, lapor portal Daily Mail.
Teknologi ini suatu hari nanti membolehkan kuasa telefon pintar dapat dijana semula dengan hanya menggunakan haba badan.
Para saintis itu menggunakan kaca dan kain sebagai penjana termoelektrik yang boleh menjana jangka hayat baharu gajet telefon pintar.
“Ketika ini kami sedang mencuba untuk menghasilkan sebuah sampel yang mampu membekalkan tenaga elektrik untuk alat pengesan perubatan.
“Selepas ini generator TE akan digunakan untuk menjana tenaga telefon pintar," kata Cho.
Alat tersebut juga mampu menjana semula tenaga monitor, cermin mata pintar dan teknologi lain.
Generator termoelektrik merupakan sejenis alat yang mampu menukar haba atau keadaan suhu yang berbeza kepada kuasa elektrik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140503/lu_11/Kain-bertindak-penjana-elektrik#ixzz30bIXMUnu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Permata biru termahal di dunia


Cincin batu nilam Kashmir mencatat jualan lelong sebanyak RM16.32 juta, sekali gus muncul sebagai berlian biru termahal dunia. - AGENSI
NEW YORK 2 Mei - Sebutir cincin bertatahkan nilam, mencatat rekod sebagai permata biru paling mahal di dunia apabila berjaya dilelong hampir AS$5.1 juta (RM16.32 juta) pada satu jualan lelong di sini, kelmarin.
Menurut Ketua Jabatan Barangan Kemas Firma Lelong Sotheby’s, Gary Schuler, hasil jualan lelong itu akan diserahkan kepada badan-badan amal.
“Batu nilam Kashmir seberat 28.18 karat itu dikelilingi berlian-berlian kecil rekaan syarikat Oscar Heyman & Brothers. Dengan kualiti yang tiada tandingan serta warnanya yang menawan, tidak hairanlah permata itu boleh mencatat jualan tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Laman web Forbes melaporkan, cincin yang dihiasi permata biru itu merupakan antara berlian berwarna yang dilelong pada jualan lelong Magnificent Jewels anjuran Sotheby’s, kelmarin yang mencatat jualan lelong keseluruhan berjumlah AS$44.3 juta (RM141.76 juta).
Schuler berkata, kutipan memberangsangkan itu menggambarkan minat pengumpul-pengumpul barangan kemas yang semakin meningkat terhadap kualiti batu permata.
Walaupun batu nilam Kashmir itu mencatat rekod sebagai batu nilam termahal dunia di dunia, namun permata tersebut berada di tangga kedua daripada segi nilai jualan lelong kelmarin, yang diungguli sebentuk cincin dihiasi berlian merah jambu dikenali sebagai VS2.
VS2 seberat 15.23 karat mencatat rekod jualan tertinggi sebanyak AS$6.1 juta ((RM19.52 juta) pada jualan lelong itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140503/lu_10/Permata-biru-termahal-di-dunia#ixzz30bIIIU3e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, May 2, 2014

Potong telinga, hidung ulama


Baghlan (Afganistan):Sepasang suami isteri menghiris telinga dan hidung seorang ulama tempatan hingga putus sebagai membalas dendam terhadap serangan seksual ke atas anak perempuan mereka.

Abdul dan Sultana Qahar dari wilayah Baghlan, utara Afganistan mengumpan ulama berkenaan ke rumah mereka untuk makan malam.

Mereka kemudian mengikat dan menghiris muka mangsa.

“Saya memotong telinga dan hidungnya,” Qahar memberitahu Reuters di pejabat ketua polis wilayah, tempat dia ditahan.

“Saya tidak tahu jika kucing sudah memakan telinganya, tetapi hidungnya jatuh ke dalam longkang,” katanya.

Ketua Hal Ehwal Wanita wilayah itu, Khadija Yaqeen berkata, remaja berusia 14 tahun itu memberitahu ibu bapanya mengenai serangan berkenaan empat bulan lalu.

Sultana menjemput ulama itu ke rumah mereka untuk makan malam, kata polis.



Kedua-dua mereka ditahan polis keesokan harinya.

Jurucakap polis Bahglan, Ahmad Jawid Basharat berkata, si bapa mengikat tangan dan kaki ulama berkenaan sebelum melakukan perbuatan ganas untuk membalas dendam.

Ulama, berusia 32 tahun itu menafikan tuduhan dia menyerang anak pasangan berkenaan.

Polis memberitahu mereka sudah memulakan siasatan terhadap kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Harapan baru jumpa harta karun



FOAD menunjukkan dua keping syiling yang ditemui di Pulau Nangka, Melaka semalam.


MELAKA - Selepas bekerja keras selama empat bulan, kerja-kerja memburu harta karun di Pulau Nangka di sini mula berhasil apabila artifak berbentuk dua keping syiling ditemui pada pukul 11.30 malam kelmarin.
Kedua-dua artifak yang ditemui itu berbentuk bulat dengan diameter kira-kira enam sentimeter berwarna kekuningan.
Artifak pertama mempunyai lima baris tulisan dipercayai huruf zaman kerajaan Majapahit manakala artifak kedua mempunyai lubang berbentuk segi empat di tengahnya mengandungi kalimah Allah dalam tulisan Jawi.
Penemuan itu sekali gus memberi peluang kepada syarikat Smart Partnership (M) Sdn. Bhd. untuk meneruskan kerja-kerja pencarian harta berkenaan sehingga keputusan ujian terhadap syiling tersebut diputuskan.
Pengarah Urusan syarikat tersebut ialah Muhammad Foad Khushairy Mohd. Said.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, syiling itu akan dihantar ke makmal dan Jabatan Warisan Negara hari ini untuk diuji kesahihannya. Keputusan ujian tersebut akan diketahui dalam masa terdekat.
"Ujian di makmal penting bagi memastikan sama ada medal itu diperbuat daripada emas atau tembaga selain usia bahan itu sendiri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz30WI9KR3n 
Hakcipta terpelihara 

Dakwa temui serpihan MH370



MERCURY PRESS & MEDIA LTD
AKERS menunjukkan serpihan yang dianggapnya daripada pesawat MH370 pada skrin komputernya.


MERCURY PRESS & MEDIA LTDAKERS menunjukkan serpihan yang dianggapnya daripada pesawat MH370 pada skrin komputernya.Ahli arkeologi marin Britain percaya lokasinya di perairan VietnamDakwa temui serpihan MH370LONDON - Seorang ahli arkeologi marin Britain mendakwa menemui serpihan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di sebuah lokasi sejauh 4,800 kilometer dari zon pencarian masa kini di selatan Lautan Hindi, lapor akhbar MailOnline semalam.
Ahli arkeologi marin berkenaan, Tim Akers, 56, telah mengkaji perairan Australia di luar pantai bandar raya ini selama bertahun-tahun untuk mencari bangkai sebuah kapal perang negara itu, HMAS Sydney yang hilang semasa Perang Dunia Kedua.
Pencarian lokasi kapal HMAS Sydney karam itu dilakukan di perairan sama pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi, luar pantai Australia Barat.
Sebelum ini, operasi besar-besaran melibatkan sejumlah satelit, pesawat dan peralatan bawah laut canggih yang berupaya meninjau dasar laut dalam gagal mengesan sebarang serpihan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.
Namun, Akers yang berasal dari Yorkshire Utara percaya, dia telah menemui lokasi di mana pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu terlepas selepas ia hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.
Dia mendakwa mengenal pasti ekor pesawat hilang di perairan di luar Vietnam di sebuah lokasi yang terletak hanya sekitar 1,600 kilometer dari tempat pesawat itu berlepas.
Penemuannya menyokong beberapa laporan pada minggu ini termasuk daripada seorang bekas juruterbang Amerika Syarikat, Michael Hoebel yang percaya dia telah menemui bangkai pesawat Boeing 777-200 itu di perairan Thailand.
Akers memberitahu bahawa dia kini mengenal pasti beberapa bahagian pesawat di sebuah lokasi berdekatan dengan laporan yang diterima oleh pihak berkuasa Vietnam bahawa beberapa pekerja cari gali minyak melihat sebuah pesawat terbakar jatuh dari udara.
Imej itu ditemui berdasarkan imbasan gambar dari satelit yang menunjukkan serpihan seperti ekor dan sayap pesawat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz30WGmPNYd 
Hakcipta terpelihara 

100 buah kereta ‘bergerak sendiri’ diuji di jalan raya


Kereta bergerak sendiri Volvo akan membolehkan pemandunya melakukan perkara lain ketika dalam perjalanan ke destinasi. - AGENSI
STOCKHOLM 1 Mei - Pembuat kereta Sweden, Volvo memperkenalkan kereta yang mampu bergerak sendiri dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Laman web berita Yahoo! melaporkan, sebanyak 100 buah kereta yang diperkenalkan di bawah projek Drive Me itu kini sedang menjalani ujian peringkat pertama di sekitar bandar Gothenburg.
Pakar Teknikal Volvo Car Group, Erik Coelingh berkata, kereta yang diuji tersebut dilihat mampu memandu sendiri mengikut laluan yang ditetapkan, mengadaptasi kelajuan dan keadaan trafik persekitaran.
"Projek ini merupakan satu langkah ke arah penggunaan teknologi pemanduan automatik Volvo yang bertujuan membenarkan sesebuah kereta bergerak sendiri tanpa dikendali pemandu," katanya.
Projek Drive Me itu merupakan usaha sama antara Volvo, Pentadbiran Pengangkutan Sweden, Agensi Pengangkutan Sweden, Taman Sainstifik Lindholmen dan bandar Gothenburg.
Ujian itu menandakan langkah terbaharu ke arah pembangunan kereta bergerak sendiri yang dijangka dihasilkan menjelang 2020.
Pada awal tahun ini, Volvo mengumumkan projek inovasi melibatkan pemasangan magnet di jalan raya untuk membantu kereta bergerak sendiri menentukan kedudukannya dan tidak melanggar antara satu sama lain selain terbabas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140502/lu_08/100-buah-kereta-bergerak-sendiri-diuji-di-jalan-raya#ixzz30VUdo7BA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, May 1, 2014

Minta cerai kerana suami kurus


Kuwait: Seorang lelaki obes mengambil keputusan menjalani pembedahan pintasan gastrik untuk menurunkan berat badannya bagi menggembirakan isteri barunya.

Namun, selepas kehilangan berat sebanyak 110 kilogram, isterinya memfailkan tuntutan cerai di mahkamah.


Wanita yang dirahsiakan identitinya itu memberitahu mahkamah dia bersetuju untuk mengahwini lelaki berkenaan kerana menyukai tubuhnya yang gemuk tanpa mengetahui dia menjalani rawatan perubatan untuk menurunkan berat badannya.



Katanya, dia tidak melihat suaminya untuk satu tempoh masa yang lama setelah mereka bersetuju untuk berkahwin.


Lelaki itu, menurut wanita berkenaan, tidak memberitahunya yang dia akan menjalani pembedahan pintasan berkenaan.


Selepas berkahwin, lelaki berkenaan buat pertama kalinya berjumpa isterinya dan masuk ke dalam bilik tidur ketika berbulan madu, wanita berkenaan berkata dia amat terkejut.

Menurut akhbar Al Watan, wanita itu memberitahu mahkamah: “Suami saya mempunyai berat 180 kilogram ketika saya mula mengenalinya. “Apabila kami melangsungkan perkahwinan dan masuk ke bilik tidur, saya amat terkejut. Dia telah kurus dan beratnya hanya 70 kilogram.” Akhbar itu memetik peguam wanita itu sebagai berkata kepada mahkamah: “Anak guam saya selalu ingin berkahwin dengan seseorang yang mempunyai bentuk badan istimewa. “Dia memberitahu saya dia impikan suami yang istimewa, yang akan membuatnya bahagia dan bangga.


“Tetapi apabila suaminya memasuki bilik, dia terkejut melihatnya dan hampa. “Dia berkata ketika melihat suaminya, segala impiannya musnah dan dia merasakan kehilangan zaman mudanya dan menjadi perempuan tua sekelip mata. “Dia sangat terkejut dengan paras suaminya dan benci melihat parut pembedahan pada badannya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

Lelaki paling kotor di Eropah


Ludvik Dolezal, 58 membakar apa saja yang dijumpai untuk dijadikan “tempat tidur selesa” sebelum merangkak ke atasnya untuk melelapkan mata.

Dolezal yang dikenali oleh orang yang lalu lalang di kawasan itu sebagai syaitan dalam kisah dongeng berkata: “Tahun lalu saya berhenti bekerja. Sejak itu saya tinggal di sini dengan unggun api.
“Setiap malam saya baring di atas abu panas dalam baju dan menggunakan abu sebagai bahan memanaskan badan. Saya kelihatan teruk selepas itu.

“Saya mempunyai pelbagai kelengkapan sebelum ini - jaket, but, tilam dan selimut. Namun, saya bakar semua untuk memastikan api tidak padam.

“Ramai orang membantu saya, kadang-kala mereka membawa sesuatu seperti tayar lama dan saya akan membakarnya.” Menurutnya, dia akan membiarkan api berterusan sepanjang hari sehinggalah dia masuk tidur pada jam 7.30 malam.
Foto
DOLEZAL
“Kebanyakan benda yang dibakar adalah kayu dari semak berdekatan.

“Ia harus kering untuk dibakar. Apabila saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibakar, saya terpaksa menggunakan kapak dan meotong papan di sekeliling bangsal tempat saya berteduh,” katanya ketika ditemui.
Dolezal mengaku dia menghadapi kesukaran bernafas. Saya menghisap rokok setiap masa, saya menghabiskan sebungkus rokok sehari. Ia membantu saya. Saya bernafas lebih baik apabila menghisap rokok. Menurutnya, dia mendapat bantuan kira-kira RM444 daripada kerajaan Czech setiap bulan.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan tidak memberikan dia wang itu sekali gus kerana khuatir dia akan membakarnya.

Sebaliknya, mereka memberi duit berkenaan kepada kedai yang dikunjungi Dolezal setiap hari untuk membeli makanan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

Bedah melampau

Rina Nanase bagaimanapun berkata, mereka yang menggelarnya Dobby mencemburui hasil pembedahan itu.
Pelakon berusia 25 tahun ini menggunakan nama samaran Rumi Kanda dalam rakaman video lucahnya, tidak berahsia dengan keputusannya untuk melakukan pembedahan mengubah bentuk wajahnya.
Rina melakukan beberapa pembedahan pada mata, hidung dan dagu.
Dia berkongsi semua gambar hasil pembedahan itu termasuk rupa paling baru melalui akaun Twitternya.
Bagaimanapun, kebanyakan orang menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Dalam gambarnya ketika berusia 17 yang dimuat naik ke Internet, dia menulis, “Saya kelihatan gemuk” dan berkata dia mempunyai “mata bulat dan bercahaya.” Model itu kemudiannya berkongsi gambar lain, kononnya dia berpendapat gambar berkenaan adalah zaman kegemilangannya.
Dia menyiarkan gambar sebelum menjalani pembedahan mengecilkan hidungnya.
“Saya tidak merasakan ia perubahan besar, namun terkejut dengan reaksi peminat,” kata Rina.
Gambar disiar ini menyebabkan dia digelar Dobby.
Bagaimanapun, terdapat beberapa komen positif mengenai wajah terbarunya itu dalam laman media sosial.
Seorang peminatnya menulis, “Dulu dia nampak lebih elok.
Foto
WAJAH sebelum dan selepas Rina menjalani pembedahan

Sebelum pembedahan rupanya lebih baik.” Peminat lain pula menulis: “Dia mempunyai masalah pemakanan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Volkswagen dibuat daripada kayu oak



BOJIC membersihkan keretanya pada 2 April lalu.- REUTERS


CELINAC, Bosnia - Seorang pesara, Momir Bojic membina badan kereta Volkswagen Beetle yang diperbuat daripada 50,000 papan kayu oak di sini.
Bojic yang berusia 71 tahun merupakan peminat kereta tersebut tinggal di sini, dekat Banja Luka.
Dia mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan kereta tersebut.
Bojic juga memandu kereta itu di atas jalan raya.
Rim tayar kereta tersebut juga diperbuat daripada kayu.
Papan pemuka kereta itu turut dihasilkan daripada kayu oak.
Oak merupakan pokok kayu yang besar.
Pokok itu mempunyai kayu yang keras dan pada kebiasaannya digunakan untuk membuat perabot. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz30PeK5dsf 
Hakcipta terpelihara 

Basikal roda tiga dijual pada harga RM9,796



BEBERAPA model menggunakan basikal roda tiga pada satu sidang akhbar di syarikat Katayama Kogyo, Tokyo, Jepun semalam.- AFP


TOKYO - Sebuah syarikat memperkenalkan sebuah basikal elektrik roda tiga yang dikenali sebagai 'basikal berjalan'.
Basikal yang digerakkan dengan bantuan kuasa elektrik itu dikeluarkan sebuah syarikat pembuat alat ganti kereta, Katayama Kogyo.
Ia boleh mencapai kelajuan maksimum 24 kilometer sejam.
Basikal itu akan bergerak apabila penunggang menekan pedal.
Presiden syarikat itu, Masayuki Katayama turut menaiki basikal tersebut pada satu sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.
Basikal itu akan berada di pasaran Julai depan dan dijual pada harga AS$3,000 (RM9,796). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz30PdvNCKE 
Hakcipta terpelihara 

Sultan Brunei umum hukum hudud dilaksana hari ini


SULTAN HASSANAL BOLKIAH berucap pada majlis pengumuman pelaksanaan undang-undang hudud di Bandar Seri Begawan, Brunei semalam.- AFP


BANDAR SERI BEGAWAN - Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam mengumumkan bahawa negaranya akan melaksanakan hukum hudud bermula pada hari ini.
"Dengan penuh keyakinan dan kesyukuran kepada Allah Maha Besar, saya mengumumkan esok (hari ini) undang-undang syariah fasa pertama akan dikuatkuasakan dan ia akan diikuti dengan fasa-fasa seterusnya," kata baginda dalam satu dekri diraja semalam.
Fasa pertama dan kedua akan bermula pada tahun ini manakala fasa seterusnya akan bermula pada tahun depan.
Pada fasa pertama, hukuman penjara dan denda akan dilaksanakan antaranya untuk pesalah yang tidak menghadiri solat Jumaat dan hamil di luar nikah.
Pada lewat tahun depan, hukuman seperti rejam dengan batu kerana kesalahan meliwat dan zina akan diperkenalkan.
Ekoran pengumuman tersebut, Brunei yang kaya dengan minyak akan menjadi negara pertama di Timur Asia dan Asia Tenggara yang memperkenalkan hukuman hudud.
Brunei menyertai kebanyakan negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq yang turut menguatkuasakan hukuman itu.
Antara hukuman itu ialah tangan pencuri akan dipotong.
Kerajaan Brunei sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukum hudud selepas dikritik beberapa badan hak asasi antarabangsa.
Bagaimanapun, pemerintah berusia 67 tahun itu memutuskan untuk meneruskan perlaksanaan hukum hudud dan menolak dakwaan bahawa undang-undang itu sebagai tidak adil.
"Ada pihak menuduh undang-undang Allah ini kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri berfirman bahawa undang-undang itu adalah adil," ujar baginda lagi di sebuah pusat konvensyen di sini.
Pemerintah Brunei itu merupakan antara orang terkaya di dunia dan kekayaannya pernah dianggarkan majalah Forbes berjumlah AS$20 bilion (RM65.28 bilion) pada tiga tahun lalu.
Sultan Hassanal Bolkiah juga dilaporkan mempunyai banyak koleksi kereta mewah dan istana yang dihiasi emas.
Baginda sebelum ini berselisihan faham dengan adiknya, Putera Jefri Bolkiah yang didakwa menggelapkan wang berjumlah AS$15 bilion (RM 48.98 bilion) ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Brunei mempunyai kira-kira 400,000 orang penduduk dengan 70 peratus daripadanya merupakan penganut Islam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz30Pdezp9V 
Hakcipta terpelihara