Pages

Thursday, November 24, 2011

Sejadah tak hangus

IPOH: “Saya pelik apabila mendapati wang tunai RM5,000 yang diletak di atas sejadah langsung tidak terbakar walaupun seluruh bilik tidur kami hangus dijilat api,” kata mangsa kebakaran, Mohd Nizam Halmi, 35.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, mangsa sempat menyelamatkan enam anak kecilnya daripada terperangkap selepas rumah teres dua tingkat didiami di Jalan Pakatan Jaya 4, Taman Pakatan, Bercham, di sini, terbakar mendadak.


Kebakaran berpunca dari sebuah bilik merebak sebelum memusnahkan seluruh tingkat atas rumah disewa mangsa sejak dua tahun lalu.

Nizam yang ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama isterinya, Rohazlina Hamid, 30, dan bayinya, Nuraqil Soleh, enam bulan, di dalam bilik tidur utama di tingkat atas.


Menurutnya, dia dan isteri kepenatan kerana berniaga pakaian pada waktu malam, manakala lima anaknya menonton televisyen di tingkat bawah. “Bagaimanapun saya terkejut apabila seorang anak, Nurul Farhana, 6, tiba-tiba meluru sebelum menjerit dan memaklumkan rumah terbakar! “Saya bergegas bangun sebelum mendapati asap hitam merebak keluar dari celah pintu salah satu bilik anak kami,” katanya.


Menurutnya, dia cuba membuka pintu bilik yang terbakar itu, namun gagal berikutan ia berkunci dari dalam.

“Saya segera turun sebelum berusaha membuka pintu dan jeriji besi di hadapan rumah untuk menyelamatkan diri.


“Malangnya saya tidak menemui kunci pintu berkenaan sebelum isteri menyuruh saya keluar melalui pintu dapur,” katanya.

“Saya pastikan anak saya, Nuraqil, Nor Haiqal Taqwa, 3, Nurul Farhana, 6, Nur Daniel Iman, 9, Nur Shahira, 10 dan Nurul Natasha, 11, diselamatkan terlebih dulu. Selepas meletakkan mereka di kawasan selamat, saya cuba masuk menyelamatkan barang berharga pula.


“Malangnya kayu siling rumah yang terbakar mula jatuh menyebabkan saya tidak dapat naik ke tingkat atas,” katanya.


Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan tiga bilik tidur di tingkat atas rumahnya dalam masa kurang 10 minit.


“Tiada apa dapat diselamatkan, malah semua dokumen penting anak seperti sijil kelahiran, MyKid dan pelbagai barang berharga lain musnah.


Nizam berkata, kebakaran itu padam sepenuhnya selepas tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.


“Sebaik api dipadamkan sepenuhnya saya naik ke tingkat atas dan terkejut apabila mendapati beg pinggang berisi wang tunai RM5,000 hasil jualan yang diletak di atas sejadah langsung tidak terbakar.


“Malah, sejadah itu masih berada dalam keadaan baik walaupun tilam dan almari berhampirannya rentung,” katanya.


Bagaimanapun, dia sedih apabila wang bantuan persekolahan diterima RM400 untuk empat anaknya turut musnah dalam kebakaran itu.


“Walaupun sedih, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.

myMetro | Sejadah tak hangus:

'via Blog this'

Tiada pinjaman bank tapi muflis

TERANIAYA...Tunku Azwil (kiri) bersama Ahmad Zaki dan Zilah (kanan) ketika sidang media, semalam.
TERANIAYA...Tunku Azwil (kiri) bersama Ahmad Zaki dan Zilah (kanan) ketika sidang media, semalam.

KUALA LUMPUR: Akibat pernah kehilangan kad pengenalan 11 tahun lalu, pemandu lori, Zilah Mahmood, 34, kini menerima hakikat dirinya diisytiharkan muflis.

Ini berikutan kegagalan Zilah menjelaskan bayaran ansuran bulanan dan tunggakan kenderaan Kia Spectra 1.5 dan Proton Wira yang dibeli atas namanya berjumlah lebih RM100,000 walaupun dia tidak pernah membelinya.


“Saya tidak pernah membeli kereta itu dan mustahil mampu berbuat demikian kerana hidup susah selain gaji tidak mencukupi.

“Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai kereta berkenaan sehingga menerima surat daripada bank pada 2008 yang mahu mengisytiharkan muflis jika gagal melunaskan tunggakan kereta berkenaan,” katanya.


Perkara itu mengejutkan Zilah kerana dia tidak pernah melakukan urusan pembelian kereta dengan bank.


Difahamkan, pembelian kereta Kia Spectra itu dibuat pada 2003 dan pinjaman dilakukan menerusi cawangan bank berkenaan di Cheras. Ketika itu pula, Zilah berada di Kemaman, Terengganu dan bekerja sebagai penjaga parkir dengan gaji RM900 sebulan.

Selepas pemeriksaan, Zilah sekali lagi dikejutkan apabila dia diisytiharkan muflis terlebih dulu oleh sebuah lagi bank lain atas alasan sama iaitu gagal melunaskan ansuran bulanan sebuah lagi kereta Proton Wira yang turut didaftarkan atas namanya.


Menurutnya, kereta itu dibeli pada tahun sama dengan Kia Spectra itu dan pinjaman dibuat di Klang oleh individu lain yang menggunakan kad pengenalannya.

“Saya pernah kehilangan kad pengenalan pada 2001. Sepanjang tempoh itu sehingga sekarang, saya tidak pernah membuat pembelian dua kereta selang dua bulan pada 2003.


“Ia mengelirukan kerana saya hanya tahu mengenai pembelian kereta itu dan pengiktirafan muflis selepas membuat siasatan. Malah, saya juga tidak pernah dipanggil untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah bagi pengisytiharan muflis yang pertama itu,” katanya.


Zilah yang ditemui dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, semalam, turut mempersoalkan tindakan bank yang meluluskan pinjaman tanpa membuat pemeriksaan teliti terhadap dokumen pembeli.


Ia dipersetujui Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abd Razak yang berpendapat perkara seperti kes Zilah tidak seharusnya berlaku apatah lagi ia membabitkan bank.


Sehubungan itu, PPIM membantu Zilah serta beberapa individu lain menerusi penyediaan khidmat peguam dan siasatan bagi membela orang ramai yang teraniaya.


“PPIM juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan siasatan ke atas bank bagi mengekang masalah penipuan seperti ini dari terus berlaku,” katanya.

myMetro | Tiada pinjaman bank tapi muflis:

'via Blog this'

Iran mahu usir duta Britain

TEHERAN: Iran semalam mengkaji kemungkinan mengusir duta Britain ke negara itu sebagai tindak balas terhadap sekatan baru Barat berhubung program nuklearnya yang turut dikecam oleh China dan Russia.

Anggota Parlimen Iran dengan sebahagiannya melaungkan slogan mengecam Britain, meluluskan rang undang-undang darurat yang akan diundi Ahad depan.


Ia memungkinkan penurunan taraf hubungan diplomatik kepada tahap kuasa usaha saja jika diluluskan, Rang undang-undang itu juga membuka ruang kepada Parlimen untuk bertindak terhadap negara lain yang bersikap seperti Britain, menurut agensi berita Fars dan Mehr.

Britain bersama-sama Amerika Syarikat dan Kanada, mengumumkan sekatan baru terhadap Iran Isnin lalu.


Mereka mendakwa ia wajar berikutan laporan agensi pemerhati tenaga atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendakwa Teheran menjalankan kajian untuk menghasilkan senjata nuklear.


Dalam pengumumannya itu, Britain berkata, ia menghentikan semua bentuk hubungan dalam sektor kewangannya dengan Iran.

China semalam menyertai Russia dalam menyelar sekatan Barat itu dengan berkata, ia akan memburukkan lagi krisis program nuklear Iran. - AFP

myMetro | Iran mahu usir duta Britain:

'via Blog this'

Unit khas tahan 15 lori ‘kebal’



Deretan lori pengangkut pasir yang ditahan JPJ dengan kerjasama polis dalam Ops Trafik di Plaza Tol Batu 11, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/IRWAN MAJID


HULU LANGAT 23 Nov. – Kumpulan lori tanah yang didakwa ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan ketika membawa muatan batu dan pasir secara berlebihan di Jalan Hulu Langat di sini tumpas selepas 15 kenderaan berat itu ditahan pihak berkuasa hari ini.

Kesemua lori yang turut menghantui penduduk kerana menjadi ‘raja’ di jalan itu ditahan oleh Unit Khas Trafik Bukit Aman yang melakukan operasi menggempur kenderaan berat sejak pukul 6 pagi hingga pukul 5 petang.

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, kesemua 15 buah lori yang ditahan telah dibawa ke Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenyih untuk pemeriksaan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita menemui pelekat yang tertulis ‘rata-rata jalan sahaja’ yang mungkin arahan daripada pengusaha lori supaya tidak mengendahkan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Selain itu terdapat lori yang mengubah suai kenderaan seperti menukar gandar belakang dan menambah ruang muatan untuk memastikan dapat membawa muatan berlebihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Turut serta dalam operasi itu JPJ Putrajaya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Beliau menambah, berikutan kesalahan berkenaan, polis trafik telah mengeluarkan 15 saman manakala JPJ pula 26 saman.

Katanya, permit operasi lori-lori itu telah disita SPAD dan mereka tidak dapat membawa muatan ketika ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Ulang tahun pertama serangan ke atas pulau Yeonpyeong



KERETA kebal K-9 milik Korea Selatan menyertai latihan ketenteraan bagi menghadapi serangan Korea Utara di Pulau Baengnyeong, dekat sempadan kedua-dua negara itu, semalam. – REUTERS


SEOUL 23 Nov. – Korea Selatan hari ini menyambut ulang tahun pertama pembedilan Korea Utara yang mengorbankan rakyatnya dengan majlis penuh adat istiadat dan latihan ketenteraan, ketika Pyongyang menuduh Seoul memprovokasi serangan itu.

Beratus-ratus orang berkumpul di tanah perkuburan kebangsaan di tengah bandar Daejeon bagi memperingati dua tentera Marin yang terbunuh akibat bedilan Korea Utara di pulau Yeonpyeong, berhampiran sempadan Laut Kuning, pada 23 November 2010.

Serangan pertama ke atas kawasan penduduk itu sejak perang Korea 1950-1953 turut mengorbankan dua penduduk awam dan memusnahkan serta merosakkan beberapa kediaman serta bangunan.

“Hari hitam itu tidak mungkin dapat dilupakan,” kata Perdana Menteri Kim Hwang-sik semasa berucap pada majlis yang turut dihadiri komander tentera, ahli politik, tentera Marin dan ahli keluarga mangsa.

Beliau turut berjanji ‘tidak akan berkompromi’ jika Korea Utara sekali lagi melakukan provokasi.

Tentera Korea Selatan turut mengadakan latihan secara besar-besaran di darat, laut dan udara berhampiran sempadan bergolak itu, lewat hari ini.

Latihan itu melibatkan unit tentera Marin berpangkalan di Yeonpyeong dan jet pejuang yang dilengkapi peluru berpandu serangan darat dan bom pemusnah seberat 4,500 tan. Tentera darat pula diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Pasukan tentera yang dikecam ekoran tindak balas mereka yang lemah ketika insiden itu berlaku berkata, latihan itu sebagai menguji kecekapan sebarang serangan balas di masa depan.

Mereka turut berjanji untuk melancarkan serangan balas paling kuat menggunakan meriam dan serangan udara jika berlaku serangan baru. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Kuwait keluarkan 50 waran tangkap



PARA penyokong kerajaan mengibarkan bendera Kuwait semasa mengadakan perhimpunan di luar bangunan Parlimen di Kuwait, kelmarin. - REUTERS


KUWAIT 23 Nov. - Polis Kuwait hari ini menahan seorang aktivis pembangkang atas dakwaan merusuh di bangunan Parlimen ketika aktivis-aktivis lain mula menyerah diri, kata peguam mereka.

"Polis menahan aktivis belia Yussef al-Shatti di lapangan terbang Kuwait pagi ini," kata peguamnya, Al-Humaidi al-Subaie.

Menurutnya, sehingga kini pendakwa raya telah mengeluarkan kira-kira 50 waran tangkap terhadap aktivis pembangkang yang menyerbu dan merusuh di bangunan Parlimen semasa bantahan antikerajaan minggu lalu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk beberapa Ahli Parlimen pembangkang memecah masuk Parlimen Rabu lalu ketika beratus-ratus yang lain berada di pekarangan bangunan itu bagi menuntut Perdana Menteri Sheikh Nasser al-Mohammad al-Sabah meletak jawatan.

"Individu yang didakwa buat masa ini tidak melibatkan Ahli Parlimen. Pemimpin terlibat akan didakwa berasingan," kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan terbaru di Kuwait, beribu-ribu penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan antikerajaan semalam mengadakan perarakan berasingan ketika keadaan politik negara ini semakin buruk berikutan skandal rasuah melibatkan Ahli-ahli Parlimen.

Beribu-ribu penyokong setia kerajaan berhimpun di luar Parlimen di ibu negara bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah dan Perdana Menteri.

Perarakan itu dibuat sehari selepas pembangkang mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi mendesak pemecatan Sheikh Nasser serta pembubaran Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan aktivis menegaskan, satu-satunya cara untuk menyelesaikan dilema politik Kuwait adalah dengan memecat kerajaan, menukar Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Janji tentera Mesir ditolak



Penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis anti rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran dekat Dataran Tahrir di Kaherah, semalam. - REUTERS


KAHERAH 23 Nov. - Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi yang berusaha menamatkan tunjuk perasaan jalanan yang mengorbankan 37 orang setakat ini, berjanji untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada rakyat secepat mungkin.

Namun kenyataan itu tetap tidak dapat menyakinkan beribu-ribu penunjuk perasaan tegar yang masih bertempur dengan polis sepanjang malam tadi dan seorang lagi lelaki dilaporkan terbunuh awal hari ini di bandar kedua terbesar, Iskandariah iaitu satu daripada beberapa bandar yang bergolak.

Polis rusuhan yang mengawal laluan ke Kementerian Dalam Negeri berhampiran Dataran Tahrir pula melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan peluruh getah untuk menyuraikan perusuh yang membalas dengan membaling batu ke arah polis, sepanjang malam tadi.

Tantawi yang mengetuai majlis tentera yang memerintah Mesir sejak tunjuk perasaan besar-besaran menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu, berjanji untuk melantik presiden pilihan rakyat pada Jun tahun depan, kira-kira enam bulan lebih awal daripada tarikh sebelum ini.

Beliau turut mengesahkan pilihan raya Parlimen bebas pertama dalam tempoh beberapa dekad akan bermula Isnin ini, selain mengumumkan majlis tentera telah menerima peletakan jawatan perdana menteri rakyat dan anggota Kabinetnya.

Tantawi bagaimanapun mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan yang kebanyakannya golongan muda di Dataran Tahrir dan beberapa bandar lain dengan mengusulkan satu pungutan suara sama ada pemerintah tentera perlu ditamatkan lebih awal.

Tindakan itu disifatkan ramai pihak sebagai helah untuk merayu sokongan rakyat Mesir yang bimbang pergolakan akan berterusan dan menjauhkan mereka dengan aktivis muda.

Pilihan raya Parlimen yang akan bermula Isnin ini adalah rancangan yang diputuskan pada mesyuarat antara tentera dan ahli politik, tetapi ia akan mengambil masa sehingga Januari depan untuk selesai.

Namun tidak jelas bagaimana pungutan suara mengenai pemerintah tentera akan dilaksanakan dan alternatif lain yang mungkin diusulkan sehinggalah pilihan raya presiden Jun depan. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Dua beradik lemas

SAYU...Roslan  (kanan) tidak dapat menahan kesedihan selepas dua anaknya lemas di sebuah tali air, semalam.
SAYU...Roslan (kanan) tidak dapat menahan kesedihan selepas dua anaknya lemas di sebuah tali air, semalam.

BACHOK: Banjir di negeri ini meragut nyawa dua beradik berusia 10 dan 14 tahun semalam, manakala seorang pelajar tingkatan tiga dikhuatiri menjadi korban ketiga dalam dua kejadian lemas berasingan.

Dalam kejadian di Kampung Tualang Salak, Jelawat, dekat sini, jam 2 petang, Ahmad Fathi Asyraf Roslan, 14, dan adiknya, Mohd Arif Hukmi, 10, lemas ketika mandi dalam tali air.


Sebelum kejadian jam 2 petang itu, dua beradik berkenaan dikatakan keluar dari rumah menuju kawasan tali air untuk bermain banjir bersama sepupu mereka, Azhar Fakri, 13, yang terselamat.

Bapa mangsa, Roslan Abd Ghani, 46, berkata, dia tidak tahu anaknya itu keluar rumah dan mandi di tali air berkenaan.


Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung sebelum bergegas ke tempat kejadian.


“Seingat saya, selepas solat Zuhur, dua anak saya itu sudah tiada di rumah sehingga saya diberitahu mereka lemas,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.30 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, operasi mencari mangsa dilakukan dengan kekuatan 10 anggota termasuk lima anggota Unit Skuba.

“Hasil usaha mencari, kami menemui mayat mangsa pertama, Ahmad Fathi pada jam 4.32 petang diikuti mayat adiknya, lima minit kemudian. “Mereka ditemui pada kedalaman dua meter dari permukaan air,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa ditemui 90 meter dari tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk dibedah siasat.


Sementara itu dalam kejadian berasingan, Raihan Haslan, 15, dihanyutkan air ketika mandi tali air di Lemal, di Pasir Mas kira-kira jam 6 petang semalam dan masih belum ditemui sehingga jam 8 malam tadi. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan menyelamatkan Mohd Ali Zulkarnain Mohd Shafri, 14, sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus.


Ibu saudara Raihan, Haslina Hassan, 42, berkata, dia pasrah mengenangkan tragedi menimpa anak saudaranya itu dan berdoa semoga jasadnya segera ditemui.


“Kali terakhir menemuinya di rumah ketika Aidiladha lalu. Tiada sebarang perubahan pada dirinya kerana dia hanya bersikap seperti biasa. Tak sangka pula berlaku tragedi ini,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.30 petang sebelum terpaksa menghentikan operasi mencari dan menyelamat jam 7 malam berikutan keadaan gelap

myMetro | Dua beradik lemas:

'via Blog this'

Nafi tinggalkan anak sendirian

TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

MELAKA: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan dengan sengaja menganiaya anak perempuannya sendiri dengan meninggalkan mangsa sendirian di tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

Tertuduh, Hii King Kit, 23, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dan beralamat di Lorong 3, Jalan Pisang Barat, Kuching, Sarawak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan meminta dibicarakan di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad@ Shaharuddin.


Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, Hii sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan iaitu bapa kepada Anna yang berusia setahun dan 11 bulan didapati sengaja menganiaya iaitu dengan meninggalkan dia seorang diri di tempat awam.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pada 5 November lalu, kira-kira jam 8.48 malam di dalam tandas lelaki Tingkat 1, Mahkota Parade, Jalan Merdeka, dekat sini.


Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Haslinda mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Hakim yang menimbangkan rayuan tertuduh menetapkan jaminan RM5,000 dan syarat melapor diri di balai polis.

Kes itu akan disebut semula pada 14 Disember depan untuk lantikan peguam bela.


Sementara itu, suasana sedikit kecoh sebelum prosiding bermula apabila bapa tertuduh melarang jurugambar dan media merakam gambar Hii dan menulis namanya di dalam akhbar.


Lelaki terbabit juga sanggup merayu dan menyembah wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi termasuk meminta nombor telefon untuk berhubung dengan editor akhbar.


Isteri tertuduh yang ditemui di luar pula menyatakan dia belum menemui Anna yang kini masih ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumah Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.


Sejurus selepas membayar denda, tertuduh kemudiannya ditahan anggota polis sebelum dibawa menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.


Harian Metro sebelum ini melaporkan kontinjen negeri memberkas seorang lelaki yang juga bapa kandung kanak-kanak perempuan berusia setahun yang disifatkan tidak berhati perut dan kejam apabila meninggalkan mangsa di tepi tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

myMetro | Nafi tinggalkan anak sendirian:

'via Blog this'

Wanita ketagih bibir tebal

KRISTINA dengan bibir asal (kiri) dan selepas mendapatkan 100 suntikan. Gambar kanan adalah watak kartun Jessica Rabbit.
KRISTINA dengan bibir asal (kiri) dan selepas mendapatkan 100 suntikan. Gambar kanan adalah watak kartun Jessica Rabbit.

ST PETERSBURG: Seorang wanita Kristina Rei yang tidak suka memiliki bibir nipis membelanjakan 4,000 pound (RM20,000) untuk suntikan bibir.

Bagaimanapun, dia masih tidak berpuas hati dengan suntikan itu. Wanita berusia 22 tahun itu percaya bibirnya kelihatan hodoh dan dia cemburu dengan bentuk bibir penuh yang dimiliki kakaknya.


Kristina yang juga seorang juruteknik kemudian melakukan 100 kali suntikan silikon bagi membolehkan dia memperoleh bibir yang tebal dan muncung.

Kristina yang mengagumi karakter kartun Jessica Rabbit berkata: “Saya rasa saya nampak hebat.


“Saya sukakan bibir tebal Jessica Rabbit. Pada pandangan saya, dia adalah wanita sempurna,” katanya.


Kristina yang mengakui ketagih dengan suntikan itu kini ingin bibir yang lebih muncung, telinga dan hidung yang runcing dan payu dara lebih besar.

Kristina berkata: “Ia membuatkan saya gembira. Kadangkala orang lain mengejek saya mempunyai bibir tebal tetapi saya tidak hiraukannya.


“Saya inginkan sesuatu yang ekstrim. Saya mahu kelihatan seperti karakter kartun. Saya sudah ketagih dan saya sukakannya. “Beberapa rakan memberitahu saya tidak patut menyuntik bibir menjadi lebih tebal dan besar tetapi saya belum berpuas hati.

“Saya belum memutuskan berapa besar yang saya inginkan, tetapi setakat ini, ia masih kecil,” katanya.

myMetro | Wanita ketagih bibir tebal:

'via Blog this'

Empat mangsa lemas di Kelantan



SEORANG penduduk mengharungi banjir untuk meninjau keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Buluh, Setiu semalam.


KOTA BHARU - Pasangan adik-beradik merupakan antara empat mangsa lemas akibat banjir dalam tiga kejadian berasingan di Bachok, Pasir Mas dan Rantau Panjang semalam.

Kejadian pertama melibatkan dua adik-beradik yang ditemui lemas selepas dihanyut arus deras ketika mandi bersama sepupu mereka di sebatang parit di Kampung Tualang Salak, Tawang, Bachok.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa Ahmad Fathi Roslan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat lemas bersama adiknya Mohd. Arif Hakimi, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat di sini.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.35 petang dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.52 petang.

"Mayat Ahmad Fathi ditemui pada pukul 4.32 petang manakala adiknya, Mohd. Arif Hakimi ditemui pada pukul 4.37 petang tidak jauh dari tempat mereka mandi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi bersama seorang rakannya di sebatang tali air di Lemal, Pasir Mas semalam.

Mangsa Muhammad Raihan Haslan, 15, yang merupakan pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Al-Rahmaniah Addiniah Lubuk Tapah, Pasir Mas dikhuatiri lemas manakala rakannya, Ali Amar, 14, sempat diselamatkan oleh penduduk kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, Muhammad Raihan telah pergi ke kawasan tali air itu bersama Ali dan seorang lagi rakan mereka Muhamad Rifki Yusof, 13.

Muhamad Rifki yang tidak turun mandi bersama telah meminta pertolongan setelah mendapati dua rakannya lemas dan Ali berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Setakat pukul 8.30 malam semalam, anggota bomba dan penyelamat masih belum menemui mangsa.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tiga tukang urut ditindas majikan dihantar pulang



MICHEAL (kiri) berbincang dengan tiga tukang urut warga China yang mendakwa ditindas majikan beberapa hari sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.


KUALA LUMPUR - Tiga orang tukang urut dari China yang ditindas oleh majikan mereka sejak empat bulan lalu, selamat dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini selepas berjaya mendapat kembali pasport mereka daripada majikan yang merupakan pemilik kedai urut.

Menurut Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan mendakwa pasport mereka disimpan oleh majikan mereka bagi menghalang mereka kembali ke negara asal.

"Tidak mengapa jika mereka diberi layanan yang baik daripada majikan tetapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka mendakwa ditindas dengan tidak dibayar gaji selama empat bulan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pada mulanya, kata Micheal, ketiga-tiga mangsa dijanjikan dengan pendapatan RM3,000 sebulan namun tidak menerima sesen pun selepas empat bulan bekerja.

Tambah malang lagi, ujarnya, mangsa bukan sahaja tidak dibayar gaji malah gaji mereka turut dipotong jika melakukan kesalahan kecil.

"Apabila mereka hendak berhenti kerja dan meminta pasport daripada majikan, mereka diminta bayar RM8,500 sebagai pampasan berhenti kerja," ujarnya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Penyeludup diesel ugut KPDNKK



SEORANG pegawai KPDNKK menunjukkan minyak diesel yang dirampas dari sebuah premis di Changlun, Kedah kelmarin.


JITRA - Seramai tujuh anggota Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) nyaris dibakar hidup-hidup ketika menyerbu sebuah premis yang dipercayai dijadikan transit penyeludupan diesel dan petrol di Changlun dekat sini kelmarin.

Ketika pemeriksaan ke atas premis itu pada pukul 1.30 petang, terdapat empat ahli sindiket anggota kumpulan terbabit berada di dalam premis yang merupakan sebuah kawasan lapang bertutup dengan zink.

Semasa pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa yang diketuai Mohamad Hashim, dua daripada empat anggota kumpulan terbabit mengugut untuk membakar premis tersebut yang turut menyimpan enam tangki berisi petrol dan diesel.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata, mereka cuba bertindak nekad mahu membakar premis dengan menggunakan pemetik api dan kertas surat khabar selepas pihak penguat kuasa berjaya menghidu kegiatan jenayah itu.

"Dua daripada ahli sindiket menjerit untuk membakar premis itu bagi membuang bukti kes dengan mengeluarkan pemetik api dan surat khabar sebelum mereka meluru ke sebuah kereta Proton Saga dan tangki berisi minyak di premis itu.

"Mujur anggota kita bertindak pantas menghalang perbuatan tersebut sebelum keempat-empat lelaki itu dapat ditahan," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas premis terbabit oleh lima pegawai penguat kuasa dari Putrajaya dan dua anggota dari Kubang Pasu adalah hasil risikan sejak sebulan lalu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Mayat mereput dalam semak



ANGGOTA polis mengusung mayat lelaki yang ditemui dalam semak di Presint 11, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Seorang pemandu jengkaut tidak menyangka kehadiran dua ekor ayam hutan yang cantik di kawasan belukar berhampiran landasan Express Rail Link (ERL) di Presint 11 di sini semalam membongkar penemuan mayat seorang lelaki di dalam semak di kawasan itu.

Ketika ditemui pada pukul 9.30 pagi, mayat yang lengkap berpakaian termasuk memakai jaket itu ditemui dalam keadaan hampir reput dan dipercayai telah mati sejak dua hingga tiga minggu lalu. Si mati tidak memakai kasut.

Sepasukan anggota forensik yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

Seorang pemandu jengkaut warga Indonesia dikenali sebagai Yan dikatakan pergi ke kawasan semak itu untuk melakukan kerja-kerja menyelenggara landasan ERL tetapi dia tersalah lokasi.

"Semasa pekerja asing itu berada di kawasan tersebut, dia ternampak dua ekor ayam hutan cantik dan cuba menangkap haiwan itu.

"Lelaki itu mengejar ayam itu hingga memasuki kawasan semak sebelum ternampak mayat berulat yang berbau busuk," kata sumber itu semalam.

Pemandu jengkaut yang panik itu terus menghubungi penyelianya sebelum memaklumkan penemuan tersebut kepada polis.

Jarak jalan besar ke kawasan semak lokasi mayat ditemui ialah kira-kira 700 meter. Jalan tersebut menjadi laluan utama bagi penduduk di Kompleks Kejiranan Presint 11. Lokasi mayat itu ditemui juga tidak jauh dari Hospital Putrajaya dan Masjid Putra.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Pemandu kontena ditipu dua rakan diisytihar muflis



ZAMERI (kanan) menunjukkan dokumen berkaitan dengan dakwaan diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sambil diperhatikan oleh Tengku Azwil (kiri) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kontena dari Puchong dekat sini bingung setelah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sejak 12 tahun lalu ekoran masalah kereta yang tidak pernah dibelinya.

Zameri Zakeria, 47, mendakwa, hidupnya kini semakin terhimpit akibat dianiaya dua rakannya apabila tidak dapat membuat pinjaman akibat diisytiharkan muflis.

“Saya diisytiharkan muflis atas dakwaan tidak membuat bayaran bulanan kereta Proton Saga yang tidak pernah saya beli pada tahun 1999,” katanya kepada pemberita pada program Sembang-Sembang The Mall di sini semalam.

Pemandu kontena itu memberitahu, pada tahun 1997, dia telah didatangi dua rakannya yang dikenali sebagai Johari dan Mat Desa meminta tandatangannya bagi membantunya menguruskan pembelian kereta terpakai jenis Nissan Langley aeroback.

Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, dia tidak mendapat sebarang dokumen dan berita mengenai pembelian kereta tersebut sehingga pada 2003 dia menerima surat bayaran tertunggak 48 bulan dari sebuah institusi kewangan berjumlah RM29,136.

Zameri menambah, dia hairan bagaimana institusi kewangan berkenaan boleh meluluskan pinjaman kepada dua rakannya itu yang menggunakan namanya tanpa kebenaran.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Kenderaan baharu teroka Marikh



GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa juruteknik memerhatikan kenderaan Curiosity di Makmal NASA di Pasadena, California.


CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan kenderaan baharu sebesar sebuah kereta yang akan meneroka planet Marikh.

Kenderaan itu yang diberi nama Curiosity mempunyai lengan sepanjang dua meter dan dilengkapi laser untuk memusnahkan batu di planet tersebut.

"Ini ialah mesin impian saintis Marikh," kata timbalan ketua projek saintis Marikh di NASA, Ashwin Vasavada.

Kenderaan itu bernilai AS$2.5 bilion (RM7.94 bilion) dan ia akan bergerak ke kawasan yang mempunyai organik dan karbon di Marikh pada Ogos tahun depan.

Kenderaan itu membawa seberat 4.8 kilogram plutonium yang boleh menjana kuasa selama dua tahun di Marikh.

Ia sepanjang dua meter, lebar sembilan meter dan setinggi dua meter. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Acara bunuh ikan paus pilot



SEJUMLAH penduduk membunuh beberapa ekor ikan paus pilot dekat bandar Torshavn, Denmark kelmarin.


BANDAR TORSHAVN, Denmark - Penduduk di Kepulauan Faroe, Denmark menangkap dan memotong daging ikan paus pilot dekat sini kelmarin.

Pada setiap tahun, penduduk di Kepulauan Faroe makan daging ikan paus pilot.

Penduduk di kepulauan itu merupakan keturunan Viking yang merupakan penduduk di Scadinavia yang terkenal sebagai pahlawan, peneroka, lanun dan pedagang pada abad ke-8 hingga pertengahan abad ke-11 Masihi.

Ikan paus pilot merupakan diet penduduk di kepulauan itu sejak lebih 1,000 tahun lalu.

Penduduk itu akan memerangkap haiwan berkenaan ke sebuah teluk dan membunuh ikan tersebut.

Acara membunuh ikan paus itu dikenali sebagai Grindadrap dan daging haiwan tersebut tidak boleh dijual sebaliknya ia diagihkan dalam kalangan penduduk. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Lagi kematian di Kaherah


SEJUMLAH penunjuk perasaan antipemerintahan tentera berlari ketika bertempur dengan anggota-anggota polis di Kaherah semalam.


KAHERAH - Tiga orang lagi mati di Kaherah semalam, kata seorang anggota perubatan ketika keganasan yang telah meragut nyawa puluhan penduduk berterusan pada hari kelima walaupun pihak tentera yang memerintah buat sementara berjanji mempercepatkan peralihan ke arah demokrasi.

Beberapa pertempuran dengan pihak berkuasa keselamatan berlaku di Jalan Mohammed Mahmud dekat Dataran Tahrir di sini yang merupakan lokasi ribuan penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut pemerintahan tentera ditamatkan dengan segera selepas berkuasa ekoran peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden pada Februari lalu.

Anggota-anggota polis pencegah rusuhan melakukan sekatan di jalan itu, melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ke arah para penunjuk perasaan.

Seorang doktor di hospital terbuka di Omar Makram berkata, tiga orang terbunuh dalam keganasan terbaharu melibatkan anggota-anggota keselamatan yang berdepan dengan para penunjuk perasaan yang membaling batu dan bom petrol.

"Ia seperti peluru hidup tetapi saya tidak berpeluang untuk memeriksa sebelum (tiga mayat itu) dibawa ke hospital," katanya.

Seorang budak berusia 10 tahun merupakan antara mangsa terbaharu yang terkena tembakan, kata seorang paderi, Fawzi Abdel Wahid.

Menurut agensi berita Mena, seramai 32 orang telah mati sejak tunjuk perasaan itu bermula pada Sabtu lalu. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Wednesday, November 23, 2011

Kahwin guna duit Susilo



PERKAHWINAN Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dan Siti Rubiya Aliya Rajasa dijadikan isu kononnya menggunakan wang kerajaan Indonesia. - AGENSI


JAKARTA 22 Nov. - Majlis pernikahan anak kedua Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyoni, Edhie Ibas Baskoro Yudhoyono dengan Siti Rubiya Aliya Rajasa anak kepada Menteri Koordinasi Ekonomi, Hatta Rajasa tidak akan menggunakan walau sesen wang negara.

Sebaliknya, pesta pernikahan gemilang selama tiga hari antara anak dua tokoh negara itu menggunakan wang poket keluarga Susilo dan Hatta.

Menafikan pembaziran wang kerajaan dalam penganjuran majlis tersebut, Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi berkata, selain mengeluarkan belanja sendiri, Presiden Susilo juga tidak akan menerima sebarang hadiah daripada tetamu undangan.

"Tanpa mahu mengurangkan rasa hormat, Presiden dan Pak Hatta (Hatta Rajasa) selaku tuan rumah tidak akan menerima sebarang hadiah atau bingkisan daripada tetamu dalam pernikahan Ibas dan Aliya.

"Hal ini sudah ditegaskan dalam undangan perkahwinan," kata Sudi kepada wartawan di kediaman Presiden Susilo di Puri Cikeas Indah, Bogor hari ini.

Sementara itu, majlis pernikahan Ibas dan Aliya selama tiga hari bermula hari ini dengan upacara siraman pengantin mengikut tradisi Jawa dilakukan secara berasingan di kediaman pasangan pengantin itu.

Ibas menjalani upacara siraman di rumah keluarganya sementara Aliya di rumah ibu dan ayahnya di Fatmawati, Jakarta Selatan.

"Acara di Cikeas bermula jam 10 pagi sementara di rumah Aliya acara dimulakan jam 9.30 pagi," kata jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha.

Acara tradisi masyarakat Jawa yang turut diadakan ialah midodareni iaitu pertemuan antara keluarga bakal pengantin lelaki dengan keluarga pengantin perempuan.

"Rombongan keluarga Ibas akan bertemu keluarga Aliya di Fatmawati. Midodareni merupakan acara kemuncak untuk hari Selasa," jelas Julian lagi.

Majlis akad nikah pasangan ini pula bakal diadakan di Istana Cipanas pada pukul 10 pagi hari Khamis sementara majlis resepsi Ibas dan Aliya akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) pada hari Sabtu pukul 7 malam.

Tetamu yang diundang ke acara pernikahan di Istana Cipanas terhad untuk 1,000 orang sementara untuk majlis resepsi di JCC pula akan dihadiri oleh 3,500 tetamu. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'