Pages

Saturday, October 26, 2013

Wanita jual dara 12 anak

Bogota: Seorang wanita Colombia ditahan kerana menjual dara 12 anak perempuannya, masing-masing dengan harga £125 (RM632).
Margarita de Jesus Zapata Moreno, 45, ditahan di Bogota awal minggu ini selepas seorang daripada anak perempuanya itu yang kini berusia 16 tahun hamil, kata polis.
Remaja itu berang selepas ibunya mengarahkan dia menggugurkan kandungannya.
Seorang lelaki dikenali sebagai Tito Cornelio Daza, 51, yang dilaporkan bapa kepada bayi dalam kandungan remaja terbabit turut ditahan.
Foto
MARGARITA (dua dari kanan) dan Daza (dua dari kiri) diiringi anggota polis untuk dibawa ke penjara.
Rangkaian televisyen Univision melaporkan Margarita yang mempunyai 14 anak semuanya akan menjual dara mereka sebaik masing-masing mencecah usia 12 tahun.
Dia kemudian memaksa anak-anaknya melacur diri bagi membayar bil kemudahan awam di kediamana mereka.

“Ia sungguh menyedihkan apabila seorang ibu sanggup melakukan demikian,” kata ketua polis Carlos Melendez yang menyiasat kejadian itu kepada wartawan.

“Si ibu mempunyai hubungan dengan pegawai tinggi, tetapi dia memperdaya lelaki lain agar berasmara dengan anaknya apabila mereka berusia 12 tahun,” katanya.

Margarita yang menafikan dakwaan terhadapnya berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan bersalah.

Dia kini ditahan di penjara El Buen Pastro, manakala Daza ditahan di penjara Modelo.

Kedua-duanya dituduh mendera kanak-kanak bawah 14 tahun, selain turut memaksa mereka melacur.

Dua lagi anaknya iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan budak perempuan berusia sembilan tahun, bagaimanapun tidak menjadi pekerja seks dan kini di bawah jagaan petugas khidmat sosial.

Anak perempuannya yang membuat laporan terhadap ibunya kini menerima bantuan psikologi dari Institut Kebajikan Keluarga Colombia. - Agensi

Mumia 1,000 tahun ditemui di Peru



TAPAK makam kaum Wari yang ditemui di Lima, Peru kelmarin.


LIMA - Ahli-ahli arkeologi menemui dua mumia kaum Wari yang berusia lebih 1,000 tahun di sebuah tapak perkuburan kuno di pinggir bandar raya ini kelmarin.
Seorang ahli arkeologi, Gladys Paz berkata, dua mumia tersebut merupakan penemuan paling penting sejak tiga dekad lalu.
"Kedua-dua mumia itu masih berada dalam keadaan baik," katanya kepada agensi berita AFP di makam Huaca Pucllana, dekat daerah Miraflores di sini.
Makam purba tersebut ditemui lima hari lalu tetapi proses mengeluarkan mumia manusia dewasa dan kanak-kanak itu mengambil masa beberapa hari.
Menurutnya, penemuan mumia tersebut adalah yang ketiga daripada 70 buah makam purba yang digali di Peru sejak tahun 1981.
Pada tahun 2010, seorang ahli arkeologi menemui makam seorang wanita yang dikebumikan bersama empat orang anaknya.
Sementara itu, pada tahun 2008, mereka menemui mumia seorang gadis yang berusia 13 tahun.
Kedua-dua mumia yang baru ditemui itu akan dibawa ke makmal untuk ujian selama empat hingga enam bulan bagi menentukan umur dan jantina mereka. - AFP

Lakaran gergasi seluas 4.45 hektar



SATU lakaran wajah seorang kanak-kanak misteri mengejutkan masyarakat Belfast, Ireland Utara semalam.


BELFAST, Ireland Utara - Seorang artis seni telah menggemparkan penduduk di sini dengan menghasilkan lakaran gergasi wajah seorang kanak-kanak di atas sebidang tanah sempena Festival Belfast baru-baru ini.
Artis seni itu, Jorge Rodriguez-Gerada yang berketurunan Amerika Syarikat-Cuba mengilham lakaran wajah kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tersebut di atas tanah seluas 4.45 hektar.
Lakaran seni yang diberi nama WISH itu merupakan projek seni awam terkini dilakukan Rodriguez-Gerada di kawasan yang menjadi tumpuan umum.
Imej yang digambarkan Gerada itu bersaiz amat besar dan hanya boleh dilihat dari tempat tinggi atau dari kapal terbang.
Karya itu menggunakan 2,000 tan pasir, 2,000 tan tanah dan kira-kira 30,000 pancang kayu serta dibantu oleh sejumlah sukarelawan.
Selain itu, ia juga dipercayai akan kekal untuk tontonan umum sehingga bulan Disember 2013. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ilpBdthO 
Hakcipta terpelihara 

Friday, October 25, 2013

Steroid ubah wanita menjadi lelaki


Candice Armstrong (kiri) sebelum mengambil steroid dan (kanan) selepas mengambil dadah tersebut. - Agensi
LONDON 24 Okt. - Kebiasaannya artis lelaki Hollywood dan ahli bina badan akan menggunakan steroid untuk menjadikan tubuh mereka kelihatan sasa.
Namun, pengambilan bahan tersebut secara berlebihan boleh memberi kesan sampingan yang serius kepada kesihatan badan seseorang, rambut dan boleh menyebabkan kerosakan hati.
Itu yang terjadi di Britain apabila seorang wanita yang dahulunya cantik dan berbadan langsing, kini bertukar menjadi ‘lelaki’ dengan memiliki tubuh yang sasa selepas mengambil steroid untuk membesarkan tubuhnya.
Candice Armstrong, 28, berasal dari Walthamstow berkata, dia tidak berniat untuk menjadi seperti lelaki apabila mula mengambil steroid, tetapi semuanya terlewat untuk dia berhenti menggunakan dadah itu.
Armstrong berkata, pengambilan steroid itu memberi kesan terhadap otot badan, muka, rambut serta alat sulitnya.
Bekas pelayan bar itu berkata, dia tidak merancang untuk menjadi sedemikian dengan memiliki tangan yang besar, bahu luas dan pinggul yang kecil.
“Tubuh badan saya kini tidak ubah seperti seorang lelaki," katanya.
Menurut Armstrong, penggunaan steroid lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan selepas apa yang terjadi kepada dirinya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_06/Steroid-ubah-wanita-menjadi-lelaki#ixzz2ijj0nmwl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tinggal 738 hari atas pokok


Julia Hill nekad tinggal di atas pokok selama 738 hari bagi menghalang sebuah syarikat pembalak menebang pokok-pokok di hutan Redwood, utara California. - Agensi
CALIFORNIA 24 Okt. - Seorang pencinta alam bertindak nekad tinggal di atas pokok selama 738 hari, sebagai tanda protes terhadap kerja-kerja penebangan balak di hutan Redwood di utara California yang berusia 1,500 tahun.
Julia Hill, 22, memanjat pokok Redwood setinggi 60 meter yang dinamakannya sebagai Luna dengan harapan dapat menghalang syarikat Maxxam Corporation, pengedali Pacific Lumber daripada menebang pokok-pokok di situ dan kawasan sekitarnya.
Tindakan Hill itu juga bertujuan bagi menarik perhatian media-media antarabangsa tentang kaedah digunakan syarikat berkenaan yang menebang semua jenis pokok tanpa mengira usia dan saiz sebelum kawasan berkenaan dibakar untuk tujuan pemuliharaan semula.
Bagaimanapun, cubaan pertama Hill tinggal di atas pokok selama beberapa hari gagal menarik perhatian media mahupun pembalak.
"Satu-satunya jalan untuk menarik perhatian orang ramai adalah dengan memecahkan rekod tinggal di atas pokok selama 42 hari,'' kata Hill.
Itulah yang dilakukan oleh gadis tersebut, selepas 100 hari berada di atas pokok.
Hill mula menjadi perhatian media untuk ditemu ramah dan memberikan nasihat kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga khazanah alam ini.
Gadis itu mula menjadi pencinta alam sejak tahun 1997, selepas melihat kelibat sekumpulan aktivis membantah kemusnahan yang berlaku di hutan Redwood.
Dia terpesona dengan pokok-pokok purba tersebut dan mengambil keputusan untuk menyertai perjuangan mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_05/Tinggal-738-hari-atas-pokok#ixzz2ijhrrE1j
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, October 24, 2013

Makam lama berusia 4,000 tahun ditemui di Mesir


Tulisan hiroglif Mesir terdapat pada makam lama berusia 4,000 tahun yang ditemui di Abusir, barat daya Kaherah, kelmarin. - AFP
KAHERAH 23 Okt. - Ahli arkeologi menemui sebuah makam lama berusia 4,000 tahun di luar ibu negara Mesir, semalam dipercayai menjadi tempat persemadian seorang doktor terkemuka pada zaman Firaun.
Pegawai Kanan Kementerian Antik, Ali al-Asfar berkata, makam berukuran 21 meter panjang, 14 meter lebar dan empat meter tinggi itu ditemui di Abusir, barat daya Kaherah.
''Ini merupakan satu penemuan penting kerana makan tersebut milik salah seorang doktor terbaik ketika piramid sedang dibina, seorang doktor yang mempunyai hubungan rapat dengan raja (Firaun),'' kata Menteri Antik, Ibrahim Ali dalam satu kenyataan.
Kawasan sekitar makam tersebut dipercayai merupakan tanah perkuburan keluarga dan kumpulan arkeologi dari Republik Czech sedang mencari saki-baki mumia dalam kalangan keluarga itu.
Tanah perkuburan Abusi berkait rapat dengan kerajaan Mesir purba yang memulakan pemerintahan pada 2,500 sebelum masihi.
Skitar kawasan itu turut ditemui beberapa buah piramid Firaun daripada Dinasti kelima. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131024/lu_05/Makam-lama-berusia-4000-tahun-ditemui-di-Mesir#ixzz2icGJRdF5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ikan yu paus mati di pantai Surabaya



BEBERAPA orang nelayan (kanan) menarik bangkai ikan yu paus ke pantai Kenjeran, Surabaya, Jawa Timur semalam.- REUTERS


JAKARTA - Seekor ikan yu paus mati selepas ia terperangkap ke dalam pukat milik sekumpulan nelayan dekat pantai Kenjeran, Surabaya semalam.
Agensi berita Antara melaporkan, seorang nelayan yang dikenali sebagai Jupri berkata, dia dan rakan-rakan nelayannya mendapati ikan tersebut terperangkap ke dalam pukat mereka pada pukul 10 pagi waktu tempatan.
Dia kemudian meminta bantuan nelayan lain untuk menyelamatkan ikan tersebut.
Namun, ikan tersebut mati semasa ia ditarik dengan menggunakan sembilan buah bot.
Ikan tersebut sepanjang lapan meter dan berat hampir dua tan.
Berbelas-belas nelayan kemudian membantu dalam operasi menarik bangkai haiwan tersebut ke pantai.
Menurut Jupri, dia dan nelayan-nelayan lain sepakat tidak mahu memotong daging haiwan tersebut kerana mahu bangkai ikan tersebut dilihat penduduk tempatan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2ibpEZM41 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, October 23, 2013

Rokok elektronik bernilai RM2.8j

Moscow: Seorang ahli perniagaan menghadiahkan rokok elektronik bersalut berlian kepada kekasihnya untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran wanita itu, lapor media semalam.
Rokok elektronik itu bernilai £550,000 (RM2.8 juta) dan ditempah khas seorang bilionair minyak Russia yang menetap di London tetapi tiada butiran mengenainya didedahkan.
Menurut sumber, rokok itu mengambil masa empat setengah bulan untuk direka dan dihiasi 246 berlian dengan setiap satu bernilai £1,800 (RM9,216).

“Ia juga dilengkapi 46 butir kristal kuning Swarovski dan enam karat berlian bujuk bernilai £46,000 (RM235,519) pada hujungnya.
Foto
ROKOK elektronik berhias berlian dan pelbagai permata mahal dipesan seorang ahli perniagaan tidak dikenali.

“Selain itu rokok berkenaan dihiasi kaca Itali yang ditempa khas dengan tangan serta disempurnakan dengan butang emas 24 karat,” katanya.

Ia menjadi lebih unik kerana diberikan nama khas, dikenali sebagai Shisha Sticks Sofia tetapi tidak dapat dipastikan jika ia boleh dianggap sebagai pembayang identiti penerima hadiah itu 

Pegawai syarikat Shisha Sticks, Anthony Mixides berkata, mereka menerima pesanan untuk menghasilkan rokok elektronik yang penuh kemewahan. 

“Kami dimaklumkan bahawa wang tidak menjadi penghalang kepada pesanan itu dan ahli perniagaan terbabit cuma mahukan produk terbaik,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sebaik saja reka bentuk itu dipersetujui, kata Mixides, mereka mencari berlian serta permata terbaik yang ada di pasaran ketika ini untuk ditampal pada rokok berkenaan. 

Katanya, walaupun begitu mereka yakin ia adalah rokok elektronik terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.- Agensi

Budak lelaki pakai kaki palsu robotik


Parry, kehilangan sebelah kakinya akibat barah tulang, kini menjadi kanak-kanak pertama di UK yang memakai kaki palsu robotik. - AGENSI
DERBY, England 22 Okt. - Seorang budak lelaki di sini yang kehilangan sebelah kakinya akibat barah tulang, kini menjadi kanak-kanak pertama di United Kingdom (UK) yang memakai kaki palsu robotik.
Kaki kiri Eddy Parry, 5, terpaksa dipotong pada Mei lalu ekoran terdapat tumor besar.
Sehubungan itu, ibu bapa Parry meminta pakar bedah yang memotong kaki anaknya mereka kaki palsu robotik yang berfungsi sama seperti kaki sebenar.
Pada mulanya, cadangan itu dianggap mustahil oleh pakar bedah yang merawat Parry kerana tidak ada kanak-kanak yang menggunakan kaki palsu robotik.
Bapanya, Jon Parry berkata, dia mahu melihat anaknya berjalan seperti kanak-kanak yang lain, dengan menggunakan kaki palsu yang berfungsi sama seperti kaki sebenar.
"Kebanyakan kaki palsu yang ada di pasaran tidak boleh dibengkokkan seperti kaki sebenar dan keadaan itu sebenarnya menyukarkan pergerakan,'' katanya.
Setelah diteliti semua aspek, akhirnya pakar bedah bersetuju memasang kaki palsu robotik pada Parry.
Satu rangka besi ditanam pada peha Parry bagi menggantikan tulang kaki yang dipotong, sebelum kaki palsu robotik tersebut dipasang.
Selepas kaki palsu itu dipasang, Parry dapat berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain.
Parry pernah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 45 sesi, termasuk 26 kali pemindahan darah sejak disahkan menghidap barah tulang pada Ogos tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_09/Budak-lelaki-pakai-kaki-palsu-robotik#ixzz2iXNHNvgW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ikan yu paus terdampar di Surabaya



AP
SEORANG budak lelaki berjalan di atas badan seekor ikan paus 
di pantai Kenjeran, Surabaya, Indonesia semalam.


SURABAYA, Indonesia - Seekor ikan yu paus terdampar di sebuah kawasan yang cetek di pantai Kenjeran di sini semalam.
Beberapa nelayan tempatan berusaha untuk menyelamatkan ikan tersebut dengan menolaknya ke kawasan laut dalam.
Namun, ikan itu akhirnya dapat disela- matkan apabila ia bergerak ke dalam laut.
Ketika terdampar, seorang kanak-kanak berjalan di atas badan ikan tersebut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2iW2er8y2 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, October 22, 2013

Kafe tema tandas pertama di AS dibuka



AFP
SEORANG pelanggan memeriksa kerusi mangkuk tandas di restoran Magic Restroom Cafe di Los Angeles, California kelmarin.


LOS ANGELES - Seorang pengusaha restoran dari China menarik perhatian ramai apabila dia membuka sebuah kafe bertema tandas yang pertama di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar New York Daily News.
Restoran Magic Restroom Cafe milik YoYo Li yang terletak di selatan California di sini dibuka sejak 11 Oktober lalu.
Stesen televisyen tempatan, KTLA 5 melaporkan bahawa kafe berkenaan dilengkapi kerusi menyerupai mangkuk tandas.
Makanan di premis berkenaan pula dihidang dalam mangkuk tandas mini.
Kafe tersebut turut dihiasi tempat buang air kecil dan tandas di sepanjang dinding serta dekorasi kelengkapan mandian.
YoYo Li mengambil keputusan membuka kafe itu di AS selepas menyedari konsep restoran tersebut amat popular di China dan Taiwan.
Kafe Magic Restroom menghidangkan menu-menu dari Taiwan termasuk nasi kari 'magic' dan mi sup daging lembu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2iPLZorPg 
Hakcipta terpelihara 

Monday, October 21, 2013

3,000 gegaran goncang Visayas


2013/10/21

Foto
Penduduk mendirikan khemah sebagai penginapan sementara di depan sebuah gereja berusia 180 tahun yang runtuh di Bohol. - Foto AFP

Foto
Penduduk Maribojoc, pulau Bohol menggunakan buluh untuk menyeberang selepas jambatan runtuh berikutan gempa lima hari lalu. - Foto AFP
Angka korban gempa tengah Filipina cecah 185 orang

Tagbilaran: Institut Gunung Berapi dan Gempa Filipina (Phivolcs) mencatat 2,000 gegaran susulan sejak gempa melanda wilayah Visayas di tengah negara itu, lima hari lalu, dengan angka korban mencapai 185, semalam.

Angka sebenar gegaran susulan itu mungkin mencapai 3,000 jika Phivolcs ada sebuah lagi stesen di kawasan paling teruk dilanda gempa iaitu Bohol untuk mencatatnya, kata jurucakap institut berkenaan, Dr Jane Punongbayan.


Antara gegaran susulan terkuat berlaku petang Jumaat lalu di bandar Catigbian.

“Ia kedengaran seperti bunyi bergegar. Saya dengar bumbung runtuh dan suara menangis,” kata Punongbayan ketika bersama pasukannya meninjau bandar itu.

“Penduduk mungkin tidak kisah merasai dua hingga tiga gegaran sehari tetapi satu daripadanya agak kuat.

“Dalam masa beberapa hari, mungkin ada gempa yang akan meruntuhkan lagi bangunan yang sudah rosak,” katanya lagi.

Gegaran setiap 10 minit


Semakin dekat dengan pusat gempa itu, gegaran berlaku setiap 10 minit. Gegaran akan terhenti dalam masa dua hingga tiga minggu, kata Phivolcs.

Angka korban tertinggi adalah di Bohol dengan 172 kematian, 120 daripada mangsa maut dihempap bangunan, kata pegawai penerangan di pulau itu, Augusto Escopia.

“Kami anggarkan 180 hingga 185 orang maut di Bohol saja,” katanya, sehari selepas pihak berkuasa menamatkan operasi mencari mangsa dan menumpukan kepada usaha mencari mayat.

Gempa magnitud 7.2 yang melanda lima hari lalu juga menyebabkan 13 kematian di Cebu dan Siquijor, kata Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Masalah terbesar yang dihadapi 1.2 juta penduduk Bohol ialah keperluan untuk tempat berteduh selepas beribu-ribu kediaman musnah atau rosak.

“Penduduk takut pulang kerana masih ada gegaran susulan. Ada kediaman yang retak. Mereka takut untuk masuk ke dalam,” kata Escopia.

Terletak kira-kira 600 kilometer dari Manila, Bohol terkenal dengan keindahan pantainya.

Beribu-ribu orang kini berkhemah di tempat terbuka di depan rumah atau bangunan runtuh.

Lebih 370,000 orang kehilangan tempat tinggal manakala 36,000 kediaman rosak di Bohol kerana gempa itu.

Banyak kumpulan bantuan tempatan dan asing kini menghantar bantuan termasuk keperluan asas kepada mangsa, katanya lagi. - AGENSI

Google Earth jejak kampung halaman


Bhopal: Dengan hanya menggunakan daya ingatan dan bantuan Google Earth seorang lelaki menemui semula keluarganya selepas dia terpisah daripada mereka lebih suku abad lalu.

Saroo Brierley yang kini menjadi ahli perniagaan Australia, menghasilkan sebuah buku perjalanannya mencari keluarga kandungnya dan membuat filem pendek dimuat naik di YouTube.
Menurut Saroo, 31, ketika kecil dia sering menghantar abangnya Guddu, menaiki kereta api dari kampung mereka di Khandwa, Madhya Pradesh.

Pada satu hari, katanya, dia merayu untuk mengikut Guddu menaiki kereta api, tetapi permintaan itu ditolak abangnya.


Namun, Saroo nekad melompat naik ke satu daripada koc kereta api yang ada di stesen berkenaan tanpa mengetahui ia menuju ke destinasi berbeza daripada Guddu.


Perbuatan Saroo itu menyebabkan dia dibawa 100 kilometer dari kampung asalnya dan selepas gagal mencari jalan pulang, dia diserahkan orang ramai kepada pihak berkuasa.

Kegagalan Saroo mengingati maklumat mengenai tempat tinggal serta ibu bapanya menyebabkan dia dijadikan anak angkat satu keluarga berasal dari Tasmania, Australia.

Selepas 25 tahun berlalu dia berusaha mencari keluarga asalnya menggunakan Google Earth dan daya ingatannya untuk kembali menemui keluarga.

“Saya hanya menggunakan peta fikiran untuk membawa saya kembali ke kampung asal di India dan menggabungkan memori itu dengan kemudahan Google Earth,” katanya.

Saroo kemudian mula mengesan kedudukan kampungnya di India dengan bantuan imej dari Google Earth.

Ternyata cubaan Saroo itu berjaya menemukan dia dengan keluarganya. - Agensi

4 pengantin luar tabii

London: Seorang lelaki yang pada asalnya wanita berkahwin dengan pasangannya yang sebelum ini seorang lelaki dalam perkahwinan pelik, lapor media semalam.
Acara itu menjadi lebih unik apabila pasangan terbabit diapit suami isteri yang pernah menjalani pembedahan menukar jantina juga.

Pada awalnya perkahwinan di antara pengantin ‘lelaki’ yang dikenali sebagai Felix dengan ‘isterinya,’ Helen Fenlon adalah yang pertama seumpamanya berlaku di Britain.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal sepasang ‘suami isteri’ lain, Janis dan Maxwell Burr.

Pasangan Burr itu mengaku berkahwin pada malam tahun baru 2005. Hasil inspirasi daripada ketabahan Felix dan Helen yang melangsungkan perkahwinan secara umum, Janis dan Maxwell meminta pasangan Fenlon itu menjadi pengapit ketika mereka mengulangi ikrar perkahwinan untuk kali kedua, baru-baru ini.

Selepas majlis itu, Janis, 45, yang juga pembantu pekerja sosial dan dulunya dikenali sebagai Ian berkata, Maxwell ialah teman sejiwanya.
Foto
(DARI KIRI) Helen, Janis, Maxwell dan Felix.
Janis memberitahu, dulu dia sering memakai pakaian kakaknya ketika berusia enam tahun. Janis juga menabung sehingga £10,000 (RM51,034) untuk menjalani pembedahan penukaran jantina pada 2003.

Sementara itu, Maxwell, 71, adalah pesara tukang masak yang dulunya bernama Mary sebelum bertemu dan jatuh cinta pada Janis ketika bercuti pada 2002. Dia menjalani pembedahan menukar jantina beberapa bulan selepas Janis melakukannya. Apabila undang-undang meluluskan perkahwinan golongan seperti mereka pada 2005, kedua-duanya lalu melangsungkan perkahwinan.
Maxwell berkata, acara perkahwinan itu cukup bersejarah buat mereka.

“Melangsungkan perkahwinan kali kedua di Pusat Sivik Scunthorpe memang menakjubkan. Saya seolah-olah bagaikan di syurga,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Bangunan bebas kuman di China

Bangunan bebas kuman di ChinaNilon antibakteria ini didakwa mampu menghapuskan kuman di sekitar pejabat tersebut

IA mungkin kelihatan seperti sebuah istana gergasi berbentuk aneh, tetapi ia sebenarnya adalah blok pejabat paling bersih kerana bebas daripada kuman.

Dipetik DailyMail, rekaan pelik digelar Bubble Building itu adalah hasil idea kreatif studio 3GATTI yang sebelum ini pernah mencipta bangunan berbentuk payung dan menara telekomunikasi yang dilitupi rumput.

Bahagian luar pejabat yang terletak di tengah-tengah bandar Shanghai itu juga akan dilengkapi nilon antibakteria yang boleh mengembung.

Menurut 3GATTI, pembinaan struktur unik itu juga  berfungsi untuk menghapuskan kuman di sekeliling premis tersebut.

"Bentuk gelembung di luar bangunan direka untuk bergerak mengikut arah tiupan angin. Bahagian luar pula dinaikkan sepenuhnya ketika waktu bekerja bagi memastikan pengudaraan lebih baik, namun ia akan ditutup pada waktu malam," jelas jurucakap 3GATTI itu lagi.

Kediaman Gaddafi jadi taman awam

Kediaman Gaddafi jadi taman awamTRIPOLI - LIBYA. Kediaman bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini akan dijadikan taman awam, menurut Menteri Pelancongan, kelmarin.

Ikram Bash Imam berkata, pembinaan peringkat awal telah dilakukan di kompleks Bab al-Azizya tersebut.

"Kami sedang berusaha untuk menjadikan kompleks itu sebagai sebuah kawasan hijau, selain tempat beriadah penduduk setempat," jelasnya pada laporan Al- Jazeera.

Difahamkan, kawasan berkeluasan enam kilometer persegi itu dibangunkan oleh Raja Idris (1951-1969) dan ia diperluaskan dengan bantuan kontraktor asing ketika pemerintahan Gaddafi pada 1980-an.

Bagaimanapun, kompleks yang menjadi simbol pemerintahan Gaddafi selama 40 tahun itu musnah akibat serangan udara dilancarkan tentera Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada 2011.

Biola Titanic berharga RM4.5 juta

GAMBAR bertarikh 16 September lepas menunjukkan biola milik ketua kugiran Titanic, Wallace Hartley. - AFP


LONDON - Sebuah biola milik ketua kugiran Titanic ketika kapal itu tenggelam dijual pada harga £900,000 (RM4.5 juta) dalam satu lelongan kelmarin.
Harga tersebut sekali gus mencatat rekod dunia untuk memorabilia Titanic.
Biola milik Wallace Hartley itu ditemui terikat pada mayatnya selepas dia lemas bersama kira-kira 1,500 penumpang dan kru kapal berkenaan pada 1912.
Alat muzik itu dijual kepada seorang pengumpul Britain selepas perang bidaan selama 10 minit, menurut firma Henry Aldridge and Son yang mengendalikan lelongan tersebut di bandar Devizes, barat daya England.
Ketulenan biola lin itu disahkan oleh beberapa pakar baru-baru ini.
"Kami amat gembira. Biola ini dilelong pada bidaan bermula serendah £50 (RM253)," kata jurucakap firma berkenaan, Christine Aldridge. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2iLAM6he2 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, October 20, 2013

Kubis pelindung radiasi

Kubis
Sayuran seperti kobis dan brokoli dikatakan
mampu menjadi pelindung radiasi.
SIAPA  sangka kubis mampu menjadi kunci untuk melindungi pesakit daripada radiasi.

Dr Eliot Rosen dari Pusat Kanser Komprehensif Georgetown Lombardi di Amerika Syarikat berkata, penyelidikan sebelum ini mendapati sayuran seperti kubis, brokoli dan kubis bunga mengandungi 3’-diindolylmethane (DIM)  yang dianggap sebagai ciri terbaik untuk mencegah barah.

"Kajian terbaru pula menunjukkan ia mampu menjadi pelindung kepada tisu normal penghidap barah yang sedang menjalani rawatan selain dipercayai dapat melindungi individu dari kesan akibat bencana nuklear," jelasnya dipetik DailyMail

Difahamkan, DIM juga dapat mengurangkan kesan sampingan terhadap pesakit yang terdedah dengan sinar radiasi ketika rawatan kemoterapi tersebut.

Jemaah haji wanita buta dapat melihat semula di dalam Masjid Nabi Madinah



Para jemaah haji di masjid Madinah Nabi Muhammad ( saw ) terkejut mendengar jeritan kegembiraan dari seorang wanita jemaah haji dari Sudan bahawa dia boleh melihat semula [gambar] laporan OnIslam Web.

“Saya tidak boleh percaya apa yang berlaku kepada saya,” kata Fatima Al Mahi memberitahu akhbar harian arab Okaz News Saudi Arabia 24/7 seperti dilaporkan pada Isnin, 14 Oktober 2013 bersamaan 1434 Hijrah.

Fatima Al Mahi berkata bahawa dia tinggal di masjid Nabi apabila dia mula melihat cahaya yang pertama dalam tempoh tujuh tahun yang lalu.

“Saya boleh melihat anak saya buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun dan saya kini boleh bergerak tanpa bantuan dari mana-mana pun, ” katanya.

Kisah Fatima bermula apabila dia kehilangan penglihatan mata tujuh tahun lalu.

Walaupun melalui beberapa operasi di rumah untuk mengubatinya, di mana mana tidak berubah. Pada masa itu, dia mula untuk mempercayai bahawa dia akan mengembalikan penglihatan jika dia melawat Makkah dan Madinah untuk menunaikan haji.

Pergi ke haji tahun ini, sebagai seorang wanita warga tua dia tinggal untuk tempoh yang lama di dalam masjid nabi, berdoa kepada Allah.

“Saya berharap saya akan melihat sekali lagi apabila saya pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji ,” katanya yang dipetik oleh Okza .

“Saya menghabiskan beberapa hari di Masjidil Haram berdoa kepada Allah SWT untuk menyembuhkan saya.

“Saya sedang duduk di satu sudut di Masjidil Haram apabila tiba-tiba kegelapan yang seperti dibersihkan dari mata saya dan saya mula dapat melihat, ” katanya.

Setiap tahun, Makkah melihat berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia mencurah curah datang untuk menunaikan ibadah haji, salah satu daripada lima rukun Islam.

Jemaah haji biasanya minum dari Telaga Zamzam diberkati yang telah mengalir selama ribuan tahun.

Allah mencipta Zamzam yang baik itu untuk menyediakan Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim ( Abraham) , dan anak anaknya Ismail dengan air di dalam cuaca panas dan kering lembah Makkah.

Dalam carian terdesak beliau untuk air, Hajar berlari tujuh kali berulang-alik dalam panas terik di antara dua bukit Safa dan Marwa untuk menyediakan untuk bayi dahaga beliau.

Perlakuan ini kekal sebagai acara perlu jemaah haji yg mesti melengkapkan rukunnya.

Nabi Muhammad ( saw ) telah mengesyorkan minum dari air yang diberkati, dengan berkata ia berfungsi apa-apa tujuan ia digunakan untuknya.

Islam juga mengajar bahawa dalam kes penyakit fizikal yang kita harus mengambil jalan yang terbaik rawatan perubatan yang disediakan serta berdoa kepada Allah.

Arahan untuk berdoa adalah relevan bukan sahaja dalam kes penyakit fizikal, tetapi juga dalam hal segala usaha manusia.

Ini adalah kerana kita tidak mampu mencapai apa-apa pada kita sendiri, tanpa bantuan Allah, Esa Pencipta yang memelihara dan mentadbirkan semua. Agensi / MRM

*Sumber dari malaysianreview.com

Saturday, October 19, 2013

Bekas musuh Islam tenang tunai ibadah haji


Geert Wilders Party Member, Arnoud van Doorn, Accepts IslamMina: Dulunya dia lantang menyerang Islam, tetapi penerbit Fitna, filem yang memburukkan Nabi Muhammad SAW menemui ketenangan ketika menunaikan haji tahun ini.

Bekas anggota Parti Rasis Geert Wilders, Arnoud Van Doorn memeluk Islam setahun lalu selepas memusuhi Islam sejak beberapa lama.
Van Doorn kesal menyertai produksi filem Fitna dan berkata dia ke tanah suci untuk memohon ampun.

“Saya berharap tangisan kekesalan saya dapat membasuh semua dosa silam saya,” kata Van Doorn.


Van Doorn menyifatkan Fitna sebuah filem yang mengandungi maklumat salah dan tiada kaitan langsung dengan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.


Menurutnya, kehidupannya tenang sejak tiba di tanah suci dan berharap dapat menghabiskan lebih masa di Madinah selepas menyempurnakan ibadah haji.

“Saya malu berdiri di depan makam Baginda. Saya kesal menerbitkan filem Fitna. Saya harap Allah mengampunkan saya dan menerima taubat saya.”

Van Doorn berkata dia banyak membaca buku mengenai Islam dan amat kesal memusuhi agama hebat itu. - AP

Biola yang dimainkan ketika Titanic karam dilelong hari ini

BIOLA yang dimainkan Hartley semasa kapal Titanic karam dilelong pada hari ini.- AP


LONDON - Sebuah biola yang pernah dimainkan di atas kapal Titanic ketika ia karam akibat melanggar sebuah bongkah ais dilelong pada hari ini dengan harga lebih AS$323,300 (RM1.02 juta).
Biola itu dipercayai dimainkan oleh seorang ahli muzik, Wallace Hartley dengan diikuti beberapa pemuzik lain di hadapan penumpang yang panik.
Alat muzik yang tertera nama Hartley itu dilaporkan ditemui di laut selain mayatnya lebih seminggu selepas kapal Titanic karam.
Firma Henry Aldridge & Son menyatakan, acara lelongan akan berlangsung di Wiltshire, selatan England.
Hartley dan tujuh anggota muziknya merupakan antara 1,517 orang yang terkorban selepas kapal Titanic yang pernah dinobatkan sebagai kapal penumpang terbesar di dunia karam di Lautan Atlantik Utara pada 15 April 1912.
Kejadian itu berlaku semasa kapal itu melakukan pelayaran pertama dari England menuju New York, Amerika Syarikat.
Biola tersebut yang tidak lagi berfungsi dibuat di Jerman.
Hartley memperoleh biola itu daripada tunangnya, Maria Robinson. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2i8cIKMt6 
Hakcipta terpelihara 

Tengkorak manusia 1.8 juta tahun ditemui

GAMBAR yang dirakamkan pada tahun 2005 menunjukkan tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun yang ditemui di Dmanisi, Georgia.- AP


DMANISI - Penemuan satu tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun yang tertanam di sebuah perkampungan di Georgia, Eropah Timur memberi gambaran bahawa manusia hanya berasal daripada satu spesies sahaja, kata sekumpulan penyelidik kelmarin.
Menurut para penyelidik itu, tengkorak tersebut menjadi bukti baharu bahawa manusia awal yang hidup, hanya daripada satu spesies tetapi mempunyai wajah yang berbeza.
Bentuk tengkorak itu menunjukkan ia mempunyai otak kecil iaitu bersaiz kira-kira satu pertiga daripada otak manusia kini.
Ia mempunyai rahang seperti beruk.
Turut ditemui ialah beberapa peralatan batu dan tulang-tulang harimau.
Penemuan penyelidik itu disiarkan dalam jurnal Science.
Ia merupakan satu daripada lima tengkorak manusia awal yang telah ditemui di Dmanisi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Georgie, Tblisi.
Tengkorak itu ditemui pada tahun 2005.
Empat daripada tengkorak yang ditemui itu mempunyai rahang.
Menurut penulis bersama kajian itu, Christoph Zollikofer dari Universiti Zurich, Switzerland, semua tengkorak itu menunjukkan ia datang dari kalangan sekumpulan penduduk dari spesies yang tunggal.
Bagaimanapun, Pengarah Program Kedoktoran Hominid dan Paleobiologi di Universiti George Washington, Amerika Syarikat, Bernard Wood menyatakan, tengkorak itu mungkin berasal dari satu makhluk yang tidak pernah diketahui para penyelidik sebelum ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2i8bPb3Ba 
Hakcipta terpelihara 

Arkeologi cari harta karun RM157 bilion


SEJUMLAH orang mengunjungi sebuah kawasan kubu pada abad ke-17 yang dikatakan mempunyai simpanan harta karun di Unnao, Uttar Pradesh kelmarin.- AP


UNNAO - Ahli-ahli arkeologi memulakan kerja-kerja menggali di sebuah kubu untuk mencari harta karun pada abad ke-19 di utara India semalam.
Kerja-kerja menggali itu dibuat selepas seorang sami mendakwa seorang bekas raja muncul dalam mimpinya dan memberitahu terdapat simpanan harta karun bernilai AS$50 bilion (RM157 87 bilion) di bawah tanah kubu.
Kerja-kerja itu dimulakan selepas sami tersebut, Shobhan Sarkar memaklumkan tentang mimpinya kepada seorang menteri India yang melawatnya pada bulan lalu.
Sami itu berkata, Raja Rao Ram Baksh Singh yang digantung sampai mati pada tahun 1858 kerana menentang penjajah British memberitahunya, terdapat 1,000 tan harta karun yang tersembunyi di bawah kubu miliknya itu.
Majistret daerah Unnao, Vijay Karan Anand berkata, beberapa pegawai geologi dan arkeologi telah meninjau kawasan tersebut dan menemui bukti tentang kewujudan logam yang terdapat kira-kira 20 meter dari bawah tanah.
"Kerja-kerja menggali merupakan satu cara untuk mengesahkan jenis logam itu," ujarnya.
Pihak Kajian Arkeologi India menyatakan, kerja-kerja menggali akan bermula di bawah sebuah kuil yang terletak di dalam runtuhan kubu lama itu.
Dalam pada itu, rata-rata penduduk kampung Daundia Khera yang tidak mempunyai bekalan elektrik berkata, cerita tentang harta karun tersebut telah diketahui daripada orang tua mereka.
Dalam pada itu, pihak berkuasa telah membuat sekatan bagi menghalang beribu-ribu orang yang mula membanjiri kampung itu untuk melihat harta karun dan mereka turut bersembahyang di situ.
Bagaimanapun, salah seorang keturunan raja itu, Navchandi Veer Pratap Singh berkata, jika emas benar-benar ditemui di kawasan itu, dia juga perlu memperoleh sahamnya.
Pihak berkuasa negeri Uttar Pradesh menyatakan, ia juga berhak ke atas harta karun itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2i8aFGH16 
Hakcipta terpelihara 

15 MINIT UNTUK TUHAN



Written By Suatu Perjalanan Maya 

pergerakan solat secara berjemaah menunjukkan keseragaman ibadat umat Islam.

LELAKI bernama Abdul Sabur Wijnands, 61, ini dilahirkan di Belanda dan ibu bapanya adalah beragama Katolik. Pada masa dahulu orang Belanda Katolik adalah kumpulan yang paling berpengaruh di seluruh dunia apatah lagi jika mereka adalah paderi besar (pope) dan biskop yang mesti dihormati dan dipatuhi.

Lantaran hidup dalam lingkungan yang digelar RIE atau Roman In Everything, Abdul Sabur menerima pendidikan awal di sekolah Katolik. Beliau membesar dan memperoleh perlindungan daripada tiga penjuru iaitu gereja, keluarga dan sekolah dengan agama menjadi keutamaan di dalam kehidupan.

Di Gred 4, ketika usianya 10 tahun, dalam kelas sejarah, Abdul Sabur mula dikenalkan dengan kewujudan khalayak yang bergelar Muslim menerusi kisah Perang Sabil. Sejak itu, dia selalu tertanya-tanya siapa mereka itu?

Sebagai informasi latar belakang, gurunya memberitahu bahawa Muslim sama seperti orang Kristian. Mereka percaya kepada Tuhan Yang Satu yang dipanggil Allah, manakala Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya.

Pun begitu, orang Islam turut mempercayai tentang Nabi Isa, cuma mereka tidak mengakui bahawa Nabi Isa itu adalah anak tuhan tetapi antara nabi yang penting.

Keterangan gurunya itu hakikatnya lebih menimbulkan keraguan dan syak wasangka kepada Abdul Sabur. Antaranya, mengapa perlunya bala tentera dari Eropah Barat untuk menentang orang Islam, waima diketahui bahawa agama itupun datangnya daripada Pencipta yang sama.

mesej

Malah masing-masing juga saling percaya kepada mesej yang dibawa oleh malaikat Jibrail iaitu tentang Maryam yang menjadi ibu kepada Nabi Isa. Alasan ini bagi Abdul Sabur memang tidak masuk akal.

Abdul Sabur benar-benar keliru dan tidak faham dengan kenyataan bahawa orang Islam itu sendiri menghormati Nabi Isa sebagai salah se.orang nabi.

Dia hanya mampu tergelak sendirian dan pada usia semuda itu, Abdul Sabur sudah mula membayangkan kebimbangan jika cerita sebegini tidak dibendung kerana ia boleh membawa kepada kecelaruan di kalangan si cilik Kristian.

Suasana pengamalan agama Kristian berjalan seperti biasa sehinggalah pada 1962 sehingga 1965 di mana persidangan majlis Vatican kali kedua bersidang yang dihadiri ahli berpengaruh gereja dari seluruh dunia.

Lantas bagi memastikan kelancaran perkhidmatannya, penggunaan budaya Latin telah dimansuhkan dan ia disampaikan mengikut budaya negara masing-masing.

Di sebahagian negara kebiasaan seperti melutut sudah tidak diamalkan lagi. Lama-kelamaan ia sudah tidak dipraktiskan lagi. Hal ini menyebabkan, kehadiran penganut ke gereja semakin terjejas dan natijahnya, gereja-gereja kian sepi.

Tambah memburukkan situasi apabila dilanda 'revolusi 60-an' di mana orang sudah mula tidak ada kepercayaan, termasuklah Abdul Sabur. Beliau melihat agama sebagai satu yang ketinggalan zaman. Hal itu berlanjutan selama kira-kira 30 tahun.

"Apabila terserempak dengan program televisyen mengenai agama, dengan pantas saya akan mengubah ke siaran lain. Namun, sebaik melihat suasana umat Islam menunaikan haji di Kota Mekah, saya dapati ia sangat cantik. Diserikan lagi dengan percikan lampu yang sungguh menakjubkan.

Kiblat umat Islam

"Hati saya semakin terharu bila melihat ribuan umat Islam yang rukuk dan sujud pada masa yang sama, ke arah yang sama iaitu kiblat umat Islam, Kaabah. Gambaran itu, benar-benar menyentuh dan mengetuk hati nurani saya ini. Bagaimana mungkin?," perkataan itulah yang secara tiba-tiba terpacul daripada mulut Abdul Sabur.

Sewaktu berjalan-jalan di Kalverstraat di Amsterdam, dia melepasi sebuah gereja Katolik yang diberi nama The Papagaai ('The Parrot'). Di pintu utamanya terpampang perkataan tertulis, '15 minit untuk Tuhan' manakala di barisan keduanya tertulis, 'untuk tujuan itu, gereja ini dibuka setiap hari.'

Perkataan ini menambat saya kembali semula kepada penghayatan hidup beragama atau mempunyai semula kepercayaan. Setelah sekian lama, Abdul Sabur mula mengunjungi gereja, apatah lagi setelah menemui gereja yang dikelola secara tradisi zaman kanak-kanaknya itu. Suasana ini mengembalikan semula memori dahulu.

Pada masa sama, kehadiran pendatang dari Maghribi dan Turki telah membawa sekali agama Islam ke Belanda. Bermulalah episod baru kerana telah ada wanita bertudung, pembinaan masjid malah ada juga wanita Belanda yang memeluk aga"ma Islam. Menurut mereka, Islam bukanlah agama yang menindas wanita tetapi sebenarnya ia memberi wanita rasa kebebasan dan Abdul Sabur mempercayainya.

Pada awal tahun 2004, ketika dia mengembara ke Amsterdam menaiki kereta api dan di dalam gerabak yang sama terdapat beberapa kumpulan gadis sekolah menengah sedang rancak berbual.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka keluar dan dia terkejut rupa-rupanya salah seorang gadis itu adalah orang Maghribi yang memakai tudung. Begitu juga dengan teman-temannya yang lain.

Abdul Sabur mula tersedar bahawa kini orang Maghribi telah beberapa generasi berada di Belanda, berkongsi idea, cita-cita dan membina masa depan seiring dengan gadis-gadis Belanda yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.

"Mulai saat itu, Islam semakin menarik perhatian saya. Malah insiden 11 September menjadi titik perubahan kerana apa yang dilaporkan oleh pihak media seperti berat sebelah dan terlalu memburukkan serta sesuka meletakkan imej negatif terhadap agama Islam.

"Oleh kerana sudah tidak tahan dengan cara persembahan berita yang berat sebelah itu maka saya cuba mencari sumber maklumat lain. Saya cuba layari Internet dan laman web pertama yang ditemui iaitu 'moslima' (Wanita Muslim).

memeluk Islam

Dari situ, katanya, barulah dia mengetahui mengapa wanita Islam memakai tudung, sebab apa mereka memilih agama Islam dan kemudian memeluk Islam, bagaimana mereka melaksanakan amalan agama Islam.

"Semakin saya mengikuti cerita dan bahan-bahan dari laman tersebut, hati saya semakin mengagumi dan menghormati Islam," kata Abdul Sabur yang mula menjadi teman setia laman web tersebut.

Beliau juga pernah menghantar respons kepada kenalan di laman itu dan apabila mereka membahasakan dirinya seorang bukan Islam (non Muslim), Abdul Sabur menjadi keliru.

Pada masa sama, dia masih berkunjung ke gereja tapi rutin kedatangannya kali ini agak terganggu dengan lagu-lagu yang didendangkan kerana ada seperti yang tidak kena. Berbeza dengan surah Nisaa' ayat 171 mengenai pandangan al-Quran tentang Nabi Isa. Ia begitu jelas dan tiada niat berselindung.

Tidak semena-mena, seperti ada ketenangan menyusup dalam dirinya. Kata-kata seorang wanita yang dikenali menerusi laman sembang di Internet kembali menerjah di mana katanya, Allah akan memilih sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

"Barulah saya tahu Islam itu adalah satu cara hidup dan saya benar-benar berhasrat menjadikan ia sebagai cara hidup saya. Perkara pertama yang saya lakukan ialah berhenti mengambil minuman beralkohol.

"Bermula dengan mengurangkan jumlah pengambilan. Diikuti pula dengan tidak lagi menyentuh daging babi. Untuk serta merta berhenti, adalah amat sukar kerana saya memang meminatinya.

"Pun begitu sebuah hadis yang berbunyi, "Apabila ada berniat melakukan kejahatan tetapi anda memilih untuk menolaknya hanya kerana Allah. Ini bermakna anda telah melakukan kebaikan", telah menyelamatkan saya sehingga ke hari ini. Perlahan-lahan saya mula mengubah kepada hanya mengambil makanan yang halal sahaja.

"Langkah seterusnya ialah belajar mendirikan solat. Dengan menggunakan kemajuan teknologi, akhirnya saya dapat memenuhi sama ada pergerakan, kefasihan membaca surah dan bacaan dalam solat," akui Abdul Sabur.

Tidak lama selepas itu, Abdul Sabur turut berhadapan dengan beberapa masalah di tempat kerja dan juga kehidupan peribadinya. Masalah demi masalah ini, akui Abdul Sabur sedikit sebanyak telah menjejaskan keimanannya.

Dia mula mempersoalkan keyakinan diri kepada agama Islam. Tambah buruk apabila berlaku insiden berdarah yang dilakukan oleh mereka yang mengakui Islam dan semua itu demi Islam. Sedangkan, Islam menentang berbunuh- bunuhan, balas dendam dan banyak lagi.

Rupa-rupanya, semua itu berpunca kerana sikapnya yang terlalu terburu-buru bergelar dan mempraktikkan cara hidup Muslim.

Masakan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, dia boleh dengan sekelip mata bertukar dari Kristian kepada Muslim. Yang mampu mendirikan solat lima kali sehari, berpuasa dan banyak lagi.

Seharusnya semua itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Akhirnya, sebaik selesai mendirikan solat Maghrib, Abdul Sabur melafazkan syahadah dengan Allah SWT sebagai saksinya.

Friday, October 18, 2013

Salahkan ‘syaitan’ kerana cerai

Mina: Pasukan pengawal keselamatan terpaksa bekerja keras untuk menyakinkan jemaah dalam gambar ini, yang meluru di celah orang ramai dengan membawa kayu panjang untuk memukul tiang yang melambangkan syaitan. Saksi berkata, lelaki itu begitu marah dan menjerit tanpa henti terhadap tiang berkenaan. Dia menyalahkan syaitan menyebabkan dia dan isterinya bercerai hingga memusnahkan kehidupannya. -Okaz
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/18

Mengaku seks dengan kenderaan


Washington: Kehidupan seks Edward Smith sepanjang 48 tahun lalu sungguh aneh. Berdasarkan pengiraannya, dia mempunyai lebih 1,000 teman seks tetapi hanya satu saja daripada jumlah itu ialah manusia.

Smith, 63, termasuk dalam golongan ‘mechaphile,’ terma yang digunakan untuk seseorang yang tertarik dan melakukan seks dengan pesawat, kereta api dan automobil.
Dan dia juga pernah melakukannya dengan sebuah helikopter yang digunakan dalam siri televisyen ‘Airwolf.’

“Bagi kebanyakan orang, mereka melihat payudara dan punggung untuk menilai kecantikan wanita. Saya pula melihat pada depan dan belakang kereta yang cantik,” katanya, menurut laporan akhbar Mirror.


Bagaimanapun, Smith tidak lagi terdorong untuk mengadakan seks dengan sebarang kereta. Katanya, dia kini komited dengan Vanilla, kereta Volkswagen Beetle yang dibelinya 30 tahun lalu.


“Apabila menyentuh Vanilla, ada tarikan dan saya dapat merasakan tindak balasnya. Saya akan merana jika ada apa-apa berlaku kepadanya,” katanya.

‘Mechaphilia’ merujuk kepada keinginan seks yang unik dan menurut Smith, dia tidak bersendirian. Dia menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 500 orang di dunia ini yang tertarik untuk mengadakan seks dengan kereta.

Masih hidup lepas digantung


Teheran: Seorang lelaki Alireza, 37, yang berdepan hukuman mati di Iran kerana menyeludup dadah mencetuskan kontroversi kerana hidup semula selepas digantung.

Pada hari terakhir hidupnya, Alireza bangun sebelum fajar menyingsing untuk menjalani hukuman gantung kerana dia didapati memiliki satu kilogram serbuk methamphetamine.
Tepat 12 minit selepas dia digantung, doktor mengesahkan lelaki berkenaan sudah tidak benyawa dan meminta pihak penjara menyiapkan mayatnya untuk urusan pengebumian.

Bagaimanapun, keesokan harinya ketika berada di rumah mayat, sesuatu yang luar biasa menarik perhatian beberapa pekerja yang menguruskan jenazah Alireza sebelum diambil oleh keluarganya.


Mereka mendapati ada kesan wap udara di plastik yang membalut mayat lelaki terbabit.


Mengesyaki yang Alireza mungkin masih hidup, dia kemudian dikejarkan ke Hospital Imam Ali di Bojnurd, Khorasan di utara Iran.

Menurut akhbar, pihak berkuasa kehakiman di Iran masih menunggu Alireza untuk pulih sepenuhnya sebelum bertindak untuk menggantungnya sekali lagi.

Keputusan itu mengejutkan keluarga lelaki terbabit.

Pihak kehakiman Iran yang mempertikai Alireza dijatuhkan hukuman mati bukannya digantung bertegas mahu dia menjalani hukuman gantung sekali lagi.

Hakim di mahkamah pentadbiran Iran, Mohammad Erfan berkata, hukuman yang dijatuhkan mahkamah revolusi ialah hukuman mati dan berdasarkan keadaan yang berlaku, maka ia patut dijalankan sekali lagi.

Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia bimbang dengan kadar hukuman mati yang tinggi di negara itu dan meminta kes Alireza dikecualikan. - Agensi

Lelaki berusia 103 tahun berkahwin lagi



RIELLA duduk di atas kerusi roda di sebelah isterinya, Lopez pada majlis perkahwinan yang diadakan di belakang rumah mereka di Santa Rosa del Aquaray, Asuncion pada Selasa lalu.- AFP


BUENOS AIRES - Seorang lelaki berusia 103 tahun, Jose Manuel Riella melangsungkan semula perkahwinan dengan isterinya, Martina Lopez yang berusia 99 tahun pada Selasa lalu di belakang rumah mereka di Asuncion, Paraguay.
Pasangan itu sebelum ini telah melangsungkan perkahwinan buat kali pertama pada tahun 1933 tanpa dihadiri oleh seorang paderi tetapi disaksikan hanya pegawai pentadbiran.
Namun, selepas 80 tahun hidup bersama, pasangan itu sekali lagi melangsungkan perkahwinan dengan dihadiri seorang paderi Kristian Katolik.
Ketika majlis itu berlangsung, Riella duduk di atas sebuah kerusi roda.
Majlis perkahwinan itu dihadiri oleh lapan orang anak mereka.
Seramai 50 cucu, 35 cicit dan 20 piut pasangan itu turut menyaksikan majlis perkahwinan itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2i1ZO1YF3 
Hakcipta terpelihara 

Rangka dinosaur akan dilelong

GAMBAR menunjukkan rangka tulang dinosaur itu yang disimpan di sebuah gudang di Billinghurst, England pada Selasa lalu.- AFP


LONDON - Satu rangka dinosaur yang ditemui di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2009 akan dilelong pada 27 November ini di Britain.
Menurut firma lelongan Summers Place Auctions, rangka tulang dinosaur betina Diplodocus itu sepanjang 17 meter dan setinggi enam meter.
Rangka tulang berusia 150 juta tahun itu ditemui dekat sebuah kuari di Wyoming, AS.
Tulang-tulangnya dirawat di sebuah makmal di Belanda sebelum disusun dan dibentuk semula di Britain.
Rangka tulang itu dijangka dilelong pada harga lebih AS$640,000 (RM2.05 juta). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2i1YwYD4G 
Hakcipta terpelihara