Pages

Tuesday, May 8, 2012

Tiga jam tangkap ular sawa

Tiga jam tangkap ular sawa - Johor - Sinar Harian:

Tiga jam tangkap ular sawa
Mohd Budiamin (kanan) menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkapnya selapas makan tiga ayam dalam reban
MUAR – “Pada mulanya saya sangka kayu, tetapi berasa pelik selepas melihat objek itu bergerak-gerak. Setelah diamati, saya begitu terkejut apabila mendapati ia seekor ular sawa batik,” kata Mohd NorHisham Che Ismail, 26.

Ketika menceritakan penemuan itu, NorHisham menjelaskan sudah menjadi rutin hariannya pada setiap pagi untuk memberi makan kepada ayam di reban milik keluarganya.

“Cuma hari ini (semalam), saya agak lewat sedikit memberi ayam makan iaitu jam 8 pagi kerana mahu menunggu hujan teduh.

“Tetapi saya tidak sangka pula akan jumpa 'tetamu tidak diundang' ini dalam reban ayam,” katanya kepada Sinar Harian di Kampung Parit Bulat Pekan, Seri Menanti dekat sini, semalam.

Katanya, ketika ditemui reptilia sepanjang enam meter itu tersangkut pada akar sebatang pokok.

“Ular seberat 28 kilogram ini gagal meloloskan kiri kerana didapati terlalu kekenyangan selepas menelan tiga ekor ayam peliharaan milik keluarganya.

“Saya kemudiannya segera memanggil abang ipar (Mohd Budiamin Kudari, 42) yang berada dalam rumah untuk memaklumkan penemuan itu.

Menurut Mohd Budiamin, dia mengambil masa hampir setengah jam untuk menangkap ular tersebut berikutan reptilia itu tersepit di bawah akar pokok.

“Kerja menangkap reptilia ini turut dibantu enam penduduk yang kebetulan berada berhampiran rumah ini.

“Ketika ditangkap, ia agak agresif dan terpaksa menggunakan tali nylon untuk menjerut kepalanya sebelum dimasukkan ke dalam guni,” katanya.

Katanya, dia percaya ular itu datang dari ladang kelapa sawit di belakang rumahnya.

“Badan ular ini juga didapati luka dan dipercayai terkena zink ketika cuba memasuki reban ayam ini.

“Saya akan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) Muar bagi membolehkan reptilia ini dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Hajat nenek jenguk cucu tidak sampai

myMetro | Hajat nenek jenguk cucu tidak sampai:


SETIU: Hajat seorang nenek menjenguk cucu kesayangannya tidak kesampaian apabila maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang motosikal bersama suaminya di Kampung Rhu Sepuloh, Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa, Mek Zainab Mahmud, 46, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh kereta Proton Gen 2 manakala suaminya, Rahim Mat Arifin, 55, putus kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sebuah Toyota Vios yang melalui jalan itu gagal mengelak Mek Zainab yang tercampak di tengah jalan lalu menggilis mangsa sebelum kereta itu terbabas dan melanggar pula motosikal Yamaha TZM di laluan bersebelahan menyebabkan penunggang motosikal itu, Mohd Firdaus Shaari, 22, dari Kampung Bari Kecil, di sini, juga mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Anak mangsa, Marlina Yusof, 28, yang tinggal di Kampung Wa, Bukit Besi, Dungun berkata, sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan arwah ibunya menerusi telefon.

“Arwah memberitahu mahu berjumpa empat anak saya kerana rindu berikutan sudah enam bulan tidak bertemu.

“Saya terkilan kerana hajat arwah tidak kesampaian apabila dia terlebih dulu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui HSNZ, kelmarin.
Marlina berkata, ibunya turut memberitahu sudah membeli kain putih bercorak hitam untuk dibuat baju kurung sempena Aidilfitri nanti.

“Arwah juga memberitahu sudah membeli beberapa kain pasang untuk anak-anak saya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Minggu lalu, saya dan suami ada merancang berjumpa ibu tetapi terbantut kerana terpaksa menyelesaikan beberapa urusan lain,” katanya.

Bayi ‘terbang’ atas jalan

myMetro | Bayi ‘terbang’ atas jalan:


MAUT...bomba mengeluarkan mayat mangsa yang  tersepit dalam kenderaan. Gambar kecil, Ahmad Hakimi.
MAUT...bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan. Gambar kecil, Ahmad Hakimi.
KUANTAN: “Menggeletar badan saya apabila melihat bayi lelaki itu menangis atas jalan dengan kepalanya berlumuran darah selepas tercampak keluar daripada kereta,” kata Bakhtiar Md Dom, 33, saksi kemalangan maut di Kilometer 205.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31, dari Batu Kurau, Pekan, dekat sini, yang memandu Mitsubishi Lancer dan isteri, Siti Rohani Abd Ahalim, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan cedera di kepala.

Bagaimanapun, anak lelaki mereka, Ahmad Uzair berusia enam bulan yang tercampak keluar daripada kereta terselamat walaupun cedera parah di kepala. Bayi itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Katanya, ketika kejadian, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan mendapati keadaan di laluan itu kelam-kabut sebelum tergamam apabila melihat kereta mangsa ‘terbang’ ke laluan bertentangan.

“Saya berhenti di tepi jalan untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa, namun gagal kerana mereka tersepit. Kemudian saya terdengar tangisan bayi tidak jauh dari kenderaan itu.

“Sebaik berpaling ke arah jalan, saya lihat bayi terlentang di atas jalan sambil menangis dalam keadaan kepalanya berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, dia mahu mengalih bayi ke tepi jalan tetapi membatalkan hasrat itu selepas mendapatinya mengalami kecederaan parah di kepala.

“Saya kemudian meminta bantuan orang awam untuk mengangkat bayi itu ke HTAA,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja Siti Rohani dikenali sebagai Yati, 30, berkata, mereka berkonvoi selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan setugas di Kerteh, Terengganu, tetapi rakan bersama suaminya bertolak pulang lebih awal.

“Arwah dan suaminya sempat belanja saya makan ikan bakar dan mereka ceria langsung tidak nampak perubahan pelik,” katanya. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Hakimi terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum terhumban ke laluan bertentangan.

“Ahmad Uzair dipangku ibunya tercampak keluar dan terjatuh atas jalan manakala mayat ibu dan ayahnya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

Rayuan tahanan tanpa bicara ditolak

myMetro | Rayuan tahanan tanpa bicara ditolak:


BAITULMAQDIS: Mahkamah Agung Israel semalam menolak rayuan dua banduan Palestin yang kini mengadakan mogok lapar selama 69 hari bagi membantah penahanan tanpa bicara mereka, kata peguam.
Menurut Jamil Khatib, hakim menolak kedua-dua rayuan dikemukakan tahanan terbabit.

Khamis lalu, Bilal Diab, 27, dan Thaer Halahla, 34, merayu kepada mahkamah tertinggi Israel bagi menamatkan arahan penahanan mereka. “Kedua-dua tahanan itu akan meneruskan mogok sehingga mereka dibebaskan.
“Keputusan ini juga menunjukkan perkhidmatan rahsia Israel mempunyai kata pemutus,” katanya.

Thaer ditahan pada 28 Jun 2010 dan sejak itu diletakkan dalam penjara, manakala Bilal ditangkap pada 17 Ogos 2011.

Mereka mula mogok lapar 29 Februari lalu.
Dikenali sebagai “tahanan pentadbiran,” ia membenarkan rejim Zionis menahan seseorang tanpa bicara sehingga enam bulan, dan ia boleh diperbaharui tanpa sebarang had. - AFP

Siang bomba, malam pelacur

myMetro | Siang bomba, malam pelacur:

EMMA di balai bomba.
EMMA di balai bomba.
MALAM di hotel.
MALAM di hotel.
LONDON: Kisah seorang anggota bomba yang menjalani kehidupan rahsia selaku pelacur dengan pendapatan �1,300 (RM6,500) semalam, dibongkar sebuah akhbar tabloid.
The Sun yang diterbitkan di London, semalam melaporkan, Emma Carr, 38, menjaja tubuhnya menerusi Internet dengan menggunakan nama samaran, Jade.

Pengurus kru Pasukan Bomba London itu, mengenakan bayaran RM1,500 sejam untuk mengunjungi pelanggan di rumah atau kamar hotel atau RM1,250 sejam untuk menghiburkan mereka di kediamannya.
Dia juga menawarkan khidmat sesi ‘senja hingga pagi’ dengan bayaran RM6,500.

Menurut akhbar itu, gambar seksi Emma tersiar di satu laman web.

Pada siang hari, Emma menguruskan kakitangan 999 di Balai Bomba Euston di tengah London, menyelia pasukan kecemasan.
Kegiatannya terbongkar selepas menawarkan seks selama sejam kepada seorang wartawan penyiasatan The Sun di sebuah hotel di tengah London.

Menceritakan mengenai dua kehidupan berbezanya, Emma berkata, drama televisyen mengenai seorang pelacur, Secret Diary of a Call Girl yang dibintangi oleh Billie Piper adalah tepat sekali.
Dia mengaku mempunyai pekerjaan sepenuh masa dalam sektor kerajaan dan menegaskan dia terbabit dalam pelacuran kerana gaji yang rendah.

Wanita yang berasal dari London Timur itu, dipercayai sudah tujuh tahun menjadi anggota bomba berkata: “Wang itu membantu saya. Saya boleh melancong. Sebagai anggota bomba, gaji saya tidak besar. Saya mahu menjalani hidup lebih bergaya.

“Saya kini tidak perlu berhutang. Saya merasa selamat dan amat berhati-hati. Saya bekerja sehari seminggu dan pada malam tertentu. Menurutnya, ibu bapanya ‘membuangnya’ selepas mengetahui kehidupan rahsianya. - DM

Empat turbin Bakun telah berfungsi

Kosmo! Online - Negara:



PEMANDANGAN dari udara empangan elektrik hidro Bakun di Belaga di Sarawak. - Gambar hiasan


KUCHING - Empat daripada lapan turbin empangan elektrik hidro Bakun kini telah berfungsi bagi memenuhi permintaan sektor perindustrian di wilayah pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) selepas melepasi ujian kebolehupayaan fasa terakhir yang dijalankan.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagaimanapun berkata, penjanaan tenaga elektrik yang khusus bagi kegunaan industri berasaskan tenaga itu tidak akan memberi kesan kepada pengguna domestik di negeri ini.
"Kita memberi jaminan bahawa tarif elektrik adalah bergantung pada rundingan pihak industri dengan Sarawak Energy Berhad dan ia tidak akan memberi kesan kepada pengguna domestik di negeri ini.
"Tarif pembelian kuasa daripada empangan berkenaan lazimnya telah dibincangkan dengan pelabur-pelabur yang membuka operasi mereka di wilayah pembangunan perindustrian di Score," katanya.

Fosil dinosaur ditemui di Australia

Kosmo! Online - Dunia:


FITZGERALD memegang fosil dinosaur ceratosaur di Melbourne semalam.


SYDNEY - Sekumpulan saintis semalam menyatakan, penemuan fosil baharu membuktikan bahawa Australia turut mempunyai dinosaur sama seperti tempat lain di dunia.
Seorang ahli paleontologi, Erich Fitzgerald berkata, satu fosil buku lali yang ditemui 87 kilometer dari bandar raya Melbourne menunjukkan ia ialah spesies dinosaur, ceratosaur yang hidup di Australia sekitar 125 juta tahun dahulu.
Menurutnya, penemuan tersebut menunjukkan Australia turut mempunyai dinosaur seperti tyrannosaur dan allosaur yang wujud di luar Australia.
"Dinosaur itu bukan seperti haiwan zaman moden termasuk kanggaru dan koala yang hanya terdapat di Australia," kata Fitzgerald.
"Berbeza dengan hidupan liar di Australia sekarang, dinosaur itu terdiri daripada kumpulan yang tersebar di seluruh dunia sebelum benua di bumi terpisah," tambahnya.
Ceratosaur merupakan dinosaur pemakan daging yang boleh membesar sehingga satu atau dua meter manakala panjang haiwan itu ialah tiga meter. - Agensi

Motosikal Harley-Davidson dibaik pulih selepas hanyut

Kosmo! Online - Dunia:


MOTOSIKAL Harley-Davidson yang hanyut dari Jepun dipamerkan kepada orang ramai.


LANGFORD, British Columbia - Sebuah motosikal Harley-Davidson yang hanyut dari timur laut Jepun hingga ke sebuah pantai di Kanada telah dibersihkan dan dibaik pulih di sebuah kedai di sini, lapor akhbar Toronto Sun semalam.
Motosikal Harley Davidson Nigth Train keluaran tahun 2004 milik Ikuo Yokoyama, 29, dari Yamamoto, Jepun itu dihanyutkan selepas tsunami melanda pada 11 Mac 2011.
Ia terdampar di Pulau Graham, 800 kilometer dari bandar raya Vancouver, Kanada pada bulan lepas selepas hanyut sejauh 6,400 kilometer.
Motosikal itu ditemui oleh seorang penduduk tempatan, Peter Mark pada 18 April lalu.
Ia dihantar dengan menggunakan trak ke kedai Harley Davidson milik Steve Drane untuk dibersihkan secara percuma sebelum dihantar pulang ke Jepun.
Pihak Harley-Davidson Jepun membiayai kos membersihkan dan membaik pulih motosikal itu.
Pemilik motosikal itu dikesan melalui nombor pendaftaran motosikal tersebut. - Agensi

Hollande presiden baharu Perancis

Kosmo! Online - Dunia:



SARKOZY (tengah) berdiri di Istana Elysee, Paris semalam.


PARIS - Pemimpin Parti Sosialis, Francois Hollande dipilih menerajui Perancis selepas beliau menewaskan Presiden Nicholas Sarkozy dalam pilihan raya kelmarin.
Pemimpin berhaluan kiri itu menentang dasar berjimat cermat Perancis dan jadual pengunduran tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dari Afghanistan.
Hollande akan memegang jawatan Presiden Perancis secara rasmi pada 15 Mei ini.
Kemenangan Hollande adalah yang pertama buat Parti Sosialis selepas Francois Mitterrand.
Mitterrand yang juga daripada Parti Sosialis menjadi presiden negara itu dari tahun 1981 hingga 1995.
Keputusan akhir pilihan raya presiden kelmarin menunjukkan Hollande menang tipis apabila mendapat 51.62 peratus undi berbanding 48.38 peratus undi yang diperoleh Sarkozy.
Beliau menang dengan kelebihan 1.13 juta undi daripada keseluruhan 37 juta undi dalam pilihan raya itu. - Agensi

Kereta dihempap bongkah batu

Kosmo! Online - Dunia:


BEBERAPA orang melihat bongkah batu yang menghempap sebuah kereta (kiri).


HANOI - Seorang pegawai menyatakan, sebuah kereta remuk manakala enam orang terbunuh selepas kenderaan tersebut dihempap bongkah batu sebesar rumah yang jatuh dari sebuah gunung di Vietnam.
Seorang pegawai tempatan, Keo Khon berkata, lima orang termasuk pemandu kereta mati di tempat kejadian di wilayah An Giang, selatan Vietnam pada Sabtu lepas.
Menurutnya, seorang lagi penumpang maut semasa dikeluarkan dari kenderaan tersebut manakala dua lagi masih dirawat di hospital.
Kata Khon semalam, semua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menyertai satu upacara keagamaan di sebuah kuil di puncak gunung berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan masih menyiasat kemalangan tersebut.
Menurut Khon, jalan raya menuju ke kuil berkenaan dibuka pada 2004 dan menarik kehadiran beribu-ribu pelawat pada setiap tahun. - Agensi

Monday, May 7, 2012

Wanita Islam terima pampasan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KANSAS CITY 6 Mei - Mahkamah Daerah Jackson, di sini, Khamis lalu mengarahkan sebuah syarikat membayar ganti rugi berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) kepada seorang pekerja wanita beragama Islam yang mendakwa syarikat tersebut melakukan diskriminasi terhadapnya.
Ganti rugi tersebut termasuk sebanyak AS$120,000 (RM360,000) bagi kehilangan sumber pendapatan dan kerosakan-kerosakan lain.
Susann Bashir, yang memeluk Islam pada 2005 mendakwa, syarikat telekomunikasi AT&T memalukannya dengan memaksa dia menanggalkan tudung kepala dan mendedahkan rambutnya.
Akhbar The Kansas City, semalam melaporkan, ia merupakan keputusan terbesar dalam sejarah di Missouri membabitkan kes diskriminasi di tempat kerja.
Susann dalam dokumen mahkamah mendakwa, persekitaran tempat kerjanya berubah seakan-akan memusuhinya setelah dia memeluk Islam, dengan rakan sekerjanya sering mempersendakan tindakannya serta agama yang dianutinya.
"Saya terperanjat apabila mereka mempersendakan tudung kepala yang saya pakai. Sebelum ini tiada sesiapa yang pertikai agama yang saya anuti, tiada siapa yang mempersoalkan pakaian saya?" katanya kepada akhbar tersebut.
Susann bekerja di syarikat tersebut selama 10 tahun sebagai pembina rangkaian fiber optik sebelum dipecat daripada jawatannya dengan menerima pendapatan sebanyak AS$70,000 (AS$210,000) setahun.
Dia juga mendakwa berdepan diskriminasi agama hampir setiap hari selama tiga tahun terakhir bekerja di situ, dengan ada pekerja yang menggelarnya sebagai pengganas.
Sementara itu, jurucakap syarikat AT&T kelmarin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bercadang untuk mengemukakan rayuan. - AGENSI

Pemimpin Al-Qaeda di Yaman terbunuh dalam serangan udara AS

Berita Harian Online | Pemimpin Al-Qaeda di Yaman terbunuh dalam serangan udara AS: "ADEN: Pemimpin Al-Qaeda di Yaman, Fahd al-Quso, yang dikehendaki kerana terbabit dengan pengeboman kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS Cole pada 2000, terbunuh dalam serangan udara di timur Yaman lewat malam tadi, kata ketua puak.

Al-Qaeda, yang mempunyai kubu kuat di selatan dan timur Yaman, mengesahkan kematian Quso menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemberita.
"Fahd al-Quso, yang dikehendaki AS kerana serangan terhadap USS Cole, dibunuh malam ini dalam serbuan udara yang dilancarkan di wilayah Rafadh jajahan Shabwa," kata Ketua Suku Abdel Magid Farid al-Awlaki.
Dalam serangan terhadap kapal pemusnah Tentera Laut AS, USS Cole pada Oktober 2000 di pelabuhan Aden, Yaman, seramai 17 anak kapal terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera. - AFP"

'via Blog this'

Al-Qaeda siar video tebusan AS

Berita Harian Online | Al-Qaeda siar video tebusan AS: "WASHINGTON: Al-Qaeda hari ini menyiarkan video seorang tebusan warga Amerika Syarikat, Warren Weinstein, bahawa berkata beliau akan dibunuh melainkan Presiden Barack Obama bersetuju memenuhi permintaan kumpulan militan terbabit.

“Nyawa saya terletak di tangan anda, tuan presiden. Jika anda menerima permintaan mereka, saya akan hidup tetapi jika anda menolak permintaan maka saya akan mati,” katanya.
Weinstein diculik Ogos lalu di Lahore, Pakistan selepas lelaki bersenjata menipu pengawal dan memecah masuk ke kediamannya.
Warren Weinstein, 70 yang berasal dari Rockville, Maryland adalah pengarah firma J.E. Austin Associates yang berpangkalan di Pakistan bagi memberi nasihat kepada pelbagai syarikat perniagaan dan sektor kerajaan.

Dalam pesanan video yang disiarkan di laman web militan itu pada Disember lalu, ketua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahri, berkata Weinstein akan dibebaskan jika Amerika Syarikat menghentikan serangan udara di Afghanistan, Pakistan, Somalia dan Yaman.

Beliau juga mendesak pembebasan semua suspek al-Qaeda dan Taliban di seluruh dunia. - AP"

'via Blog this'

Terkejut warga Nepal mabuk tidur sekatil

Berita Harian Online | Terkejut warga Nepal mabuk tidur sekatil:
KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dari Flet Awam Jalan Hiliran di sini, terkejut apabila terjaga daripada tidur awal pagi semalam dan mendapati seorang warga Nepal yang dipercayai mabuk tidur sekatil dengan mereka. 

Kehadiran suspek disedari mangsa yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 4.15 pagi selepas anak mereka yang berusia dua tahun menangis kerana dihimpit suspek yang tidur sekatil bersama keluarga berkenaan.
Suspek berusia 31 tahun yang dipercayai mabuk menceroboh masuk rumah anggota polis terbabit sebelum tertidur bersama keluarga terbabit.
Anggota terbabit dipercayai masuk tidur bersama isteri dan anaknya berusia dua tahun kira-kira jam 1.20 pagi tetapi terjaga apabila mendengar tangisan anaknya yang dipercayai berasa tidak selesa akibat dihimpit suspek. 

Sebaik terjaga, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek sedang lena tidur di katilnya, menahan lelaki itu dan memaklumkan kepada Rakan Cegah Jenayah Terengganu sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini, semalam, berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar raya ini dipercayai tersilap masuk ke kediaman mangsa akibat mabuk. 

Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu utama sebelum tidur di bilik sama dengan keluarga terbabit.

Remaja maut taufan landa Jepun

Berita Harian Online | Remaja maut taufan landa Jepun:
SEBAHAGIAN penduduk memeriksa kerosakan rumah mereka selepas puting beliung  melanda Tsukuba  di Ibaraki,   semalam.
SEBAHAGIAN penduduk memeriksa kerosakan
rumah mereka selepas puting beliung
 melanda Tsukuba di Ibaraki, semalam.



TOKYO: Puting beliung melanda timur Jepun semalam, mengorbankan seorang remaja dan mencederakan sekurang-kurangnya 30 lagi selain memusnahkan berpuluh-puluh rumah serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada 20,000 penduduk.

“Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat puting beliung,” kata jurucakap ibu pejabat bencana di bandar raya Tsukuba di Ibaraki, yang terletak 67 kilometer ke barat laut Tokyo.
Punca kematian belum diketahui tetapi mangsa antara 12 orang yang dikejarkan ke hospital oleh pasukan penyelamat selepas bencana itu, kata jurucakap berkenaan.
“Perangkaan itu sementara. Kami percaya bilangan kes kecederaan akan meningkat,” katanya.

Pasukan bomba dan kecemasan Tsukuba berkata 30 hingga 50 rumah musnah akibat bencana itu.

Beberapa kes kecederaan ringan turut dilaporkan di Togichi manakala sebahagian besar timur Jepun turut dilanda angin kencang, hujan batu, petir dan hujan lebat.

Rakaman televisyen dari Tsukuba menunjukkan rumah musnah, kereta terbalik, serpihan kaca bertaburan dan tiang elektrik tumbang. Gambar yang diambil dari udara menunjukkan kemungkinan ratusan rumah dan pangsapuri dengan kaca tingkap yang berselerak, kebanyakannya tiada bumbung diterbangkan puting beliung. 
Agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran bagi wilayah di timur negara itu, meminta penduduk mencari tempat berlindung jika angin kencang bertiup.

Angin kencang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada hampir 20,000 penduduk di wilayah berkenaan, kata jurucakap Bekalan Elektrik Tokyo.

“Taufan dan guruh yang berlaku sekitar 12.46 tengah hari waktu tempatan dipercayai punca gangguan bekalan elektrik kepada 19,300 penduduk Tsukuba dan kawasan sekitarnya,” katanya. – AFP

"sudah tiba masanya....." {tolong jangan baca kisah ini kalau anda rasa ALLAH hanya untuk disembah, bukan untuk dicinta}

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang..              

alkisah..suatu hari 3 orang lelaki didatangkan kepada mereka 3 naskah surat khabar negara kita yang bertarikh sama, dari syarikat sama, dan yang tidak memihak kepada mana2 parti politik.. ketiga-tiga tokoh ini disuruh menghabiskan membaca surat khabar ini, dan menyimpulkan apa yang yang mereka ingin katakan setelah menghabisi bacaan mereka..

setelah dua jam berlalu..

lelaki pertama ditanya, " apa yang tuan dapat simpulkan?"

katanya.. " akhbar ini terlalu berat dan besar, tidak mesra pembaca.. terlalu banyak iklan, ini menguntungkan penerbit, dan merugikan pembaca.."

lalu lelaki kedua pula ditanya.. " apa pendapat tuan pula?"

"bagi saya, banyak berita yang disampaikan oleh akhbar ini. bagus.. namun, mengapa ruangan hiburan terlalu banyak, kenapa tak perluaskan ruangan ilmu, agar kita dapat manfaat, pada ruangan sukan pula, majoritinya, sukan luar negara, bagaimana pula dengan sukan kita sendiri?"

setelah itu, lelaki ketiga pula ditanya.. "bagaimana pula dengan tuan? apa yang tuan dapat simpulkan?"

lelaki itu diam sebentar, menarik nafas panjang, dan berkata...

"hanya tujuh perkataan yang mampu saya katakan. namun cukup untuk menyimpulkan semuanya.."

"apakah perkataan itu?" soal penerbit tadi.

"sudah tiba masanya, kita guna hukum ALLAH.." balas lelaki itu ringkas.

"mengapa???" semua yang berada disitu tertanya2..

lelaki itu membaca basmalah, lalu menerangkan...

"wahai manusia, tidak perlu pemerhatian lama, cukup sekadar senaskah akhbar, dan cukup hanya dengan satu tarikh..kalian dapat melihat, muka depan tersebar aib manusia, tuduh menuduh.. umpat mengumpat, fitnah memfitnah.. si pemberita pula mencetus api perbalahan, ibarat menuang minyak pada api yang marak..kalian lihat didalam lagi.. ada berita, anak membunuh ibu bapa kandung sendiri.. kalian lihat juga, si bapa membakar anaknya yang masih kecil lalu ditanam tulangnya..kalian selak lembaran lain pula, lihat.. si gadis dirogol bergilir-gilir oleh 10 jejaka..lihat pula, besi2 penutup longkang dicuri.. bank dirompak, wanita diragut, rumah dipecah masuk.. seorang lelaki dipukul 13 samseng..kalian lihat lagi.. sudut ekonomi, ekonomi dunia kapitalis, terjejas teruk.. ramai yang hidup melara, ramai dibuang kerja..

kalian lihat pula, ruangan antarabangsa, negara islam satu demi satu ditindas, diserang.. kalian lihat pula ruangan hiburan..artis mendedah aurat, celupar berkata lantang.. bagai mereka yang paling arif.. lihat aksi artis kita berpelukan lelaki perempuan, jadi tajuk utama ruangan hiburan.. ada pula ruang gossip, medan paling luas menabur fitnah dan dengki..

buka pula ruangan agama.. hanya 1/2 dari satu helaian.. mereka bertikam lidah, yang mana sunnah yang mana bida'ah.. isu murtad.. dan pelbagai lagi..

lihat ruang surat pembaca,semuanya masalah, terlanjur dengan kekasih, makan hati dengan mertua, dibuang anak2 setelah berusia.. 

belum puas membaca ruangan agama, selak helaian sebelah, ada pula keputusan judi nombor ekor.. wah.. mereka "hidup berjiran" nampaknya..

pergi lembaran sukan.. isu rasuah tidak pernah sudah.. sesudah perlawanan, berlaku pergaduhan, baling membaling objek, harta awam dimusnahkan.. 

"lalu, apa lagi yang boleh saya simpulkan atas segaka kekacauan ini? hanya SATU penyelesaiannya, sudah tiba masanya kita guna Hukum ALLAH.."

#@ demikianlah yang mampu saya persembahkan.. saya tidak ada kuasa suara untuk berkata, saya tidak ada kuasa politik untuk merombak segala.. namun, hanya dengan bakat penulisan yang ALLAH kurniakan ini, saya gunakan sebaik mungkin, agar sahabat semua dapat mesej yang ingin saya smpaikan.. sudah tiba masanya... kita tidak bercakap politik.. kerana hukum ALLAH bukan milik manusia, ia milik Yang Esa.. kita tidak peduli siapa, kita membantu perjuangan sesiapa shaja yang ingin menegakkan semula hukum ALLAH.. bukan kerana warna mereka hijau, atau kuning, bukan kerana mereka berlambang dacing.. sebaliknya kerana manhaj perjuangan mereka itu.. ibarat kata seorang isteri pada suaminya, "aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika hilang agama dari dirimu, maka hilanglah cintaku padamu.."begitu juga kita.. bantulah perjuangan mereka yang ingin menegakkan hukum tuhan.. jika mereka tinggalkan, maka mereka kita tinggalkan.. mudah.. saya tidak menyebut mana2 parti, saya menyebut, perjuangan menegakkan hukum Ilahi.. kalau perjuangan itu tidak datang dari parti politik, jika ia datang dari saluran lain.. maka bantulah saluran lain itu.. apa sahaja.. asalkan matlamat jelas mahu menegakkan hukum ALLAH.. maka BANTULAH...

persaksikanlah YA ALLAH.. hamba-MU ini telah menjalankan amanah-MU.. telah daku sampaikan sedaya yang ada padaku.. sekarang, ku serahkan amanat ini pula pada kalian pembaca.. lakukanlah sedaya mu.. kongsikan kisah ini.. agar semua mengerti.. usah "like" seorang diri.. kerana hanya menekan butang itu, mesej tetap tidak smpai pada yang lainnya.. sebarkan.. sebarkan.. kerana hanya itu yang kita mampu sebagai awam.. moga ia menjadi saham.. biar jutaan dapat membaca kisah ini.. agar mereka yang berkuasa membuka mata, betapa kita hari ini mahukan HUKUM ILAHI..

mudah2an dapat amal dan SAMPAIKAN...

wasalam..

Pelajar maut digilis jentera pembajak

Pelajar maut digilis jentera pembajak - Semasa - Sinar Harian:


Pelajar maut digilis jentera pembajak
Jentera pembajak . Gambar kecil: Muhammad Fariz Najmi Nurizan.
KUALA NERANG - Kemalangan tragis jentera pembajak berulang kembali dalam tempoh sembilan hari. Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menaiki jentera pembajak berakhir dengan tragedi maut setelah kepalanya digilis bilah pembajak di Kampung Kubang Palas, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Muhammad Fariz Najmi Nurizan beria-ia mahu mengikuti bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, membajak tanah sawah dengan duduk di bahagian tepi jentera kira-kira jam 10 pagi.

Ketika kejadian, Habibullah yang memandu jentera jenis Ford 6600 tidak menyedari Muhammad Fariz terjatuh dan mangsa cedera parah di kepala akibat digilis bilah pembajak.

Bagaimanapun, Habibullah hanya mengetahui kemalangan itu selepas menyedari anak saudaranya tiada di bahagian tepi sebelah kiri jentera iaitu setelah memandu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Yusof Awang, 53, memberitahu, kejadian yang berlaku amat mengejutkan seluruh keluarganya kerana mangsa maut dalam keadaan mengerikan.

“Kepalanya cedera teruk kerana dikisar bilah jentera dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas, di sini,hari ini.

Yusof berkata, kedua ibu bapa mangsa, Nurizan Halim, 46, dan Razamah Abdullah, 46, serta bapa saudara, Habibullah masih trauma dan enggan bercakap mengenai kejadian itu.

“Arwah seorang yang peramah dan kehilangannya dalam kemalangan ngeri itu memberi kesan mendalam kepada seluruh keluarga,” katanya.

Menurutnya, arwah sering mengikuti bapa saudaranya membajak tanah di sawah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dan sudah biasa menaiki jentera pembajak itu.

“Bagaimanapun, pada hari itu, mangsa dipercayai terjatuh ketika jentera baru sahaja turun dari jalan kampung ke sawah sebelum bapa saudara menyedari kemalangan berkenaan.

“Fariz yang ditemui berlumuran darah kemudian diangkat oleh bapa saudaranya ke jalan kampung sebelum mayat dibawa polis trafik ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat,”  katanya.

Menurutnya, dia diberitahu mengenai kemalangan terus ke tempat kejadian.

Bagaimanapun kedua ibu bapa mangsa tidak dibenarkan ke lokasi kerana dikhuatiri tidak sanggup melihat keadaan mangsa.

“Mangsa menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi pendiam kira-kira seminggu sebelum kejadian,” katanya.

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersekolah di Sekolah Rendah Kubang Palas, di sini dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kubang Palas, pada petang hari kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ku Yaacob Ku Hamad memberitahu, polis mengambil keterangan pemandu jentera pembajak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 26 April lalu, seorang peniaga pasar malam, Mohd Hishamudin Yusof, 22, meninggal dunia sewaktu membantu bapanya mengeluarkan jentera pembajak dari bawah rumah, maut setelah badan tersepit antara mesin berkenaan dengan lantai rumah neneknya di Batu Lapan, Simpang Empat, Alor Setar.

Ustaz Budak: Saya difitnah

Ustaz Budak: Saya difitnah - Nasional - Sinar Harian:


Ustaz Budak: Saya difitnah
Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri
MACHANG - Setelah lima bulan, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri, 24, tampil memberi penjelasan dakwaan beliau menyamakan Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad SAW.
Shamsul Zaman yang baru pulang dari Yaman berkata, beliau tidak pernah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan Nabi, sebaliknya menerangkan kepimpinan dan pemerintahannya yang mencontohi Rasulullah SAW.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat semasa ceramahnya di Johor tiga tahun lalu itu dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.
”Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan Nabi, tetapi memberi contoh atau perumpamaan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Tok Guru sama seperti nabi. Ulama adalah pewaris Nabi, maknanya ulama ini pengganti Nabi tetapi bukan Nabi secara fizikal.
”Jika saya menyamakan Tok Guru dengan Nabi, maka sesatlah saya, kafirlah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Rawa di sini, semalam.
Akhir tahun lalu, rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang dikatakan melabelkan ulama dan Mursyidul Am Pas itu seperti Nabi itu disiarkan sebuah portal sebelum mendapat reaksi pelbagai pihak.
Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhubung ceramah itu dan meminta penyiasatan­ dilaksanakan bagi mengelak akidah umat Islam terpesong.
Dalam masa sama Mufti Kelantan, Datuk Syukri Mohamad meminta Syamsul Zaman bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan akidah.
Sementara itu, Syamsul Zaman turut mempertikaikan kenapa rakaman­ kuliah agama itu tidak disiarkan secara keseluruhan, tetapi tertumpu kenyataan itu sahaja.
Katanya, penyebaran video itu menyebabkan salah faham dan menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai terutamanya apabila ia membabitkan soal akidah.
”Apa yang pasti, video itu telah ditokok tambah, malah saya sendiri tidak tahu macam mana video itu boleh tersebar sedangkan tiada sebarang rakaman dilakukan ketika itu.
”Saya bukan penceramah Pas seperti yang didakwa. Saya penceramah bebas. Kalau Umno jemput saya sekalipun, saya terima, namun apa yang saya perjuangan dengan apa yang dilakukan Menteri Besar ketika ini selari” katanya yang berceramah di merata tempat, termasuk masjid dan surau sejak 12 tahun lalu.
Shamsul Zaman berkata, beliau agak terkejut dengan penyebaran video itu namun menerimanya secara terbuka dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT.
Katanya, beliau bersedia memberi penjelasan kepada khalayak termasuk Kerajaan Kelantan jika diminta berbuat demikian bagi mengelakkan salah faham yang berterusan.
“Saya tidak gementar dengan ujian­ ini dan bersedia (hadapi) setiap yang berlaku, malah ia memberi kekuatan untuk terus berdakwah,. Namun jika diberikan peluang kepada saya untuk berada di petas umum termasuk bersama Menteri Besar dan ulama lain untuk menerangkan apa saya ucapkan sebelum ini,” katanya.
Wawancara bersamaUstaz Budak akan disiarkan esok.