Pages

Sunday, September 29, 2013

Pesara tanam sayur gergasi



IAN NEALE menunjukkan lobak merah terbesar di Britain yang ditanam di kebunnya di Langstone, selatan Wales.- AGENSI


LONDON - Seorang pesara memecahkan dua rekod perkebunan semalam apabila dia mendedahkan lobak swede terbesar di dunia dan lobak merah paling besar di Britain.
Ian Neale memecah rekodnya sendiri dengan menanam lobak swede seberat 54 kilogram (kg) dan mengatasi satu lagi rekod apabila lobak merahnya mencatat berat 8.35 kg.
Semua sayuran itu ditanam di kebun belakang rumahnya di Langstone, selatan Wales.
Neale, 70, menggunakan baja buatan sendiri dengan ramuan yang disempurnakan sejak lebih 30 tahun lalu untuk menghasilkan tanaman yang segar dan besar.
"Namun, jika cuaca tidak terlalu pelik pada tahun ini seperti musim panas yang ekstrem, saya rasa saya dapat menanam sayuran lebih besar," katanya.
Dia mempamerkan produk pertanian itu menjelang pameran tanaman musim luruh di Worcestershire.
Pameran tersebut menarik kehadiran sekitar 50,000 pengunjung pada setiap tahun.
Dalam pada itu, seorang pekerja pasar raya, Richard Smith, 48, mempamerkan sebiji labu gergasi seberat 100 kg. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gDzJcCRj 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi kuat gegar barat daya Pakistan



MANGSA-MANGSA gempa bumi Pakistan diberi bantuan khemah di sebuah lokasi di Awaran, barat daya Pakistan semalam.- AFP


ISLAMABAD - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan barat daya Pakistan semalam beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa yang meragut lebih 300 nyawa.
Menurut pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran baharu itu pada pukul 12.34 tengah hari (waktu tempatan)
Ia berpusat 96 kilometer (km) ke timur laut daerah Awaran pada kedalaman 14km di bawah permukaan bumi.
"Ini bukan gegaran susulan tetapi, satu gempa bumi berasingan," kata Pengarah Pusat Seismik Pakistan, Zahid Rafi di saluran Geo TV.
Bagaimanapun, ketua ahli meteorologi Pakistan, Arif Mehmood memberitahu saluran televisyen Express News bahawa gegaran semalam berukuran 7.2 pada skala Richter.
Awaran yang merupakan daerah pedalaman di wilayah Baluchistan digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter pada Selasa lalu.
Bencana buruk tersebut meragut 359 nyawa dengan lebih 100,000 orang hilang tempat tinggal.
Seorang wartawan agensi berita AFP di Awaran berkata, beratus-ratus pesakit yang dirawat di sebuah hospital lari menyelamatkan diri apabila gegaran baharu berlaku. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2gDykYTjj 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 28, 2013

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiri

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiriFLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Jodi Steel menghilangkan rasa bosan dalam bilik kuliah dengan cara unik.

Gadis kelahiran Florida ini bakal melukis pehanya sendiri semasa menunggu kuliah pensyarahnya berakhir.

Sebaik pulang ke rumah, Steel akan memuatnaik gambar itu di blognya dan memadamkannya lukisan di pehanya.

Uniknya, lukisannya itu menghasilkan gambar-gambar yang mengagumkan dan membuatkan ramai pelawat ke blognya.

Malahan beberapa gambar 'hasil seninya' yang sering mendapat perhatian adalah seperti wajah pelakon dan seniman seperti Joseph Gordon-Levitt serta vokalis Radiohead, Thom Yorke sehingga ke gambar gajah dan kucing.

“Selalunya, orang memang berharap karya seninya dilihat orang tetapi saya sendiri tak berfikir bahawa gambar-gambar ini akan menjadi perhatian orang,” katanya seperti yang dipetik dari Daily Mail.

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi28 September 2013
SALT LAKE CITY – AMERIKA SYARIKAT. Setelah 69 tahun hilang tanpa khabar berita, akhirnya keluarga juruterbang Perang Dunia Kedua dapat menarik nafas lega apabila beberapa rangka tulang juruterbang itu ditemui, baru-baru ini.

Walaupun tidak berada dalam jasad yang lengkap, mendiang tetap dikebumikan dengan penghormatan penuh adat istiadat ketenteraan di Utah, semalam.

Pesawat yang dipandu Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) Kedua, Leftenan Vernal J.Bird terhempas di sebuah pulau berhampiran Lautan Pasifik hampir 70 tahun yang lalu.

Bird hilang di Papua New Guinea ketika pengeboman lapangan terbang Jepun pada tahun 1944.

Kawasan kejadian ditemui 12 tahun lalu tetapi serpihan mayat yang ditemui baru dikenal pasti yang mengatakan ia milik Bird.

Hanya tulang kaki Bird yang ditemui dan ia dibawa dalam sebuah keranda yang dilitupi bendera.

Minggu ini, kira-kira 150 saudara mara Bird dari jauh datang ke Lapangan Terbang Salt Lake untuk menyambut ‘kepulangan’ Bird.

Namun, serpihan mayat juruterbang bersama Bird, Sarjan Roy Davis dari New Hampshire tidak ditemui.

Wanita urus ladang 283 hektar


Dari kiri, Harriet, Carol, Georgina, dan Katy, mengambil tanggungjawab menguruskan ladang keluarga selepas kematian suami dan bapa mereka. - AGENSI
LONDON 27 Sept. - Walaupun bidang perladangan didominasi oleh lelaki, seorang ibu dan tiga orang anak perempuannya bertindak mengambil alih pengendalian ladang seluas 283 hektar apabila kematian ketua keluarga mereka akibat kanser.
Carol Besent, 52, mengambil keputusan untuk meneruskan ladang milik suaminya itu, Michael yang meninggal dunia empat tahun lalu, berbanding menjualkannya.
Keputusan untuk bekerja di ladang Higher Melcombe Farm di Dorchester, Dorset yang mengeluarkan komoditi gandum dan barli itu mendapat sokongan daripada tiga orang anak perempuannya.
Carol mengusahakan ladang tersebut bersama anak keduanya Harriet, 25, yang memiliki ijazah pertanian dengan Georgina, 28, dan Katy, 21, bertindak sebagai buruh.
Mereka kini sibuk mengusahakan ladang yang mampu menjana pendapatan satu juta pound (RM5.17 juta) setahun.
Ini berikutan musim penuaian semakin dekat yang memerlukan mereka bekerja selama 14 jam sehari.
Katy akan mengendalikan jentera penuai manakala Harriet akan memandu jentolak dan lori treler untuk membawa sebanyak 400 tan hasil tuaian barli dan Georgina pula akan menguruskan proses pemerahan susu melibatkan 180 ekor lembu susu.
Carol berkata, banyak pihak terkejut dengan keputusan yang diambilnya untuk menguruskan ladang tersebut.
"Ada yang memberikan sokongan dan nasihat kepada kami, perladangan secara tradisinya tidak diuruskan oleh kaum wanita dan beberapa petani tradisional melihat perkara dari sudut yang berbeza.
''Tetapi kami tidak melakukan semua perkara dan bertindak mengupah pekerja untuk membantu kami," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_08/Wanita-urus-ladang-283-hektar#ixzz2g8CZY8E3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pil uri wanita bersalin semakin popular di AS


LAURA CURTIS mencuci uri wanita bersalin di kediamannya di Lindon, Utah pada 13 September lalu.


LINDON, Utah - Seorang wanita, Laura Curtis menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kapsul uri wanita bersalin sebagai makanan tambahan.
Amalan memakan uri sendiri semakin mendapat tempat di negeri Utah, Amerika Syarikat(AS). Ia ekoran organ itu dipercayai memiliki pelbagai khasiat sekali gus baik untuk ibu yang menyusu bayi mereka.
Jurucakap sebuah hospital di Utah memberitahu, dianggarkan antara 5 hingga 10 peratus ibu yang bersalin di fasiliti berkenaan akan meminta agar uri mereka disimpan.
"Amalan ini semakin popular, permintaan untuk uri kini bertambah," kata pengurus jururawat Hospital Universiti, Bernice Tenort.
Dalam pada itu, di kediamannya di sini, Curtis akan terlebih dahulu membuang gumpalan darah dan keganjilan lain pada uri sebelum mengukus organ itu selama 12 minit.
Uri tersebut kemudian dikisar menjadi serbuk sebelum diisi ke dalam kapsul ubat.
"Selain memakai sarung tangan, saya akan memastikan setiap peralatan dicuci dengan cecair pembunuh kuman sebelum melakukan kerja ini," kata Curtis.
Menurutnya, uri yang hendak digunakan perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dihantar kepadanya dalam tempoh 48 jam selepas bersalin.
"Doktor juga perlu mengesahkan organ tersebut tidak dicemari kuman hepatitis atau HIV.
"Ramai pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan saya sehingga mendorong saya memasak 18 hingga 20 uri sebulan untuk dijadikan kapsul," tambah wanita itu.
Menurutnya, permintaan untuk kapsul uri itu meningkat 200 peratus sejak perniagaan tersebut diasaskan pada tahun 2011.
Dalam pada itu, seorang ibu berusia 28 tahun, Amy Coffield memberitahu, pil uri tersebut telah membantu menyelamatkan nyawanya.
"Selepas melahirkan bayi pertama, saya meroyan dan tidak ingin hidup.
"Namun, selepas mengambil pil uri sendiri ini. saya kembali ceria dan dapat melaksanakan tugas sebagai seorang ibu dan isteri," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2g83ESSfc 
Hakcipta terpelihara 

Menara ikan buntal setinggi 15 tingkat



MENARA berbentuk seperti ikan buntal yang dalam pembinaan di sebuah pulau di Daerah Yangzhong, selatan China.- Agensi


YANGZHONG - Sebuah menara pemantau menyerupai seekor ikan buntal gergasi mencetuskan kontroversi dalam kalangan pengguna internet di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Dibina menggunakan 8,920 kepingan tembaga dan menelan belanja 70 juta yuan (RM37.4 juta), menara itu terletak di sebuah pulau di daerah ini, dalam wilayah Jiangsu di timur China.
Binaan berkenaan memiliki ketinggian 15 tingkat.
Penduduk setempat yang menyambut baik pembinaan menara itu memberitahu, struktur mewah itu meningkatkan imej daerah mereka.
Namun, ramai pengguna internet menganggap pembinaan menara tersebut satu pembaziran.
"Saya benar-benar memuji golongan kaya ini kerana sanggup berbelanja besar untuk membina sesuatu yang tidak berguna," kata seorang pengguna laman jaringan sosial Sina Weibo, Mother 988 secara sinis.
Akhbar People's Daily yang menjadi lidah pemerintah China mengakui bahawa orang ramai mempunyai pendapat yang berbeza berhubung menara tersebut.
Rekod awam menunjukkan pentadbiran wilayah Jiangsu mempunyai hutang paling banyak di China. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2g82e0d7b 
Hakcipta terpelihara 

Pelukis hasilkan tiga lukisan serentak



Kiessling menghasilkan sebuah lukisan di Vienna manakala paparan skrin menunjukkan sebuah robot menirunya di London kelmarin.- REUTERS


VIENNA - Seorang artis seni melukis tiga keping gambar di tiga ibu kota di Eropah secara serentak kelmarin.
Pencapaian tersebut dilakukan oleh Alex Kiessling dengan bantuan dua robot yang meniru lukisannya pada masa sebenar, di Britain dan Jerman.
Kiessling melukis di bandar raya ini manakala sepasang robot industri di London dan Berlin pula melukis gambar sama secara serentak.
Dia berbuat demikian dengan bantuan siaran satelit.
Para penonton di London dan Berlin dapat melihat perkembangan lukisan tersebut pada skrin gergasi.
"Lukisan oleh robot-robot berkenaan masih sebahagian daripada karya saya tetapi ia mempunyai fungsi yang berbeza," kata Kiessling. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2g82JZxKR 
Hakcipta terpelihara 

Friday, September 27, 2013

Pak belang tinggal serumah

Pak belang tinggal serumahBorges bersama seekor daripada harimau peliharaan di Sao Paulo.

SAO PAULO - BRAZIL. Sebuah keluarga pencinta haiwan sanggup tinggal serumah dengan tujuh harimau seberat kira-kira 222 kilogram di Maringa, Brazil.

Ary Borges berkata, beliau mula memelihara haiwan pemangsa itu selepas menyelamatkan dua harimau dari sarkas lapan tahun lalu.

"Saya tidak bimbang membiarkan anak dan cucu bermain dengan harimau ini. Kita perlu tunjukkan rasa sayang dan hormat kepada haiwan itu supaya ia lebih jinak," katanya pada Daily Mail.

Menurutnya, selain membenarkan harimau itu bebas, mereka juga melakukan aktiviti riadah bersama.

"Saya terpaksa mengawal pembiakannya selepas pihak berkuasa mengehadkan permit pemilikan," katanya.

Beliau berkata, keluarganya kini dalam perancangan membina taman eko seluas 17 hektar untuk melakukan program pembiakan.

Gempa Pakistan wujudkan pulau baru

Gempa Pakistan wujudkan pulau baruOrang ramai mengunjungi 'pulau baru' di perairan Gwadar. Gambar kecil: Lokasi pulau.

ISLAMABAD - PAKISTAN. Sebuah pulau baru kira-kira 600 meter dari pantai Gwadar di Laut Arab terbentuk selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda daerah Awaran di wilayah Balochistan, Pakistan, kelmarin.

Ketua Pusat Pemantauan Seismologi, Zahid Rafi berkata, pembentukan pulau sepanjang 91 meter dengan kedalaman 21 meter itu tidak mustahil jika dilihat kepada magnitud gempa.

"Gempa bumi yang besar boleh menyebabkan perubahan bentuk ketara pada kerak bumi, terutamanya di sepanjang pantai," katanya pada Press TV.

Seorang ahli biologi marin dari Institut Oseanografi Pakistan, Muhammad Danish berkata, dasar laut berhampiran pantai Makran mempunyai hidrat gas beku dengan jumlah metana yang besar menyebabkan pengeluaran gas metana dari pulau itu.

Kemunculan pulau berhampiran Gwadar itu adalah yang keempat di rantau itu sejak 1945.

Sementara itu, media melaporkan, jumlah kematian akibat gempa bumi telah meningkat melebihi 340 orang. "Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," kata laporan itu.

IPhone warna emas dilelong RM32,534



IPHONE 5S berwarna emas ini dilelong pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga runcit.


LONDON - Versi terbaharu telefon pintar iPhones 5S berwarna emas dijual di laman web lelongan eBay pada harga AS$10,100 (RM32,534), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Telefon pintar keluaran firma Apple Inc. itu dijual pada harga lebih tinggi berbanding telefon pintar bersalut emas lain yang berada di pasaran.
Selain itu, Apple turut menghasilkan telefon pintar iPhones 5S dalam versi warna perak dan kelabu.
Gajet kesukaan ramai itu menjadi rebutan peminatnya sejurus ia memasuki pasaran pada Jumaat lalu.
Sejumlah pengguna eBay sedaya upaya cuba memiliki telefon pintar berwarna emas berkapasiti 16GB itu dengan membida 12 kali ganda lebih tinggi daripada harga runcit.
Pada saat-saat akhir bidaan, harga tawaran yang bermula pada AS$2,500 (RM8,053) meningkat kepada AS$10,100(RM32,534).
Walaupun iPhone berwarna emas sudah beberapa kali dijual di eBay, lelongan tersebut mencatat harga paling tinggi setakat ini.
Dalam pada itu, Apple mendedahkan, ia telah menjual sebanyak sembilan juta unit iPhone 5S dan iPhone 5C dalam tempoh tiga hari selepas gajet berkenaan dilancarkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2g21LkwvZ 
Hakcipta terpelihara 

Keluarga di Brazil bela tujuh ekor harimau



SEEKOR harimau bergurau dengan Borges di meja makan ketika ahli keluarganya menjamu selera bersama.


MARINGA - Sebuah keluarga di Brazil memelihara tujuh ekor harimau di rumah mereka sebagai haiwan peliharaan sejak lapan tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada mereka.
Pemilik haiwan itu, Ary Borges berkata, dia telah menyelamatkan dua ekor harimau dewasa bersama beberapa ekor anak harimau daripada sebuah sarkas.
Borges, 43, kemudian membina sebuah kandang di belakang rumahnya untuk memelihara dan membiak mamalia tersebut.
Ahli-ahli keluarga Borges makan dan berenang bersama harimau-harimau itu. Malah, dia turut membenarkan anak-anaknya menunggang binatang buas berkenaan.
"Saya tidak pernah risau apabila anak-anak saya bermain dengan harimau-harimau itu," kata Borges.
"Anda perlu tunjukkan rasa hormat dan kasih pada haiwan ini. Dengan cara itu, kita akan disayanginya," tambahnya.
Borges dan tiga anak perempuannya Nayara, 20, Uyara, 23, dan Deusanira, 24, kerap membawa harimau-harimau tersebut bersiar-siar.
Lelaki berkenaan juga memberi makan dengan menyuap daging ke mulut haiwan liar berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2g210DCvm 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, September 26, 2013

327 mangsa gempa


Aaran (Pakistan): Petugas penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa gempa bumi yang meragut 327 nyawa dalam kejadian gempa bumi yang melanda barat daya negara itu, semalam.

Bencana itu turut meruntuhkan ribuan rumah dan membentuk sebuah pulau baru di pesisir pantai.


Gempa bumi 7.7 magnitud itu berlaku di daerah Awaran di Wilayah Baluchistan.

Pegawai berkata, 327 orang disahkan mati setakat ini, 208 di daerah Awaran.


Jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat menghampiri lebih banyak kampung di kawasan pedalaman.


“Sejumlah enam daerah iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar dan lebih 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi itu,” kata jurucakap Kerajaan Baluchistan Jan Muhammad Buledi.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Latif Kakar berkata, 30 mangsa disahkan terbunuh di daerah Kech.


Buledi berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mayat tetapi memberi keutamaan kepada mangsa cedera untuk dibawa ke hospital segera walaupun tugas yang sukar kerana kawasan terpencil dan tiada kemudahan.

“Kami tiada kemudahan perubatan dan tidak ada ruang untuk merawat mangsa yang cedera di hospital di sini.


“Kami berusaha menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital Karachi dengan menaiki helikopter dan pesakit lain ke daerah berdekatan,” katanya.


Pihak berkuasa Hospital Karachi Aga Khan berkata pihaknya sudah bersedia menerima pesakit, tetapi tiada seorang pun tiba setakat ini.


Tentera menghantar 100 kakitangan perubatan dan 1,000 anggota lain ke kawasan terbabit dan membina sebuah pusat perubatan di Tarteej, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.


Pasukan tentera laut pula menghantar sebuah kapal membawa bekalan ke pelabuhan Gwadar dan pesawat untuk membawa mangsa cedera ke Karachi dan Ormara.


Seorang pegawai kanan di Awaran, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan petugas berusaha mencari mayat dan mangsa yang terkambus dalam lumpur.


“Kira-kira 90 peratus rumah di daerah berkenaan musnah. Hampir semua rumah yang dibina daripada lumpur di situ runtuh,” katanya, semalam. Gempa yang berlaku lewat malam kelmarin turut dirasakan sejauh New Delhi dan Dubai.


Penduduk bandar Ahmedabad di India yang bersempadan dengan Pakistan turut merasa gegaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Hidung baru atas dahi

Foto
DOKTOR memeriksa hidung asal Xiaolian yang mengalami jangkitan.
Foto
HIDUNG baru Xiaolian.

Beijing: Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Xiaolian mempunyai hidung baru yang tumbuh di dahinya.

Xiaolian, 22, menjalani rawatan bagi menggantikan hidung asalnya yang cacat selepas dijangkiti virus di sebuah hospital di Fuzhou, wilayah Fujian.


Xiaolian, mengalami kecacatan di bahagian hidungnya akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu dan doktor yang merawatnya gagal memulihkan hidungnya.

Ekoran nahas yang dialaminya, hidung Xiaolian mengalami jangkitan dan tulang hidungnya terjejas.


Doktor tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menjalankan prosedur yang membolehkan hidung barunya tumbuh di dahi bagi menggantikan hidung asalnya.


Hidung itu direka dengan menanam tisu kulit ke dahi Xiaolian.


Ia dipotong mengikut bentuk hidung dan disokong oleh tulang rawan yang diambil daripada rusuk Xiaolian.


Pakar bedah berkata, hidung baru itu tumbuh dengan baik dan pembedahan transplan akan dijalankan dengan secepat mungkin. - Agensi

Berlian merah jambu sebesar biji plum akan dilelong



SEORANG model menunjukkan berlian seberat 59.6 karat di Geneva, Switzerland semalam.- afp


GENEVA - Sebutir berlian merah jambu seberat 59.60 karat yang dikenali sebagai Pink Star akan dilelong oleh firma Sotheby pada November depan pada harga tawaran AS$60 juta (RM196.8 juta).
Harga tersebut adalah yang paling mahal untuk sebutir batu permata.
"Sebutir berlian merah jambu seberat 5 karat adalah sukar untuk ditemui, bayangkan permata ini mempunyai berat 59.60 karat," kata pengerusi divisyen barang kemas Sotheby's, David Bennett.
Menurutnya, batu berlian itu dilombong oleh firma De Beers di Afrika pada 1999 tanpa mendedahkan nama negara berkenaan.
"Berlian merah jambu yang sebesar buah plum kering itu dahulunya seberat 132.5 karat sebelum dicanai," ujar Bennet. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2fwGWnqC2 
Hakcipta terpelihara 

Kediaman di pulau dijual RM12.8 juta



KEDIAMAN tujuh bilik di Pulau Belden, dalam negeri Connecticut, Amerika Syarikat yang berusia lebih 100 tahun.- Agensi


HARTFORD, Connecticut - Sebuah pulau persendirian bersama kediaman di perairan negeri Connecticut akan dijual dan bakal menjadi milik anda pada harga AS$4 juta (RM12.8 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Selain itu, pembeli juga berpeluang untuk menemui sebuah peti harta karun berisi emas yang tertanam di pulau berkenaan menurut legenda tempatan.
Pulau Belden itu dilengkapi tujuh bilik yang dibina pada tahun 1912 dan masih berada dalam keadaan baik.
Premis berusia lebih 100 tahun ini mempunyai reka bentuk kolonial British di samping pemandangan laut yang indah.
Pemiliknya, Cristine Svenningsen membayar sebanyak AS$2.66 juta (RM8.5 juta) untuk Pulau Belden pada tahun 2006.
Sementara itu, mereka yang mahu membeli Pulau Belden perlu maklum bahawa pengangkutan pergi dan balik dari lokasi tersebut tidak disediakan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2fwEz1Cqd 
Hakcipta terpelihara 

Bekas lelaki paling gemuk ada kekasih



PAUL MASON memegang sekeping gambar kekasihnya, Rebecca Mountain di London kelmarin.- Agensi


LONDON - Bekas lelaki paling gemuk di dunia, Paul Mason yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 292 kilogram (kg) kini telah mempunyai seorang teman wanita, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lelaki yang pernah memiliki berat badan 444 kg itu berkata, dia menemui wanita berkenaan, Rebecca Mountain selepas hilang separuh berat badannya.
"Saya jauh hati pada Rebecca selepas wanita berkenaan menghubungi saya di laman sosial Facebook," kata lelaki berusia 52 tahun itu.
Menurut Mason, wanita itu berminat untuk berkenalan dengannya selepas melihat dia muncul di kaca televisyen.
Rebecca, 40, tinggal di Amerika Syarikat yang terletak pada jarak 5,632 kilometer dari sini.
"Jarak yang jauh menyebabkan kami belum lagi bertentang mata," kata Mason yang kini mempunyai berat badan 152 kg.
"Namun, saya kini dilamun cinta, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini pada saya," tambahnya.
Menurut lelaki berkenaan, dia berharap dapat menemui Rebecca suatu hari nanti.
"Personaliti, semangat dan kesungguhannya serta senyumannya membuat saya jatuh cinta," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fwEekL90 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi di Pakistan lahirkan pulau kecil


SEBUAH rumah yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan bandar Awaran dalam wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan kelmarin.- REUTERS


QUETTA - Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 327 orang semalam selepas beratus-ratus buah rumah runtuh menimpa penghuninya di kawasan pedalaman dekat sempadan Iran, kata beberapa pegawai.
Gempa itu menggegarkan wilayah Baluchistan kelmarin dan turut dirasai di seluruh rantau Asia Selatan.
Bencana tersebut memusnahkan sejumlah kediaman dan menyebabkan daerah yang paling teruk terjejas, Awaran, terputus hubungan dengan dunia luar.
Gempa berkenaan amat kuat sehingga menyebabkan sebuah pulau kecil muncul di perairan Laut Arab.
"Kami mula menanam mangsa-mangsa yang meninggal dunia," kata Deputi Komisioner Awaran, Abdul Rasheed Gogazai semalam.
"Sebanyak 285 mayat telah ditemui di daerah Awaran setakat ini manakala 42 lagi dijumpai di daerah berdekatan, Kech," tambahnya.
Menurut Abdul Rasheed, lebih 373 orang turut cedera dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera mengerahkan beberapa helikopter bersama beratu-ratus askar bagi membantu usaha menyelamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat memberitahu, gempa bumi itu berukuran 7.8 pada skala Richter.
Selepas gempa berlaku, penduduk di pesisir pantai dekat pelabuhan Gawdar berhimpun untuk melihat kemunculan pulau kecil tersebut.
Pulau batu dan pasir tersebut muncul selepas gempa bumi kuat itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2fwE02x7D 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, September 25, 2013

Cerita sedih pembuatan kopi luwak


Satu kajian mendapati, musang yang menghasilkan kopi luwak menjadi mangsa seksaan pengeluar kopi itu di Indonesia dan Filipina. - AGENSI
LONDON 24 Sept. - Kopi Luwak terkenal di seluruh dunia, dan turut mendapat publisiti dalam program Oprah Winfrey Show serta filem, The Bucket List, tetapi ada cerita sedih di belakang populariti kopi itu.
Tidak ramai mengetahui, musang yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia itu menjadi mangsa seksaan pengeluar minuman tersebut.
Satu siasatan oleh penyiasat haiwan mendapati, musang berkenaan menerima layanan tidak sewajarnya seperti dikurung di dalam sangkar yang sempit, kotor, serta mengalami jangkitan kulit.
Menurut penyiasat, keadaan mengejutkan yang dialami musang-musang itu didedahkan selepas pemeriksaan dijalankan di ladang-ladang yang menghasilkan kopi luwak di sekitar Indonesia dan Filipina.
Rakaman video yang diambil oleh penyiasat juga menunjukkan, musang-musang terlibat turut mengalami penyakit berkaitan sistem saraf seperti berjalan laju setiap masa, berpusing-pusing dan mendongak kepala, petanda haiwan tersebut berada di bawah tekanan akibat kebosanan dan kemurungan.
Menurut pekerja ladang yang ditemui sepanjang siasatan, musang secara umumnya diletakkan di dalam sangkar selama tiga tahun.
Seorang lagi pekerja ladang mendedahkan, ada antara musang dipaksa makan biji kopi terlalu banyak, mengakibatkannya mengalami kekurangan vitamin dan masalah nutrisi.
Bagaimanapun, penyeksaan dialami musang-musang itu tidak pernah didedahkan sebelum ini, namun pemilik ladang biasanya mendakwa, mereka menghasilkan kopi luwak daripada musang yang hidup bebas di hutan.
Bekas pedagang kopi, Tony Wild yang juga penulis buku Coffee: A Dark History memberitahu BBC, harga kopi luwak boleh mencecah sehingga 60 pound (RM303) secawan, hanya kerana orang ramai percaya ia sukar dihasilkan.
Kopi luwak yang dihasilkan daripada najis musang yang makan biji kopi sebelum ia dibersihkan dan diproses, turut dijual di gedung membeli-belah terkemuka Harrods.
Dalam penyiasatan berasingan oleh BBC, produk kopi luwak terkenal, Wahana Luwak yang dijual di Harrods, dihasilkan oleh sebuah syarikat, Sari Makmur yang menggunakan musang yang dikurung di dalam sangkar.
Perkara itu pada mulanya dinafikan oleh Sari Makmur, namun pekerja mereka mendedahkan sebaliknya, sekali gus membuatkan syarikat itu akhirnya mengaku mereka berbuat demikian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130925/lu_10/Cerita-sedih-pembuatan-kopi-luwak#ixzz2g2El01Wg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tumpang pesawat ke 50 negeri

Foto
AMANDA bakal menamatkan misinya mengembara ke 50 negeri di Amerika Syarikat tidak lama lagi.
New York: Kisah Amanda Nolan mungkin kedengaran kurang wajar pada mulanya. Dia cuba untuk menumpang kereta orang untuk mengembara ke seluruh Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, sebaliknya Amanda membuat perjalanan ke 50 negeri di AS dengan menumpang pesawat peribadi orang lain. Amanda seorang penulis kembara memulakan perjalanannya Julai tahun lalu dan masih mempunyai lapan lagi negeri untuk dikunjungi sebelum menyelesaikan perjalanan yang luar biasa itu.

Dia menulis setiap perjalanannya dalam blok Jet Hiking dan laman sosial Facebooknya. Dalam wawancaranya bersama Daily Mail baru-baru ini, Amanda memberitahu sebagai penulis kembara, dia sudah ke serata dunia tetapi belum mengunjungi semua negeri di negaranya sendiri.
“Saya mahu merasai pengalaman di negara sendiri dengan cara yang unik dan mula memikirkan mengenai hal itu,” katanya.

Secara rasmi dia bakal mengunjungi semua 50 negeri sebaik saja menumpang untuk terbang ke Alaska, Hawaii, Utah, Kansas, Oklahoma, Missouri, Illinois dan Indiana. Kebanyakan negeri dalam senarai itu berjiran antara satu sama lain, jadi mungkin wajar untuknya menyelesaikan misi itu tidak lama lagi.

Namun, ternyata perjalanannya jauh lebih sukar daripada dibayangkan.

“Saya menghabiskan berjam-jam lamanya menghubungi orang ramai.

“Saya akan ke lapangan terbang dan memberitahu orang apa yang saya lakukan dan menunggu lama. Ada kala saya terpaksa menunggu selama berhari-hari sebelum dapat bertemu orang yang menuju ke destinasi yang sama,” katanya.
Malah, dia juga pernah kehabisan wang, melakukan kerja sambilan di beberapa 250 bandar yang dikunjunginya hingga dapat mengumpul wang untuk menyambung perjalanan seterusnya. - Agensi

Kemaluan kena potong

Foto
UBAT perangsang seks Viagra yang sering diambil kaum lelaki.
Bogota: Seorang lelaki dari selatan Colombia terpaksa membenarkan kemaluannya dipotong selepas dia didakwa menelan dos Viagra secara berlebihan bagi mengambil hati teman wanitanya.
Lelaki berusia 66 tahun dari Gigante itu memberitahu akhbar tempatan, dia dengan sengaja menelan ubat itu secara berlebihan. Dia kemudian dikatakan mengalami ereksi selama beberapa hari sebelum dipaksa mendapatkan nasihat doktor. Menurut laman berita Colombia Reports, ubat perangsang seksual itu menyebabkan lelaki yang didakwa peladang dan juga ahli politik itu mendapat tanda-tanda gangren.

Apabila dia mendapatkan bantuan perubatan, doktor di Gigante merujuknya ke pusat perubatan di Neiva dan petugas perubatan di sana menyatakan saraf di kemaluannya mengalami regangan.
Dia diberitahu satu-satunya pilihan yang ada ialah kemaluannya perlu dipotong agar regangan saraf itu tidak merebak ke bahagian lain tubuhnya. Seorang doktor memberitahu akhbar La Nacion: “Buah zakar dan kemaluan pesakit lebam dan dia kini masih dirawat.”

Ekoran kejadian itu, hospital di Neiva memberi amaran kepada lelaki terbabit agar tidak menggunakan ubat perangsang seks tanpa preskripsi doktor.

Sementara itu, awal minggu ini seorang lelaki Yaman mati selepas mengambil Viagra secara berlebihan ketika bersedia untuk tidur bersama isteri barunya pada hari pertama perkahwinan mereka.

Lelaki berusia 25 tahun itu menelan lima pil Viagra sekali gus hingga membunuhnya, lapor akhbar harian berbahasa Arab Okaz Al Youm. - Agensi

Monday, September 23, 2013

Fon telinga bersalut emas pertama di dunia

FON telinga bersalut emas ini berharga AS$14,000 (RM46,900).- Agensi


BERLIN - Sebuah fon telinga bersalut emas seberat 18 karat yang pertama seumpamanya di dunia telah diperkenalkan di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Fon telinga jenama Happy Plugs dari Sweden itu dipertontonkan pada pameran elektronik IFA di Berlin, Jerman Khamis lalu.
Fon telinga buatan tangan itu ditawarkan pada harga AS$14,000 (RM46,900). Ia menyamai harga sebuah kereta, dua buah jam Rolex atau sebentuk cincin berlian jenama barang kemas terkemuka, Tiffany & Co. di New York.
Gajet itu dihasilkan oleh sebuah syarikat emas, Goldsmith dekat wilayah Old Town, Stockholm.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Happy Plugs, Andreas Vural menjelaskan, "Kami hasilkan sebuah fon telinga bersalut emas 18 karat yang boleh dimiliki pada harga AS$14,000."
Kedua-dua belah fon telinga itu disalut emas termasuk pada wayarnya.
Happy Plugs turut mengeluarkan fon telinga berwarna metalik versi emas, perak dan pelbagai warna lain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2fjGVeK00 
Hakcipta terpelihara 

Kereta berbentuk pesawat makhluk asing dilelong



ETV ini nampak lebih menarik dan mengagumkan di bahagian hadapan.- Agensi


TALLAHASSEE, Florida - Seorang lelaki, Michael Vetter melelong sebuah kereta yang memiliki bentuk luar biasa (ETV) miliknya di laman web lelong eBay pada harga AS$100,000 (RM315,337).
Kereta yang diubah suai secara ekstrem dan kelihatan seperti kenderaan makhluk asing itu menyebabkan sesiapa sahaja terpegun apabila melihatnya.
Tindakan Vetter menjual kereta yang dibelinya pada tahun 2012 di eBay itu menarik perhatian ramai peminat kereta.
"Anda melihat sebuah kereta yang ramai orang suka bergambar dengannya pada setiap hari, lebih banyak daripada mana-mana kereta Lamborghini atau Ferrari.
"Pemanduannya sangat lancar, padu dan boleh dipercayai. Berdasarkan rupa bentuknya, semakin laju dipandu, ia akan menjadi semakin senyap," katanya yang memasang enjin Chevy 2.2 liter dalam kereta berkenaan.
Tambahnya, ia juga kelihatan lebih menarik pada waktu malam.
"Saya telah memasang satu sistem lampu LED pada bahagian bawah kereta. Ia menghasilkan kesan cahaya yang menarik," kata Vetter. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fj7MHD9W 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 21, 2013

Perkahwinan tragis

Perkahwinan tragisImpian Jingjing untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang istimewa direalisasikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

GUANGZHOU - CHINA. Rancangan He Jingjing dan pasangannya, Lu Lai dari Guangdong, tenggara China untuk mendirikan rumah tangga tetap direalisasikan keluarga kedua-dua belah pihak walaupun wanita itu koma sejak dua tahun lalu.

Jingjing turut dipakaikan gaun pengantin ketika upacara tersebut yang diadakan serentak dengan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-28.

Bagaimanapun, suasana bertukar sedih ketika doktor mencabut alat bantuan hayat tidak lama selepas Jingjing bergelar isteri.

Menurut suaminya, mereka pernah mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang istimewa.

"Jingjing nekad bekerja tanpa henti untuk mengumpulkan wang walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Akhirnya, dia dimasukkan ke hospital selepas jatuh pengsan pada 2011.

"Kami tidak mampu berbuat apa-apa selepas doktor mengesahkan isteri saya koma kerana mengalami kerosakan kekal pada otak," jelasnya.

Sementara itu, menurut laporan dipetik dari DailyMail bapa pengantin perempuan, Fang Lu berkata, Jingjing adalah seorang anak yang istimewa dan berhati mulia.

"Dia pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi penderma organ bagi membantu insan lain meneruskan hidup mereka," katanya lagi.

Rumah mudah alih

Rumah mudah alihRumah Casa Transportable APH80 ini menggunakan konsep hiasan dalaman mewah.

MADRID - SEPANYOL. Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti sebuah bangsal logam biasa.

Bagaimanapun, ia sebenarnya adalah sebuah rumah kecil mudah alih dilengkapi ruang tamu dan bilik tidur berkonsepkan hiasan dalaman mewah serta boleh didirikan dalam tempoh 24 jam.

Rumah digelar Casa Transportable APH80 berukuran tiga meter tinggi itu direka oleh sebuah syarikat seni bina di Sepanyol.

Ia dibina menggunakan bahan kitar semula dan hanya mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

Difahamkan, rumah kecil itu lebih selesa jika didiami tidak melebihi daripada dua orang dalam satu masa.

Menurut syarikat hiasan dalaman Batavia, walaupun bahagian luar rumah itu kelihatan suram, hiasan dalamannya tidak menghampakan kerana menggunakan papan berkualiti dan tidak menimbulkan alahan kepada pemiliknya, laporan dipetik dari DailyMail.

Cendawan rawat Aids

Cendawan rawat AidsRUSIA - Satu lagi penemuan baru bagi merawat penyakit Aids ditemui saintis Rusia menggunakan cendawan Chaga yang tumbuh di Serbia.

Menurut saintis dari Institut Vector di Novosibirsk, spesies cendawan tumbuh di pokok birch itu menunjukkan reaksi positif untuk digunakan dalam perubatan antiretroviral berbanding dua jenis cendawan lain yang turut digunakan dalam kajian sama.

"Terikan yang terdapat pada cendawan ini menunjukkan tahap toksik yang rendah dan kesan anti virus yang kuat, selain berkesan menghalang influenza, penyakit cacar dan HIV," katanya dalam satu kenyataan, dipetik dari Daily Mail.

Chaga atau nama saintifiknya Inonotus obliquus dianggap mengandungi asid betulinic yang mempunyai ciri antiretroviral dan anti radang serta telah digunakan oleh pengamal perubatan tradisional di Serbia sejak berabad.

Berbeza dengan spesies cendawan lain yang biasanya lembut, Chaga adalah keras seperti kayu dan ditemui di habitat sejuk seperti Rusia, Eropah Timur, Amerika Syarikat dan Kanada.

Sesetengah daripada mereka juga percaya, cendawan itu boleh merawat penyakit kanser.

Namun, masih tiada ujian klinikal yang mampu membuktikannya, menurut pakar Pusat Kanser Memorial Sloan-Kettering di New York.

Tanam kereta untuk guna lepas mati


Sao Paolo: Seorang usahawan kaya raya “Count Scarpa” menanam hartanya yang paling hebat iaitu sebuah kereta Bentley berharga £310,000 (RM1.5 juta) untuk memudahkan urusannya selepas dia mati kelak.

Dalam pengumuman di laman Facebooknya, lelaki berusia 62 tahun itu mengisytiharkan dia bercadang untuk meniru perbuatan Firaun dengan membawa bersama kekayaannya apabila mati kelak.

Esok (hari ini), dia akan menanam kereta Bentley Continental barunya bagi memastikan dia selesa dalam perjalanannya selepas mati.

Upacara itu dijadual berlangsung jam 11 pagi.

Foto
SCARPA di depan lubang yang digali untuk menanam Bentley kesayangannya.

Foto
BENTLEY baru bernilai RM1.5 juta menjadi harta berharga Scarpa.

Dalam foto di rangkaian sosialnya, Count Scarpa dilihat berdiri di sebelah kenderaan berwarna hitam itu, model terbaru di pasaran dengan seekor burung kakak tua di lengannya dan menulis: “Saya mengisytiharkan untuk meniru perbuatan Firaun; minggu ini saya akan menanam kereta kegemaran saya, Bentley ini di taman dekat rumah saya! Tanam harta berhampiran istana saya!”


Count Scarpa berkata, dia menggali kubur itu dekat taman di belakang rumah agamnya di Jardins, satu daripada kawasan kejiranan golongan mewah di Sao Paolo.

Pada Selasa, dalam satu lagi foto, dia yang memakai tali leher merah jambu dan memegang penyodok berdiri di depan lubang yang dalam dengan kereta Bentley berkilat miliknya diletakkan di belakangnya.

Dia menulis: “Kepada mereka yang meragui saya, semalam saya sudah mula menggali lubang di taman untuk menanam Bentley saya! Hujung minggu ini, saya akan menanamnya.”

Ahli perniagaan itu yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi dan juga jurulatih tali pinggang hitam serta pemilik Institut Aikido Maruyama, akademi seni pertahanan diri Jepun menjelaskan yang keputusannya untuk menanam harta bagi kemudahan selepas mati dibuat selepas menonton program Mesir purba minggu lalu.

“Saya menonton dokumentari mengenai Firaun yang sangat menarik. Mereka menanam semua harta untuk memperoleh kehidupan selesa selepas mati,” katanya.

Pada hari berikutannya, keputusan Count Scarpa untuk menanam kereta Bentley menerima lebih 5,680 like dan dikongsi lebih 6,000 orang. - AFP

Friday, September 20, 2013

Pekerja binaan jumpa ‘lintah gergasi’

Sungai Siput: Beberapa pekerja binaan yang sedang menggali longkang berhampiran kawasan perindustrian di Kampung Muhibbah, di sini, bertempiaran melarikan diri sejurus terserempak haiwan aneh seperti ‘lintah gergasi’, pagi semalam.
Haiwan bertubuh lembik seberat 25 kilogram dan panjang hampir dua meter itu menggerunkan penduduk berikutan turut mempunyai bentuk muka menyerupai anjing.

Pekerja yang enggan namanya disiarkan berkata, haiwan itu ditemui di dalam longkang yang digali mereka pada jam 10.15 pagi.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan penemuan haiwan itu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sungai Siput untuk menangkap haiwan itu.

“Saya tidak pasti sama ada ia ular berikutan tubuhnya lembik seperti lintah. Malah, kulit haiwan itu agak kasar seperti kulit biawak.

“Ini kali pertama saya melihat haiwan pelik seumpama itu. Saya memang terkejut dan hairan bagaimana haiwan itu berada di dalam lubang yang digali,” katanya.
Foto
Sementara itu, Pegawai Angkatan dan Latihan Operasi JPAM Leftenan A Balasubramaniam berkata, tiga anggotanya dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap haiwan aneh itu.

Menurutnya, petugas JPAM turut terkejut berikutan tidak pernah berjumpa haiwan seumpama itu sebelum menangkap dan membawanya pulang ke pejabat JPAM, di sini.
“Kami sendiri pelik dengan haiwan itu berikutan ia tidak agresif sebaliknya mempunyai tubuh lembik dan menggerutu.

“Namun, akhirnya kami dimaklumkan ia sejenis ular air dipanggil ular guni buruk atau ular karung guni yang dikategorikan sebagai ular air tawar,” katanya.

Kafe kucing pertama dibuka di Perancis



Seorang pelanggan mengusap seekor kucing sambil menikmati minuman yang dihidangkan di kafe kucing di Paris, Perancis.- Agensi


PARIS - Sebuah kafe kucing pertama telah mula beroperasi di Perancis di sini pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kafe itu dipenuhi dengan sembilan ekor kucing yang bersedia menunggu untuk menghiburkan para pelanggan dengan kerenah masing-masing.
Kafe seumpama ini yang popular di Tokyo, memiliki berbelas-belas ekor kucing. Ia membenarkan para pelanggan yang tidak berpeluang untuk memiliki kucing di rumah menikmati secawan air panas dengan seekor kucing berdengkur sambil menggeselkan badan di lulut.
Margaux Gandelon merupakan wanita yang bertanggungjawab di sebalik pembukaan kafe itu di daerah Marais.
Menurutnya, kucing-kucing tersebut telah dipilih dengan teliti berdasarkan kemahiran sosial mereka.
Tegasnya lagi, kebersihan dan kebajikan kucing-kucing itu sentiasa menjadi keutamaannya.
"Kucing saya bebas bergerak sepanjang hari dan malam," katanya.
Seorang pelanggan, Cindy Engel yang berasal dari Strasbourg telah melawat kafe itu lebih awal daripada hari pelancarannya untuk melakukan pratonton.
Dia yang berusia 31 tahun dan sangat mengalu-alukan konsep kafe tersebut berkata, ia menggalakkan dirinya untuk berinteraksi dengan orang lain berbanding peralatan elektronik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2fNkpH3Jv 
Hakcipta terpelihara