Pages

Monday, December 19, 2011

Paksa anak saudara layan nafsu rakan

KUALA LUMPUR: Pak cik setan. Itu gelaran yang layak diberikan kepada seorang lelaki berusia 40-an yang bukan sahaja sanggup memaksa anak saudaranya untuk melayan nafsu buas rakannya malah lelaki itu sanggup mencabul wanita berusia 26 tahun itu dalam kejadian di Flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa baru pulang dari kerja dan ketika itu, bapa saudaranya yang menganggur keseorangan di rumahnya.


Beliau berkata, seperti biasa, mangsa melakukan rutin hariannya iaitu membersihkan rumah dan dengan tiba-tiba lelaki itu membawa sebatang batang besi lalu menerkam mangsa.

“Lelaki itu memaksa mangsa untuk melayan nafsu rakannya untuk melunaskan hutangnya namun mangsa enggan menurut kehendak bapa saudaranya itu.


“Akibat berang dengan tindakan mangsa, dia dibelasah dengan batang besi sehingga dia mengalami kecederaan di kepala, bibir, tangan dan kaki.


“Mangsa turut diugut bunuh jika berani melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa nekad melarikan diri ketika bapa saudaranya itu ke tandas dan membuat laporan polis di Balai Polis Pantai.

myMetro | Paksa anak saudara layan nafsu rakan:

Hanya sehelai baju berjaya diselamatkan

TINGGAL ABU...Rubiah menunjukkan tempat kelengkapan sekolah anaknya yang diletakkan  sebelum musnah terbakar.
TINGGAL ABU...Rubiah menunjukkan tempat kelengkapan sekolah anaknya yang diletakkan sebelum musnah terbakar.

KLANG: “Memang terlalu sedih, hanya sehelai baju saja dapat diselamatkan. Barangan lain termasuk kelengkapan persekolahan anak untuk sesi tahun depan rentung,” kata Rubiah Jantan, 44, mangsa kebakaran di Lorong Ahmad, Kampung Rantau Panjang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, lapan rumah binaan separuh kayu dan batu sederet turut musnah membabitkan 27 mangsa.


Rubiah yang juga seorang ibu tunggal, ketika ditemui sebak lebih-lebih lagi mengenangkan peralatan sekolah yang dibeli untuk dua anaknya, Muhammad Iswan Alias, 15, dan Mohd Hafis Alias, 13, musnah sekelip mata.

“Pada 24 November lalu, saya mendapat baucar RM360 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak untuk membeli kelengkapan sekolah.


“Baju sekolah, kasut, beg dan peralatan tulis anak-anak disediakan dan diletakkan di atas meja di ruang tamu.


“Api marak sangat cepat iaitu kira-kira 15 minit dan kami hanya mampu menyelamatkan nyawa dan kad pengenalan saja,” katanya.

Menurut Rubiah dia melihat api sedang marak di sebuah rumah berhampiran sebelum memaklumkan hal itu kepada jiran lain.


Rubiah yang menetap di Kampung Rantau Panjang selama 14 tahun tidak menyangka ditimpa kejadian malang itu.

Ketika ini, Rubiah dan mangsa kebakaran ditempatkan sementara di Rumah Komuniti Anti Dadah Daerah Klang di sini.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar, ketika dihubungi berkata, punca kebakaran masih disiasat dan anggaran kerugian adalah RM500,000.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil turut turun padang menziarahi mangsa kebakaran itu untuk menyampaikan bantuan.

myMetro | Hanya sehelai baju berjaya diselamatkan:

Moscow tak akan biar republik Islam diserang

MOSCOW: Russia akan cuba menyekat sebarang serangan tentera terhadap kemudahan nuklear Iran kerana sebarang ancaman terhadap republik Islam itu akan menjadi masalah kepada Moscow.

Dalam temuramah denghan sebuah rangkaian televisyen, pakar tentera Russia, Vladimir Yevseyev berkata, serangan tentera terhadap Teheran akan mencetuskan masalah serius bagi Russia kerana Caucasus dan Asia Tengah adalah rantau strategik bagi negara itu.


Beliau juga menyifatkan penahanan sebuah dron pengintip Amerika oleh tentera Iran sebagai kejayaan penting dengan berkata, Amerika Syarikat mencabul ruang angkasa Iran, sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang antarabanagsa.

Menurutnya, Russia juga akan bertindak serupa jika ada pesawat pengintip menceroboh ruang angkasanya. - AP

myMetro | Moscow tak akan biar republik Islam diserang:

Israel, AS tekad halang Teheran

BAITULMAQDIS: Israel dan Amerika Syarikat bertekad untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak juga tidak menolak sebarang pilihan yang ada untuk menamatkan impian Iran itu.


“Amerika Syarikat dan Israel percaya bahawa pemilikan senjata nuklear oleh Iran tidak boleh diterima dan kami bertekad menghalangnya daripada memperoleh senjata itu,” kata Barak menerusi radio, dua hari selepas berbincang dengan Presiden Barack Obama.

“Kami mengulangi hakikat bahawa kami tidak akan mengetepikan sebarang pilihan dalam untuk menamatkan usaha Iran itu,” katanya.


Bercakap kepada wartawan sebelum mesyuarat itu, Obama berkata, Washington sudah berusaha bersungguh-sungguh dengan sekutunya untuk menghentikan program nuklear Iran.


Israel dan kerajaan Barat mengesyaki program itu bertujuan untuk menghasilkan senjata atom tetapi disangkal oleh Iran yang berkata, ia bertujuan untuk menjana kuasa. Obama baru-baru ini berkata masyarakat antarabangsa akan meningkatkan tekanan terhadap Iran, termasuk melaksanakan sekatan menyeluruh ke atas negara itu sebagai tindak balas terhadap keengganan Iran menghentikan program nuklearnya. - AFP

myMetro | Israel, AS tekad halang Teheran:

AS tidak serik: Iran

TEHERAN: Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Hal Ehwal Luar Parlimen Iran berkata, Amerika Syarikat mengulangi kesilapan menghantar dron RQ-170 apabila ia bertindak mengerah pengintip ke negara itu.

Pesawat berkenaan menceroboh ruang angkasa Iran pada 4 Disember lalu tetapi ditembak jatuh oleh Unit Perang Elektronik tentera Iran ketika ia terbang di Kashmar, kira-kira 140 kilometer dari sempadan Afghanistan.


Merujuk kepada penangkapan seorang pengintip Amerika Syarikat oleh Kementerian Perisikan Iran, Alaedin Boroujerdi (gambar) berkata, Amerika mengulangi kesilapan udara mereka di darat.

“Saya percaya Amerika mengetahui badan perisikan republik Islam ini mengawasi semua pergerakannya di rantau ini dan di dunia,” kata Alaedin.


Beliau menegaskan, agensi perisikan Iran tidak akan membenarkan Amerika untuk bertindak terhadap kepentingan negara itu.


“Adalah dijangka selepas tindakan Amerika mencabul ruang angkasa negara kita, satu kesilapan bertaraf dunia, Amerika tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. “Bagaimanapun, Amerika dilihat meneruskan kesilapan itu,” katanya.

Menurutnya, Iran perlu bertindak lebih tegas jika Amerika meneruskan langkah yang akan menjejaskan republik Islam itu.


Beliau berkata demikian selepas Kementerian Perisikan mengumumkan ia menahan seorang pengintip CIA keturunan Iran, sekali gus menggagalkan rancangan Amerika untuk menjalankan kegiatan pengintipan di negara itu. - Agensi

myMetro | AS tidak serik: Iran:

650 maut, lebih 900 lagi hilang

CAGAYAN DE ORE (Filipina): Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari lebih 900 mangsa yang masih hilang di selatan negara ini, semalam selepas banjir kilat dan tanah runtuh menghanyutkan kediaman ke dalam sungai dan laut, membunuh lebih 650 orang di kawasan yang dilanda taufan pemusnah.

Cagayan de Oro dan bandar raya berhampiran Iligan di Mindanao paling teruk terjejas akibat dilanda taufan Wasi ketika penduduk sedang tidur pada awal pagi Sabtu lalu menyebabkan arus deras dan lumpur melanda kawasan desa dan meruntuhkan tebing pergunungan.


Persatuan Palang Merah Kebangsaan Filipina (PNRC) menganggarkan 650 orang terbunuh di lapan wilayah di Mindanao dengan lebih 900 lagi masih hilang. “Pejabat kami dihujani ratusan permintaan supaya membantu mencari ibu paba, anak dan saudara yang hilang,” kata Setiausaha Agung PNRC, Gwendolyn Pang kepada wartawan.

“Kami membantu menguruskan operasi mencari bersama pihak berkuasa tempatan, tentera, polis dan agensi yang lain,” katanya.


Banjir menghanyutkan seluruh rumah bersama penghuni di dalamnya di puluhan desa di tepi pantai di Cagayan de Oro dan Iligan.


“Ini kali pertama insiden seumpamanya berlaku di bandar raya kami,” kata Datuk Bandar Cagayan de Oro, Vicente Emano dalam wawancara radio. Beliau berkata, pihak berkuasa di kawasan itu tidak menerima amaran mencukupi sebelum taufan melanda. Laporan terkini oleh agensi bencana negara berkata, 650 orang terbunuh dan 900 lagi hilang. Ia berkata, amaran sudah diberikan kepada pihak berkuasa dan penduduk tiga hari sebelum taufan melanda pada Jumaat lalu.

Pihak berkuasa kesihatan dan bencana berhempas-pulas untuk menangani sejumlah besar mayat yang ditemui. Sesetengahnya diletakkan bertindihan antara satu sama lain di rumah mayat tempatan.


“Saya lihat sendiri mayat wanita dan kanak-kanak yang kembung, tidak kurang daripada 100,” kata Naib Presiden Jejomar Binay kepada radio Filipina ketika melawat kawasan paling teruk terjejas di Cagayan de Oro.

Binay mengagihkan bungkusan makanan dan mengarahkan keluarga yang tinggal berdekatan saliran air supaya berpindah.


Ketua pasukan tentera Brigadier Jeneral Roland Amarille berkata, tentera dikerah supaya mencari mayat dan membuat keranda. Pekerja rumah mayat juga tidak mampu untuk menangani kebanjiran mayat di situ.


“Kami memerlukan beg mayat dan kapur barus untuk menguruskan terlalu banyak mayat,” kata Amarille yang bimbang tercetusnya wabak penyakit. “Rumah mayat tempatan tidak lagi menerima mayat dan mereka meminta orang ramai mengebumikan mayat segera kerana terlalu banyak mayat, malah hingga memenuhi tempat lalu lalang,” katanya.


Kebanyakan mangsa yang terkorban menetap di kawasan setinggan di pulau yang dipisahkan oleh dua sungai di Iligan.


Kira-kira 70 peratus kediaman di pulau itu dihanyutkan ke laut” katanya. - Reuters

myMetro | 650 maut, lebih 900 lagi hilang:

Bayi dibungkus, ditembak ibu

SARAH bersama  Warren dan Maggie 10 bulan lalu.
SARAH bersama Warren dan Maggie 10 bulan lalu.

ILLINOIS: Seorang wanita dipercayai membunuh teman lelaki dan tiga anaknya di sebuah bandar kecil di sini sebelum menembak dirinya.

Gambar yang dirakam 10 bulan lalu menunjukkan Sara McMeen dan Daniel Warren tersenyum bersama-sama-sama anak yang baru dilahirkan, Maggie.


Ketiga-tiganya mati bersama dengan dua anak Sarah yang lain, Skyler, lapan dan Ian, tujuh, dalam kes pembunuhan dan bunuh diri yang melenyapkan seluruh keluarga terdiri daripada lima orang itu di Emmington, Illinois.

Seorang jiran menceritakan bagaimana Sarah meletakkan Maggie di atas tanah, menyelimutkannya dan kemudian menembaknya dari jarak dekat dengan sepucuk pistol separuh automatik. Dia sebelum itu dipercayai sudah menembak mati teman lelakinya, Warren, 29, dan dua anaknya, lapor akhbar Pontiac Daily Leader.


Jiran itu lari untuk meminta bantuan tetapi apabila kembali, Sarah juga sudah mati selepas menembak dirinya.


Jiran itu memberitahu Daily Leader, dia keluar dari rumah apabila mendengar bunyi tembakan dan melihat Sarah membungkus anaknya dengan selimut di atas tanah di belakang rumahnya.

Apabila jiran berkenaan bertanya mengenai keadaannya, Sarah menjawab: “Tidak, semuanya tidak OK.” “Dia kemudian membongkok dan menembak bayi itu,” kata jiran berkenaan.


Pihak berkuasa tidak mengesahkan laporan Daily Leader tetapi berkata, pembunuhan itu adalah kes bunuh dan bunuh diri.

Ia berlaku di sebuah rumah di Emington, bandar yang mempunyai hanya 100 penduduk, tempat Skyler dan Ian, dia anak Sarah yang lain, dilihat turun dari bas sekolah tidak lama sebelum dibunuh. - Agensi

myMetro | Bayi dibungkus, ditembak ibu:

Buaya tembaga dalam pukat nelayan

 BUAYA  berjaya ditangkap menggunakan pukat nelayan diikat sebelum diserahkan kepada PERHILITAN di Kuala Kurau.
BUAYA berjaya ditangkap menggunakan pukat nelayan diikat sebelum diserahkan kepada PERHILITAN di Kuala Kurau.
KUALA KURAU: Seorang nelayan terkejut apabila pukat yang disangkakan berat dengan hasil tangkapan rupa-rupanya menjerut seekor buaya tembaga berukuran tiga meter.

Buaya yang masih hidup ditemui Sazali Mohamad, 47, ketika menangkap ikan di sungai di Kuala Parit 30, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Sazali berkata, pada mulanya dia mengandaikan pukat berkenaan berat kerana terlalu banyak ikan, tetapi apabila ditarik ke atas didapati ada seekor buaya cuba melepaskan diri.
“Saya terpaksa meminta tolong daripada beberapa rakan lain yang kebetulan turut menangkap ikan di kawasan berkenaan. Kami bergabung tenaga untuk menaikkan pukat berkenaan kerana buaya itu sangat berat.

“Kami bernasib baik kerana buaya itu tidak terlalu agresif. Sebaik berjaya dibawa ke darat, saya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Berita Harian Online | Buaya tembaga dalam pukat nelayan:

Obama elak 'cerita keluarga' dihebah

OBAMA bersama anaknya, Malia.
OBAMA bersama anaknya, Malia.
Presiden Amerika perjelas sebab larang anak guna Facebook

LONDON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melarang anak perempuannya menggunakan Facebook kerana beliau tidak mahu 'orang luar mengetahui hal ehwal keluarga mereka.'
Obama berkata, adalah tidak munasabah untuk meletakkan semua maklumat peribadi keluarga untuk tatapan umum. Anak sulungnya, Malia, 13, sudah layak menggunakan Facebook tetapi tidak adiknya, Sasha, 10, lapor Daily Mail.
Mengapa kita perlu ramai orang yang kita tidak kenali tahu urusan kita? Ia langsung tidak masuk akal. - Obama
Obama berkata, beliau tidak benarkan mereka menyertai laman sosial terbabit sehingga kedua-duanya lebih matang dan itu bermakna sekurang-kurangnya empat tahun lagi.

Facebook menetapkan usia 13 tahun sebagai usia layak bagi seseorang untuk mempunyai akaun dalam web sosial itu.

Pengakuan Obama mungkin tidak kena dengan tempatnya kerana beliau sendiri menggunakan Facebook dan laman web lain untuk menggalakkan golongan muda mengundinya dalam pilihan raya selain menarik berjuta dolar bagi kempen beliau.

Atas sebab yang sama, Obama dikenali sebagai ‘Presiden Media Sosial Pertama’, lapor akhbar itu. Laman Facebook Obama mendapat tanda ‘I Like’ kira-kira 24 juta orang dan masih penting dalam usaha bertanding semula bagi terus tinggal di Rumah Putih.
Satu gambar di Facebook menunjukkan Obama berenang di laut bersama seorang anak perempuannya. Dalam satu temubual, Obama menerangkan mengapa beliau melarang anaknya menggunakan Facebook:

“Mengapa kita perlu ramai orang yang kita tidak kenali tahu urusan kita? Ia langsung tidak masuk akal. Kita lihat apa rasa mereka, empat tahun lagi.” – Agensi
Berita Harian Online | Obama elak 'cerita keluarga' dihebah:

200 pemohon suaka hilang kapal karam

JAKARTA: Penyelamat mencari mangsa yang terselamat semalam selepas sebuah kapal membawa kira-kira 250 pemohon suaka, kebanyakannya dari Asia Barat, karam di luar pulau Jawa Indonesia dengan hanya 33 orang diselamatkan setakat ini.

Empat bot nelayan terus mencari lebih 200 lagi penumpang hilang yang cuba sampai ke Australia, namun cuaca buruk dan ombak setinggi empat meter menghalang usaha itu, kata pegawai polis maritim yang mengetuai operasi menyelamat, Leftenan Alwi Mudzakir.
“Kami bimbang kebanyakan mereka tidak dapat diselamatkan,” katanya. Polis menyalahkan kemalangan kelmarin kerana kapal itu membawa lebih muatan, lebih dua kali ganda daripada kapasitinya.

Mudzakir berkata, ada penumpang yang diselamatkan memberitahu pihak berkuasa mereka mahu mendapatkan perlindungan di Australia.

Katanya, daripada 250 warga asing itu, kebanyakannya adalah dari Afghanistan dan selebihnya dari Iraq, Iran dan Turki.

Mereka dibawa satu kumpulan tidak dikenali menaiki empat bas dari ibu kota ini Khamis lalu selepas mereka berjanji membawa pemohon suaka ke Pulau Christmas, sebuah jajahan Australia di Lautan Hindi, tanpa dokumen sah imigresen. – AP
Berita Harian Online | 200 pemohon suaka hilang kapal karam:

Amerika ceria henti jajah Iraq

TENTERA  AS gembira meninggalkan Iraq pulang ke tanah air selepas masuk ke sempadan Kuwait, semalam.
TENTERA AS gembira meninggalkan Iraq pulang ke tanah air selepas masuk ke sempadan Kuwait, semalam.
Pengunduran selesai jam 7.38 pagi

SEMPADAN KUWAIT: Kumpulan terakhir tentera Amerika Syarikat keluar dari Iraq dan memasuki Kuwait semalam menandakan berakhirnya penjajahannya di negara Teluk itu hampir sembilan tahun atas alasan Presiden Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar (WMD) selain membantu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, sesuatu yang kemudian terbukti tidak benar.
Sebanyak 110 kenderaan membawa 500 askar Amerika daripada Briged ke-3, Divisyen Berkuda Pertama melintasi sempadan pada 7.38 pagi waktu tempatan, meninggalkan hampir 200 askar yang mengawal kedutaannya di Baghdad.
Pada satu masa, 170,000 askar Amerika berada di 505 markas tentera di seluruh Iraq. Pengunduran kumpulan terakhir itu menamatkan perang yang mengorbankan beratus-ratus ribu penduduknya selain hampir 4,500 askar Amerika selain menyebabkan 1.75 juta lagi kehilangan tempat tinggal.

“Saya berasa bagus sekali keluar dari Iraq. Perang agak lama, tiba masa untuk pulang sekarang,” kata Sarjan Duane Austin.

Seorang ibu empat anak, Umm Mohammed, bagaimanapun, berkata: “Kami tidak dapat maafkan sama sekali Amerika atas apa yang mereka lakukan ke atas kami.”

Baghdad yang kini dikuasai pemimpin Syiah dan Washington menandatangani perjanjian pada 2008 bahawa pengunduran tentera akan tamat tahun ini. Tahun lalu, Amerika mengisytiharkan tamatnya operasi ketenteraan, tetapi mengekalkan 50,000 askarnya di Iraq.
Selain itu, Kedutaan Amerika juga mempunyai 157 askar yang akan ditugaskan melatih tentera Iraq manakala sekumpulan Marin bagi melindungi misi diplomatik itu.

Pengunduran fasa terakhir itu berlaku ketika Iraq terus dilanda kebuntuan politik selepas blok parti Sunnah memutuskan untuk memulaukan Parlimen menyebabkan Perdana Menteri, Nuri al-Maliki bertindak menyingkirkan seorang timbalannya yang juga daripada puak Sunnah. – AFP
Berita Harian Online | Amerika ceria henti jajah Iraq:

217 dikhuatiri lemas



PETUGAS perubatan memberikan bantuan kecemasan kepada para mangsa bot karam yang dibawa ke sebuah pusat perlindungan di Trenggalek, Jawa Timur, Indonesia, semalam. – Agensi


  • Sebuah bot yang menyeludup warga asing dari Asia Barat dan beberapa negara lain menuju ke Australia karam di perairan Jawa Timur kelmarin dengan mengakibatkan 217 orang dikhuatiri lemas.
  • Tragedi berkenaan berlaku kira-kira 30 batu dari pantai Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.
  • Menurut laporan media tempatan, sehingga tengah hari semalam seramai 33 penumpang bot berkenaan berjaya diselamatkan dan pasukan penyelamat masih berusaha mencari penumpang lain di kawasan perairan tersebut.
  • Namun, usaha mencari dan menyelamat dijejaskan oleh masalah cuaca buruk dan jarak penglihatan yang rendah.
  • Pendatang asing dari Turki, Afghanistan, Arab Saudi dan Iran itu menaiki bot milik nelayan Indonesia yang disewa untuk belayar ke Australia ketika kemalangan itu berlaku.
  • Bot berkenaan yang hanya mampu menampung tidak lebih daripada 100 orang dilaporkan telah mengangkut lebih 250 penumpang.
  • Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

    Penduduk Wukan di China memberontak



    Ribuan penduduk pekan Wukan di Guangdong mengadakan tunjuk perasaan membantah parti komunis yang merampas tanah mereka, kelmarin. - AFP


    WUKAN 18 Dis. - Beberapa penunjuk perasaan dari sebuah pekan di selatan China memberi amaran akan berarak ke pejabat-pejabat kerajaan pada Rabu ini jika mayat seorang pemimpin tempatan tidak diserahkan dan empat penduduk kampung mereka dibebaskan dari tahanan polis.

    Seramai 13,000 penduduk Wukan yang tinggal di wilayah Guangdong kini sedang memberontak secara terbuka terhadap pegawai-pegawai rasmi dan telah menghalau keluar pemimpin Parti Komunis tempatan yang didakwa mencuri tanah mereka selama bertahun-tahun.

    Kebanyakan perniagaan tempatan dan sekolah ditutup serta disekat oleh polis dari minggu lepas ekoran protes keganasan yang berlaku selama beberapa bulan disebabkan rampasan tanah.

    Pihak berkuasa memberi amaran akan mengambil tindakan keras ke atas orang yang memulakan kekacauan itu ekoran penangkapan lima penduduk kampung dan seorang daripada mereka mati Ahad lalu dalam tahanan polis.

    Menurut pihak berkuasa, Xue Jinbo, 42, mengalami serangan jantung tetapi saudara-mara Jinbo yang melihat mayatnya mendakwa dia dipukul sehingga mati.

    Penduduk kampung memberi amaran akan berarak ke pejabat-pejabat kerajaan di bandar Lufeng pada Rabu ini melainkan jika mayat Xue Jinbo dikembalikan dan empat lagi penduduk kampung yang masih dalam tahanan polis dibebaskan.

    Penduduk kampung mengadu bahawa pemimpin-pemimpin tempatan mencuri tanah mereka selama beberapa dekad lalu. - AFP

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Liga Arab bawa kes Syria ke PBB

    BEIRUT 18 Dis. - Liga Arab mungkin membawa cadangan untuk menamatkan tindakan keras kerajaan Syria ke atas penunjuk perasaan, kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

    Menteri Luar Qatar, Sheikh Hamad Jassin al-Thani semalam berkata, tindakan itu akan diambil jika Damsyik gagal melaksanakan inisiatif itu.

    Beliau yang turut melahirkan kekecewaan ke atas kegagalan Syria itu berkata, peluang untuk melaksanakan inisiatif Liga Arab bagi menyelesaikan krisis itu semakin tertutup.

    ''Jika perkara itu tidak diselesaikan dalam minggu depan, ia akan berada di luar kawalan negara Arab.

    ''Perkara ini telah kami maklumkan kepada Syria sejak dari awal,'' katanya selepas satu mesyuarat menteri Liga Arab di Qatar.

    Menteri-menteri negara Arab pada Rabu ini akan membuat keputusan sama ada akan meminta Majlis Keselamatan untuk meluluskan inisiatif tersebut.

    ''Saya percaya 21 Disember ini akan menjadi penentu dan kami harap Syria akan menandatangani inisiatif itu sebelum tarikh berkenaan,'' ujar Sheikh Hamad. - REUTERS

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Israel bebaskan 550 pejuang Palestin

    TEL AVIV 18 Dis. - Israel membebaskan 550 pejuang Palestin hari ini pada peringkat kedua pertukaran tahanan dengan pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza.

    Pada peringkat pertama pada pertengahan Oktober lalu, Israel membebaskan 477 pejuang Palestin, ramai antaranya menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup, sebagai pertukaran dengan Gilad Shalit, askar Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza selama lebih lima tahun.

    Kumpulan tahanan yang dibebaskan hari ini dianggap kurang tegar dan tiada seorang pun daripada mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

    Kebanyakan mereka adalah anggota sayap bersenjata pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

    Majoriti tahanan itu dijadual dihantar ke Tebing Barat selepas dibawa ke sebuah pangkalan tentera Israel dekat Ramallah.

    Kira-kira 40 tahanan dibawa ke pintu sempadan Kerem Shalom sebelum menyeberang ke Genting Gaza.

    Dua tahanan berasal dari Baitulmaqdis Timur dan dua lagi dari Jordan menyeberangi Jambatan Allenby yang menjadi sempadan dengan Jordan, ke timur Israel.

    Mahkamah Agung Israel lewat semalam menolak petisyen yang dikemukakan oleh ahli keluarga kepada rakyat Israel yang terbunuh dalam serangan pejuang Palestin, supaya pembebasan itu dihalang.

    Mahkamah memutuskan, isu tersebut mempunyai implikasi politik dan keselamatan, dengan itu merupakan keputusan kerajaan yang tidak akan disekat oleh mahkamah. - DPA

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Rusuhan merebak di Kazakhstan



    PASUKAN polis Kazakhstan memeriksa kawasan kekacauan di Zhanaozen yang menyaksikan 11 terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan, dalam imej video kelmarin. – REUTERS


    ASTANA 18 Dis. – Keganasan di wilayah Mangistau yang kaya dengan minyak di Kazakhstan mula merebak apabila perusuh menyekat laluan sebuah kereta api penumpang dan mengganas di sebuah kampung sebelum polis melepaskan tembakan, menyebabkan seorang terbunuh.

    Sekumpulan penduduk di Shetpe, sebuah stesen kereta api kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah, Aktau di tepi Laut Caspian, menghalang sebuah kereta api yang membawa 300 penumpang dan ‘meminta mereka menyokong rusuhan besar-besaran’, kata pendakwa raya Kazakhstan dalam satu kenyataan.

    Kira-kira 50 orang mengingkari polis, membakar kereta api tersebut dan kemudian mengganas di sebuah kampung yang terletak dekat stesen itu.

    “Seorang terbunuh dan 12 lagi cedera apabila polis terpaksa melepaskan tembakan,” menurut kenyataan itu.

    Rusuhan di wilayah yang kaya dengan sumber asli itu bermula di Zhanaozen kelmarin apabila sekumpulan orang berpakaian uniform pekerja minyak menumbangkan sebatang pokok Krismas dan merosakkan peralatan sistem suara yang ditempatkan di dataran utama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.

    Angka kematian rasmi akibat rusuhan meningkat kepada 12 orang pagi ini manakala hampir 100 lagi cedera.

    Kekacauan meningkat sekalipun perintah darurat selama 20 hari diisytiharkan di Zhanaozen semalam oleh Presiden Nursultan Nazarbayev, yang menyifatkan perusuh sebagai ‘samseng’ yang diupah untuk menggugat kestabilan wilayah itu dan menyerang penduduk.

    Bagaimanapun pembangkang sosialis dalam kenyataan di laman web mereka menyelar polis kerana melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan tidak bersenjata dan memarakkan lagi konflik antara pekerja minyak dengan syarikat minyak Kazmunaigaz.

    Pekerja di Zhanaozen dan bandar lain di wilayah Mangistau melancarkan mogok sejak beberapa bulan lalu bagi menuntut kenaikan gaji.

    Hubungan Zhanaozen dengan dunia luar terputus kerana perkhidmatan telefon digantung, peralatan radio diharamkan, dan jalan utama disekat oleh pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan identiti.

    – AFP

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Iran berjaya godam pesawat drone AS



    GAMBAR dipetik dari imej televisten Iran, Press TV pada 8 Disember lalu menunjukkan pegawai Iran bersama pesawat drone RQ-170 Sentinel yang berjaya digodam dan mendarat di Iran pada 4 Disember lalu. - AFP


    WASHINGTON 18 Dis. - Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan tentera Amerika Syarikat (AS) menghadapi masalah keselamatan yang serius jika dakwaan seorang jurutera Iran terbukti benar.

    Jurutera yang diwawancara oleh Christian Science Monitor itu menggambarkan dengan terperinci bagaimana sepasukan pakar negaranya menggodam Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) sebuah pesawat drone AS dengan tujuan untuk menawannya.

    Itulah pesawat sama yang didakwa oleh kerajaan AS telah mendarat di wilayah Iran pada awal bulan ini disebabkan kerosakan.

    Pakar Iran dilaporkan mendapati kelemahan drone RQ-170 Sentinel itu ialah GPSnya dengan memeriksa drone-drone Amerika yang jatuh pada September lalu.

    Berdasarkan maklumat itu, mereka memasang perangkap untuk sebuah drone yang menjalankan pengintipan di ruang udara Iran.

    "Dengan mengganggu sistem komunikasinya, kami memaksa pesawat itu terbang dengan 'autopilot' dan di sinilah pesawat kehilangan 'otaknya'," katanya.

    Pasukan Iran kemudian memprogramkan drone itu supaya 'mendarat dengan sendiri di lokasi yang mereka kehendaki'.

    Jurutera itu berkata, seluruh proses itu semudah menggodam sebuah akaun Google.

    Kajian pada 2003 mengenai kelemahan GPS menunjukkan tentera AS tahu tentang masalah itu sejak hampir sedekad lalu, dan jika benar sistem GPS RQ-170 dalam tangan Iran itu digodam, ini bermakna kelemahan tersebut belum dibaiki. - AGENSI

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Mangsa banjir besar di Filipina makin meningkat

    MANILA 18 Dis. - Angka kematian akibat banjir besar yang melanda Filipina disebabkan ribut tropika Washi meningkat hari ini kepada lebih 600 orang manakala lebih 800 lagi hilang.

    Persatuan Palang Merah hari ini berkata, 652 orang disahkan maut dan 808 lagi hilang selepas Washi melanda selatan negara ini malam semalam, tetapi angka kematian dijangka meningkat lagi dalam masa beberapa hari akan datang.

    "Kawasan terjejas begitu luas dan saya percaya pasukan pencari dan penyelamat belum masuk ke semua kawasan.

    "Selain itu, banyak rumah yang hanyut bersama-sama penghuninya sekali," kata Setiausaha Agung Palang Merah Kebangsaan Filipina, Gwen Pang.

    Menurutnya, angka kematian itu hanya termasuk mayat yang dihantar ke rumah mayat dan banyak lagi mayat dijangka ditemui.

    Hujan lebat berpunca daripada Washi di Pulau Mindanao, selatan negara ini, menyebabkan banjir kilat, air sungai melimpahi tebing dan tanah runtuh, terutamanya di bandar-bandar Cagayan de Oro dan Iligan.

    "Banjir berlaku dengan begitu pantas dan pada waktu malam ketika penduduk sedang tidur.

    "Penduduk berkata, mereka tidak bersedia dan tidak menjangka dilanda banjir sebegitu besar," kata Pang. - AFP

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

    Pertempuran di Dataran Tahrir berterusan



    Seorang lelaki melihat dari beranda rumahnya kebakaran di Dataran Tahrir ekoran pertempuran terbaru antara polis dan penunjuk perasaan di tengah Kaherah, semalam. - REUTERS


    KAHERAH 18 Dis. - Pertempuran antara polis tentera dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir masuk hari ketiga dengan 10 orang terbunuh dan beratus orang lagi cedera.

    Aktivis berkata, tentera merempuh sekatan yang dibina di sekitar dataran itu dan bertempur dengan penunjuk perasaan sebelum subuh.

    "Tentera menyerbu dan kemudian berundur," kata seorang penunjuk perasaan, Mostafa Fahmy di dataran itu ketika dihubungi melalui telefon.

    Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di dataran itu sejak awal pagi dengan sekumpulan orang berada berdekatan unggun api untuk memanaskan badan selepas tentera memusnahkan khemah yang dibina oleh aktivis sejak mereka mula membantah pemerintahan tentera pada 18 November lalu.

    Keganasan terbaru itu mendedahkan perbezaan pendapat di kalangan rakyat Mesir berhubung peranan tentera yang mengambil alih selepas Presiden, Hosni Mubarak digulingkan pada Februari lalu.

    Aktivis berkumpul di jalan-jalan raya sejak beberapa minggu lalu kerana marah dengan tindakan tentera yang dilihat enggan melepaskan kuasa.

    Bagaimanapun, sebahagian lagi rakyat Mesir menyokong tentera sebagai pihak yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan ketika peringkat peralihan negara ini kepada demokrasi.

    Kenderaan tentera dan askar telah dikerahkan ke beberapa jalan menuju ke dataran berkenaan.

    Keadaan itu menyebabkan penunjuk perasaan dan tentera berulang kali bertempur antara satu sama lain. - REUTERS

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'

    Pemandangan kokpit kapal angkasa Shuttle Atlantis

    DEK penerbangan kapal angkasa Shuttle Atlantis dipenuhi butang dan skrin.


    WASHINGTON, Amerika Syarikat - Koleksi gambar kokpit kapal angkasa Shuttle Atlantis milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) didedahkan buat pertama kali kepada umum, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

    Ia menunjukkan suasana kompleks di dalam kokpit tersebut yang dipenuhi susunan butang, tombol dan skrin.

    Program kapal angkasa Shuttle NASA berakhir pada Julai lalu dengan Atlantis akan dipamerkan di Pusat Angkasa Kennedy, negeri Florida, bermula penghujung 2012.

    Namun, para pengunjung tidak akan dibenarkan untuk masuk ke dalam kokpit tersebut. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'

    Rusia dicemari tumpahan minyak

    POKOK-POKOK yang mati akibat tumpahan minyak dekat bandar Usinsk, 1,500 kilometer ke timur laut Moscow.


    MOSCOW, Rusia - Pencemaran alam sekitar akibat tumpahan minyak semakin serius di Komi yang merupakan antara wilayah pengeluar minyak mentah utama Rusia.

    Di wilayah berkenaan, lopak dan kolam minyak mentah terbentuk di beberapa kawasan termasuk di sekitar bandar Usinsk yang terletak sekitar 1,500 kilometer ke timur laut ibu negara Rusia di sini.

    Pencemaran dipercayai berpunca daripada kebocoran pada rangkaian saluran paip minyak lama yang tidak diganti selain limpahan daripada telaga-telaga minyak haram yang terdapat di Komi.

    Beberapa pakar menganggarkan sekitar 5 juta tan minyak mentah tumpah dan mencemari alam sekitar negara itu pada setiap tahun. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'

    Barangan rumah Jackson dilelong

    GAMBAR fail pada 12 Disember lalu menunjukkan barangan di bilik tidur Michael Jackson yang akan dilelong oleh firma Julien’s.


    BEVERLY HILLS, Amerika Syarikat (AS) - Kandungan sebuah kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal Raja Pop, Michael Jackson (gambar kecil) bersama tiga anaknya menjana hampir AS$1 juta (RM3.1 juta) dalam satu lelongan di sini.

    Dikendalikan oleh firma Lelongan Julien's kelmarin, perolehan tersebut jauh lebih besar berbanding anggaran prajualan cuma AS$400,000 (RM1.2 juta).

    Antara barangan menarik termasuk sekeping papan hitam yang pernah digunakan oleh anak-anak Jackson untuk menulis ungkapan "Saya sayang ayah," yang dijual pada harga AS$5,000 (RM15,885) dalam lelongan tersebut.

    Sebuah meja tulis yang digunakan oleh Jackson turut mencatat harga jualan tinggi iaitu AS$25,750 (RM81,807).

    Lelongan tersebut menampilkan pelbagai barangan termasuk perabot, hasil seni dan kelengkapan rumah yang terdapat di sebuah rumah agam beralamat 100 North Carolwood Drive di sini.

    Jackson menyewa kediaman itu semasa melakukan persediaan untuk siri konsert kemunculan semulanya di London sebelum dia meninggal dunia pada Jun, 2009. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'

    Lebih 200 hilang dalam tragedi kapal karam di Indonesia



    BEBERAPA pencari suaka politik diiringi anggota-anggota polis berpakaian awam selepas mereka keluar dari sebuah hospital di pusat penempatan sementara di Trenggalek semalam.


    JAKARTA, Indonesia - Beberapa pasukan penyelamat terpaksa mengharungi ombak besar semalam dalam operasi mengesan 200 pencari suaka politik yang hilang dan dikhuatiri mati selepas kapal kayu yang mereka naiki tenggelam di perairan Pulau Jawa.

    Setakat ini, cuma 33 orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita berjaya dinaikkan dari laut dalam keadaan masih hidup.

    Pegawai maritim yang mengetuai operasi menyelamat, Leftenan Alwi Mudzakir berkata, beberapa mangsa terselamat memberitahu pihak berkuasa mereka dalam perjalanan ke Australia semasa nahas berlaku.

    Menurut Alwi, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada muatan berlebihan. Katanya, kapal berkenaan membawa lebih dua kali ganda muatan sepatutnya. Semasa kejadian ia membawa 250 lelaki, wanita dan kanak-kanak dari Afghanistan, Iraq, Iran dan Turki.

    Para penumpang mula panik apabila kapal berkenaan terumbang-ambing sekitar 32 kilometer dari kawasan pantai Jawa sebelum terbalik dipukul ombak setinggi lebih tiga meter kelmarin.

    Tiga hari sebelum itu, kumpulan imigran terbabit melalui ibu negara Indonesia, di sini tanpa memiliki dokumen yang sah.

    Menurut polis, satu kumpulan tidak dikenali membawa mereka menaiki empat buah bas menuju ke sebuah pelabuhan sebelum berjanji akan menghantar mereka ke Pulau Krismas, wilayah Australia di Lautan Hindi.

    Seorang mangsa terselamat, Esmat Adine, 24, memberitahu agensi berita rasmi Antara bahawa kapal berkenaan sarat dengan penumpang.

    "Muatan berlebihan menyebabkan kapal ini menjadi tidak stabil dan akhirnya tenggelam," katanya.

    Menurutnya, dia dan beberapa mangsa lain terselamat dengan berpaut pada serpihan-serpihan kapal tersebut sehingga mereka ditemui oleh nelayan tempatan.

    Dia menganggarkan terdapat lebih 40 kanak-kanak di atas kapal tersebut. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'

    Askar terakhir AS tinggalkan Iraq


    ASKAR-ASKAR AS beratur menaiki sebuah pesawat untuk pulang ke tanah air di pangkalan udara Al-Asad, barat Baghdad pada 1 November lalu.


    SEMPADAN IRAQ-KUWAIT, Kuwait - Pasukan terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Iraq dan memasuki Kuwait semalam, hampir sembilan tahun selepas AS melancarkan perang bagi menyingkirkan Presiden Iraq, Saddam Hussein.

    Pasukan terdiri daripada 110 buah kenderaan membawa 500 askar AS yang kebanyakannya anggota Briged Ke-3, Divisyen Pertama Kavalri itu melintasi sempadan Iraq pada pukul 7.38 pagi waktu tempatan.

    Pengunduran tersebut menutup sejarah penaklukan Iraq oleh AS. Sebelum ini terdapat 170,000 askar negara polis dunia itu yang ditempatkan di 505 buah pangkalan tentera di seluruh Iraq.

    Penaklukan hampir sembilan tahun AS ke atas Iraq menyebabkan puluhan ribu penduduk tempatan dan hampir 4,500 askar AS terbunuh dengan ramai lagi yang cedera manakala 1.75 juta penduduk Iraq terpaksa menjadi pelarian.

    Washington turut membelanjakan AS$800 bilion (RM2.5 trilion) untuk membiayai kempen ketenteraannya di Iraq.

    "Saya berasa seronok, sungguh seronok kerana dapat keluar dari Iraq," kata Sarjan Duane Austin selepas keluar dari kenderaan tentera yang membawanya ke Kuwait

    "Tahun ini terasa amat panjang buat saya, kini tiba masanya untuk pulang," tambahnya.

    Kumpulan kenderaan terakhir yang membawa tentera AS meninggalkan Pangkalan Imam Ali di pinggir bandar Nasiriyah pada pukul 2.30 pagi waktu tempatan untuk memulakan perjalanan sejauh 350 kilometer ke sempadan Kuwait yang memakan masa lima jam.

    Kumpulan tersebut bergerak melalui beberapa laluan terpencil bagi memastikan mereka tidak menjadi sasaran serangan hendap.

    "Saya berasa bangga seluruh rakyat Iraq perlu berasa bangga kerana negara kami sudah bebas," kata seorang pembuat roti berusia 26 tahun, Safa.

    "Askar-askar AS menggulingkan Saddam tetapi hidup kami sengsara sejak dari itu," ujarnya.

    Penaklukan Iraq bermula dengan kempen ketenteraan bagi menumbangkan rejim Saddam pada 2003. Ketika itu, Washington percaya mereka dapat menamatkan misi ketenteraan mereka di Iraq dalam tempoh cuma beberapa bulan.

    AS yang diperintah Presiden George W. Bush menggunakan alasan Iraq menyimpan senjata pemusnah dan senjata kimia untuk menggulingkan Saddam.

    Menjelang subuh pada 20 Mac, 2003 satu serangan udara besar-besaran disasarkan ke atas selatan Baghdad yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Saddam.

    Serangan itu disusuli pencerobohan tentera darat AS yang memasuki selatan Iraq melalui Kuwait. Ketumbukan tentera AS bergerak menuju ke ibu kota Iraq, Baghdad. Saddam dan rejimnya tumpas dalam masa beberapa minggu. Pemimpin Iraq itu ditangkap pada hujung tahun yang sama sebelum digantung pada 2006 oleh pentadbiran baharu Iraq.

    Namun, kematian Saddam gagal mengamankan Iraq. Malah, ia membuka pintu kepada konflik berdarah yang berlanjutan selama beberapa tahun antara komuniti Sunnah dan Syiah.

    Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan Britain, Iraq Body Count, konflik berdarah antara dua komuniti itu menyebabkan lebih 100,000 penduduk Iraq terbunuh.

    Pertumpahan darah tersebut cuma reda apabila Presiden Bush mengarahkan penambahan askar AS ke Iraq di samping persetujuan militia-militia Sunnah untuk memihak kepada AS dalam memerangi rangkaian pengganas Al-Qaeda.

    Pada 2008, Baghdad dan Washington menandatangani satu perjanjian untuk mengundurkan semua askar AS dari bumi Iraq menjelang akhir tahun ini.

    Pada masa sekarang, cuma 157 askar AS masih kekal di Iraq bagi membantu melatih pasukan keselamatan negara itu.

    Iraq kini memiliki pasukan keselamatan dengan kekuatan 900,000 anggota. Ramai penganalisis percaya bilangan tersebut mencukupi untuk pemerintah mengekalkan ketenteraman awam dan mempertahankan perbatasan negara daripada pencerobohan asing. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'