Pages

Tuesday, April 15, 2014

Aviv dihukum duduk di depan kadbod


AVIV duduk di belakang kadbod yang mempunyai kenyataan tentang pengakuannya sebagai seorang pembuli di Euclid Selatan, Ohio kelmarin.


EUCLID SELATAN, Ohio - Seorang lelaki, Edmond Aviv menghabiskan masa selama lima jam di sebatang jalan raya di sini kelmarin dengan duduk di sebelah kadbod yang mengaku dirinya seorang pembuli.
Aviv yang berusia 62 tahun tidak menghiraukan bunyi hon kenderaan dan orang ramai yang datang untuk bercakap dengannya berhubung perbuatannya itu.
Dia melakukan perbuatan itu selepas didapati bersalah membuli seorang wanita yang juga jirannya.
Jirannya itu mendakwa Aviv membuli dia dan anaknya yang kurang upaya sejak 15 tahun lalu.
Namun, Aviv tidak membuat sebarang pengakuan di mahkamah berhubung dakwaan melakukan jenayah kecil itu.
Hakim Mahkamah Perbandaran, Gayle Williams-Byers kemudian mengarahkan dia memegang kadbod tersebut selama lima jam.
Williams-Byers turut memilih ayat yang menunjukkan pengakuan Aviv itu.
Aviv tiba di lokasi dia memegang kadbod itu pada pukul 9 pagi waktu tempatan.
Beberapa orang turut merakamkan gambar Aviv semasa mereka melintasinya.
Seorang pegawai mahkamah dan seorang peguam bela Aviv turut memantau perbuatan lelaki tersebut.
Lelaki itu pernah menggantung tin minyak tanah pada kipasnya supaya bau minyak tersebut dapat dihidu ke rumah jiran wanitanya itu, Sandra Prugh.
Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan bau yang datang dari rumah Prugh semasa dia mengeringkan pakaian.
Aviv turut melontarkan kata-kata kesat kepada Prugh semasa dia keluar bersama anak angkatnya yang berkulit hitam.
Lelaki itu turut meludah ke arah jirannya itu beberapa kali.
Aviv juga pernah melontarkan najis anjing ke cermin kereta milik seorang anak Prugh.
Hakim turut mengarahkan Aviv menjalani hukuman penjara selama 15 hari dan menjalani kelas pengurusan marah serta kaunseling. - Agensi

No comments: