Pages

Wednesday, November 23, 2011

Kelantan pula dilanda banjir

SHARIPAH ABDULLAH, 73 (kiri) membantu jirannya Midah Hamzah, 80, meredah banjir untuk  ke pusat pemindahan di Kampung Tasek, Setiu semalam.
SHARIPAH ABDULLAH, 73 (kiri) membantu jirannya Midah Hamzah, 80, meredah banjir untuk ke pusat pemindahan di Kampung Tasek, Setiu semalam.
Hujan berterusan sejak dua hari lalu

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor, Melaka dan Terengganu, kelmarin, merebak ke Kelantan apabila 21 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang, Pasir Puteh, petang semalam.
Mengikut portal rasmi eBanjir Negeri Kelantan sehingga 7 petang semalam, SK Bukit Awang mula menempatkan mangsa banjir pada jam 5 petang selepas kawasan rendah ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak dua hari lalu.
Portal itu juga melaporkan paras air di Sungai Golok berada pada aras berjaga-jaga iaitu di Jenob dengan bacaan 21.87 meter (m), manakala Rantau Panjang pula merekodkan 7.53 m.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata 729 pusat pemindahan disediakan mampu menampung kapasiti sehingga 150,700 orang bagi menempatkan mangsa banjir.

Di KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di tiga daerah di Terengganu kini meningkat kepada 373 orang daripada 84 keluarga.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, penduduk yang dipindahkan ialah 175 orang di Besut, Setiu (115) dan Hulu Terengganu 83 orang. Beliau berkata, sehingga jam 6 petang sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka iaitu masing-masing tiga di Besut dan Hulu Terengganu, manakala dua di Setiu.

Seramai 83 mangsa di Hulu Terengganu dipindahkan ke Masjid Kampung Sekayu, Balai Raya Kampung Chering dan Balai Raya Kampung Pelandan. Bagaimanapun, setakat ini hanya satu laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Kuala Berang-Sungai Tong selepas dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Seorang ibu muda yang masih dalam pantang bersama bayinya, Batrisha Sofea Mohd Saiful Anuar, yang baru berusia 27 hari adalah antara mangsa banjir yang dipindahkan di Kampung Merbau Menyusut kira-kira jam 3 pagi kelmarin, selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Saya sudah biasa menghadapi banjir. Bagaimanapun ini pengalaman paling getir kerana saya masih dalam pantang,” kata Yati Berahim, 25, yang ditempatkan sementara di masjid kampung itu.

Di JASIN: Semua 24 mangsa banjir membabitkan lima keluarga di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai dekat sini, masih belum dibenarkan pulang selepas paras banjir di kediaman mereka tidak menunjukkan tanda surut.

Bagaimanapun, sebahagian besar mangsa di Parit Lampong dan Paya Laboh di Tehel sudah pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati ada di kalangan mangsa banjir di Tehel sudah mula membersihkan kediaman mereka dan ada juga yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel.

Di BATU PAHAT: Seramai 23 mangsa dari Kampung Parit Sagil dan Kampung Cahaya Baru masih ditempatkan pusat pemindahan sejak kelmarin.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Portal Banjir semalam mengeluarkan peringatan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan banjir.

Penduduk di kawasan berisiko banjir juga dinasihatkan supaya membuat persediaan mencukupi termasuk menyimpan barangan penting dan berharga di tempat yang selamat.
Berita Harian Online | Kelantan pula dilanda banjir:

'via Blog this'

Arroyo kena saman pula

Keluarga mangsa bunuh 2009 tuntut RM1.03j

MANILA: Saudara mara 57 mangsa pembunuhan beramai-ramai di selatan Filipina pada 2009 menyaman bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo semalam berhubung pembunuhan itu yang didakwa mereka boleh dihalang.
Sekurang-kurangnya dua sekutu Arroyo, termasuk bekas gabenor wilayah autonomi Islam itu, antara 100 suspek yang dibicarakan atas tuduhan bunuh dalam pertumpahan darah bermotifkan politik paling buruk di negara itu.
Mangsa termasuk 32 pekerja media, menjadikan kejadian itu pembunuhan wartawan paling buruk di dunia.

Arroyo ditahan minggu lalu atas dakwaan mengarahkan bekas gabenor, Andal Ampatuan Sr, dan seorang lagi pegawai melakukan penipuan dalam pilihan raya dua tahun sebelum pembunuhan itu berlaku.

Arroyo mengutuk pembunuhan itu dan menafikan mengetahui mengenainya tetapi peguam plaintif, Harry Roque berkata, dia sepatutnya tahu Ampatuan dan anaknya memang berbahaya.

Roque memfailkan saman semalam, menuntut ganti rugi 15 juta peso (RM1.03 juta) menuduh Arroyo sengaja tidak mempedulikan pencabulan hak asasi manusia selama sedekad di wilayah itu dan sebaliknya menjalin hubungan baik dengan Ampatuan yang terbukti penting untuk dia terus berkuasa dalam politik.
Wartawan, pemandu dan pembantu mengiringi keluarga dan penyokong saingan politik Ampatuan dalam perjalanan memfailkan pencalonan dalam pilihan raya wilayah apabila sekumpulan lelaki bersenjata diketuai bekas datuk bandar Andal Ampatuan Jr menahan dan membawa mereka ke bukit berhampiran sebelum dibunuh dan ditanam beramai-ramai.

Keluarga Ampatuan adalah sekutu politik Arroyo tetapi selepas pembunuhan itu, mereka disingkirkan daripada partinya. Arroyo turut mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah Maguindanao, membolehkan tentera dan polis menangkap suspek dan cuba memulihkan keamanan.

Roque berkata, walaupun tiada bukti Arroyo adalah dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu, bekas pemimpin itu bukan saja membiaya dan memberi senjata kepada keluarga Ampatuan tetapi turut melindungi mereka. – AP
Berita Harian Online | Arroyo kena saman pula:

'via Blog this'

Penduduk dakwa banjir kilat akibat sistem perparitan tidak sempurna



Perumahan Taman Seri Mulong Kota Bharu digenangi air, semalam.


KOTA BHARU 22 Nov. - Penduduk di Taman Perumahan Sri Mulong di sini mendakwa, banjir kilat yang melanda kawasan terbabit disebabkan ketiadaan sistem perparitan sempurna sehingga menyebabkan rumah mereka dinaiki air separas lutut.

Mereka mendakwa, banjir kilat itu juga berpunca daripada projek pembangunan di Bandar Baru Tunjung yang sedang giat dijalankan, menyebabkan 113 orang penduduk daripada 20 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Mulong (1).

Seorang penduduk, Nor Azhan Mohamad, mendakwa, ketiadaan sistem perparitan dan saliran yang sempurna menyebabkan air hujan bertakung dan membanjiri rumah penduduk.

"Sebelum ini, tidak pernah berlaku banjir kilat, tetapi sejak tahun lepas masalah ini baru berlaku disebabkan ketiadaan sistem perparitan dan saliran sempurna," dakwanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir itu hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Yusoff, 30, mendakwa, dia telah menetap hampir lima tahun di kawasan perumahan itu dan ini kali kedua kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

"Sebelum ini setiap kali hujan lebat, kawasan perumahan di sini memang dinaiki air tetapi penduduk tidak perlu berpindah kerana paras air tidak berbahaya.

"Namun segalanya berubah sejak tahun lalu, apabila penduduk terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat gara-gara tiada sistem perparitan sempurna selain pelaksanaan projek pembinaan berdekatan yang menyekat aliran air," dakwanya.

Sementara itu, Fatihah Ismail, 25, pula memberitahu, ini pengalaman pertamanya berdepan situasi tersebut dan berasa terkilan apabila semua barangan elektrik serta perabot rosak tanpa dapat diselamatkan.

"Masa saya keluar ke tempat kerja paras air berada di paras rendah. Saya jangkakan paras air tidak akan meningkat, tiba-tiba pukul 10 pagi saya menerima panggilan telefon daripada suami memberitahu rumah kami dinaiki air.

"Air naik terlalu cepat dia tak sempat menyelamatkan barangan. Sebelum ini saya tidak pernah terlibat dengan banjir dan inilah pengalaman pertama," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Banjir di Terengganu makin buruk



Keadaan jalan yang ditutup akibat banjir di Kampung Pengkalan Ajar Hulu Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 22 Nov. - Banjir di Terengganu semakin buruk apabila 373 mangsa dipindahkan hari ini berbanding 44 orang petang semalam.

Banjir melibatkan tiga daerah iaitu Besut dengan 175 orang daripada 39 dipindahkan, manakala Setiu melibatkan 115 mangsa daripada 30 keluarga berbanding semalam hanya 26 mangsa daripada lapan keluarga.

Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan peningkatan mangsa apabila 83 orang daripada 15 keluarga dipindahkan berbanding semalam hanya 18 orang daripada lima keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan antaranya Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai Raya Kampung Tasek bagi daerah Setiu, manakala masjid dan Balai Raya Kampung Ceting, Kampung Pelandan dan Sekayu di Hulu Terengganu serta masjid dan Balai Raya Keruak dan Kampung La bagi daerah Besut.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, sehingga pukul 7 petang ini, hanya sebatang jalan ditutup untuk kenderaan berat iaitu di Kampung Jak, Hulu Terengganu kerana ditenggelami air sedalam 0.6 meter, manakala Jalan Sungai Tong/Pelong (Kampung Pengkalan Merbau), Setiu ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran negeri memaklumkan dua sungai telah melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Besut di Kampung La setinggi 20.59 meter (paras bahaya 19.20 meter) manakala Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu setinggi 8.85 meter (paras bahaya 8.80 meter).

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke daerah Hulu Terengganu mendapati sebahagian penempatan penduduk di tiga buah kawasan mula dinaiki air, bagaimanapun rata-rata penduduk masih tidak berpindah biarpun air sungai berdekatan telah mula menenggelami sebahagian jalan raya.

Selain itu, ibu bapa juga dilihat membiarkan anak-anak mereka bermain air tanpa kawalan.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa menasihati ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan ketibaan musim hujan ini tidak membiarkan anak-anak kecil bermain di luar rumah walaupun air banjir cetek.

Di KELANTAN, hujan lebat yang berlarutan sejak tiga hari lalu menyebabkan tiga kampung di daerah Pasir Puteh iaitu Kampung Bukit Awang, Gong Kala dan Gong Keding mula dilanda banjir.

Banjir yang menenggelamkan beberapa buah rumah di Kampung Bukit Awang menyebabkan 26 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang setakat pukul 5.30 petang ini sebagai langkah keselamatan.

Di daerah Kota Bharu pula, seramai 113 orang daripada 20 keluarga di kawasan Mulong dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong (1) selepas rumah mereka dinaiki air.

Di Kuala Krai, sebuah jalan kampung difahamkan telah ditutup buat sementara waktu kepada kenderaan ringan kerana turut ditenggelami air.

Data terkini paras air sungai yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri setakat pukul 5.30 petang ini menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang telah melebih tahap amaran, manakala sungai-sungai lain berada di atas paras normal.

Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan kedalaman 7.45 meter melebihi paras amaran iaitu tujuh meter manakala bacaan Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas di paras 21.87 meter iaitu menghampiri paras amaran 21.50 meter.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di pusat bacaan Kuala Krai, Kusial dan Jeti Kastam telah melebih paras biasa dan menghampiri tahap amaran iaitu masing-masing pada kedalaman 18.10, 10.32 dan 0.91 meter.

Di Pasir Puteh, Sungai Semarak menunjukkan bacaan 1.47 meter melebihi paras normal iaitu 0.4 meter, manakala Sungai Galas di Dabong pula mencatatkan bacaan 29.30 meter menghampiri paras amaran pada kedalaman 32 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim pada sidang akhbar di sini petang ini menyatakan, jawatan kuasa tersebut kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim banjir.

Jelas beliau, sebanyak 729 buah pusat pemindahan banjir telah disiapkan yang mampu menempatkan sehingga 150,700 mangsa dalam satu-satu masa, manakala 170 pangkalan hadapan telah dibuka.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membekalkan makanan terdiri daripada beras, sardin, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi yang keseluruhannya bernilai RM495,000 dan tambahan bantuan bernilai RM600,000 lagi akan diberi jika keadaan semakin serius.

"Kelengkapan logistik semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah ada, manakala seramai 4,800 kakitangan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bersedia menjalankan misi menyelamat," tambahnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Tali barut CIA kena cekup

Hizbullah, Iran guna alat perisik AS kesan pembelot

WASHINGTON: Amerika Syarikat mendapat tamparan hebat apabila pergerakan Hizbullah berjaya mengenal pasti dan menahan pemberi maklumat di kalangan anggotanya yang bekerja untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Selain itu, dalam perkembangan berasingan di Teheran, pegawai di Iran turut berjaya membongkar identiti beberapa orang yang didakwa menjadi pemberi maklumat CIA.
Bekas pegawai Amerika berkata, pemberi maklumat CIA, dipercayai direkrut di kalangan rakyat tempatan berjaya dikenal pasti disebabkan kecuaian dalam prosedur kerja dikenali dalam dunia penyamaran sebagai ‘tradecraft’ yang digunakan agensi berkenaan.

Oleh itu, bekas pegawai operasi CIA, Bob Baer, yang bukunya dijadikan filem Hollywood, Syriana, berkata kemampuan Hizbullah tidak boleh dipandang rendah.

“Sistem keselamatan Hizbullah setanding dengan agensi lain di dunia. Ia lebih baik daripada agensi perisikan Russia, KGB,” kata Baer.

Satu sebab Hizbullah berjaya membongkar pengintip ialah kerana ia mempunyai pengaruh besar hingga dapat memaksa pasukan keselamatan Lubnan menyerahkan komunikasi sulit dan peralatan pengintipan dibekalkan Amerika.
Ia kemudian menggunakan peralatan itu untuk mengenal pasti dan mengesan pemberi maklumat CIA. – Reuters
Berita Harian Online | Tali barut CIA kena cekup:

'via Blog this'

Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes

PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak  gas pemedih mata ketika menyertai protes  di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.
Desak majlis tentera yang memerintah serah kuasa

KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan.
Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia).
Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.

Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol.

Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat demonstrasi yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak Februari lalu, melaungkan slogan mengecam SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri pembunuh,” laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu.

Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28.

Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir.

Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak.

SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes:

'via Blog this'

Perut jururawat terburai digilis treler


IPOH – Seorang suami tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang membonceng motosikal yang ditungganginya untuk dihantar bekerja di sebuah klinik di sini maut digilis sebuah treler di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.

Dalam tragedi menyayat hati pada pukul 8.50 pagi itu, Liew Suet Foong, 50, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian perut sebelah kiri badannya terburai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram di sini dari rumah mereka di Silibin di sini.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ops Tiong tahan Awang Hitam



Lelaki Afrika yang ditahan dalam Ops Tiong di sekitar ibu negara malam kelmarin digari dengan rantai besi.


KUALA LUMPUR – Pergerakan aktif dan licik Awang Hitam yang menjadikan negara ini sebagai pusat kegiatan penipuan terutamanya melalui Internet digempur polis menyebabkan 76 orang, kebanyakannya warga Afrika, ditahan dalam Ops Tiong di sini kelmarin.

Dalam operasi besar-besaran selama enam jam bermula pada pukul 11.30 malam itu, sebahagian daripada warga asing yang ditahan itu didapati terlibat dalam jenayah seperti penipuan Internet, black money dan penghantaran bungkusan.

Ops Tiong melibatkan tiga kawasan iaitu di Sentul, Kepong dan Ampang yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa dijalankan selepas risikan selama hampir tiga bulan sejak Ogos lalu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Maut sewaktu tonton bola



AHMAD FAUZI meninggal dunia ketika menonton perlawanan bola sepak Malaysia menentang Indonesia di Restoran Pak Mid, Guar Cempedak, Yan malam kelmarin.


YAN - Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia dan rakan-rakan menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang cukup dramatik antara Malaysia dan Indonesia di sebuah restoran di sini malam kelmarin.

Ahmad Fauzi Ismail, 42, pengsan di restoran Pak Mid di pekan Guar Chempedak di sini kira-kira pukul 10.50 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira 10 minit kemudian.

Dia disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital tersebut.

Seorang saksi kejadian yang merupakan pembantu kedai makan, Hasli Ishak, 29, memberitahu, Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai dan ketika kejadian dia sedang menikmati nasi goreng sambil menonton perlawanan bola sepak.

"Sebelum dia pengsan, saya nampak dia lemah dan menyuap makanan masuk ke mulutnya dengan perlahan sebelum dia rebah di atas kerusi," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Razis hidup dalam buaian



MOHD. RAZIS masih menggunakan buaian di rumahnya di Sik, Kedah meskipun usianya sudah 19 tahun.


SIK – Dalam usianya yang sudah menginjak 19 tahun, Mohd. Razis Ilias dari Kampung Kenangan, Jeneri di sini mungkin sedang menuntut di sebuah universiti atau sudah bekerja untuk menyara kehidupan keluarga.

Namun, disebabkan penyakit saraf yang dihadapinya sejak bayi, anak bongsu kepada pasangan suami isteri penoreh getah itu hanya mampu terbaring lesu di dalam buaian seperti seorang bayi.

Mohd. Razis dikatakan mengalami sawan yang menyebabkan kekejangan saraf ketika berusia tiga bulan selepas diserang demam panas.

Lebih menyedihkan apabila susuk tubuhnya seperti kanak-kanak berusia lima tahun dengan kedua-dua belah kaki dan tangannya semakin membengkok akibat kekejangan.

Bapanya, Ilias Saad, 52, berkata, Mohd. Razis gemar menghabiskan masanya di dalam buaian kerana sekiranya diletakkan di atas tilam, dia akan merengek kerana kesakitan.

“Mungkin disebabkan kaki dan tangannya bengkok, dia tidak dapat berbaring dengan betul menyebabkannya berasa sakit," katanya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tuanku Mizan tinjau pusat saintifik Antartika


YANG di-Pertuan Agong (kanan) bergambar berhampiran sekumpulan penguin maharaja di Scott Base, Antartika semalam. Di tengah ialah Ongkili manakala Salleh bergaya di kiri.


SCOTT BASE, Antartika - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam melakukan lawatan khas ke pusat-pusat saintifik di Antartika dengan menaiki helikopter.

Helikopter jenis Aerospace EC130 itu dipandu oleh Kapten Rob McPhail, seorang juruterbang berpengalaman selama 20 tahun melakukan penerbangan di Antartika.

Turut sama dalam tinjauan udara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor dan Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson.

Helikopter yang pada asalnya dijadual berlepas dari Scott Base, sebuah pusat penyelidikan yang dikendalikan oleh New Zealand di Pulau Ross pada 9 pagi Selasa ditangguh akibat cuaca berubah-ubah dengan salji yang turun serta tiupan angin yang kuat di kawasan lawatan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Melabur untuk kubur tersayang



SEORANG kakitangan kawasan perkuburan Lac Hong Vien di Vietnam membakar colok bagi pihak pelanggannya pada 5 November lalu.


KY SON, Vietnam - Kawasan perkuburan Lac Hong Vien di sini menjual tempahan lot kubur dan perkhidmatan eksklusif untuk si mati.

Kawasan perkuburan seluas 98 hektar itu terletak 50 kilometer ke barat Hanoi di wilayah Hoa Binh.

Setiap satu meter persegi tanah perkuburan itu dijual pada harga AS$400 (RM1,271) manakala sebuah keluarga membelanjakan AS$71,500 (RM227,271) untuk plot kubur seluas 200 meter persegi.

Perkhidmatan menghantar pelbagai hadiah untuk si mati seperti bunga, mata wang tiruan, ayam yang direbus dan minuman keras yang mahal juga disediakan.

Para kakitangan kawasan perkuburan itu akan membawa barang-barang itu ke kubur yang diminta oleh para pelanggan pekerja-pekerja itu turut menghantar rakaman video dan gambar hadiah tersebut menerusi e-mel kepada keluarga si mati .

Tempahan hadiah itu boleh dibuat menerusi online.

Seorang akauntan, Bui Mai Phuong, 53, berkata, dia menimbang untuk melabur sebanyak AS$24,000 (RM76,257) untuk kawasan perkuburan seluas 30 meter persegi.

"Kami perlu mengambil berat mengenai roh keluarga kami," katanya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Bieber buat ujian DNA



JUSTIN BIEBER membuat persembahan pada majlis Anugerah Muzik Amerika Kali Ke-39 di Los Angeles pada Ahad lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penyanyi remaja, Justin Bieber telah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada Jumaat lalu berhubung saman paterniti oleh seorang wanita, menurut satu laporan semalam

Wanita berkenaan, Mariah Yeater sebelum ini mendakwa bahawa Bieber ialah bapa kandung bayi lelakinya, Tristan.

Laman web hiburan TMZ melaporkan penyanyi kelahiran Kanada itu menyerahkan sampel DNA di sebuah makmal di New Jersey dan kini tiba giliran Yeater untuk menyerahkan sampel DNA bayinya.

Yeater, 20, yang berasal dari negeri California mendakwa dia hamil setelah menjalin hubungan seks selama 30 saat dengan Bieber di belakang pentas selepas konsert bintang remaja itu diadakan di sini pada tahun lalu.

Laman TMZ turut melaporkan bahawa Bieber tidak akan membincangkan sebarang bayaran nafkah dengan Yeater melainkan bayi tersebut terbukti adalah zuriatnya. Malah, jika keputusan DNA menunjukkan bahawa dia bukan bapa Tristan, Bieber mengancam akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Yeater.

Yeater menarik balik samannya terhadap Bieber tetapi penyanyi itu berkeras mahu menjalani ujian DNA bagi menutup kontroversi tersebut buat selama-lamanya.

Pengurus Bieber, Scooter Braun memberitahu media AS baru-baru ini bahawa mereka mahu mengajar Yeater jika terbukti dakwaan wanita itu palsu.

"Kami tidak mahu ada orang lain meniru tindakan Yeater pada masa akan datang. Kami tidak mahu ada orang menganggap tidak mengapa untuk berkata, saya hamilkan anak Bieber atau saya melahirkan anak Bieber," kata Braun. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Lelaki tua edar makanan untuk penduduk miskin



SEBUAH pelastik yang mengandungi baki makanan restoran dibawa Hunter Halder untuk diberikan kepada penduduk miskin di Lisbon pada hujung bulan lalu.


LISBON, Portugal - Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menetap di sini, Hunter Halder yang berusia 60 tahun akan mengedarkan lebihan makanan restoran dengan percuma kepada penduduk miskin yang ditemuinya pada setiap hari.

Halder akan pergi ke restoran dengan menunggang sebuah basikal untuk mendapatkan bekas plastik yang mengandungi lebihan makanan untuk diedarkan kepada penduduk miskin.

Dia kemudian meminjam kereta milik sukarelawan untuk menghantar makanan tersebut.

Seramai 80 anggota sukarelawan dan 30 buah restoran menyertai projek menghantar lebihan makanan tersebut yang dirintis oleh Halder sejak Mac lalu.

Antara makanan yang diedarkan itu ialah daging, sup, nasi dan ubi kentang.

Halder mampu mengedarkan makanan itu untuk 100 orang setiap hari.

"Saya tidak boleh hidup tanpa Hunter. Sebelum saya mengenalinya, saya pernah tidak makan selama beberapa hari," kata seorang lelaki berusia 55 tahun, Celeste Castanho yang menerima lebihan makanan yang dibawa Hunter itu.

Dia hanya menerima elaun kebajikan bulanan sebanyak 300 euro (RM1,289) untuk keluarganya setiap bulan.

Menurut Hunter, dia melancarkan projek itu yang dikenali sebagai Re-Food bagi membantu penduduk miskinkerana krisis kewangan yang melanda Portugal. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Wanita dapat muka baharu dipuji cantik



GAMBAR fail pada 11 Ogos lalu menunjukkan wajah Charla Nash (kiri) selepas dia diserang seekor cimpanzi.Gambar kanan menunjukkan wajahnya selepas dia menjalani pembedahan pemindahan muka di Hospital Wanita Brigham, Massachusetts pada Mei 2011.


HARTFORD, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang diserang seekor cimpanzi menyatakan dia lebih kerap keluar rumah selepas menjalani pembedahan pemindahan muka dan wajah baharunya itu dipuji cantik.

Wanita berkenaan, Charla Nash memberitahu program bual bicara terbitan NBC, Today, wajah penderma organ yang diperolehinya itu mula berubah menurut struktur tulang mukanya.

"Ada orang memberitahu saya bahawa saya cantik," kata Nash dalam wawancara tersebut yang disiar kelmarin.

"Sebelum ini mereka belum pernah memuji saya cantik," tambahnya.

Menurut Nash, dia turut disapa oleh seorang kanak-kanak semasa keluar membeli belah baru-baru ini.

"Ia belum pernah berlaku sebelum ini. Budak perempuan itu menyatakan Hi kepada saya. Saya tidak menakutkan sesiapa," katanya.

Nash diserang oleh seekor cimpanzi seberat 90 kilogram yang dipelihara oleh jirannya pada 2009.

Haiwan itu mengoyakkan hidung, bibir, kelopak mata dan tangan Nash sebelum ia ditembak mati oleh polis.

Dia menjalani pembedahan pemindahan muka dan kedua-dua belah tangannya pada Mei lalu.

Wanita itu akan menjalani pembedahan pemindahan tangan kali kedua dalam masa setahun selepas ekoran masalah komplikasi. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Protes masuki hari keempat di Kaherah


PENUNJUK perasaan yang cedera didukung oleh seorang lelaki dalam pertempuran melibatkan pasukan polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Puluhan ribu penduduk Mesir berhimpun di Dataran Tahrir di sini pada hari keempat tunjuk perasaan manakala pertempuran melibatkan penduduk awam dengan pihak berkuasa berlaku di beberapa kawasan semalam.

Tunjuk perasaan di Dataran Tahrir itu dilakukan oleh penduduk awam yang menuntut pemerintah tentera menamatkan pemerintahan sementara selepas berkuasa pada 11 Februari lalu ekoran peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden.

Perhimpunan penduduk di dataran itu juga telah menyebabkan Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu ekoran kebangkitan penduduk di Afrika Utara yang menentang pemerintahan yang korup.

Setakat ini seramai 29 orang terbunuh sejak tunjuk perasaan gelombang kedua itu berlaku.


RIBUAN penunuk perasaan menghadiri perarakan jenazah seorang penduduk yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis Mesir di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


Pasukan keselamatan bertindak untuk mengelak konfrontasi dengan penunjuk perasaan selepas beberapa usaha untuk menyuraikan mereka bertukar menjadi ganas.

Beberapa pertempuran berlaku di beberapa jalan raya yang menghubungkan Dataran Tahrir ke ibu pejabat polis.

Pasukan keselamatan yang anggota-anggotanya memakai pakaian berwarna gelap dan dibantu askar-askar melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menghalang kumpulan-kumpulan pemuda yang bertindak balas dengan membaling batu dan bom api.

Kedua-dua kumpulan tersebut telah terlibat dalam pertempuran sejak Sabtu lalu.

Para penunjuk perasaan berusaha untuk menyingkirkan jeneral-jeneral tentera yang gagal untuk menstabilkan negara, memyelamatkan ekonomi dan membawa semula demokrasi sembilan bulan selepas Hosni meletakkan jawatan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Syria tak peduli ancaman perang saudara

DAMSYIK: Syria semalam tidak mempedulikan amaran ancaman perang saudara dan sekatan Liga Arab selepas tarikh tamat tempoh bagi rejim negara itu menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan berakhir dengan 24 orang lagi terbunuh.

Menteri Luar, Walid Muallem, juga menyangkal laporan yang mendakwa pejabat parti Baath yang memerintah Syria terkena serangan roket kelmarin.


Beliau turut menolak ancaman sekatan Liga Arab dan mengecam beberapa negara yang beliau tuduh cuba menggunakan Liga Arab sebagai alat. Sementara itu, Liga Arab berkata, Menteri Luarnya akan mengadakan rundingan baru mengenai krisis di Syria Khamis ini selepas ia menolak pindaan oleh Syria terhadap cadangannya untuk menghantar pemerhati ke negara itu. - AP

myMetro | Syria tak peduli ancaman perang saudara:

'via Blog this'

Raja Mswati usir isteri ke-12

LOBAMBA: Raja Swaziland yang mengamalkan poligami mengusir keluar isteri ke-12 dari istananya ekoran dakwaan mengatakan wanita itu berlaku curang dengan seorang rakan raja terbabit, lapor akhbar hari ini.

Pegawai yang bekerja dengan Raja Mswati III mengarahkan Nothando Dube, 23, meninggalkan kediaman rasminya minggu lalu, menurut laporan akhbar Sunday Times Afrika Selatan. Pengusiran itu berlaku selepas permaisuri yang ke-12 daripada 14 isterinya mendakwa dia ditahan sebagai tahanan di istana ekoran tuduhan tahun lalu yang mengatakan dia berlaku curang dengan Menteri Keadilan negara itu.


Sunday Times melaporkan bagaimana perbalahan itu tercetus apabila Permaisuri Dube cuba meninggalkan kediamannya untuk ke hospital selepas seorang daripada anaknya cedera ketika bermain.

Dube mendakwa, dia dilarang meninggalkan istana oleh pengawal istana. Dia kemudian menyerang pengawal berkenaan dengan semburan serbuk lada. Dube memberitahu akhbar: “Dia mengugut untuk memukul saya sambil berkata saya tidak boleh ke mana-mana dengan anak saya yang berdarah akibat luka dialami. “Saya perlu melindungi diri, jadi saya menyembur srbuk lada ke matanya,” katanya. Insiden itu berlaku pada 12 November di istana terpencil, tempat di mana dia ditahan lebih daripada setahun. Wanita itu sebelum ini mendakwa bagaimana dia dilarang bertemu suaminya sejak dakwaan dia ditangkap Ogos lalu kerana mempunyai hubungan sulit.


Mswati, waris monarki terakhir Afrika dikatakan berang selepas ibu kepada tiga anaknya itu ditemui tidur bersama Ndumiso Mamba, teman rapatnya yang juga Menteri Keadilan negara terbabit waktu itu.


Dube diletakkan di bawah tahanan rumah dan Mamba dipecat daripada Kabinet ekoran skandal itu yang tersebar ke pengetahuan rakyat selepas gambar menunjukkan menteri terbabit bersembunyi di sebalik katil wanita berkenaan.

Sejak itu, Dube ditahan di istana dan dia dilarang meninggalkan istana serta bertemu suaminya sebagai hukuman atas kecurangannya.


Bagaimanapun, Dube, bekas Miss Swaziland yang berkahwin dengan Mswati ketika berusia 16 tahun, akhirnya dipaksa meninggalkan istana ekoran insiden yang berlaku minggu lalu.

myMetro | Raja Mswati usir isteri ke-12:

'via Blog this'