Pages

Thursday, January 9, 2014

20,647 sushi disusun untuk hasilkan nombor sepuluh



BEBERAPA pekerja melakukan kerja-kerja di tepi susunan sushi yang membentuk nombor sepuluh di sebuah pusat beli-belah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Sebanyak 20,647 sushi pelbagai warna disusun bagi menghasilkan nombor sepuluh berjaya dibuat di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Sushi itu disusun oleh beberapa pekerja kedai menjual makanan Jepun itu dengan melibatkan ruang seluas 37.16 meter persegi.
Ia dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan kedai menjual sushi di pusat beli-belah tersebut.
Susunan itu turut mencipta rekod Guinness World Records bagi kategori bentuk sushi paling besar yang pernah dibuat.
Sushi merupakan makanan Jepun berupa nasi yang diletakkan lauk, terutamanya ikan mentah di bahagian atas atau di dalamnya.
Makanan Jepun itu kemudian dibungkus untuk diedarkan kepada orang ramai secara percuma. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pqsSo25s 
Hakcipta terpelihara 

Gunung Sinabung muntah lahar di Sumatera Utara


GUNUNG Sinabung menghamburkan debu dan lahar dekat Karo, Sumatera Utara semalam.


JAKARTA - Gunung Sinabung terus memuntahkan gas panas, lahar dan batu ke udara semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan, kata seorang pegawai.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, aktiviti terbaharu gunung berapi berkenaan yang bermula pada September lalu menyebabkan lebih 22,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
"Gunung itu dijangka terus meletus," kata seorang jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Nugroho.
Tambahnya, gunung berapi berkenaan telah memuntahkan gas dan batu-batuan panas lebih daripada 20 kali sejak kelmarin.
Seorang anggota sukarelawan, Riska Siregar berkata, kebanyakan penduduk yang terpaksa berlindung di bangunan kerajaan dan khemah di wilayah Karo, utara Sumatera berada dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya, seramai tujuh penduduk meninggal dunia ekoran pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.
"Sebilangan besar lagi penduduk memerlukan rawatan kesihatan.
"Ramai di antara mereka tertekan kerana terpaksa berpindah dari kediaman mereka selama berminggu-minggu dan kesusahan yang mereka alami juga kurang diberi perhatian,'' katanya.
Bagaimanapun, bekalan makanan untuk penduduk tersebut masih mencukupi untuk beberapa minggu yang akan datang.
Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter tidak aktif sejak 400 tahun lalu sebelum ia meletus pada Ogos 2010.
Terdapat 130 gunung berapi yang aktif di kepulauan Indonesia. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pqrNeR61 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, January 8, 2014

AS dilanda sejuk melampau


TASIK Michigan beku akibat suhu sejuk melampau di Chicago, Illinois kelmarin.- AFP



INDIANAPOLIS - Aliran udara sejuk berbahaya yang melanda bahagian tengah hingga selatan dan timur Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan banyak sekolah serta perniagaan ditutup manakala 16 orang dilaporkan meninggal dunia.
Suhu di kawasan tersebut semalam mencecah negatif 27 darjah Celsius sekali gus memecah rekod suhu paling sejuk yang pernah dicatatkan di negara berkenaan.
Di Toronto, seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarbangsa Pearson memberitahu, suhu sejuk yang ekstrem menyebabkan amaran keselamatan telah dikeluarkan kepada para petugas.
Seramai 187 juta penduduk di kawasan terbabit akan terjejas akibat 'pusaran polar' itu apabila ia merebak ke seluruh AS.
Sebuah syarikat utiliti, PJM Interconnection yang membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 61 juta pengguna di tengah Atlantik, tengah dan selatan AS semalam meminta para pengguna menjimatkan penggunaan tenaga ekoran cuaca sejuk.
Dalam pada itu, di Indiana pula lebih 30,000 terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik di beberapa kawasan terputus kelmarin.
Lebih 500 penumpang terpaksa bermalam di dalam gerabak kereta api apabila tiga perkhidmatan berkenaan yang menuju ke Chicago terpaksa berhenti akibat salji tebal di Illinois.
Seorang kakitangan meteorologi, Bob Oravec di Pusat Ramalan Cuaca di College Park, Maryland berkata, aliran udara sejuk meningkatkan kebimbangan jalan raya yang basah akibat salji yang cair pada minggu lalu akan membeku semula.
"Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda keadaan akan kembali normal apabila suhu kembali meningkat diramalkan di tengah AS,'' katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pkzhNPRl 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, January 7, 2014

Remaja India miliki 14,000 batang pensel



LAKHANPAL bergambar bersama koleksi penselnya di India baru-baru ini.- Agensi


NEW DELHI - Ramai orang gemar mengumpul setem, duit syiling atau rantai kunci tetapi berbeza dengan seorang remaja di India yang menjadikan pensil sebagai koleksi peribadinya.
Remaja berkenaan, Tushar Lakhanpal yang berasal dari sini memiliki lebih daripada 14,000 batang pensel dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Tushar, 15, mengumpul pensel tersebut dari 40 buah negara di seluruh dunia.
Dia percaya koleksinya itu mampu untuk mencatat rekod dunia yang baharu. Lebih menarik, remaja lelaki berkenaan turut menyimpan dua batang pensel yang pernah menjadi milik Ratu Elizabeth II.
"Ibu bapa saya membeli set dua batang pensel ini pada harga £400 (RM2,154). Pemerintah Britain berkenaan pernah menggunakan pensil ini," kata Tushar.
"Saya juga memiliki pensel berbau wangi, bertopi dan alat tulis berkenaan yang dihasilkan secara buatan tangan," tambahnya.
Tushar bercita-cita mahu memecahkan rekod dunia koleksi pensel paling banyak milik Emilio Arenas dari Uruguay.
Arenas memiliki sebanayak 14,552 batang pensel dari 60 buah negara pada bulan Ogos 2011. Dia mula mengumpul pensil sejak 60 tahun lalu bermula pada 1956. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2pf8uBjM6 
Hakcipta terpelihara 

39 ekor ikan paus mati terdampar di New Zealand



BEBERAPA ekor ikan paus pilot terdampar di sebuah pantai di Wellington, New Zealand semalam.- AFP


WELLINGTON - Sebanyak 39 ekor ikan paus pilot ditemui mati selepas terdampar di sebuah pantai terpencil di New Zealand, kata beberapa pegawai konservasi semalam.
Jabatan Konservasi New Zealand memberitahu, semua paus tersebut dikesan terdampar di pantai Golden Bay, Pulau Selatan sejak kelmarin.
Pengurus Jabatan berkenaan, John Mason berkata, sebanyak 12 ekor paus itu mati secara semula jadi dengan bakinya dihapuskan.
"Kami mendapati paus-paus itu terdampar terlalu jauh dari laut untuk diapungkan semula," kata Mason
Insiden paus pilot terdampar biasa berlaku di New Zealand.
Setakat ini saintis-saintis masih keliru berhubung punca mamalia itu berenang secara beramai-ramai ke daratan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pf8HD8VB 
Hakcipta terpelihara 

Monday, January 6, 2014

Lima anak kahwin serentak

Lima anak kahwin serentak5 Januari 2014Ariffin (kiri) dan Fatimah (kanan) menunjukkan isyarat ‘lima’ dan ‘bagus’ sebagai tanda lima anaknya mendirikan rumah tangga.

ALOR SETAR - Majlis perkahwinan anak pasangan, Che Ariffin Abd Manaf, 54, dan Sharifah Fatimah Syed Hussain, 50, di Seri Aman, Lorong Seri, dekat sini, dimeriahkan dengan sambutan lima menantu serentak.
Kelima-lima anak pasangan, Farhana, 28, Mohd Farhan, 25, Mohd Syafiq, 24, Mohd Anis, 22, dan Mohd Anas, 20, dikatakan menyuarakan hasrat mereka untuk mendirikan perkahwinan secara serentak.
Lima adik beradik berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila diarak bersama pasangan masing-masing sejauh 200 meter (m) sehingga ke kediaman mereka dalam cuaca panas terik.

Suap air Yasin

Kira-kira jam 1 petang, perarakan dimulakan dengan anak kedua dari tujuh beradik, Farhana bersama pasangannya, Mohd Shafarin Mansor, 29, diikuti adiknya, Farhan dengan Fatin Fadlilah Mohd Salleh, 25.
Kemunculan Mohd Syafiq dan Syazwani Ghazali, 24, dituruti Mohd Anis bersama Siti Aishah Mohd Noor, 21, serta tidak ketinggalan Mohd Anas dengan isterinya, Nurul Nadjua Izda Mohd Izham, 19.

Kesemua pasangan pengantin dilihat segak mengenakan persalinan berwarna kelabu, manakala ibu bapa mereka sedondon berbaju biru semasa meraikan kehadiran tetamu.

Lebih menarik perhatian, apabila bapa, Ariffin dan ibu, Sharifah, lima adik beradik berkenaan menyuapkan air bacaan Yasin kepada setiap anak dan menantu baru mereka.

Tanda terima menantu

Ariffin berkata, gimik memberi anak dan menantunya minum air Yasin diadakan buat julung kalinya sebagai cara dia gembira menerima kehadiran warga baru dalam keluarga mereka.

Katanya, dia sengaja merancang dan melakukan acara gimik sedemikian sebagai tanda dirinya dan isteri merestui perkahwinan lima anaknya bersama pasangan pilihan hati mereka.
Lebih menggembirakan, katanya, apabila majlis perkahwinan anak menantunya diserikan lagi dengan kehadiran lebih 6,000 tetamu termasuklah ahli keluarga, saudara mara mahupun kenalannya.

Walaupun berhabis kira-kira RM100,000, namun ia berbaloi apabila anaknya gembira, dan puas hati dapat memuaskan hati tetamu.
Teman sekampung jadi pilihan
Berbanding pasangan lain, anak keempat dari tujuh beradik, Mohd Syafiq dan Syazwani antara menjadi tumpuan ramai sebab tinggal sekampung, manakala jarak kediaman mereka hanyalah sekitar 100 meter (m).

Ketika menceritakan detik pertemuan mereka, pasangan terbabit ketawa, malah kelihatan tidak menyangka jodohnya antara mereka kerana ia seakan-akan cinta pandang pertama.
“Saya sering membawa anak saudara bersiar-siar, manakala isteri juga rapat dengan anak saudaranya. Rasanya hati saling terpaut apabila mata bertentang sewaktu dua-dua kami membawa anak saudara keluar berjalan,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya berkawan dengan Syazwani yang merupakan pelajar jurusan Syariah Kolej Universiti Insaniah (Kuin) selama setahun, sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Menurutnya, dia terpikat pada sifat bertanggungjawab, penyayang dan keibuan ditonjolkan pasangannya selama perkenalan mereka.

Pelajaran tak diabaikan
Manakala, pasangan termuda, Mohd Anas bersama Nurul Nadjua Izda, 19, menyatakan usia mereka yang muda bukan halangan untuk mendirikan rumah tangga, sebaliknya mereka sudah bersedia.

Nurul berkata, walaupun telah mempunyai tanggungjawab sendiri terhadap suami, namun ia tidak sekali-kali dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran.
Meskipun, Anas sudah bekerja, dan Nurul Nadjua Izda masih belajar di tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman namun ia tidak menjadi penghalang.

Katanya, dia akan memastikan dirinya menjalankan tugasnya sebagai isteri sebaik mungkin, malah perkahwinan tersebut diharap mampu menjadi pendorong semangatnya untuk lebih berjaya.

Majlis perkahwinan lima pasangan terbabit diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Adun Derga, Tan Kok Yew dan Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya.

AS terus beku

AS terus bekuBeberapa bangunan dilitupi salji hingga menghentikan segala operasi.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Penduduk Amerika Syarikat (AS) diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi suhu paling sejuk sehingga mencecah -16 Celcius sejak tempoh 40 tahun.

Menurut pakar, hampir 140 juta penduduk akan dilanda suhu sejuk -17 Celcius pada Rabu ini.

Penyelaras Meteorologi Weather Channel, Tom Moore berkata kepada Daily Mail, cuaca baru dikenali sebagai 'pusaran kutub' kini mengancam untuk membawa suhu rendah ke barat tengah negara itu.

"Ia menjadi suhu paling sejuk pada musim ini, berbahaya kerana mempunyai angin yang mengancam nyawa. Dalam keadaan itu, kulit yang terdedah akan mengalami serangan gigitan embun beku dalam tempoh hanya lima minit," katanya.

Pusaran kutub akan menghantar udara sejuk dari Kutub Utara ke AS, sehingga ke Pantai Teluk. Manakala, salji dijangka melanda Ahad ini di barat tengah dan mampu melitupi sehingga 25 sentimeter di sesetengah kawasan.

Ramalan suhu mengejutkan juga dijangka melanda, International Falls di Minnesota dengan -1 Celcius dan bawah -9 Celcius di Indianapolis serta Chicago.

Pesta tangkap ikan dalam ais

Pesta tangkap ikan dalam ais6 Januari 2014

Ratusan orang ramai berkumpul untuk menangkap ikan dengan menggunakan tangan. 

SEOUL - KOREA SELATAN. Walaupun dalam cuaca sejuk, ribuan penduduk Korea Selatan tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam pertandingan memancing di kawasan ais.

Menurut laporan Daily Mail, menariknya, pemancing perlu menggali lubang ais sedalam 40 sentimeter dan menangkap seberapa banyak ikan menggunakan rod, umpan tradisional atau pun tangan.

Festival Trout Gunung Hwacheon di wilayah Gangwon diadakan setiap Januari turut menampilkan aktiviti sampingan seperti gelongsor ais, bola sepak ais dan mencipta patung salji.

Ritual kesyukuran budaya Sunda

TARIAN kesenian masyarakat Sunda turut dipersembahkan kepada
 orang ramai yang hadir memeriahkan acara adat Serentaun.

HIDUP masyarakat Indonesia yang terdiri daripada pelbagai suku dan keturunan kukuh bersendikan adat.
Bangsa ini sangat teguh melestarikan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Kepada masyarakat Sunda di Kampung Sindangbarang, daerah Taman Sari, Bogor, Jawa Barat misalnya, setiap kali tibanya musim menuai padi, ia merupakan hari yang sangat istimewa buat mereka.
Acara yang dikenali sebagai Serentaun di kalangan masyarakat Sunda amat penting untuk diraikan secara besar-besaran.
Baru-baru ini, di Kampung Sindangbarang, kemeriahan upacara Serentaun diadakan penuh tradisi.
Belasan lelaki berbaju hitam berbaris rapi sambil memikul gabah (biji padi yang belum diproses menjadi beras) dan berjalan sambil diiringi permainan alat muzik tradisional Sunda.
Sementara di belakang lelaki-lelaki itu pula, ratusan warga lain menuruti mereka dengan membawa tandu berisi pelbagai hasil pertanian yang diambil dari sawah dan kebun.
Tidak ketinggalan, ribuan anggota masyarakat leka menyaksikan acara itu di sepanjang jalan yang dilalui.
Untuk memberikan pemahaman yang mudah kepada pembaca, acara Serentaun sering disamakan dengan sambutan 'Thanksgiving' yang disambut oleh masyarakat di Barat.
Serentaun yang diwarisi masyarakat Islam Sunda ialah untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah atas limpahan rezeki melalui hasil-hasil pertanian mereka.
Memandangkan acara Serentaun semakin jarang diadakan, maka sambutan yang diadakan di Kampung Sindangbarang baru-baru ini menarik perhatian ribuan orang untuk menyaksikannya termasuk pelancong asing.
Selain di Kampung Sindangbarang, Bogor, tiga daerah lainnya di tanah Pasundan (wilayah tempat asal Suku Sunda) yang secara rutin masih menganjurkan acara Serentaun ialah di Desa Cigugur di Kabupaten Kuningan, Desa Ciptagelar di Sukabumi, dan Desa Cisungsang di Lebak.
Masyarakat Sunda di daerah-daerah tersebut menganjurkan acara tersebut pada setiap bulan Muharam dalam kalendar Islam.
Menurut Ketua Adat Kampung Sindangbarang, Akhmad Mikami Sumawijaya, acara Serentaun di kampung tersebut juga pernah melalui era yang gelap apabila tiada sebarang penganjuran dibuat selama 36 tahun.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana, selepas pemimpin adat sebelum beliau meninggal dunia, tidak ada mana-mana individu yang mahu mengambil inisiatif meneruskan acara tradisi masyarakat Sunda itu.
"Namun sejak 2004 setelah saya dipilih sebagai pemimpin adat, Serentaun kembali kami rayakan. Kami tidak ingin adat yang telah ada sejak awal abad ke-12 ini hilang begitu saja," kata Akhmad membuka cerita.
Akhmad berkata, Serentaun tidak sekadar acara tahunan, sebaliknya, ia merupakan ruang untuk masyarakat Sunda mengeratkan silaturahim selain mengajak generasi muda supaya mencintai budaya.
Pada acara itu juga, kesemua hasil pertanian akan dibawa dan diletakkan di alun-alun atau lapangan kampung tersebut.
Sebaik perjalanan membawa hasil pertanian itu berakhir, Akhmad bersama para sesepuh adat lain dan seluruh masyarakat Sunda Kampung Sindangbarang akan sama-sama berdoa memohon kesejahteraan.
Selanjutnya, secara berganti-ganti, Akhmad dan sesepuh adat lain memasukkan gabah kering ke dalam rumah tradisional Sunda yang dijadikan sebagai lumbung (setor simpanan).
Gabah-gabah yang disimpan itu merupakan simbol persediaan bahan makanan untuk tempoh setahun akan datang.
Ketika gabah-gabah dimasukkan ke dalam lumbung, orang ramai berebut-rebut menikmati hasil pertanian yang dibawa oleh petani.
Ketika ini, wajah-wajah kegembiraan terpancar pada muka warga yang memeriahkan acara Serentaun.
"Perbuatan merebut-rebut hasil pertanian pula membawa simbol bahawa hasil pertanian yang ada di desa juga dirasakan oleh seluruh warga," kata Akhmad lagi.
Kebahagiaan orang ramai masih belum berakhir kerana di satu sudut lain, kumpulan kesenian akan menghiburkan mereka dengan tarian-tarian tradisional masyarakat Sunda dan antara kesenian yang menarik perhatian ialah tarian Jaipong.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_03/Ritual-kesyukuran-budaya-Sunda#ixzz2pZRPiHg1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gel makanan elak obesiti dicipta


LONDON 5 Jan. - Saintis Britain berjaya mencipta sejenis gel yang boleh dimakan dan menyebabkan pemakannya rasa kenyang, usaha terbaharu yang dilihat untuk membendung gejala obesiti dalam kalangan penduduk negara ini.
Menurut akhbar Sunday Telegraph, penyelidik Universiti Birmingham membuat penemuan tersebut ketika mencampurkan pelbagai jenis bahan makanan.
Antara bahan tersebut adalah rumpai laut, kanji dan kulit oren, untuk membentuk gam terlarut yang boleh digunakan sebagai bahan pemekat makanan biasa.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Food Hydrocolloids itu, gam tersebut mula mengembang dan bercampur untuk membentuk sejenis gel apabila terdedah kepada asid di perut.
Saintis kini melakukan kajian untuk membangunkan bahan tersebut supaya boleh digunakan bersama makanan harian.
Ketua projek tersebut, Jennifer Bradbeer berkata, penemuan itu boleh membantu menangani krisis obesiti negara ini di mana 64 peratus orang dewasa United Kingdom (UK) kini dikategorikan sebagai obes atau gemuk. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_11/Gel-makanan-elak-obesiti-dicipta#ixzz2pZNcDqqy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keunikan ‘batu bernyawa di Romania’


Trovants-growing stonesBatu-batu Trovants pelbagai saiz dan bentuk di Muzium Perlindungan Trovants Nasional. - AGENSI

ROMANIA merupakan sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian dan terkenal dengan keunikan budaya, landskap serta monumen tinggalan sejarah ketamadunan yang mengagumkan.
Selain itu, Romania juga mempunyai satu lagi daya tarikan yang boleh dikategorikan sebagai unik, batuan alam yang luar biasa.
Buktinya, negara itu memiliki Trovants, sejenis batu yang berupaya membesar dan ‘berpindah’ dari satu tempat ke satu tempat dengan sendiri atau istilah lebih mudahnya, ‘batu bernyawa’.
Trovants adalah satu fenomena biologi kerana ia terbentuk akibat daripada kejadian gempa bumi (aktiviti seisemik) yang memunculkan batuan tersebut sejak enam juta tahun yang lalu.
Perkataan Trovants sebenarnya adalah istilah biologi yang digunakan oleh penduduk Romania yang merujuk kepada ‘sedimen pasir’ yang menyatu dan membentuk batu.
Proses pembesaran Trovants berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah kandungan garam mineral dan air.
Trovants akan membesar ketika terkena air dan boleh mencapai sehingga enam ke 10 meter atau lebih.
Banyak teori yang diberikan sama ada dari sudut ilmiah hinggakan yang bersifat mistik tentang keanehan batuan itu.
Sehingga kini tiada satu pun teori berjaya dibuktikan, tetapi saintis yakin Trovants boleh membesar dengan bantuan air yang bertindak balas dengan garam mineral yang terkandung di dalamnya.
Ini kerana ketika permukaan batuan menjadi basah, kandungan kimia daripada garam mineral tersebut akan tersebar dan menekan pasir yang menjadikan batu menjadi bertambah besar.
Teori batuan tersebut membesar dapat dibuktikan apabila Trovants berkembang membentuk lingkaran mirip seperti akar pokok.
Menariknya, selain berbentuk mirip akar pokok, Trovants yang membesar juga menghasilkan reka bentuk yang sangat menarik seperti bentuk bulat, elips atau menyerupai angka lapan.
Penduduk tempatan dikatakan telah menyedari sifat batuan aneh itu lebih daripada 100 tahun lalu dan menggunakannya sebagai batu nisan dan bahan pembinaan.
Misteri Trovants kini menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Romania dan Muzeul Trovantilator (Muzium Perlindungan Trovants Nasional).
Muzium itu ditubuhkan pada 2004 dan kini dilindungi Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_02/Keunikan-batu-bernyawa-di-Romania#ixzz2pZLxIVbT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monyet salji berendam dalam air panas


TOKYO 5 Jan. - Sekumpulan monyet salji Jepun gemar berendam dalam kolam air panas di Taman Monyet Jigokudani Yaen-koen, Nagano untuk melindungi diri mereka daripada kesejukan di kawasan pergunungan salji itu.
Monyet salji atau nama saintifiknya, Macaca fuscata itu dikatakan mempelajari kaedah tersebut kira-kira 50 tahun lalu dengan mengajuk perbuatan manusia berendam dalam air panas mendidih yang keluar dari rekahan tanah di kawasan yang dikenali sebagai Hell’s Valley.
Untuk mengelakkan daripada sebarang kekacauan, pihak berkuasa taman mewujudkan satu kolam air panas khas untuk monyet salji terbabit yang dibina jauh daripada kawasan pengunjung.
Taman monyet itu merupakan habitat kepada kira-kira 200 ekor monyet yang mempunyai bulu tebal berlapis yang melindungi mereka daripada kesejukan pada suhu serendah 15 darjah Celcius di bawah paras beku.
Spesies monyet bijak itu juga berkemahiran membuat bola salji dan gemar bermain dengannya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_10/Monyet-salji-berendam-dalam-air-panas#ixzz2pZLHtUlK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidak sedar kepala tertusuk paku


Imej imbasan tomografi berkomputer (CT) yang menunjukkan paku tersebut. - Agensi
JIANGSU 5 Jan. - Seorang lelaki tidak menyedari sebatang paku tertusuk ke dalam kepalanya ketika menggunakan sebuah mesin pemotong bagi menghiasi rumahnya, di sini baru-baru ini.
Yang Yi Kui, 55, hanya menyedari keadaan itu beberapa hari selepas paku tersebut tertusuk ke dalam kepalanya kerana rasa tidak sihat.
Berikutan itu, Yi Kui pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil imbasan tomografi berkomputer (CT) mendapati terdapat sebatang paku sepajang 7.6 sentimeter di dalam kepalanya.
Paku itu terletak berhampiran soket mata kirinya, namun tidak sedikit pun menjejaskan penglihatannya.
Pasukan doktor menjalankan pembedahan ke atas Yi Kui bagi mengeluarkan paku tersebut daripada kepalanya.
Jelas lelaki itu, kejadian tersebut berlaku ketika dia menggunakan mesin untuk memotong sekeping papan yang berpaku.
“Mesin memotong itu melantunkan paku tersebut dengan kelajuan sama seperti peluru dikeluarkan daripada pistol, namun saya tidak menyangka ia tertusuk ke kepala saya kerana saya hanya ternampak lubang kecil.
“Saya sangka, lubang itu terhasil akibat lantunan paku tersebut," katanya seperti yang dipetik oleh laman web berita Sky News.
Yi Kui kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan susulan di hospital. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_09/Tidak-sedar-kepala-tertusuk-paku#ixzz2pZKvu4AM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Letusan gunung berapi Toba cetus pelbagai teori misteri


Perbandingan tahap letusan antara gunung berapi Toba dan beberapa kejadian yang dicatatkan dalam sejarah. - AGENSI. Lapisan debu gunung berapi Toba yang ditemukan oleh ahli geologi Barat di sebuah kampung di India yang terletak 1,609 kilometer daripada lokasi letusan. - AGENSI
LETUSAN gunung berapi merupakan antara bencana yang paling digeruni oleh semua penghuni di muka Bumi ini ekoran kesannya yang menggerunkan dan berpanjangan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana beberapa kejadian letusan gunung berapi sebelum ini, meragut banyak nyawa serta mengakibatkan kemusnahan yang teruk ke atas tamadun manusia.
Kebanyakan kejadian letusan yang berlaku, berjaya direkodkan sehingga menjadi catatan sejarah yang penting untuk tatapan masyarakat pada masa kini.
Satu peristiwa letusan yang disifatkan paling besar dalam sejarah dunia adalah letusan Toba di Sumatera Utara, Indonesia yang berlaku kira-kira 75,000 tahun dahulu.
Sehingga kini, misteri kejadian itu masih belum terungkai serta mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan saintis pada hari ini.
Teori saintis yang paling mencetuskan kontroversi berdasarkan bukti DNA mendapati, kesan letusan gunung itu yang mencapai Tahap Letusan Gunung Berapi (VEI) ke-8 dan menghamburkan abu serta batu setinggi 42 kilometer ke udara.
Ia menyebabkan umat manusia hampir pupus apabila 60 peratus daripada 60 juta manusia maut akibat kesan gas dan abu yang dilepaskan.
Selain itu, ada kajian saintis menyatakan, letusan besar Toba mengakibatkan perubahan iklim dengan terjadinya musim sejuk volkanik selama 10 tahun disebabkan abu yang dihamburkan tersebar sehingga ke benua Eropah dan Afrika Timur.
Musim sejuk itu terhasil akibat campuran gas sulfur dioksida dengan air, lalu membentuk asid sulfurik seperti yang berlaku pada 1992 apabila suhu dunia menurun kepada 0.4 darjah celsius ekoran letusan Gunung Berapi Pinatubo di Filipina setahun sebelum itu.
Teori pertama dicatatkan pada 1949 apabila ahli geologi Belanda, van Bemmelen mendapati, Danau Toba atau Tasik Toba seluas 100 kilometer panjang dan 30 kilometer lebar, dikelilingi oleh lapisan batu ignimbrite iaitu bahan yang dihamburkan oleh Gunung Berapi Toba.
Malah, kedalaman Danau Toba mencapai 500 ratus meter dan menjadikan ia antara tasik paling dalam di dunia.
Hasil penemuan Bemmelen, kajian selepas itu turut menemukan batu yang sama di Malaysia, India dan beberapa lokasi lain, sekali gus mencetuskan teori yang menunjukkan letusan tersebut berlaku dengan kesan yang dahsyat.
Letusan berkenaan turut dipercayai menghamburkan bahan volkanik sebanyak 2,800 kilometer padu, dengan 800 kilometer padu batu ignimbrit dan 2,000 kilometer padu abu volkanik.
Malah, ada teori menyatakan sebuah kiub yang dihamburkan ketika letusan itu sebesar negara Singapura!
Abu yang dihamburkan turut meliputi seluruh negara Malaysia ketika itu dengan ketebalan 9 meter dan di India setebal 6 meter dengan jarak sebaran abu itu mencapai kira-kira 3,000 kilometer.
Antara kesan lain yang menjadi kajian saintis termasuk pembentukan Pulau Samosir di tengah-tengah Danau Toba yang merupakan kawasan berair di kelilingi gunung berapi.
Pulau terbabit dipercayai terbentuk ekoran tekanan dan pergerakan magma di bawah tasik tersebut.
Bagaimanapun, semua teori berkenaan masih boleh dipertikaikan dan kajian berterusan dijalankan oleh beberapa pakar geologi bagi mengesahkan kesemua pendapat tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu, persidangan membabitkan kira-kira 800 ahli geologi dan geofizik di Medan baru-baru ini memberi amaran tentang kemungkinan Gunung Toba boleh meletus pada bila-bila masa.
Teori tersebut dikukuhkan lagi dengan rekod kejadian letusan gunung berapi pada era moden dengan catatan 83 kali sepanjang tahun lalu berbanding rekod sebelum ini iaitu 82 kali pada 2010.
Presiden Pakar Geologi Indonesia, Rovicky Dwi Putrohari berkata, simpanan magma di gunung itu dikesan berada dalam tanah pada jarak 20 hingga 100 kilometer dan pihaknya masih menilai jumlah magma yang terkumpul.
Jelasnya, kejadian gempa bumi di Indonesia boleh mengaktifkan semula aktiviti magma di bawah Gunung Toba dan ia boleh menyebabkan letusan berlaku pada bila-bila masa.
"Kami masih menilai sejauh mana ancaman yang boleh berlaku jika Toba meletus semula.
"Walaupun ia dikategorikan sebagai gunung berapi tidak aktif, pemantauan secara rapi tetap dijalankan untuk menghadapi segala kemungkinan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_07/Letusan-gunung-berapi-Toba-cetus-pelbagai-teori-misteri#ixzz2pZJrvBLR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gunung Sinabung meletus lagi



PENDUDUK kampung di luar zon bencana melihat letusan Sinabung pada Rabu lalu. - AFP


KARO - Pihak berkuasa Indonesia meluaskan zon bahaya di sekitar sebuah gunung berapi yang meletus di barat Indonesia semalam selepas gunung berkenaan menghamburkan gas lebih jauh daripada jangkaan sebelum ini.
Letusan Gunung Sinabung sejurus selepas tengah malam itu mencetuskan perpindahan mengejut penduduk di sekitarnya.
Sejumlah lelaki dilihat memecut motosikal mereka dari kaki gunung itu dengan diikuti beberapa buah trak yang membawa wanita dan kanak-kanak.
Beberapa pegawai menjerit memberi amaran tentang bahaya batu dan serpihan gunung berapi itu yang jatuh seperti air hujan.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, lebih 50 letusan Gunung Sinabung yang terletak di Sumatera Utara itu direkodkan sejak kelmarin.
Gunung berapi itu turut mengalirkan lahar sejauh 5 kilometer (km) di bahagian tenggara lerengnya.
"Sinabung memuntahkan awan gas dan lahar setinggi 4,000 meter dalam beberapa letusan semalam tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan," kata Sutopo.
Menurutnya, zon bahaya di tenggara Sinabung ditambah daripada 5km menjadi tujuh km dari kawah gunung berapi berkenaan.
Sejumlah anggota tentera menyertai operasi menyelamat di kampung Jewara dan Pintu Bedsi yang terletak sekitar 7km dari kawah gunung berkenaan.
Lebih 20,000 orang telah dipindahkan dari perkampungan di sekitar gunung berapi berkenaan sejak pihak berkuasa meningkatkan amaran letusan Sinabung pada tahap tertinggi November tahun lalu.
Gunung berapi setinggi 2,600 meter itu telah beberapa kali meletus sejak September 2013. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pYwGehnK 
Hakcipta terpelihara 

Anak lembu dua kepala lahir di Maghribi



ANAK lembu berkepala dua ini dilahirkan di sebuah kampung di utara Mahgribi.


SEFROU - Penduduk di utara Maghribi gempar apabila seekor anak lembu berkepala dua telah dilahirkan baru-baru ini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Anak lembu itu yang dilahirkan pada 30 Disember lalu diberi nama Sana Saida oleh tuannya. Nama berkenaan bermaksud 'Selamat Tahun Baru'.
Sejak dilahirkan, haiwan ganjil itu menjadi perhatian ramai terutamanya dalam kalangan penduduk setempat di sini.
Pada setiap hari, ramai penduduk tempatan yang berkunjung ke ladang tempat anak lembu itu dilahirkan di kampung ini.
Mereka ingin melihat sendiri rupa sebenar anak lembu istimewa tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2pYw1m9w5 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, January 5, 2014

Kemaruk minum cat

Seorang ibu beranak dua mengakui mempunyai tabiat pelik apabila kemaruk menelan cat yang dianggap ‘panas dan lebih berkrim daripada susu.’
Agensi Alabama Heather Beal, 43, mengakui minum hampir tiga gelen cat sejak mula menggemari cat kira-kira tiga tahun lalu.

Pengambilan bahan kimia seperti itu boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem saraf utama sama seperti dialami penagih alkohol.
Bagaimanapun, penyalahgunaan bahan kimia juga boleh mengakibatkan halusinasi, muntah, gangguan pertuturan dan mual.

“Memang sedap, rasanya seperti susu bila ditelan cuma ia mempunyai bau kimia terlalu kuat yang bagi saya amat sempurna,” katanya.

Dia mengakui lebih sukakan cat dalam bentuk dakwat digunakan untuk pen penanda.
Foto
Malah, setiap hari dia mencabut penutup sebatang pen penanda untuk memuaskan ketagihannya.

“Saya memilih dakwat pen penanda selepas mencuba beberapa jenis cat lain termasuk yang dijual secara pukal dalam tin, namun tidak cukup sedap untuk memuaskan kehendak saya,” katanya.
Heather kemudian menunjukkan bagaimana dia menggoncang pen penanda untuk memastikan dakwatnya sekata sebelum terus memasukkan hujung pen ke dalam mulut.

Matanya juga kelihatan menggerenyet ketika menikmati segelas kecil cat putih.

Heather berkata, tabiatnya itu bermula selepas kematian ibunya dan sehingga kini tidak siapapun pernah melihatnya minum cat, lebih-lebih lagi dua anaknya.

Bagaimanapun, Heather kini cuba mengatasi ketagihan itu selepas dimaklumkan doktor ginjalnya mengalami kerosakan.

Malah, dia berazam terus berhenti menelan cat selepas ditanya bagaimana perasaannya jika anaknya juga memulakan tabiat itu.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Bahan, ketagihan bahan terlarang boleh mengakibatkan seseorang hilang keupayaan berjalan, bercakap dan berfikir.

Tanda lain yang dapat dilihat jelas termasuk hidung berdarah, mata merah selain perubahan sikap ketara dan ganas akibat kesan sampingan terhadap otak pengguna.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Henti merokok, tidur nyenyak

Henti merokok, tidur nyenyakSeorang lelaki merokok ketika dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di Beijing, China, suatu amalan yang mengganggu tidur. [FOTO AP]

 London: Lupakan pil tidur atau senaman untuk membantu mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam kerana penyelidik menyatakan taktik terbaik adalah dengan berhenti merokok.

Penyelidik mendapati merokok boleh mengganggu tidur yang membawa kepada keadaan seperti kemurungan dan kegelisahan.
>Mereka menyatakan tabiat itu mengganggu sistem jam tubuh khususnya paru-paru dan otak. 
Akibatnya, perokok tidak dapat tidur nyenyak dan keadaan itu boleh menyebabkan kemerosotan kognitif, gangguan perasaan, kemurungan dan kegelisahan.

“Kajian ini mendapati laluan biasa yang menyaksikan asap rokok memberi kesan kepada pulmonari dan saraf,” kata Dr Irfan Rahman dari Pusat Perubatan Universiti Rochester, New York.

Sebabkan keradangan

Dr Rahman dan pasukannya mendapati, asap tembakan memberi kesan kepada ‘sistem jam’ tubuh khususnya paru-paru dengan menyebabkan keradangan dan dengan tahap kemurungan aktiviti otak.
Mereka dapati, merokok dalam masa singkat pun mengurangkan molekul dikenali sebagai SIRTUIN1 dan pengurangan ini mengubah suai tahap protein yang mengawal keadaan tikus makmal.

Pengurangan sama dilihat pada tisu paru-paru perokok. Penyelidikan membuat penemuan menggunakan dua kumpulan tikus.

Satu kumpulan didedahkan kepada udara bersih saja, dan sekumpulan lagi didedahkan asap beberapa batang rokok sepanjang hari.

Penyelidik memantau corak aktiviti harian haiwan itu dan mendapati tikus dianggap tidak aktif berikutan pendedahan kepada asap rokok.

Mereka juga mendapati, paras rendah molekul SIRTUIN1 boleh menyebabkan gangguan pada tikus dan manusia yang terdedah kepada asap rokok. Namun, mereka juga berkata keadaan itu boleh diubah.

“Cuma jika anda mahu laksana satu azam Tahun Baru, berhenti merokok,” kata Ketua Editor The FASEB Journal, Gerald Weissmann, penerbit artikel itu.

Dr Rahman menegaskan, hasil kajian akan membuka jalan untuk rawatan memulihkan fungsi paru-paru dan otak di kalangan perokok, sekali gus memperbaiki tidur mereka.

“Hasil kajian menunjukkan nilai terapeutik menyasarkan laluan ini dengan bahan yang boleh memperbaiki fungsi paru-paru dan otak perokok.

“Kami jangka penemuan ini akan menjadi asas kepada perkembangan masa depan dalam rawatan kepada pesakit yang mengalami kecederaan dan penyakit berkaitan asap tembakau,” katanya.
AGENSI

Bebola misteri petanda gempa

Bebola misteri petanda gempaBebola misteri yang menjadi petanda gempa bumi.

 Quebec: Ia dikaitkan dengan UFO (Objek Terbang Tidak Dikenali) dan halusinasi serta dianggap sebagai petanda dunia akan kiamat.

Saintis kini mendakwa berjaya mendedahkan tanda tanya kewujudan bebola terbang misteri dikenali sebagai ‘cahaya gempa bumi.’

Cahaya itu muncul dalam pelbagai bentuk sebelum atau ketika gempa bumi, mungkin petanda amaran awal.

Sebagai contoh, beberapa ketika sebelum gempa bumi L’Aquila, Itali pada 2009, ada penduduk melihat kerlipan cahaya 10 sentimeter di atas batu berturap Francesco Crispi Avenue di pusat bandar bersejarah di situ.

Pada 2012, satu bebola biru yang jatuh dari langit mengejutkan penduduk Riacho dos Pocos, negeri Maranhao di Brazil tetapi ia tidak disusuli gempa bumi.

Pada 1988, bebola cahaya terang ungu merah jambu bergerak menerusi udara di sepanjang Sungai St Lawrence berhampiran bandar ini, 11 hari sebelum satu gempa bumi kuat berlaku.

Pada 1906, kira-kira 100 kilometer di barat laut San Francisco, sepasang suami isteri melihat aliran cahaya bergerak di sepanjang bumi dua malam sebelum gempa bumi kuat yang memusnahkan kebanyakan bandar itu.
Cahaya gempa bumi jarang dilihat kemungkinan muncul pada atau berhampiran perselisihan kerak bumi yang bersempadan oleh gelinciran biasa berbanding gelinciran lain.

Pembawa caj elektrik bergerak diaktifkan tekanan, digelar lubang positif, terbang pantas di sepanjang kecerunan tekanan.

Ketika sampai di permukaan, ia mengionkan molekul udara dan menjana cahaya yang dilihat.

Awan aneh di luar sistem suria

Awan aneh di luar sistem suriaImej yang dirakam teleskop Hubble menunjukkan awan aneh di dua planet luar sistem suria. 

Los Angeles: Ahli kaji bintang mengesan awan aneh di atmosfera dua planet di luar sistem suria, dengan dua kertas penyelidikan menunjukkan jenis mendung di dunia asing itu mungkin sebenarnya fenomena biasa berbanding yang disangka sebelum ini.

Namun ia bukanlah awan yang sama dengan yang ada di Bumi dan besar kemungkinan terhasil daripada bahan seperti zink sulfida atau potassium klorida.

Awan di Bumi, sebaliknya mengandungi gabungan titisan air dan ais.

Dua pasukan penyelidik berasingan memeriksa data daripada Teleskop Angkasa Lepas Hubbel berkaitan dengan planet luar sistem suria GJ 1214b dan GJ 436b.

Terletak 42 tahun cahaya dari Bumi, GJ 1214b adalah contoh utama planet super-Bumi manakala GJ 436b pada jarak 36 tahun cahaya adalah Neptun panas.

Biasa wujud

Super-Bumi adalah planet dengan jisim antara Bumi dan Neptun manakala Neptun panas, seperti namanya, adalah versi panas planet Neptun. Ia mengekalkan orbit dekat dengan bintang tidak sampai satu unit astronomi secara kasar jarak purata dari Bumi ke matahari, atau sekitar 144 juta kilometer.
“Kami tahu awan mesti ada untuk sebahagian planet, tetapi kini kami ada keputusan menunjukkan awan itu sebenarnya biasa wujud,” kata pakar astronomi di Institut Teknologi California di Pasadena, Heather Knutson, yang juga penulis utama kajian mengenai GJ436b kepada Space.com.

Kaji komposisi planet

Komposisi planet dikaji apabila ia melalui bintang. Apabila transit itu berlaku, molekul yang membentuk atmosfera eksoplanet itu menghalang bahagian berbeza spektra cahaya.

Dengan merakamkan seksyen mana yang membuat laluan dan yang mana tidak, pakar astronomi boleh menyimpulkan apa yang membentuk planet berkenaan.

Bagi GJ 1214b, pemerhatian itu diketahui kerana tidak mendedahkan petanda sebarang atmosfera langsung.

Ia bermakna awan tebal menghalang cahaya atau planet berkenaan dihasilkan daripada molekul berat seperti air, dengan graviti menekan bahan itu menjadi lapisan nipis dan mampat. AGENSI

Saturday, January 4, 2014

Inikah sabun termahal di dunia?

SINAR HARIAN
Inikah sabun termahal di dunia?
Inikah sabun termahal di dunia?
4 Januari 2014
BAR sabun yang dihasilkan oleh perniagaan kendalian keluarga di Lebanon mungkin membuat anda berfikir dua kali untuk mencuci terlalu kerap.

Memetik laporan BBC, sabun itu disalut emas dan serbuk berlian.

Setiap satu bar sabun itu berharga AS$ 2,800 (RM9,200).

Imej kuda gergasi di bandar Jepun



BENTUK imej kuda yang dihasilkan dengan menggunakan kon pain di bandar Hitachinaka semalam.


HITACHINAKA, Jepun - Kira-kira 30,000 kon pain digunakan untuk menghasilkan imej kuda setinggi 20 meter (m) dan selebar 30m di sini semalam.
Kon pain itu merupakan organ yang mengeluarkan debunga pokok pain.
Imej itu dihasilkan bagi meraikan kedatangan Tahun Kuda.
Orang ramai boleh menyaksikan imej tersebut dengan menaiki roda Ferris setinggi 65m. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pNaPVq1X 
Hakcipta terpelihara 

1,058 calon dipilih misi hidup di Marikh


GAMBAR fail menunjukkan penempatan yang akan dibina di planet Marikh oleh calon-calon yang berjaya tiba ke planet tersebut pada tahun 2024.


THE HAGUE - Sebanyak 1,058 calon telah dipilih daripada 200,000 orang yang memohon untuk dilatih dalam misi untuk hidup di planet Marikh, menurut pihak penganjur, Mars One kelmarin.
Kesemua mereka yang berumur di bawah 24 tahun dari 140 buah negara akan berlepas ke planet tersebut pada tahun 2024.
Sebanyak enam pelancaran roket akan membawa mereka ke planet tersebut.
Sebahagian dana yang digunakan untuk membawa mereka ke Marikh adalah dibiayai sebuah program realiti televisyen.
Kesemua mereka akan mengharungi penerbangan sejauh 55 juta kilometer selama enam bulan sebelum tiba di Marikh.
Para peserta itu tidak lagi akan pulang ke Bumi kerana kos untuk penghantaran pulang terlalu tinggi.
Menurut Mars One yang beribu pejabat di Belanda, semua calon itu telah diberitahu tentang pemilihan mereka ke Marikh pada 30 Disember lalu.
Pihak Mars One itu menyatakan, calon itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang terdapat pada diri mereka.
Antara kriteria itu ialah bijak membuat keputusan, bebas dadah dan boleh berbahasa Inggeris.
"Malah, terdapat permohonan satu pasangan yang dibuat menerusi rakaman video yang menunjukkan mereka berada dalam keadaan bogel," kata pengasas bersama Mars One, Bas Landsdorp.
Menurut ketua perubatan Mars One, Norbert Kraft, calon-calon itu akan menjalani ujian fisikal dan emosi dalam tempoh lebih dua tahun. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pNZgYY5U 
Hakcipta terpelihara 

Friday, January 3, 2014

"Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t. .

Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. . "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.

Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut.Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.

Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t. . Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita
mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah s.w.t .

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa yg berada di alam kubur.

Kurang tidur punca otak rosak


STOCKHOLM 2 Jan. - Satu kajian yang dijalankan sebuah universiti Sweden mendapati, individu yang tidak tidur semalaman boleh berdepan kerosakan otak, sama seperti kesan dipukul di bahagian kepala.
Menurut penyelidik, kajian yang dijalankan ke atas belia lelaki yang tidak tidur menunjukkan peningkatan dalam jumlah kimia yang sama seperti kerosakan otak.
Pensyarah Universiti Uppsala, Profesor Christian Benedict berkata, bahan kimia NSE dan S-100B di dalam kepala merupakan petunjuk bagi kerosakan otak contohnya yang mengalami gegaran.
"Menurut penemuan kajian, jumlah dua bahan kimia itu yang berada dalam darah responden, meningkat jika mereka tidak tidur semalaman.
"Semasa tidur, otak menjalankan tugas pembersihan daripada bahan toksik, manakala bahan kimia NSE serta S-100B meningkat sebagai tindak balas kepada bahan-bahan tersebut,'' katanya.
Benedict berkata, penemuannya itu menyokong penyelidikan sebelum ini yang menyatakan bagaimana otak menggunakan waktu tidur untuk melakukan tugas pembersihan.
Selain itu katanya, penemuan tersebut turut menyokong kajian sebelum ini yang mengaitkan kurang tidur dengan risiko mendapat penyakit nyanyuk, Parkinson dan penyakit sclerosis.
Sebagai rumusan tambahnya, penemuan kajian itu menunjukkan tidur yang cukup pada waktu malam amat penting untuk mengekalkan kesihatan otak. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_12/Kurang-tidur-punca-otak-rosak#ixzz2pHo97fep
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berbaris beli ganja di Colorado

BEBERAPA orang berbaris dalam cuaca sejuk untuk membeli ganja di Kelab Kanabis di Breckenridge, Colorado kelmarin.


PUEBLO BARAT, Colorado - Sejumlah orang sanggup berbaris di luar sebuah kedai yang menjual ganja di sini kelmarin.
Situasi yang sama juga kelihatan di Kelab Kanabis di Breckenridge apabila beberapa orang beratur dalam cuaca sejuk untuk membeli ganja.
Penjualan 28 gram ganja untuk setiap penduduk negeri Colorado yang berusia 21 tahun ke atas mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu.
"Saya telah menunggu sepanjang hidup saya untuk membeli ganja seperti ini," kata seorang penduduk, Scott Van Pelt yang berusia 43 tahun di luar Kelab Kush di Denver, negeri ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pHPebXQo 
Hakcipta terpelihara