Pages

Monday, January 6, 2014

Letusan gunung berapi Toba cetus pelbagai teori misteri


Perbandingan tahap letusan antara gunung berapi Toba dan beberapa kejadian yang dicatatkan dalam sejarah. - AGENSI. Lapisan debu gunung berapi Toba yang ditemukan oleh ahli geologi Barat di sebuah kampung di India yang terletak 1,609 kilometer daripada lokasi letusan. - AGENSI
LETUSAN gunung berapi merupakan antara bencana yang paling digeruni oleh semua penghuni di muka Bumi ini ekoran kesannya yang menggerunkan dan berpanjangan.
Sejarah telah membuktikan bagaimana beberapa kejadian letusan gunung berapi sebelum ini, meragut banyak nyawa serta mengakibatkan kemusnahan yang teruk ke atas tamadun manusia.
Kebanyakan kejadian letusan yang berlaku, berjaya direkodkan sehingga menjadi catatan sejarah yang penting untuk tatapan masyarakat pada masa kini.
Satu peristiwa letusan yang disifatkan paling besar dalam sejarah dunia adalah letusan Toba di Sumatera Utara, Indonesia yang berlaku kira-kira 75,000 tahun dahulu.
Sehingga kini, misteri kejadian itu masih belum terungkai serta mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan saintis pada hari ini.
Teori saintis yang paling mencetuskan kontroversi berdasarkan bukti DNA mendapati, kesan letusan gunung itu yang mencapai Tahap Letusan Gunung Berapi (VEI) ke-8 dan menghamburkan abu serta batu setinggi 42 kilometer ke udara.
Ia menyebabkan umat manusia hampir pupus apabila 60 peratus daripada 60 juta manusia maut akibat kesan gas dan abu yang dilepaskan.
Selain itu, ada kajian saintis menyatakan, letusan besar Toba mengakibatkan perubahan iklim dengan terjadinya musim sejuk volkanik selama 10 tahun disebabkan abu yang dihamburkan tersebar sehingga ke benua Eropah dan Afrika Timur.
Musim sejuk itu terhasil akibat campuran gas sulfur dioksida dengan air, lalu membentuk asid sulfurik seperti yang berlaku pada 1992 apabila suhu dunia menurun kepada 0.4 darjah celsius ekoran letusan Gunung Berapi Pinatubo di Filipina setahun sebelum itu.
Teori pertama dicatatkan pada 1949 apabila ahli geologi Belanda, van Bemmelen mendapati, Danau Toba atau Tasik Toba seluas 100 kilometer panjang dan 30 kilometer lebar, dikelilingi oleh lapisan batu ignimbrite iaitu bahan yang dihamburkan oleh Gunung Berapi Toba.
Malah, kedalaman Danau Toba mencapai 500 ratus meter dan menjadikan ia antara tasik paling dalam di dunia.
Hasil penemuan Bemmelen, kajian selepas itu turut menemukan batu yang sama di Malaysia, India dan beberapa lokasi lain, sekali gus mencetuskan teori yang menunjukkan letusan tersebut berlaku dengan kesan yang dahsyat.
Letusan berkenaan turut dipercayai menghamburkan bahan volkanik sebanyak 2,800 kilometer padu, dengan 800 kilometer padu batu ignimbrit dan 2,000 kilometer padu abu volkanik.
Malah, ada teori menyatakan sebuah kiub yang dihamburkan ketika letusan itu sebesar negara Singapura!
Abu yang dihamburkan turut meliputi seluruh negara Malaysia ketika itu dengan ketebalan 9 meter dan di India setebal 6 meter dengan jarak sebaran abu itu mencapai kira-kira 3,000 kilometer.
Antara kesan lain yang menjadi kajian saintis termasuk pembentukan Pulau Samosir di tengah-tengah Danau Toba yang merupakan kawasan berair di kelilingi gunung berapi.
Pulau terbabit dipercayai terbentuk ekoran tekanan dan pergerakan magma di bawah tasik tersebut.
Bagaimanapun, semua teori berkenaan masih boleh dipertikaikan dan kajian berterusan dijalankan oleh beberapa pakar geologi bagi mengesahkan kesemua pendapat tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu, persidangan membabitkan kira-kira 800 ahli geologi dan geofizik di Medan baru-baru ini memberi amaran tentang kemungkinan Gunung Toba boleh meletus pada bila-bila masa.
Teori tersebut dikukuhkan lagi dengan rekod kejadian letusan gunung berapi pada era moden dengan catatan 83 kali sepanjang tahun lalu berbanding rekod sebelum ini iaitu 82 kali pada 2010.
Presiden Pakar Geologi Indonesia, Rovicky Dwi Putrohari berkata, simpanan magma di gunung itu dikesan berada dalam tanah pada jarak 20 hingga 100 kilometer dan pihaknya masih menilai jumlah magma yang terkumpul.
Jelasnya, kejadian gempa bumi di Indonesia boleh mengaktifkan semula aktiviti magma di bawah Gunung Toba dan ia boleh menyebabkan letusan berlaku pada bila-bila masa.
"Kami masih menilai sejauh mana ancaman yang boleh berlaku jika Toba meletus semula.
"Walaupun ia dikategorikan sebagai gunung berapi tidak aktif, pemantauan secara rapi tetap dijalankan untuk menghadapi segala kemungkinan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_07/Letusan-gunung-berapi-Toba-cetus-pelbagai-teori-misteri#ixzz2pZJrvBLR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: