Pages

Friday, June 22, 2012

Tawan Kilimanjaro dengan tangan

     
WEST menggunakan tangan untuk  mendaki Kilimanjaro.
WEST menggunakan tangan untuk mendaki Kilimanjaro.
LONDON: Spencer West meraikan kejayaannya selepas berjaya mendaki puncak tertinggi di Afrika walaupun tidak mempunyai kaki.
Lelaki yang memiliki semangat tinggi berusia 31 tahun itu menggunakan tangannya untuk mendaki Gunung Kilimanjaro setinggi 19,341 kaki dalam tempoh tujuh hari. West seorang yang berani dan telah menjalani dua pembedahan memotong kaki ketika berusia lima tahun selepas dilahirkan dengan kecacatan genetik - berlatih selama setahun sebelum memulakan misinya pada 12 Jun lalu bersama dua rakannya.

West dari Toronto, Kanada berkata: “Saat puncak gunung dapat dilihat adalah detik yang hebat. Gunung itu kelihatan menakjubkan. “Kami melihat di sekeliling dan menyedari selepas pendakian yang meletihkan selama tujuh hari, dengan darah, muntah, keringat dan air mata yang mengalir, selepas 20,000 kaki, kami berjaya melakukannya.

“Jari yang berdarah dan melepuh, semuanya berbaloi,” katanya. Hanya kira-kira 50 peratus yang cuba mendaki hingga ke puncak Kilimanjaro berjaya melakukannya.

West menggunakan kerusi roda untuk 20 peratus pendakian yang sukar, manakala selebihnya menggunakan tangannya. Ketika West kanak-kanak, doktor memberitahunya dia tidak mungkin dapat menjadi anggota mana-mana persatuan kerana kecacatan dialaminya.

Namun, dia terus melakukan perkara yang menentang pendapat pakar. Dia berkata: “Saya berazam untuk mendaki Gunung Kilimanjaro bukan saja untuk mentafsirkan semula apa yang boleh saya lakukan, tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang lain mengatasi halangan dan cabaran dihadapi mereka dan memberi kepada masyarakat yang memerlukan bantuan kita. “Mendaki ke puncak Gunung Kilimanjaro adalah cabaran paling hebat secara fizikal dan mental saya pernah hadapi, tetapi melakukannya, ia memberi mesej cukup bermakna untuk kita percayakan diri sendiri dan percayakan orang lain.


“Ramai orang membantu saya melakukan pendakian ini dan saya sangat menghargai setiap sokongan yang mereka berikan,” katanya.

Pencapaiannya yang mengagumkan itu berjaya meraih dana lebih 300,000 pound (RM1.5 juta) untuk Free The Children, badan kebajikan yang menyalurkan bantuan kepada ribuan rakyat Kenya yang bedepan dengan bencana kemarau. - TS

Wanita curi RM840,000 biayai majlis kahwin

Suspek kena penjara 20 bulan ambil wang syarikat 

LONDON: Seorang wanita dipenjara 20 bulan selepas didapati bersalah mencuri £168,000 (RM840,000) daripada majikannya untuk membiayai majlis perkahwinannya secara besar-besaran.
Kirsty Lane memalsukan dokumen untuk menggelapkan wang syarikat tempat kerjanya dan majikannya yang turut menjadi tetamu perkahwinan itu mengesyaki sesuatu tidak kena kerana majlis berkenaan diadakan dalam suasana mewah.
Lane, 29, mengahwini Graham pada Januari tahun lalu di Dewan Besar hotel Mains dekat Blackpool. 

Majikannya, Peter Sutton mula mengesyaki sesuatu tidak kena kerana majlis Lane diserikan dengan pertunjukan bunga api, ahli silap mata, penyertaan dua kumpulan pemuzik, pemain saksofon, DJ, membenarkan minuman keras tanpa sekatan, sesi mengecat muka dan pemberian topeng. 

Sutton berkata: “Tetamu disambut dengan bunga-bungaan dan suasana mengagumkan. Majlis yang meriah itu tentu memakan belanja besar juga.” 

Apabila, Sutton pulang ke pejabat tempat pengantin baru itu bekerja sebagai kerani akaun separuh masa, dia mendapati Lane memalsukan invois. 
Lane memasukkan wang syarikat ke dalam akaunnya sendiri dan tidak membayar khidmat firma audio visual di Leyland, Lancashire. 

Malah, dia turut membeli beberapa baju pengiring pengantin dan sebuah iPad dihiasi batu permata pada harga £1,500 (RM8,000). 

Sutton menyifatkan Lane sebagai hampir menyebabkan syarikat muflis. 

“Kami mempunyai 22 tenaga pekerja. Sikap tamak Lane menunjukkan bagaimana kehidupan orang lain boleh musnah. 

Tertuduh yang menitiskan air mata sepanjang sesi memberi keterangan semalam, mengaku salah kepada 122 tuduhan menipu syarikat Pure AV. 

“Majlis perkahwinannya menjadi sebab kami syaki sesuatu tidak kena. Dia selalu kata berasal daripada keluarga miskin dan tidak lakukan apa-apa untuk menyebabkan kami curiga,” kata Sutton. 

Lane kemudian ditahan di rumahnya dan tidak dapat berbulan madu di Mexico seperti dirancang. - Agensi

Umar Patek kena penjara 20 tahun

UMAR memasuki Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam.

UMAR memasuki Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam.
JAKARTA: Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas pembuat bom, Umar Patek, 45, berikutan peranannya dalam serangan bom di Bali pada 2002. 

Patek didapati bersalah bersabit enam dakwaan, sebahagiannya dikaitkan dengan dua serangan bunuh diri serentak di sebuah kelab malam di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh, termasuk 88 rakyat Australia. Hukuman itu mengakhiri siasatan 10 tahun ke atas serangan paling ganas di Indonesia.
Keputusan dibuat jawatankuasa lima orang hakim selepas perbicaraan selama 11 jam dihadiri lebih 100 wartawan, kebanyakannya dari Australia yang bersesak hingga ke luar kamar mahkamah.
“Kami menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara ke atas Umar Patek,” kata Ketua Hakim, Encep Yuliardi. Patek didapati bersalah menjadi perancang awal serangan bom Bali dan beberapa dakwaan lain yang dikaitkan dengan pengeboman ke atas beberapa buah gereja di Jakarta pada malam Krismas 2000 menyebabkan 19 orang terkorban. 

Sejurus mendengar keputusan, Patek berdiri lalu berjabat tangan dengan hakim dan pendakwa sebelum memeluk peguamnya. Beliau kemudian dibawa meninggalkan mahkamah. 

Peguam Patek, Asludin Hatjani memberitahu media, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Patek serta keluarganya esok sebelum memutuskan sama ada anak guamnya mahu kemukakan rayuan. 

“Patek amat kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan dan menganggap ia terlalu berat. Beliau bersikap jujur dan mengakui apa yang dilakukannya. Malangnya mahkamah tidak mengambil kira perkara itu,” katanya. – AFP

Keganasan etnik ragut 80 nyawa

Penduduk Myanmar masih risau keselamatan 

YANGON: Lebih 80 terbunuh dalam keganasan kaum di barat Myanmar bulan ini, kata pegawai kerajaan semalam, ketika penduduk tempatan berkata mereka masih bimbang dengan keselamatan nyawa masing-masing.
Kira-kira 71 maut dalam pertempuran lebih seminggu itu, kata pegawai, sebagai tambahan kepada 10 penduduk Islam yang dibunuh 3 Jun lalu oleh samseng Buddha yang membalas dendam atas jenayah rogol dan bunuh seorang wanita tempatan. Kedua-dua pihak menuduh berhubung serangan itu.

Isnin lalu, dua lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana jenayah rogol dan bunuh, walaupun tiada tahanan, menjalani hukuman berkenaan sejak tahun 1988. 

Negeri Rakhine digegarkan dengan rusuhan, kes kebakaran dan serangan balas dendam membabitkan penduduk Buddha dan Islam Rohingya, yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa. 

Pegawai Myanmar dan ramai rakyat Myanmar, termasuk kebanyakan etnik Buddha Rakhine, menganggap Rohingya sebagai pendatang dari Bangladesh dan merujuk mereka sebagai Benggali. 
Mayat lapan lagi etnik Rakhine ditemui di kampung Yathedaung, 65 kilometer dari ibu negeri wilayah itu, Sittwe, kata pegawai. 

“Mereka dibunuh ketika pertempuran dengan Benggali,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari Sittwe. 

Pemimpin Rohingya berkata angka kematian mungkin lebih tinggi berbanding perangkaan yang diberikan pihak berkuasa. 

Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar dan menyifatkan mereka sebagai minoriti paling tertindas di dunia. 

“Mereka didiskriminasi termasuk had pergerakan dan kurang hak memiliki tanah, pendidikan dan perkhidmatan awam,” kata PBB. 

Bangladesh yang dianggarkan menjadi tempat tinggal 300,000 Rohingya, mengarahkan bot yang membawa mereka berpatah balik sebaik tiba di pantainya sejak ketegangan tercetus. 

Pegawai berkata kelmarin, keadaan berjaya dikawal di kebanyakan tempat di Rakhine, yang menyaksikan perintah darurat dilaksanakan selama lebih seminggu. 

Namun penduduk di Sittwe berkata, keadaan masih tegang dan sekurang-kurangnya sebuah rumah dibakar tengah malam kelmarin. – AFP

Dua lelaki bakar diri di China



RAKAMAN amatur menunjukkan orang ramai melihat dua lelaki membakar diri di daerah Yushu di China kelmarin. - AP


BEIJING - Dua lelaki nekad membakar diri di daerah Yushu, dalam wilayah Qinghai bagi membantah pemerintahan China di Tibet dengan seorang mangsa maut, manakala rakannya parah.
Agensi berita rasmi Xinhua semalam melaporkan, mangsa yang maut merupakan seorang pengembala tempatan. Sementara lelaki yang terselamat berasal dari Aba, dalam wilayah Sichuan.
Sebuah kumpulan pertubuhan nasionalis Tibet dalam buangan, Kongres Pemuda Tibet mengenal pasti mangsa yang mati sebagai Tenzin Khedup, 24, dan rakannya ialah Ngawang Norphel berusia 22 tahun.
Pertubuhan itu turut menyiarkan rakaman video menunjukkan dua lelaki itu memegang bendera kemerdekaan Tibet ketika badan mereka dijilat api.
Sepanjang tahun lalu, dianggarkan berpuluh-puluh orang membakar diri di Tibet, China.
Mereka bertindak demikian kerana mendakwa Beijing menindas penduduk etnik Tibet. - AP

Beribu-ribu orang bersenam yoga


ORANG RAMAI berlatih yoga dalam cuaca panas di dataran Times Square, New York kelmarin.


NEW YORK - Beribu-ribu orang membanjiri dataran Times Square di sini untuk sama-sama melakukan senaman yoga kelmarin.
Pada acara berkenaan, sekitar 1,500 helai alas yoga diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang memenuhi dataran tersebut.
Berlangsung sepanjang hari, aktiviti itu dibahagikan kepada beberapa kursus percuma yang turut disertai pengamal yoga veteran.
Mereka bergerak seirama berpandukan arahan yang disiarkan melalui pembesar suara,
Acara tahunan tersebut diadakan sempena ketibaan musim panas di Amerika Syarikat. - AFP

Pesawat tentera terhempas di atas rumah



BEBERAPA petugas kecemasan memerhatikan timbunan runtuhan selepas sebuah pesawat tentera terhempas di Jakarta semalam.


JAKARTA - Sebuah pesawat milik tentera udara Indonesia semalam terhempas di atas lapan buah rumah di sebuah pangkalan tentera di sini, membunuh sepuluh anak kapal dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima yang lain cedera parah.
"Seorang lagi berada dalam keadaan kritikal," kata jurucakap tentera udara Indonesia, Asman Yunus.
Pesawat Fokker-27 itu terhempas di kawasan perumahan di lapangan terbang tentera Halim Perdanakusuma pada pukul 2.45 petang (waktu tempatan) setelah berlepas dari lapangan terbang sama pada pukul 1.10 petang.
Pesawat malang itu dikatakan sedang menjalani latihan penerbangan dan tidak mempunyai penumpang.
Pasukan bomba dilihat bertungkus-lumus memadamkan api yang memusnahkan beberapa buah rumah. Sayap pesawat itu juga dapat dilihat berada di atas sebuah rumah terbabit.
Pihak tentera akan menyiasat punca nahas pesawat yang sudah berusia lebih 20 tahun itu. Indonesia kini sedang dalam proses memodenkan pesawat dan peralatan ketenteraannya. Ia melibatkan pembelian pesawat dan bot dari Rusia serta Amerika Syarikat. - AFP

Situasi tegang di Mesir memuncak


BEBERAPA penyokong membawa sepanduk dan potret calon Ihkwanul Muslimin, Mohamed Morsi dalam tunjuk perasaan 
di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Situasi tegang di Mesir memuncak semalam selepas pergerakan Islam terbesar di negara berkenaan, Ichwanul Muslimin memberi amaran konfrantasi akan berlaku sekiranya calon mereka, Mohamed Morsi tidak dinamakan sebagai Presiden Mesir yang baharu.
Kelewatan pengumuman keputusan pilihan raya Presiden yang diadakan pada 16 dan 17 Jun lalu meningkatkan kebimbangan Ichwanul Muslimin bahawa pemerintah tentera merancang untuk merampas kuasa.
Seorang pemimpin Ichwanul Muslimin turut memberi kata dua bahawa keadaan buruk akan tercetus jika pesaing Morsi yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq diumumkan sebagai pemenang pilihan raya berkenaan.
Terdahulu, suruhanjaya pilihan raya menyatakan, pihaknya terpaksa menangguhkan pengumuman rasmi keputusan pilihan raya yang dijadualkan semalam.
Kelewatan tersebut ekoran suruhanjaya berkenaan masih menyiasat dakwaan penipuan daripada kedua-dua calon yang bertanding.
Akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram melaporkan, kempen Shafiq menuduh pasukan gerak kerja Morsi mencetak hampir sejuta kertas undi palsu.
Bagaimanapun, Morsi dalam kempen pasca pilihan raya menafikan tuduhan tersebut.
Sebaliknya, beliau menuduh kem Shafiq merasuah pengundi.
Perkembangan membimbangkan itu berlaku ketika bekas Presiden Hosni Mubarak berada dalam keadaan nazak sejak kelmarin.
Bekas pemimpin berusia 84 tahun itu terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital tentera di sini selepas diserang strok di penjara. - AFP

Lelaki Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Koma

Lelaki Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Koma — Harian Metro Online:

Seorang pemuda yang bertugas sebagai Imam telah mengalami kemalangan lalu koma. Namun satu kejadian yang luar biasa telah berlaku apabila pemuda itu tiba-tiba membaca al-quran ketika sedang koma.
Remaja Jordan yang bertugas sebagai imam mengalami kecederaan dalam satu kemalangan, membaca Al-Quran Al-Karim dalam keadaan yang tidak sedarkan diri setelah keluar daripada bilik pembedahan. Subhanallah, apa jua kelakuan atau perkataan yang kita gerakkan semasa kita sedar diri, Allah SWT akan gerakkan secara automatik apabila kita dalam keadaan tidak sedar.
Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali yang mengatakan ” apa sahaja perbuatan kita di dunia adalah gambaran perbuatan kita di alam Akhirat nanti “. Betapa malunya kita dihadapan Allah SWT apabila kita berkelakuan tidak senonoh dihadapan Allah SWT di Akhirat nanti.
Semoga Allah SWT memberi semangat kepada kita semua untuk melakukan ibadat dan menjauhkan kita semua daripada melakukan kejahatan, agar kita berkelakuan dan berkata-kata dengan perkataan terbaik dihadapan Allah SWT nanti, Amin Ya Rabbal Alamin.

SEJARAH : KENAPA BRUNEI TIDAK BERSAMA MALAYSIA?


Apabila Sultan Omar Ali Saifudin III dari Brunei mengisytiharkan bahawa Brunei tidak akan bersama-sama membentuk Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah cuba untuk memberikan tekanan ke atas Brunei dengan memanggil balik beratus-ratus guru dan pegawai dari Tanah Melayu yang di pinjamkan kepada negara tersebut. Hal ini menyebabkan Brunei ketika itu menghadapi masalah pentadbiran.

Namun Sultan masih tetap dengan pendirian nya. Antara perkara yang tidak dipersetujui oleh Sultan semasa rundingan dengan Persekutuan Tanah Melayu adalah kedudukan Kesultanan Brunei yang di letakkan di bawah sekali di dalam Majlis Raja-raja Melayu. Satu lagi perkara besar yang tidak dipersetujui oleh Sultan adalah berkenaan dengan cukai Pusat ke atas hasil minyak sebanyak 10% untuk selama 10 tahun dan selepas itu Pusat mahu mengambil alih kawalan minyak Brunei.

Hujah-hujah bahawa dengan pembentukan Malaysia maka dapat membendung ancaman komunis dan untuk mendapatkan kemerdekaan awal dari British akhirnya telah di tolak oleh Sultan atas sebab-sebab tidak bersetuju dgn syarat-syarat di atas.

Hari ini Brunei adalah sebuah negara yang berdaulat, ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga ahli kepada ASEAN. Ini bermakna ia nya sebuah negara yang diiktiraf bukan sahaja oleh negara-negara yang berjiran dgn nya, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hari ini juga rakyat Brunei menikmati pendapatan per kapita antara yang tertinggi, harga Petrol yang terendah, pendidikan percuma hingga peringkat tinggi dan sebagai nya.

Pada akhir tahun lepas, Kerajaan Brunei melalui Menteri Tenaga nya telah melahirkan rasa kekecewaan secara terbuka kerana masih ramai rakyat tempatan tidak di ambil bekerja di syarikat-syarikat pembekal dan kontraktor industri minyak. Menteri tersebut berkata, walaupun Brunei mengalu-alukan pelaburan asing, namun jika tidak serius untuk memberikan peluang pada rakyat tempatan, syarikat-syarikat ini tidak dikehendaki untuk berada di Brunei.

Ini adalah satu amaran keras dan terbuka. Saya percaya syarikat-syarikat yang ada di dalam industri Minyak dan Gas ini akan mula memberikan perhatian yang serius.

Dalam satu ucapan, bagi memperingati Sultan Omar Ali Saifuddin III, bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew berkata apabila Singapura keluar dari Malaysia, Sultan Omar Ali telah berkata pada nya "Kamu sudah seperti Brunei. Itu adalah lebih baik untuk kamu"

Sejarah adalah satu perkara yang telah pun berlalu dan tidak akan sesekali dapat di ubah, Namun satu soalan retorik yang menarik, apakah yang mungkin berlaku andainya Brunei bersetuju untuk bersama-sama membentuk Malaysia?

Andaian saya:

1. Brunei bukan saja akan di kenakan cukai utk hasil minyak, malah 95% hasil minyak akan pergi ke Pusat. Tinggal 5% untuk Brunei.

2. Pendapatan rakyat Brunei mungkin akan sama dengan Sarawak iaitu RM30,000 berbanding dengan sekarang RM62,000 (USD 20,000)

3. Rakyat Brunei akan membeli minyak dengan harga yang lebih mahal dari sekarang iaitu RM1.90 seliter utk RON95 berbanding sekarang RM0.90 (B$0.36)

4. Rakyat Brunei yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan terpaksa meminjam dari PTPTN dan dikenakan Riba.

5. Sindrom ramai orang luar Brunei yang memegang jawatan tinggi dgn gaji mahal di sektor Minyak dan Gas akan berlaku tanpa ada apa-apa bunyi bantahan dari pemimpin tempatan Brunei. Rakyat Brunei akan di beri jawatan peringkat rendah dgn gaji yang rendah juga.

6. Harga kereta import akan mahal dan rakyat Brunei akan ramai yang terpaksa beli Proton dan Perodua.

7. Jalan antara bandar di Brunei akan menjadi jalan satu lorong untuk sehala yang berombak2 dan berlubang. Dan kebanyakan di tampal pelbagai kali hingga rupanya macam kek lapis Sarawak.

Semoga Allah merahmati roh Sultan Omar Ali Saifuddin III dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman. Amin...


Sumber:

Ucapan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengenai Sultan Omar Ali Saifudin III
http://www.straitstimes.com/STI/STIMEDIA/pdf/20090225/MM%20Lee%20speech%20in%20Bandar%20Seri%20Begawan.pdf

Ucapan YB Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin Bin Haji Umar, Menteri Tenaga di Pejabat Perdana Menteri, Brunei.
http://www.energy.gov.bn/energydivision/index.php?option=com_content&view=article&id=307%3Akeynote-speech-for-the-brunei-shell-jv-vendor-forum&catid=53%3Aspeeches-2011&Itemid=95


Brunei Smartest, Singapore Smarter, Sarawak Stupid, Sabah Most Stupid Beyond Redemption!! (Part-1. Brunei) - Malaysia Today
http://malaysia-today.net/mtcolumns/from-around-the-blogs/47599-brunei-smartest-singapore-smarter-sarawak-stupid-sabah-most-stupid-beyond-redemption-part-1-brunei-

Premium Ron97 only 53cent per litre -earnic.com
http://earnic.com/2011/05/premium-ron97-only-53cent-per-litre/
 —

Thursday, June 21, 2012

Chin Peng tenat di Bangkok

Chin Peng
Chin Peng
SHAH ALAM - Chin Peng, pemimpin perang gerila yang gagal mencapai matlamatnya setelah berjuang lebih 40 tahun, sekarang sedang menghadapi saat-saat kematian di Thailand.
Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, 90, sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bangkok dan berita terakhir yang diterima di sini mengatakan keadaannya semakin tenat.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin Melalui blognya, zamkata. blogspot, berkata, beberapa kenalan rapat dari Malaysia dan Singapura yang melawatnya baru-baru ini mendapati keadaannya sangat uzur dan tidak lagi dapat mengenali  orang yang melawatnya.
Menurut blog itu, seorang daripada dua pembantu yang berada di sisinya memberitahu, Chin Peng telah dikejarkan ke hospital dari rumahnya di luar kota Bangkok setelah keadaan kesihatannya semakin tenat.
Dua orang pembantunya cuba memberitahu tentang kedatangan pelawat, tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.
Mereka diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa sebelumnya dia telah pun bercakap mengenai kematiannya.
Chin Peng dilahirkan di tingkat atas rumah kedai dua tingkat di Kampong Koh, Sitiawan Perak dan telah menjadi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sejak berumur 15 tahun.
Dia dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM pada 1947 setelah setiausaha agung pertamanya, Lai Te menghilangkan diri dengan membawa mas dan wang AS$1 juta (RM3.2 juta).

Chin Peng makin tenat di Bangkok, lapor blog Zamkata


KERATAN blog Zamkata semalam.


KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang tinggal dalam buangan di Bangkok dilaporkan berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital di ibu kota Thailand itu.
Menurut blog zamkata.blogspot.com yang dikendalikan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Chin Peng telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bangkok dari rumahnya yang terletak di luar ibu kota negara Gajah Putih itu setelah keadaan kesihatannya semakin meruncing.
Bekas pemimpin perang gerila di hutan Malaysia dan Thailand berusia 88 tahun itu juga dilaporkan sangat uzur. Zainuddin yang mesra dipanggil Zam memetik sumber-sumber rakan Chin Peng sebagai berkata bahawa ingatan Chin Peng semakin merosot sejak beberapa bulan lalu sehingga beliau kini dikatakan tidak lagi dapat mengenali orang yang menziarahinya.
“Dua orang pembantunya cuba untuk memberitahu tentang kedatangan pelawat tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.
“Mereka (pelawat) juga diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa Chin Peng telah pun bercakap mengenai kematiannya,” kata Zainuddin dalam blog tersebut.

7 askar AS bakal dikenakan tindakan disiplin

WASHINGTON 20 Jun - Satu siasatan berhubung kejadian pembakaran kitab al-Quran di sebuah pangkalan tentera di Afghanistan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini, mencadangkan tindakan disiplin dikenakan ke atas tujuh askar AS yang terlibat dalam kejadian itu, kata pegawai AS, semalam.
Pegawai yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, keputusan akhir hasil siasatan berhubung kejadian pembakaran al-Quran di pangkalan tentera AS pada Februari lalu yang mencetuskan rusuhan, masih belum dibuat.
''Siasatan itu meminta hukuman disiplin dikenakan tetapi tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap enam anggota tentera laut dan seorang anggota tentera darat AS itu,'' kata pegawai itu kepada AFP.
Tentera AS mengesahkan siasatan berhubung kejadian itu sudah selesai tetapi tidak mendedahkan maklumat mengenai tindakan disiplin yang akan diambil.
''Siasatan sudah selesai dan hasilnya kini sedang dinilai,'' kata jurucakap tentera, George Wright.
Kejadian pembakaran al-Quran itu mencetuskan rusuhan anti-AS yang menyebabkan 40 orang maut dan mengeruhkan hubungan tentera AS dan sekutunya, Afghanistan selain memaksa Presiden AS, Barack Obama meminta maaf.
Anggota militan, Taliban mengeksploitasikan kejadian itu dan menggesa rakyat Afghanistan membunuh askar asing sebagai membalas dendam.
Komander-komander AS turut mengeluarkan permohonan maaf dan menegaskan ia merupakan satu perbuatan yang tidak disengajakan. - AFP

29 lagi korban di Syria

BEIRUT 20 Jun - Seramai 29 anggota tentera dan seorang imam Syiah adalah antara 46 orang yang terbunuh dalam keganasan terbaru di Syria, hari ini.
Sekurang-kurangnya 20 askar dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak di barat laut wilayah Latikia, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Lima pemberontak turut terkorban dalam pertempuran itu yang bermula lewat semalam dan berterusan sehingga hari ini di wilayah yang dikenali sebagai Pergunungan Kurdish, berhampiran sempadan Turki.
"Kebanyakan tentera itu terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak dan yang lainnya maut ketika pemberontak menyerang dua bangunan yang digunakan untuk melancarkan serangan mortar ke atas Pergunungan Kurdish," kata ketua pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Rahman berkata, berpuluh-puluh tentera turut cedera dan ramai lagi, termasuk seorang pegawai, ditangkap pemberontak.
Di Idlib, lima tentera kerajaan terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup di satu pusat pemeriksaan.
Di tengah bandar Homs pula, pertempuran di pekan Kernaz menyebabkan tiga anggota tentera maut, manakala bedilan meriam kerajaan turut mengakibatkan sepasang suami isteri terbunuh.
Lebih 14,400 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh dalam kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang tercetus sejak Mac tahun lalu. - AFP

Tiga korban terbaru di Rakhine


PENDUDUK Rohingya ditahan selepas bot yang mereka naiki untuk menyeberangi Sungai Naf dipintas oleh penguatkuasa Bangladesh di Teknaf pada 18 Jun lalu. Sekurang-kurangnya tiga orang lagi terbunuh dalam insiden terbaru keganasan kaum dan agama di Rakhine, Myanmar semalam. - AFP
YANGON 20 Jun - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kejadian terbaru keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, di barat Myanmar semalam, sekali gus menjadikan angka korban keganasan meningkat kepada lebih 60 orang.
Tiga penganut Buddha dilaporkan maut dalam pertempuran di kampung Yathedaung, kira-kira 65 kilometer dari Sittwe, ibu negeri Rakhine, menurut seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali.
"Angka kematian mungkin lebih tinggi dan sehingga kini kami masih belum mendapat maklumat terperinci tentang punca kejadian.
"Hujan monsun menyebabkan hubungan pengangkutan dan komunikasi terputus ke kawasan itu," katanya kepada AFP.
Beliau bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya, situasi di kebanyakan kawasan di Rakhine 'masih terkawal'.
Pertempuran antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya Islam yang tercetus sejak awal bulan ini turut menyebabkan beribu-ribu penduduk menjadi pelarian.
Program Makanan Sedunia, semalam berkata, mereka telah menyediakan makanan untuk lebih 65,000 orang dan menganggarkan lebih 25,000 lagi masih memerlukan bantuan. - AFP

Lelaki hodoh mahu jadi model iklan

William Masvinu
William Masvinu
ZIMBABWE - Pemenang wajah terhodoh di Zimbabwe, menyimpan hasrat menjadi terkenal dan kaya selepas memenangi pertandingan itu, dua bulan lalu.
William Masvinu, 38, dari bandar Mbare berharap kemenangannya itu dapat memberi peluang untuknya menjadi model iklan sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.
“Saya berbangga dikurniakan wajah hodoh, muka saya membuatkan saya istimewa dan tiada sebab untuk berasa rendah diri,” katanya.
Ketika pertandingan itu, beliau meraih wang AS$100 (RM320) dan menginap di hotel mewah selepas menewaskan empat lelaki lain.
“Saya telah menukar baucar itu kepada tunai untuk membeli makanan kerana tiada sebab untuk menginap di hotel mewah sedangkan terpaksa berlapar, “ katanya.
Menurut penganjur, pertandingan itu dibuat sebagai cara baru menghiburkan penonton kerana selama ini Zimbabwe sering menjadi tuan rumah untuk pertandingan ratu cantik konvensional.

Pakistan berkas pemimpin al-Qaeda

ISLAMABAD: Pakistan menangkap pemimpin “utama” al-Qaeda dalam satu operasi dekat sempadan negara itu dan Iran, kata pegawai kerajaan semalam, walaupun mendapat kritikan daripada Amerika Syarikat bahawa ia tidak melakukan yang terbaik untuk memerangi anggota militan.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berkata ketika lawatan ke Kabul bahawa usaha keamanan di Afghanistan kekal sukar selagi anggota militan mendapat perlindungan di Pakistan dan kesabaran Washington sudah mencapai tahap maksimum dengan Islamabad. Pegawai Pakistan berkata, pemimpin al-Qaeda ditangkap ialah Naamen Meziche, warga Perancis berketurunan Algeria dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berpangkalan di Eropah. - Reuters

Flame angkara AS, Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel bersekongkol mewujudkan virus komputer Flame sebagai sebahagian usaha bagi memperlahankan operasi loji nuklear Iran, lapor The Washington Post, semalam.
Akhbar itu yang memetik sumber berkata, “Pegawai Barat yang mempunyai maklumat mengenai usaha itu” berkata, virus canggih itu direka bagi mengintip rangkaian komputer Iran dan menghantar semula maklumat risikan digunakan untuk kempen perang siber secara berterusan. Akhbar itu berkata, Agensi Keselamatan Kebangsaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bekerjasama dengan tentera Israel bagi projek itu. Sebilangan laporan mengaitkan Israel dan AS dengan virus Flame dan virus lain bergelar Stuxnet yang menyebabkan kepincangan dalam peralatan program pengayaan nuklear Iran.

Pegawai AS berkenaan tidak membincangkan hal itu secara terbuka kecuali mengatakan mereka menumpukan kepada usaha siber sebagai sebahagian pertahanan dan perisikan.
“Ini mengenai persediaan medan peperangan untuk sejenis lagi tindakan sulit,” kata seorang bekas pegawai perisikan berjawatan tinggi AS kepada akhbar itu. - AFP

‘Facecrook’ bantu polis jejak penjenayah

HACKENSACK (New Jersey): Pejabat polis bandar raya ini mempunyai laman web baru yang memaparkan pemburuan suspek dan bukannya mencari kawan.
“Facecrook” memaparkan nama, foto dan lokasi terakhir buruan dikehendaki oleh pejabat polis daerah Bergen.

Laman itu turut mereka peta dan pengguna boleh menghantar maklumat bagi membantu pihak berkuasa menahan mereka yang diburu daripada mereka yang gagal membayar nafkah anak hingga kepada yang melakukan pembunuhan.
Inspektor Mickey Bradley memberitahu akhbar The Record, dia mendapat idea mengenai laman itu kira-kira setahun lalu dan membeli alamat Facecrook pada harga AS$17 (RM53.6).

Pengguna yang memasuki laman itu perlu bersetuju untuk tidak menggunakannya untuk “menakutkan atau mengganggu orang lain”. Laman itu juga mengandungi amaran “usah tangkap” bagi mengelak orang ramai menyalahgunakannya. - AP

Melancong ke bulan mulai 2015

UJI...seorang petugas media mencuba modul kapsul angkasa  Excalibur Almaz.
UJI...seorang petugas media mencuba modul kapsul angkasa Excalibur Almaz.
IMEJ kapal angkasa yang akan membawa manusia ke bulan.
IMEJ kapal angkasa yang akan membawa manusia ke bulan.
LONDON: Sebuah syarikat Britain mendedahkan rancangan untuk membawa manusia ke bulan buat kali pertama sejak 1972.
Syarikat Excalibur Almaz berpangkalan di Isle of Man itu akan membawa pengunjung ke orbit bulan dengan “tambang” sebanyak 100 juta pound (RM496.8 juta).

Perjalanan pertama dengan menaiki kapal angkasa Russia yang pernah digunakan untuk mengintip Barat itu akan dilancarkan pada 2015. Sehingga kini pelancong angkasa hanya telah berkunjung ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan kembali semula ke bumi.
Excalibur sudah membeli dan mengitar semula empat kapsul kemasukan semula serta dua stesen angkasa daripada firma Russia, NPO Mashinostroyenia. Mula-mula pelanggan akan berlabuh di satu daripada stesen angkasa di orbit rendah Bumi. Dari situ mereka akan diterbangkan ke orbit bulan, membawa mereka sejauh 376, 586.4 kilometer dari bumi. Penerbangan itu yang mungkin berakhir selama lapan bulan kemudian terus berlanjutan ke angkasa, membawa mereka lebih jauh dari bumi berbanding sebelum ini.

Ketua Eksekutif syarikat itu, Art Dula semalam berkata: “Kapal EA sudah terbang ke angkasa beberapa kali dan akan melakukan lebih banyak lagi misi penerbangan. Ia mengandungi rekaan kapal yang boleh melakukan penerbangan beribu-ribu jam di angkasa.

“Ini adalah fakta saintifik, bukan fiksyen, rakan pengembaraku sekalian.” Art mendakwa setiap kapal angkasa syarikatnya yang membawa tiga orang hanya memerlukan pembiayaan daripada 29 penumpang untuk membolehkan ia beroperasi. Firma itu yang berpangkalan di Isle of Man dan dipilih sebagai tempat kelima di dunia yang akan mengendalikan misi ke bulan, semalam menarik puluhan pengunjung apabila mempamerkan satu daripada kapalnya di Westminster, London.
Art berkata, perjalanannya berbeza dengan pakej ditawarkan oleh penerbangan ke angkasa daripada pesaingnya, di mana kapal mereka hanya menyediakan perjalanan beberapa minit sejauh 96.5 kilometer saja. - DM

Penduduk dua kampung gaduh

ANGGOTA suku kaum bersenjata anak panah dan lembing dari Kampung Amole bersedia menyerang musuh dari Kampung Harapan.

ANGGOTA suku kaum bersenjata anak panah dan lembing dari Kampung Amole bersedia menyerang musuh dari Kampung Harapan.
Seorang terbunuh dalam pertempuran dekat Papua

MIMIKA: Beratus-ratus suku kaum yang bermusuh bertempur menggunakan anak panah dan lembing di timur Indonesia, semalam, menyebabkan dua lelaki terbunuh dalam keganasan terbaru di rantau itu.
“Dua orang terbunuh dan seorang lagi dalam keadaan tenat. Mereka kena anak panah tetapi kami perlu tunggu bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian,” kata ketua operasi polis Mimika, Syamsul Ridwan.
Dalam pertempuran pada Isnin lalu, tiga orang terbunuh. Dua kumpulan yang bermusuhan itu juga bertempur pada 6 Jun lalu selepas seorang penduduk maut dalam kemalangan jalan raya.
Selain itu, lebih sedozen lagi juga mengalami kecederaan apabila dua kumpulan yang bermusuh itu bertempur di daerah Mimika di wilayah Papua.

Kejadian berlangsung dekat tapak lombong tembaga dan emas yang dikendalikan syarikat Freeport milik Amerika Syarikat.

“Seorang lelaki terbunuh pagi ini ketika pertempuran itu. Dia kena anak panah di bahagian dada,” kata ketua perisikan polis, Nursalam Saka.

Katanya, lelaki yang maut itu adalah dari kawasan Kampung Harapan. Penduduk kampung itu sering bergaduh dengan penduduk kawasan berdekatan dari Kampung Amole.

Dalam pertempuran pada Isnin lalu, tiga orang terbunuh. Dua kumpulan yang bermusuhan itu juga bertempur pada 6 Jun lalu selepas seorang penduduk maut dalam kemalangan jalan raya.

Polis percaya, pertempuran terbaru ada kaitan dengan nahas jalan raya berkenaan.

Beberapa suku kaum yang besar tinggal berdekatan di daerah Mimika tetapi sebarang permasalahan biasanya diselesaikan menerusi bayaran pampasan atau kenduri besar.

Pertempuran terbaru pada waktu pagi pula menyaksikan 500 lelaki bergaduh dan wartawan agensi berita menyaksikan beberapa kenderaan polis kena anak panah.
Selain itu, empat kenderaan lagi termasuk sebuah lori dibakar. - AFP

'Bakar al-Quran bukan jenayah'

Penyiasat tentera Amerika hanya saran pesalah kena tindakan disiplin

WASHINGTON: Penyiasat tentera Amerika Syarikat mencadangkan lebih tujuh askar dikenakan tindakan disiplin kerana terbabit dalam kejadian membakar al-Quran di sebuah kem tentera Afghanistan.
Tetapi, keputusan rasmi belum dibuat mengenai butir-butir siasatan kes bakar al-Quran di sebuah kem tentera udara Amerika Februari lalu yang mencetuskan rusuhan menyebabkan berpuluh-puluh maut, kata pegawai terbabit.
Siasatan sudah selesai dan menunggu keputusan lanjut selepas hasil penyiasatan dikaji semula. - George Wright, Jurucakap tentera,
Penyiasat tidak mencadangkan dakwaan jenayah terhadap lebih enam askar dan seorang anggota tentera laut, kata pegawai itu.

Tentera Amerika mengesahkan siasatan kejadian itu sudah berakhir tetapi tidak memberikan maklumat lanjut mengenai bentuk tindakan disiplin yang dikenakan.

“Siasatan sudah selesai dan menunggu keputusan lanjut selepas hasil penyiasatan dikaji semula,” kata jurucakap tentera, George Wright.

Kejadian membakar al-Quran itu mencetuskan rusuhan anti Amerika selama beberapa hari menyebabkan 40 orang terbunuh, menjejaskan hubungan di antara tentera asing dan sekutu mereka di Afghanistan selain memaksa Presiden Barack Obama meminta maaf. 
Militan Taliban dilihat mengeksploitasi insiden itu apabila menggesa penduduk Afghanistan membunuh tentera asing sebagai membalas dendam.

Taliban didakwa terbabit menembak mati dua penasihat Amerika Syarikat yang terbunuh dalam pejabat Kementerian Dalam Negeri Afghanistan selepas insiden itu.

Pemimpin kanan tentera Amerika kemudian mengeluarkan beberapa permohonan maaf berikutan kejadian membakar al-Quran itu tetapi turut menegaskan bagaimana insiden berlaku masih tidak jelas.

Mengenai bilangan mereka yang dihukum juga tidak jelas berapa pegawai terbabit dan berapa anggota.

Selepas insiden itu, beberapa pegawai Amerika berkata, tentera mengeluarkan al-Quran dari penjara di Bagram kerana banduan didakwa menggunakan kitab suci itu untuk menghantar mesej sesama mereka. Tetapi, dakwaan itu belum dapat disahkan secara rasmi.

Afghanistan adalah negara yang banyak menerapkan soal keagamaan dalam kehidupan seharian hingga sebarang tentangan terhadap Islam biasanya mencetuskan bantahan dan penduduk menuduh tentera Barat tidak sensitif, selepas 10 tahun kempen Amerika menumbangkan Taliban. – AFP

Pengasas WikiLeaks mohon suaka politik Ecuador

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, kelmarin memasuki Kedutaan Ecuador di London dan memohon suaka politik dalam usahanya mengelak diekstradisi ke Sweden berhubung dakwaan melakukan jenayah seks. 

Bekas penggodam komputer yang kehabisan jalan mengatasi menentang ekstradisi itu minggu lalu, berada di kedutaan berkenaan di tengah London dan Quito sedang meneliti permintaannya.
Kementerian Luar Britain berkata, Assange tidak boleh ditahan polis kerana berada dalam kawasan diplomatik, tetapi ia meminta kerjasama pihak berkuasa Ecuador menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Assange akan kekal di kedutaan itu di bawah perlindungan kerajaan Ecuador ketika permohonannya dipertimbangkan. 

“Keputusan mengenai permohonan Assange mendapatkan suaka tidak boleh dianggap sebagai campur tangan Kerajaan Ecuador dalam proses perundangan sama ada di England atau Sweden,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan. 

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, pula berkata negaranya akan terus menawarkan bantuan konsular kepada Assange. 

“Australia akan terus menyokong Assaneg seperti kami sokong mana-mana rakyat Australia di luar negara yang berdepan dengan kesukaran perundangan atau dilema,” kata Gillard kepada wartawan selepas persidangan Kumpulan 20 di Mexico. 
Assange mengesahkan memohon untuk mendapatkan perlindungan dan suaka politik serta meluahkan penghargaan kepada duta Ecuador dan kerajaan negara itu kerana menimbang permohonannya. 

Di QUITO, Menteri Luar Ecuador, Ricardo Patino, berkata: “Julian Assange memohon suaka politik di misi diplomatik Ecuador di London. Kerajaan meneliti permohonan itu.” 

Kedutaan kemudian mengesahkan ia akan meneliti pandangan Britain, Sweden dan Amerika Syarikat berhubung perkara itu dalam memastikan undang-undang antarabangsa dipatuhi. – AFP

Hosni Mubarak nazak

BEKAS Presiden Mesir Honi Mubarak ditolak di atas pengusung beroda semasa tiba di sebuah mahkamah di Kaherah pada 28 Januari lalu.



KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar kecil) berada dalam keadaan koma dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di sini selepas diserang strok di penjara, kata sumber perubatan dan ketenteraan yang menafikan beliau sudah meninggal dunia.
Keadaan kesihatan bekas pemimpin tersebut menjadi tidak menentu selepas situasi di Mesir semakin tegang apabila kedua-dua calon pilihan raya Presiden, Mohammed Mursi dan Ahmed Shafiq mendakwa memperoleh kemenangan manakala pemerintah tentera masih belum melepaskan kuasa mereka.
"Mubarak belum mati. Dia dalam keadaan koma dan doktor masih cuba untuk menyelamatkannya," menurut sumber berkenaan.
Sebelum ini, agensi berita tempatan, MENA melaporkan bekas pemimpin berusia 84 tahun itu disahkan mati selepas mengalami strok di penjara.
"Hosni Mubarak sudah meninggal dunia," kata agensi berita rasmi itu,
"Laporan perubatan memberitahu MENA bahawa jantungnya telah berhenti berdenyut dan tidak memberi tindak balas apabila alat sokongan hayat digunakan," tambah agensi berkenaan.
Menurut sumber pengawal keselamatan, isteri Mubarak, Suzanne dilaporkan melawat suaminya di hospital dan laporan televisyen berkata, kenyataan rasmi mengenai tahap kesihatan bekas Presiden itu akan dimaklumkan kelak tanpa menyatakan maklumat lanjut.
Mubarak sebelum ini dibawa ke sebuah penjara di sini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana gagal menghentikan pembunuhan sejumlah penunjuk perasaan semasa rakyat Mesir bangkit menentang pemerintahannya pada tahun lalu.
Keadaan kesihatan Mubarak dilaporkan semakin teruk apabila doktor terpaksa menggunakan mesin defibrilator sebanyak dua kali pada awal bulan lalu. Dia juga dilaporkan mengalami kemurungan dan tekanan darah tinggi sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
Ahli keluarga Mubarak termasuk dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah memohon supaya Mubarak dipindahkan ke hospital.
Selain laporan tahap kesihatan Mubarak yang semakin merosot, timbul pula ketegangan antara Mursi dan Shafiq yang masing-masing mengakui telah memenangi pilihan raya berkenaan.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir tetap bertegas bahawa Mursi adalah pemenang pilihan raya Presiden itu.
Pesaing Mursi, bekas Perdana Menteri terakhir Mesir di bawah pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq juga mengisytiharkan kemenangannya.
Pengisytiharkan kemenangan oleh kedua-dua calon itu telah melanggar peraturan majlis pemerintah ketenteraan yang bertanggungjawab mengisytiharkan keputusan rasmi pilihan raya tersebut.
Kelmarin, Ikwanul Muslimin mengadakan demontrasi di Dataran Tahrir yang telah disertai lebih 15,000 penunjuk perasaan. - AFP

Imej paling jelas nebula dirakam



GAMBAR oleh Balai Cerap Eropah menunjukkan imej nebula War and Peace pada Isnin lalu.


SANTIAGO, Chile - Balai Cerap Eropah (ESO) menyiarkan gambar paling jelas sebuah galaksi muda dinamakan Nebula War and Peace (NGC 6357)
Imej berkenaan dirakam menggunakan Teleskop Amat Besar (VLT) milik ESO, Isnin lalu.
Teleskop VLT terletak di gurun Atacama, utara Chile.
Pemandangan tersebut menunjukkan sebilangan bintang muda, awan, gas dan debu cakerawala.

Lebih 200,000 pemandu teksi mogok



DERETAN teksi berada di pekarangan sebuah syarikat teksi ketika para pemandu menyertai mogok di Seoul semalam.


SEOUL - Lebih 200,000 orang pemandu teksi di Korea Selatan mengadakan mogok sehari di seluruh negara semalam bagi menuntut kenaikan tambang dan penurunan harga bahan api.
Mogok besar-besaran itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menyediakan perkhidmatan bas dan tren tambahan bagi memenuhi keperluan warga kota.
Kementerian Pengangkutan menyatakan, sekitar 220,000 daripada keseluruhan 255,500 pemandu teksi berlesen menyertai mogok berkenaan.
"Kami tidak menjangka krisis pengangkutan akan berlaku kerana teksi bukan sebahagian daripada pengangkutan utama rakyat," kata seorang jurucakap kementerian berkenaan.
"Namun, kami memantau rapi situasi yang berlaku," tambahnya.
Mengulas tentang mogok berkenaan, Kesatuan Pemandu Teksi Korea Selatan memberitahu pihaknya mahu tambang teksi dinaikkan pada kadar 2,400 won atau AS$2 (RM6.32) dan harga gas petroleum cecair LPG diturunkan.
Kebanyakan teksi di negara berkenaan menggunakan LPG sebagai bahan api.
"Kemarahan pemandu teksi yang terpendam selama ini akhirnya meletus," kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, harga dometik LPG melonjak 50 peratus sejak empat tahun lalu di Korea Selatan. - AFP