Pages

Wednesday, April 16, 2014

Bulan kelihatan merah seperti darah



BULAN berwarna merah dapatdilihat di Los Angeles semalam.- REUTERS


MADRID - Satu fenomena gerhana bulan penuh yang digelar 'bulan berdarah' berlaku semalam.
Gerhana tersebut yang menyebabkan bulan kelihatan merah seperti darah boleh disaksikan oleh penduduk di selatan dan utara Benua Amerika.
Fenomena 'bulan berdarah' kali ini merupakan yang pertama daripada empat gerhana serupa yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang.
Gerhana itu berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yzlpBwPZ 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, April 15, 2014

Landasan maut di Hanoi

Landasan maut di HanoiLandasan maut di Hanoi
LANDASAN kereta api di tengah Hanoi menjadi pemandangan biasa bagi penduduk di ibu negara Vietnam.

Kebanyakan landasan terletak bersebelahan premis perniagaan dan rumah. Orang ramai sering kali di lihat duduk bersantai dan kanak-kanak bermain di landasan berkenaan jika ianya tidak digunakan terutama di landasan menuju ke Long Bien Bridge.

Keadaan itu menyumbang kepada kemalangan maut kereta api sebanyak dua peratus setiap tahun dipetik laporan Dailymail.

Setakat ini, dianggarkan terdapat 5,000 lintasan kereta api haram di negara tersebut menyebabkan kerajaan Vietnam kini berusaha melabur 1 juta pound (RM 5.4 juta) untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan sepanjang 3,218 kilometer landasan di bandar berkenaan.

3 tahun atas pokok


Mangsa dikenal pasti sebagai Jurij Sliachtecov, 21, warga Lithuania yang dilaporkan hilang sejak tiga tahun lalu.
Polis dan rakannya pada mulanya menyangka Sliachtecov pulang ke negara asal kerana turut membawa pasport ketika menghilangkan diri.

Kali terakhir dia dilihat bersama rakannya di Bournemouth pada lewat April 2011.
Foto
SEORANG lelaki (kanan) turut menyerahkan beberapa tulang manusia yang ditemui di kawasan itu, tahun lalu.

Kehilangan dia disedari tidak lama selepas itu malah disebarkan media tempatan di Lithuania.

Misteri itu akhirnya terungkai apabila seekor anjing yang bermain di kawasan semak di padang golf Meyrick Park dilihat menggonggong lengan manusia pada 31 Mac lalu.

Berikutan itu, pihak polis menjalankan usaha pencarian besar-besaran sebelum cebisan mayat manusia ditemui di atas pokok.

Mayat itu dipercayai reput menyebabkan cebisan tulangnya jatuh ke tanah.

Seorang lelaki yang tinggal berhampiran kemudian membawa beberapa lagi tulang manusia yang disimpan dalam beg plastik yang didakwanya ditemui tahun lalu di kawasan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis Dorset memberitahu Western Daily Press, identiti sebenar mayat itu belum dikenal pasti namun pihaknya yakin ia milik Sliachtecov.

Inkues akan dijalankan hujung minggu ini manakala punca kematian belum dikenal pasti. Bagaimanapun, pihak polis tidak mengesyaki kejadian jenayah.

Sementara itu, penduduk berhampiran terkejut dengan penemuan itu.

“Kasihan. Bayangkanah ada orang yang mati di sini dan mayatnya selama ini tidak ditemui tanpa diketahui sesiapa,” kata seorang penduduk. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/15

Aviv dihukum duduk di depan kadbod


AVIV duduk di belakang kadbod yang mempunyai kenyataan tentang pengakuannya sebagai seorang pembuli di Euclid Selatan, Ohio kelmarin.


EUCLID SELATAN, Ohio - Seorang lelaki, Edmond Aviv menghabiskan masa selama lima jam di sebatang jalan raya di sini kelmarin dengan duduk di sebelah kadbod yang mengaku dirinya seorang pembuli.
Aviv yang berusia 62 tahun tidak menghiraukan bunyi hon kenderaan dan orang ramai yang datang untuk bercakap dengannya berhubung perbuatannya itu.
Dia melakukan perbuatan itu selepas didapati bersalah membuli seorang wanita yang juga jirannya.
Jirannya itu mendakwa Aviv membuli dia dan anaknya yang kurang upaya sejak 15 tahun lalu.
Namun, Aviv tidak membuat sebarang pengakuan di mahkamah berhubung dakwaan melakukan jenayah kecil itu.
Hakim Mahkamah Perbandaran, Gayle Williams-Byers kemudian mengarahkan dia memegang kadbod tersebut selama lima jam.
Williams-Byers turut memilih ayat yang menunjukkan pengakuan Aviv itu.
Aviv tiba di lokasi dia memegang kadbod itu pada pukul 9 pagi waktu tempatan.
Beberapa orang turut merakamkan gambar Aviv semasa mereka melintasinya.
Seorang pegawai mahkamah dan seorang peguam bela Aviv turut memantau perbuatan lelaki tersebut.
Lelaki itu pernah menggantung tin minyak tanah pada kipasnya supaya bau minyak tersebut dapat dihidu ke rumah jiran wanitanya itu, Sandra Prugh.
Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan bau yang datang dari rumah Prugh semasa dia mengeringkan pakaian.
Aviv turut melontarkan kata-kata kesat kepada Prugh semasa dia keluar bersama anak angkatnya yang berkulit hitam.
Lelaki itu turut meludah ke arah jirannya itu beberapa kali.
Aviv juga pernah melontarkan najis anjing ke cermin kereta milik seorang anak Prugh.
Hakim turut mengarahkan Aviv menjalani hukuman penjara selama 15 hari dan menjalani kelas pengurusan marah serta kaunseling. - Agensi

Liverpool diserang tikus gergasi



SEEKOR tikus gergasi sebesar seekor kucing yang berjaya ditangkap di Liverpool baru-baru ini.


LIVERPOOL - Bandar raya Liverpool didapati mengandungi sejumlah tikus gergasi yang didakwa sebesar saiz seekor kucing, lapor portal berita Metro.com,uk kelmarin.
Sekumpulan tikus gergasi itu ditemui di Merseyside, bandar raya ini.
Penduduk tempatan di sini terpaksa menggunakan racun yang dibuat secara tradisional sebagai umpan untuk menghapuskan tikus-tikus.
"Haiwan-haiwan itu kini kebal dengan umpan tradisional itu," kata seorang pekerja yang mengawal pembiakan makhluk perosak, Sean Whelan kepada akhbar Liverpool Echo.
Tikus-tikus itu mampu membesar menyamai saiz seekor kucing kerana terdapat makanan terbuang yang banyak di jalanan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2yvlmSSGS 
Hakcipta terpelihara 

Monday, April 14, 2014

Cara zalim henti ketagihan rokok

 Zagreb: Seorang pesara Croatia yang didakwa mencekik pesakitnya di bilik mandi hingga mereka pengsan dalam usaha untuk menghentikan ketagihan rokok berdepan dengan hukuman penjara atas tuduhan menipu.



Dengan senarai pelanggan, termasuk bekas menteri dan seorang bintang pop, Petar Miro Zanki, 69, berpendapat dia menemui cara terbaik untuk merawat ketagihan rokok.







Tetapi, tekniknya termasuk menutup muka pelanggan dengan tuala dan menghembuskan asap rokok pada muka mereka menimbulkan keraguan.



Satu lagi teknik rawatan ialah dengan menekan beberapa bahagian leher pelanggan, menyebabkan mereka susah bernafas.



Pendakwa raya menerima aduan daripada dua pelanggan yang tidak berpuas hati dengan mendakwa Zanki mencekik mereka hingga pengsan.



Cara itu, kata mereka, gagal menghentikan ketagihan mereka.



Hasil siasatan menunjukkan Zanki tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan sebarang jenis rawatan.



Dia kini berdepan tuduhan menipu yang membolehkan dia dipenjara hingga enam bulan jika didapati bersalah.



Bagaimanapun, beberapa pelanggan membela teknik Zanki.



Seorang bekas menteri dan beberapa selebriti tempatan berkata, mereka mempunyai pengalaman positif dengan rawatan itu.



Zanki mengenakan bayaran 200 euro (RM898) untuk setiap sesi rawatan antara 2011 dan 2012.





Croatia mempunyai antara paling ramai perokok di Eropah dengan 30 hingga 40 peratus penduduk dewasanya ketagih.





- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

15,000 penduduk Islam dikepung


Sebahagian kanak-kanak Islam Republik Afrika Tengah yang kehilangan tempat tinggal ekoran keganasan agama di republik itu mendapatkan perlindungan di sebuah Masjid Utama di bandar Bagui, Republik Afrika Tengah. - Agensi
BANGUI 13 April - Kira-kira 15,000 penduduk Islam di Republik Afrika Tengah (RAT) terperangkap di ibu negara ini dan berdepan ancaman dibunuh atau harta benda mereka dirampas oleh kumpulan militia Kristian yang mengepung bandar ini.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi amaran penduduk Islam terdedah kepada bahaya di Bangui dan perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di bahagian utara negara ini atau ke luar negara.
Kehadiran beribu-ribu tentera Perancis dan Afrika di Bangui juga dilihat tidak mampu memberi perlindungan kepada penduduk Islam, walaupun Majlis Keselamatan PBB meluluskan kerahan kira-kira 12,000 askar pengaman ke rantau itu pada Khamis lalu.
Portal berita Presstv melaporkan kebanyakan masyarakat Islam d i RAT terperangkap di pekan Boda dan kira-kira dua ribu orang dilaporkan terbunuh sejak keganasan agama tercetus di pekan itu pada Disember lalu.
Dalam perkembangan sama, pasukan pengaman Afrika mengiringi lebih 1,000 penduduk Islam melarikan diri daripada serangan militia Kristian di Bossangoa, semalam.
Sumber polis melaporkan, kesemua penduduk yang melarikan diri itu dibawa menuju ke negara jiran, Chad dan tiada seorang penduduk Islam yang tinggal di pekan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyuarakan kebimbangan tentang laporan berlakunya penghapusan etnik di RAT sehingga menyebabkan penduduk minoriti Islam terpaksa menjadi pelarian.
Ki-moon turut menggesa pemimpin negara terbabit mengelakkan berulangnya jenayah pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Rwanda kira-kira 20 tahun lalu.
"Jangan ulangi kesilapan seperti di Rwanda pada 1994 yang menyaksikan 18,000 orang dibunuh secara beramai-ramai.
"Ambil pengajaran tersebut, dan masa depan negara ini terletak di tangan anda (pemimpin RAT)," katanya ketika mengadakan lawatan di Bangui, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_01/15000-penduduk-Islam-dikepung#ixzz2yo67v795
© Utusan Melayu (M) Bhd 

India cipta kasut dilengkapi bluetooth


Lechal dapat memandu arah dengan memberi isyarat getaran. - AGENSI
HYDERABAD 13 April - Sebuah syarikat pembuat kasut India, Ducere Technologies berjaya menghasilkan sepasang sepatu yang dapat memandu penggunanya menuju ke destinasi dihajati, dengan hanya memberi isyarat getaran.
Menurut Mail Online, kasut yang dicipta secara bersama oleh Krispian Lawrence, 30, dan Anirudh Sharma, 28, yang dikenali sebagai Lechal itu mempunyai kelengkapan bluetooth yang dihubungkan dengan sistem pemetaan telefon mudah alih.
Menggunakan teknologi ‘pemandu arah kaki’, maklumat yang diterima daripada telefon mudah alih akan digunakan sebagai input untuk memandu arah dengan menggunakan isyarat getaran.
Selain memandu arah, Lechal juga dapat mengira langkah perjalanan dan kalori yang dibakar oleh penggunanya ketika terlibat dalam aktiviti seperti berlari dan berjalan.
Menurut Lawrence, kasut yang dijual pada harga AS$100 (RM 323.81) itu mudah digunakan, selain dapat meningkatkan keselamatan di jalan raya.
“Jika saya sedang menunggang motosikal atau basikal, saya tidak lagi perlu melihat telefon untuk mengetahui sesuatu lokasi, kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri. Sebaliknya saya akan dipandu oleh kasut ini," jelas Lawrence.
Kasut tersebut turut dijual dalam bentuk pelapik, yang boleh diletakkan di dalam mana-mana kasut mengikut kecenderungan seseorang pengguna.
Walaupun kasut ini hanya akan dipasarkan di seluruh dunia pada Jun ini, Ducere Technologies sudah menerima lebih 3,000 pesanan awal daripada pelanggan yang berminat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_09/India-cipta-kasut-dilengkapi-bluetooth#ixzz2yo4Zowtx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, April 13, 2014

Pakar silap bedah kerana nama sama


Zhenjiang: Pakar bedah di hospital di Yueqing tersilap membuang dua per tiga perut seorang wanita yang tidak mempunyai masalah kerana mempunyai nama yang sama dengan seorang lagi pesakit yang sepatutnya dibedah.

China.org melaporkan, warga emas yang dikenali sebagai Chen pada mulanya hanya datang membuat pemeriksaan di hospital berkenaan selepas mengadu sakit perut.
Menurut menantu pesakit malang itu, Wang, memandangkan Chen dan suaminya tidak boleh membaca mereka tidak memahami laporan yang dikeluarkan doktor. Namun, apabila anak mereka mendapati laporan itu menyebut Chen mempunyai kanser, mereka bergegas untuk berbincang dengan doktor yang menasihatkan pembedahan segera perlu dijalankan.

Sehingga pembedahan selesai dijalankan, perkara itu masih belum disedari sehinggalah pesakit sebenar datang untuk mengambil laporannya dan laporan itu dikatakan hilang.


Timbalan pengarah perhubungan perubatan hospital berkenaan, Nan Xiaohao berkata, kesilapan itu berlaku kerana kecuaian dan kebetulan kedua-dua pesakit mempunyai nama yang sama dan hadir ke hospital untuk membuat pemeriksaan perut pada hari yang sama. - Agensi

Payudara beralih


Beijing: Seorang wanita kelmarin mendedahkan rasa terkejut dan marahnya selepas mendapati implan payudaranya beralih ke belakang badan dan perutnya.
Tian Hui, 39, menjalani pembedahan plastik untuk membesarkan payudaranya pada 2002.
Dia mengharapkan pembedahan itu akan meningkatkan keyakinannya selepas mengetahui suaminya, Chiu, 41, berlaku curang dan menjalinkan hubungan dengan wanita lebih muda.

Tetapi, 10 tahun selepas pembedahanan, implannya mula beralih.
Foto
TIAN terkejut mendapati implan payudaranya di belakang dan perut.

Meskipun dia berusaha menolaknya semula ke tempat sepatutnya, ia masih bergerak jauh dari payudaranya.

Tian berkata, keyakinannya musnah selepas suaminya bermain kayu tiga dan dia menjalani pembedahan itu dengan harapan untuk mendapatkan semula kasih sayang suaminya.

“Saya sangka rumah tangga kami bahagia sehinggalah saya mengetahui dia menjalinkan hubungan dengan wanita yang enam tahun lebih muda daripada saya,” katanya.

Pasangan yang berasal dari Guangzhou di wilayah Guangdong itu sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun, membuka sebuah restoran dan membina perniagaan bersama sehingga mereka kaya. 

Selepas kecurangan suaminya terbongkar, mereka memutuskan untuk kekal semata-mata kerana keluarga. Tetapi, dia tetap merasakan tidak lagi menawan dan mengambil keputusan melakukan pembedahan plastik.

“Saya menghubungi seorang pakar bedah plastik berhampiran kediaman kami dan mengatur untuk membesarkan payudara saya. 

“Saya terkejut apabila bangun selepas beberapa tahun kemudian melihat implan itu beralih ke tempat lain. 

“Saya sungguh malu dan cuba mengalihkannya semula ke tempat asal. Tetapi, setiap kali bangun pagi, implan itu semakin jauh dari tempat sehari sebelumnya.

“Suatu hari apabila bangun saya mendapati satu implan itu berada di belakang dan satu lagi di perut. Saya menyedari saya perlu melakukan sesuatu.

“Saya bimbang sungguh mengenai kerosakan yang berlaku pada tubuh saya. Sebenarnya, ia sungguh menyakitkan,” 

Dia menjalani satu lagi pembedahan untuk membuang implan berkenaan dan meletakkan yang baru beberapa minggu lalu.

Doktor di Hospital Polis Guandong, Liang Hao, berkata, implan yang disuntik pada payudara Tian sebelum ini ialah gel polyacrylamide hydrophilic.

“Ia bahan berbahaya dan boleh merosakkan dalaman tubuh, menyebabkan barah serta menjejaskan buah pinggang,” kata Hao.

Penggunaan bahan itu diharamkan di China sejak 2006. 

Bagaimanapun, kesan peralihan payudaranya menyebabkan rumah tangganya lebih teruk.

“Suami saya sungguh kecewa dan menyebabkan hubungan kami lebih renggang,” kata Tian.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Saturday, April 12, 2014

Kembar tak mahu dipisah


New Delhi: Shivanathu Sahu dan adiknya Shivram ialah kembar siam berusia 12 tahun yang dilahirkan bercantum di pinggang.
Mereka berkongsi dua kaki dan empat tangan dan dipercayai berkongsi perut tetapi mempunyai jantung, hati dan otak sendiri. 
Doktor percaya mereka boleh dipisahkan, namun kembar ini nekad untuk terus hidup bersama.

“Kami tidak mahu dipisahkan.
Foto
PASANGAN kembar siam ini mampu mengayuh basikal sendiri ke sekolah.

“Kami akan bersama sampai tua seperti ini,” kata Shivram ketika diwawancara stesen televisyen Barcroft.

Kes kembar siam berlaku satu dalam setiap 200,000 kelahiran dan separuh daripadanya dilahirkan mati. 

Walaupun dengan kecacatan mereka, Shivanath dan Shivram mampu mengatasi halangan. Mereka cuba hidup seperti manusia normal, bekerja berpasukan seperti mandi, memakai baju dan menyikat rambut satu sama lain. 

Selain itu, mereka juga boleh bergerak di kampung mereka. 

“Kami belajar sendiri semuanya. Kami menunggang basikal ke sekolah, dan tiada masalah bermain kriket,” kata Shivanath. 

Bapa mereka, Raj Kumar, 45, berkata mereka juga pelajar cemerlang. Dia percaya walaupun dengan sikap positif yang ada, kehidupan sentiasa memberi cabaran untuk mereka berdua. 

Pakar kanak-kanak di Fortis Institut Penyelidikan Memorial di Gurgaon, India, Dr, Krishnan Chugh berkata, pasangan kembar itu boleh dipisahkan. Tetapi kerana mereka berkongsi kaki, mungkin hanya Shivram sahaja akan mendapat anggota itu sementara Shivanath akan lumpuh.

Chugh berkata, dia faham kenapa kembar dan bapa mereka tidak mahu berdepan dengan senario itu, tetapi keadaan akan berubah apabila kembar itu dewasa kelak.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Bandar raya Aladdin


Dubai akan membina ‘Bandar raya Aladdin,’ projek yang diilhamkan daripada cerita Aladdin dan Sindbad.
Majlis Perbandaran Dubai dalam kenyataannya semalam berkata, projek itu mengandungi tiga menara, terdiri daripada ruang komersial dan hotel. 
Jarak antara setiap menara ialah 450 meter dan ia akan dibina di Sungai Dubai.

Ia selaras dengan wawasan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Foto
PEMANDANGAN menara bandar raya Aladdin yang dilakar artis.

Ketua Pengarah Majlis Perbandaran Dubai, Hussain Nasser Lootah, dalam kenyataan itu berkata: “Bandar Aladdin akan terletak di antara pelabuhan kapal komersial di Sungai Dubai di Al Regga hingga ke Dubai lama dan mengandungi tiga menara.

“Ia bertujuan membangunkan menara untuk dijadikan ikon legenda lampau dengan sentuhan bercirikan keindahan tarikan pelancong bandar itu. Ia tidak akan mengganggu kegiatan di pelabuhan berkenaan.”

Menurut Hussein, pembangunan projek seumpama itu akan memberi kesan kepada budaya dan sejarah global terhadap kawasan terbabit serta menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang di samping menyumbang kemajuan kepada UAE.

Ia juga diramal akan membantu meningkatkan ekonomi Dubai dalam jangka panjang, khususnya menjelang Expo 2020.

Projek berkenaan akan mempunyai jambatan berhawa dingin dengan lantai bergerak bagi menghubungkan menara itu dengan jalan masuk serta keluar dan tempat letak kereta.

Menara itu pula akan menawarkan pemandangan ke arah sungai, bandar lama Dubai serta pembinaan moden, termasuk Burj Khalifa.

Bercakap mengenai reka bentuknya, Hussain berkata: “Seni bina serta kandungan projek berkenaan mengambil kira hubungan sejarah dan warisan kapal layar di sungai itu, menandakan perdagangan mengguna kapal sudah wujud sejak abad ke-11 yang belayar ke pantai Afrika Timur, India dan China. Ia juga akan mengandungi mitos mengenai pelayar terkenal, Sindbad dan Aladdin.”

“Kerana itu, kandungan simbolik reka bentuk projek bangunannya diilhamkan daripada cerita dan warisan lampau, termasuk cerita mengenai bangunan dan istana yang mempunyai kubah berbentuk agak ganjil, tergantung di udara.

Bentuk jambatan yang akan menghubungkan bangunan itu mewakili kehidupan marin eksotik, seperti naga dan ular.

Tiga menara itu akan mempunyai kawasan binaan seluas 110,000 meter persegi dengan menara paling tinggi mempunyai 34 tingkat.

Dua menara lain pula akan mempunyai 26 dan 25 tingkat sementara 900 ruang letak kereta akan disediakan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kos projek berkenaan.

Bandar raya Aladdin itu adalah projek terbaru Dubai yang bertemakan pelancongan. Sebelum ini, majlis mengumumkan rancangan membina projek seumpama itu, termasuk Taman Safari Dubai, Taman Buaya dan Taman Al-Quran.

Projek yang dalam pembinaan sekarang termasuk, taman Bunga dan Miniatur, Perpustakaan Mohammad Bin Rashid Library di atas sungai dan Pusat Seni Al Quoz.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Dua wanita bertinju dengan mata ditutup dengan kain

SEORANG wanita (kiri) merakamkan aksi dua petinju itu dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.- AFP


NARATHIWAT, Selatan Thailand - Dua wanita bertinju semasa kedua-dua mata mereka ditutup dengan sehelai kain di sini semalam.
Sejumlah orang menyaksikan aksi kedua-dua wanita tersebut yang melakukan perbuatan itu sempena Festival Songkran.
Kedua-dua wanita berkenaan turut memakai sarung tangan semasa mereka bertumbuk.
Festival Songkran yang merupakan sambutan tahun baharu Thailand bermula pada 13 April ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ycONsHLP 
Hakcipta terpelihara 

Tumbuh-tumbuhan menjalar tingkat atas bangunan kediaman

GAMBAR menunjukkan tumbuh-tumbuhan meliputi binaan haram di tingkat teratas sebuah bangunan kediaman di Guangzhou, wilayah Guangdong semalam. - Reuters


GUANGZHOU, China - Sebuah struktur binaan haram di tingkat teratas sebuah bangunan kediaman dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan di sini semalam.
Binaan haram yang seluas 40 meter persegi itu dibina 10 tahun lalu.
Bangunan kediaman itu setinggi 19 tingkat.
Para pegawai sebuah jabatan yang menguatkuasakan peraturan undang-undang tempatan menemui binaan haram itu pada tahun 2012.
Namun, para pegawai jabatan berkenaan masih gagal untuk menemui pemilik binaan haram tersebut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ycNgb3wn 
Hakcipta terpelihara 

Perniagaan telur semut laris


BOGOR, Jawa Barat - Perniagaan telur semut di pasaran Indonesia dilapor semakin mendapat sambutan hangat, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk untuk menternak semut secara serius.
Permintaan terhadap telur semut sangat tinggi kerana makanan eksotik itu dipercayai tinggi protein, vitamin, dan rendah lemak.
Menurut laporan portal DailyMail Online, pembiak baka boleh menghasilkan 136 kilogram telur dan beratus-ratus ribu semut setiap bulan.
Jelas laporan itu, penternak akan meletakkan 'ibu semut' di dalam balang jernih di bilik bersuhu lembab dan sebaik sahaja telur dihasilkan, baka pembiak dikeluarkan dari balang terbabit.
“Telur tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam balang dan dibungkus sebelum dihantar ke pasar Bogor untuk dijual.
“Telur semut boleh dimasak melalui pelbagai cara sama ada direbus atau dimakan dengan salad," kata laporan itu.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tabiat pemakanan telur semut boleh mengurangkan kesan rumah hijau dan membuka peluang pekerjaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_10/Perniagaan-telur-semut-laris#ixzz2ycFCEkWU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bapa hadiahkan 'kereta kebal' kepada anak


Pesara tentera China, Jian Lin bersama kereta kebal yang dihasilkan sendiri untuk dijadikan sebagai hadiah sempena ulang tahun anaknya. - AGENSI
BEIJING 11 April - Kasih seorang bapa membuatkan seorang lelaki China sanggup memenuhi permintaan anak lelakinya berusia enam tahun yang mahukan sebuah kereta kebal sebagai hadiah.
Tanpa disangka, bapanya yang juga seorang bekas tentera laut China sanggup memenuhi permintaannya dengan membuat sebuah replika kereta kebal Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) walaupun mempunyai tempoh masa yang singkat untuk berbuat demikian.
Berdasarkan model kereta kebal PLA jenis 63A, Jian Lin memulakan usaha menyiapkan replika tersebut dalam masa dua bulan, malah dia turut melengkapkan ‘permainan’ anaknya itu dengan sebuah meriam yang mampu menembak.
“Bila saya pergi ke pasar raya, saya memerhatikan permainan yang bersesuaian dengan keinginan saya, namun tidak ada satu pun yang menarik minat sehingga saya memutuskan untuk membuatnya sendiri.
“Saya mahu hadiah itu merupakan sesuatu benda yang benar-benar menarik," kata lelaki berusia 31 tahun tersebut yang berasal dari wilayah Sichuan sebagaimana lapor Mail Online.
Lin berkata, dia menghabiskan sebanyak 4,000 pound (RM21,662) untuk menyiapkan replika kereta kebal itu yang mempunyai berat tiga tan berbanding berat kereta kebal sebenar iaitu 20 tan.
Dalam tempoh dua bulan, dia terpaksa merahsiakan hasil usahanya sehingga dia menunjukkan sendiri replika kereta kebal berukuran lima meter panjang dan dua meter tinggi itu kepada anaknya di rumah mereka di Kampung Mianzhu.
Lin yang gembira dengan kejayaannya, bercadang untuk menghasilkan kenderaan perisai amfibia yang mampu bergerak di dalam air.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_09/Bapa-hadiahkan-kereta-kebal-kepada-anak#ixzz2ycE5AFNp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ingin sehidup semati


Shivanath dan Shivram tidak mempunyai masalah untuk melakukan tugas seharian sendiri termasuk berjalan. - AGENSI
RAIPUR, India 11 April - Sepasang kembar siam yang bercantum di bahagian perut sejak dilahirkan, berjanji untuk ‘sehidup semati’ apabila enggan menjalani sebarang bentuk pembedahan bagi memisahkan mereka berdua.
Mail Online melaporkan, Shivanath dan Shivram Sahu, 12, yang dilahirkan di sebuah perkam­pungan kecil di sini, bercantum di bahagian perut dan berkongsi kaki, namun mempunyai tangan, jantung, paru-paru serta otak yang berasingan.
“Kami tidak pernah berhajat untuk berpisah, kami akan terus berada dalam keadaan seperti ini sehingga tua," kata Shivram.
Pasangan kembar kepada Raj Kumar, 45, seorang buruh dan Srimati itu, sejak kecil lagi sudah diajar untuk berdikari melakukan tugasan harian seperti mandi, makan, memakai baju dan menyikat rambut sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Bukan itu sahaja, kembar siam yang mempunyai lima orang adik-beradik perempuan itu merupakan antara pelajar cemerlang dan pintar di sekolah.
“Kami diajar untuk melakukan pelbagai perkara secara bersama, menunggang basikal ke sekolah, berjalan menuruni tangga, berlari dan bermain kriket tanpa sebarang masalah," kata Shivanath.
Menurut Raj, telatah mereka berdua menjadi penghibur hatinya dan keluarga serta dia berjanji untuk menjaga mereka dengan baik.
“Tuhan telah mencipta anak saya sebegini dan saya mahu mereka kekal dalam keadaan ini. Saya akan bekerja keras untuk menyara mereka tanpa memerlukan bantuan daripada pihak lain," ujar Raj.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140412/lu_08/Ingin-sehidup-semati#ixzz2ycDav9yT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 11, 2014

Tak bersalah selepas 25 tahun dalam jel


Jonathan Fleming, 51, dibebaskan selepas pejabat pendakwa raya di Mahkamah Tinggi Brooklyn menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
“Dia sangat gembira kerana hari yang ditunggu akhirnya tiba, namun kecewa kerana terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 25 tahun atas kesalahan yang tidak dilakukannya,” kata peguam bela Taylor Koss.
Sepanjang perbicaraannya atas atas pertuduhan menembak mati rakannya, Darryl Rush pada 1989 di Brooklyn, Fleming mengekalkan akuan tidak bersalah.
Peguamnya berkata, pihak pendakwa terburu-buru mensabitkan lelaki itu dan tidak mengendahkan bahan bukti seperti bil telefon, gambar, resit hotel dan beberapa bukti lain yang menunjukkan lokasinya ketika kejadian.
Ketika perbicaraan, seorang saksi memberi keterangan yang dia melihat Fleming berada di tempat kejadian, namun mengaku tersilap pandang beberapa minggu kemudian, kata peguam bela lelaki itu.
Fleming didapati bersalah pada 1990 dan dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun.
Selepas sekian lama merayu dan kes itu disemak semula, pendakwa raya, Ken Thompson berkata, bukti yang dikemukakan membebaskan Fleming daripada tuduhan itu.
- Reuters
Foto
FLEMING (tengah) bersama anggota keluarga selepas pertuduhan ke atasnya digugurkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

22 cedera ditikam


Murrysville, (Philadelphia): Seorang pelajar berusia 16 tahun yang membawa dua pisau mengamuk di sebuah sekolah menengah di Pittsburgh, mencederakan 22 pelajar lain sebelum berjaya ditahan oleh seorang penolong guru besar.
Penyerang terbabit, berjalan di dewan Wilayah Sekolah Franklin di Murrysville, menikam mangsa di badan dan mencalarkan tangan serta muka mereka kata pelajar dan pegawai. 
Beberapa mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan dan disenaraikan dalam keadaan kritikal. 

Alex Hribal, 16 tahun, pelajar tahun dua sekolah menengah itu ditahan, kata Kapten Rob Liermann dari Jabatan Polis Murrysville.
Foto
HRIBAL

“Dia akan didakwa sebagai pesalah dewasa dan menghadapi empat pertuduhan cubaan membunuh serta 21 kes menyerang,” kata Liebermann.

Menurutnya, pelajar berkenaan juga diarah menjalani perbicaraan awal dalam masa tujuh hingga 10 hari. 

Pelajar sekolah menyifatkan situasi ketika itu mencemaskan dengan pihak sekolah bertindak serta-merta memindahkan pelajar selepas loceng kecemasan dibunyikan. 

“Dia melakukan perbuatan itu dengan senyap pada awalnya dan tiada siapa tahu mengenainya,” kata pelajar tahun 1, Josh Frank. 

“Kami mendengar seorang pelajar perempuan menjerit ‘pembunuhan’. Kemudian kelihatan dua pelajar berlari ke dewan dan kami mengikut mereka keluar dari sekolah,” katanya. 

Penyerang yang dianggap oleh seorang rakan sekelas sebagai pendiam, mula menikam pelajar lain sambil berjalan ke arah beberapa bilik darjah di sekolah di Murrysville, 32 kilometer ke timur Pittsburgh, kata pegawai. 

“Penolong Guru Besar, Sam King berjaya menahannya yang ketika itu bersenjatakan pisau sepanjang 20 hingga 25 sentimeter. 

“Seorang pegawai keselamatan menggarinya dengan dibantu oleh King,” kata ketua polis Murrysville, Thomas Seefeld.-AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

Dua pelajar perempuan dihukum 50 sebatan


Riyadh: Sebuah mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman 50 sebatan ke atas dua pelajar perempuan selepas didapati bersalah kerana mengaibkan rakan sekolah mereka.

Kedua-duanya dituduh merakam gambar rakan mereka dan menyiarkannya di laman sosial.


Mahkamah di Ihsa, wilayah timur Saudi itu mendapati kedua-duanya bersalah berbuat demikian di sebuah sekolah awam di wilayah ini tanpa pengetahuan pelajar lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

Mengaku bunuh 40 orang

Pihak pendakwa kelmarin menyatakan yang lelaki itu turut mengaku bekerja untuk satu kartel dadah. 
Peguam daerah di Alabama, Errek Jett berkata, Jose Manuel Martinez, 51 memberitahu pegawai penyiasat yang dia berperanan sebagai “penguat kuasa” bagi kartel berkenaan. 

Jett berkata, mereka mempercayai Martinez berdasarkan maklumat yang diberikan kepada penyiasat.
Foto
MARTINEZ

Martinez ditahan tahun lalu selepas menyeberang sempadan dari Mexico ke Arizona dan dihantar ke Alabama sementara menunggu perbicaraan kes bunuh.

Peguam Thomas Turner yang mewakili Martinez berkata, anak guamnya tidak sabar untuk memulakan perbicaraan supaya dia boleh segera pulang ke California. 

Thomas berkata, Martinez mengekalkan akuan tidak bersalah terhadap tuduhan itu. 

Timbalan pendakwa raya daerah Anthony Fultz berkata, Martinez menyasarkan mangsanya di daerah Tulare, Kern dan Santa Barbara sekitar tahun 1980 dan 2011. 

Dalam laporan siasatan yang diserahkan pegawai penyiasat menyatakan enam mangsa dibunuh di Tulare, dua di Kern dan satu di Santa Barbara membabitkan mangsa yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 56 tahun. 

Seorang lelaki ditembak mati ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada pagi tahun 1980 sementara dua lagi ditembak pada 1982 ketika bekerja di ladang, tetapi seorang mangsa terselamat. 

Dalam tahun yang sama juga seorang lelaki dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dengan kesan tembakan dan tikaman oleh pekerja ladang. 

Satu lagi mangsa ditemui mati ditembak di biliknya ketika empat anaknya berada di rumah pada tahun 2000. 

Selain tuduhan membunuh sembilan orang yang dihadapinya, Martinez juga berdepan satu tuduhan cubaan membunuh di California. 

Dia didakwa melakukan empat pembunuhan kerana mengejar habuan yang ditawarkan. 
Semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya boleh membawa hukuman mati jika disabitkan bersalah.-AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

'Restoran jamban' idea pelik



Restoran berkonsepkan tandas yang beroperasi di pasar raya Johor Bahru City Mall, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU - Entah di mana silapnya apabila sebuah restoran berkonsepkan tandas yang mengundang rasa jijik dalam kalangan masyarakat tempatan dibenarkan beroperasi di tingkat enam pasar raya Johor Bahru City Mall di sini.
Masakan tidak, pengunjung pastinya berasa geli apabila disajikan hidangan menggunakan bekas makanan menyerupai peralatan tandas seperti jamban dan tindakan pihak restoran itu dianggap suatu budaya kotor.
Pun begitu, pihak Restoran T Bowl yang memperkenalkan restoran berkonsepkan tandas itu menafikan mereka mempromosi- kan budaya pelik dan kotor dalam kalangan masyarakat tempatan.
Pengurusnya, John Chai Wen Joan, 23, (gambar kecil) menegaskan, restoran itu tetap menghormati budaya dan kebersihan di negara ini dan pihaknya sekadar mengetengah suatu konsep idea baharu.
"Memang benar konsep ini seperti kamu lihat di Jepun atau Taiwan, namun suasana di restoran kami tidak sama.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2yWLHe5qS 
Hakcipta terpelihara 

460,000 lebah hinggap badan lelaki


AFP 
GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan kawanan lebah menghurung badan She Ping.


CHONGQING - Seorang penternak lebah di China, She Ping merelakan dirinya dihinggapi beberapa ratus ribu ekor lebah dalam usaha untuk memecahkan rekod mantel lebah paling berat di dunia.
Dianggarkan sebanyak 460,000 ekor hinggap pada badannya dalam masa selama 40 minit.
Lebah-lebah itu membentuk mantel lebah seberat 45.65 kilogram (kg).
Penternak berusia 34 tahun itu melakukan percubaan tersebut di bandar raya ini, barat daya China kelmarin.
Namun, menurut Guinness World Records dia gagal memecahkan rekod dunia kategori tersebut yang dicatat pada tahun 2009.
Mantel lebah paling berat yang memiliki berat 61.41kg dan merangkumi anggaran 613,500 ekor lebah dicatat oleh lelaki India, Vipin Seth pada 9 Mac 2009.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2yWKqW6gQ 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 10, 2014

Buaya makan pelet sayur

Afrika: Buaya haiwan paling digeruni di Afrika, reptilia yang terkenal dengan membaham sebelum menelan mangsanya hidup-hidup.
Masalah timbul di ladang buaya Butat Nyanyana di pesisiran pantai Pulau Kariba, Zimbabwe kerana haiwan berkenaan jemu dengan makanan pelet berasaskan sayur-sayuran.
Penternak di ladang berkenaan memilih makanan itu kerana harganya yang murah berbanding daging, berprotein bermineral dan bervitamin yang dikatakan dapat meningkatkan kualiti kulit reptilia itu untuk dijadikan beg tangan atau kasut dalam pentas peragaan fesyen di New York, Paris, London atau Milan.

“Kami tidak lagi memberi daging kepada buaya di sini,” kata Pengarah Kewangan, Oliver Kanmundimu, pemilik ladang Padenga Holdings.
Foto

“Kualiti kulit dapat ditingkatkan kerana kami mengukur semua nutrien yang diberikan yang tidak boleh didapati hanya dengan memakan daging,” katanya semalam.

Nyanyana yang terletak 400 kilometer ke barat laut Harare menempatkan 50,000 buaya Nil dan satu daripada tiga Ladang Padenga di Kariba. Ia adalah tasik buatan manusia terbesar di Afrika.

Syarikat berkenaan mempunyai 164,000 buaya secara keseluruhannya dan memberi makanan palet sayur-sayuran sejak 2006 ketika krisis melanda Zimbabwe hingga menyebabkan daging sukar didapati dan harganya yang terlalu mahal.

Pada mulanya, pelet itu mengandungi 50 peratus daging tetapi dikurangkan secara beransur-ansur kepada diet sayur-sayuran keseluruhannya.

“Kami berada di satu tahap hingga mengurangkan daging daripada 15 peratus kepada tujuh peratus dan sekarang kepada sifar daging dan ikan,” katanya.

Operasi lebih senang, dan buaya berkenaan mendapat segala nutrien daripada makanan seumpama itu.

Makanan diberi dua hari sekali, menjadikan buaya itu jinak dan hanya berbaring ketika pekerja menjalankan operasi pembersihan.

Buaya berkenaan disembelih ketika berusia 30 bulan dan berukuran 1.5 meter panjang. Kulitnya ketika itu lembut dan mudah dilentur.

Tahun lalu, Padenga Harare menjual 42,000 kulit ke Eropah terutama di Perancis.
Harga puratanya setiap kulit itu boleh mencapai sehingga (AS550) RM2,277.

Sebanyak 90 peratus kulit buaya itu dijadikan beg tangan berkualiti tinggi, kata Kamundi, manakala lebihan kulit dijadikan tali pinggang, kasut dan tali jam bagi beberapa jenama terkenal dalam dunia fesyen.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Bayi dua kepala mati


Kembar siam itu dilahirkan 13 Mac lalu secara peembedahan dam berat 3.37 kilogram. 
Selain dua kepala dan satu badan, bayi itu juga mempunyai dua leher, dua tulang belakang dan dua esofagus yang berlainan, tetapi berkongsi hati, perut dan paru-paru. 

Tragiknya, ibu mereka tidak sanggup untuk melihat bayi-bayi itu sebelum mereka menghembuskan nafas yang terakhir.
Foto
BAYI kembar siam dua kepala, satu badan meninggal dunia selepas 20 hari dilahirkan.

Bapa kembar siam itu, Subhash, 32 berkata: ‘Berita kematian itu tidak memeranjatkan, tetapi kami tetap merasa kehilangan mereka dan sedih.

“Saya ingin membesarkan mereka tetapi Tuhan mempunyai rancangannya tersendiri. Mereka berjaya hidup selama 20 hari. Ia satu keajaiban.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Kambing berwajah manusia


Menurut laporan akhbar tempatan kelmarin, kelahiran “pelik” itu terjadi di sebuah ladang di Samita selepas induk kambing itu bunting selama sembilan bulan, satu lagi perkara luar biasa kerana kebiasaannya purata tempoh bunting binatang itu hanya kira-kira lima bulan. 
“Saya terkejut apabila kambing itu terus bunting selama sembilan bulan sama seperti manusia. Tambah mengejutkan apabila kandungan itu dilahirkan. Saya ketika itu berada di luar kawasan. 

“Pekerja ladang menghubungi saya dan memaklumkan yang anak kambing itu berwajah manusia. Ketika tiba di ladang, anak kambing itu sudah mati. Tetapi saya sempat melihat wajahnya,” kata pemilik ladang itu. - Agensi
Foto
KAMBING ganjil ini mati beberapa jam selepas dilahirkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Aku Rapunzel...

Aku Rapunzel...

PENDERITAAN menyakit hyperinsulinism kongenital dihidapi seorang kanak-kanak dari Failsworth, Manchester, Amerika Syarikat terubat apabila memiliki rambut ikal seperti watak Rapunzel.

Sophie Fieldhouse, 6, mengidap penyakit kekurangan gula dalam darah terpaksa bergantung pada ubat Diazoxide namun kesan ubat berkenaan menyebabkan rambutnya tumbuh dengan cepat.

“Ramai sukakan rambut saya. Ia panjang dengan cepat,” katanya.

Ibunya, Amanda Turner, 37, berkata, kini anaknya beralih kepada pengambilan minyak ikan bagi mengurangkan pengambilan Diazoxide kerana ia mempunyai kesan sampingan.

“Walaupun memiliki rambut panjang dan cantik, hakikatnya dia mengidap penyakit jarang ditemui.

Sejak berhenti mengambil ubat itu, dia cepat lapar dan memerlukan makanan tambahan,” katanya.

Difahamkan, penyakit ini hanya ditemui seorang dalam 50,000 kanak-kanak, laporan dipetik dari nydaily.