Pages

Monday, December 19, 2011

AS tidak serik: Iran

TEHERAN: Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Hal Ehwal Luar Parlimen Iran berkata, Amerika Syarikat mengulangi kesilapan menghantar dron RQ-170 apabila ia bertindak mengerah pengintip ke negara itu.

Pesawat berkenaan menceroboh ruang angkasa Iran pada 4 Disember lalu tetapi ditembak jatuh oleh Unit Perang Elektronik tentera Iran ketika ia terbang di Kashmar, kira-kira 140 kilometer dari sempadan Afghanistan.


Merujuk kepada penangkapan seorang pengintip Amerika Syarikat oleh Kementerian Perisikan Iran, Alaedin Boroujerdi (gambar) berkata, Amerika mengulangi kesilapan udara mereka di darat.

“Saya percaya Amerika mengetahui badan perisikan republik Islam ini mengawasi semua pergerakannya di rantau ini dan di dunia,” kata Alaedin.


Beliau menegaskan, agensi perisikan Iran tidak akan membenarkan Amerika untuk bertindak terhadap kepentingan negara itu.


“Adalah dijangka selepas tindakan Amerika mencabul ruang angkasa negara kita, satu kesilapan bertaraf dunia, Amerika tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. “Bagaimanapun, Amerika dilihat meneruskan kesilapan itu,” katanya.

Menurutnya, Iran perlu bertindak lebih tegas jika Amerika meneruskan langkah yang akan menjejaskan republik Islam itu.


Beliau berkata demikian selepas Kementerian Perisikan mengumumkan ia menahan seorang pengintip CIA keturunan Iran, sekali gus menggagalkan rancangan Amerika untuk menjalankan kegiatan pengintipan di negara itu. - Agensi

myMetro | AS tidak serik: Iran:

No comments: