Pages

Saturday, September 3, 2011

Pemandu teksi asing cetus masalah


PERBUATAN warga asing meminjamkan teksi kepada rakan yang tiada permit boleh menjejaskan imej perkhidmatan teksi negara di mata pelancong. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masalah yang melibatkan teksi yang dipandu warga asing didakwa kian meruncing apabila kira-kira 7,200 pemandu di sekitar Lembah Klang terdiri daripada golongan berkenaan.
Jumlah tersebut mewakili 20 peratus daripada kira-kira 36,000 pemandu teksi di seluruh Lembah Klang.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya percaya majoriti pemandu teksi warga asing itu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan memiliki permit, mereka mungkin memajak atau meminjamkan teksi kepada rakan senegara yang tiada permit untuk mencari duit poket.
“Kita bukan sahaja bercakap pasal perbezaan budaya serta imej negara tetapi juga soal keselamatan menaiki teksi yang dibawa oleh pemandu haram.
“Apabila ada segelintir dalam kalangan mereka yang membuat masalah, tempiasnya terkena kepada semua pemandu teksi yang lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, amalan meminjamkan teksi kepada rakan itu mendorong sesebuah syarikat teksi mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana teksi tersebut beroperasi selama 24 jam sehari, berbeza daripada 12 jam yang disarankan kepada pemandu teksi warga tempatan.

Masih menunggu kepulangan Sharlinie


MOHD. NASHAR dan Suraya membelek baju raya Sharlinie yang masih disimpan di Kampung Padang Pulut, Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – “Kalaulah Sharlinie ada, dia pasti seronok menyambut Aidilfitri bersama kami sekeluarga.’’ Begitulah rintihan Mohd. Nashar Mat Hussein, 32, yang masih menaruh harapan untuk menemui semula anak ketiganya itu yang hilang sejak 9 Januari 2008.
Katanya, naluri seorang bapa dalam dirinya tetap merasakan kanak-kanak itu yang kini sepatutnya berusia lapan tahun masih hidup.
Malah, baju raya yang dibeli untuk Sharlinie pada tahun 2008 dan 2009 masih disimpan rapi.
Mohd. Nashar yakin bahawa suatu hari nanti Sharlinie akan ditemui semula.
Menurut Mohd. Nashar, dia dan isterinya, Suraya Ahmad, 31, masih diulit rasa sebak setiap kali melihat wajah anaknya terpampang di mana-mana.
“Saya sudah berhenti mencarinya sebab saya sudah tidak tahu ke mana lagi harus mencarinya. Tetapi, kami yakin Sharlinie masih hidup,” kata Mohd. Nashar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut dekat sini baru-baru ini.KOSMO

Jolie belanja RM6,253 dalam tempoh 15 minit


ANGELINA JOLIE membeli pakaian untuk Shiloh (dua dari kanan) dan Zahara (kanan) di King’s Road, London baru-baru ini.

LONDON – Pelakon terkenal, Angelina Jolie menghabiskan wang sebanyak £1,300 (RM6,253) dalam tempoh 15 minit di kedai French Connection, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membeli-belah bersama dengan anak-anaknya iaitu Shiloh, 5, dan Zahara, 6, di kedai tersebut yang terletak di King’s Road di sini.
Pelakon itu membeli-belah ketika kekasihnya, Brad Pitt menjalani penggambaran filem terbaharunya dekat London.
Dia membeli pelbagai pakaian untuk kedua-dua anaknya itu baru-baru ini.
“Jolie benar-benar seorang yang mesra,” kata seorang pelanggan yang melihat gelagat aktres tersebut.
Menurutnya, pelakon itu menandatangani autograf untuk beberapa wanita di kedai tersebut.
“Dia bertegas tidak membenarkan kakitangannya untuk membantunya membawa beg beli-belah ke keretanya,” tambahnya.
Pelanggan itu menyatakan, dia gembira untuk bercakap dengan orang ramai dan menandatangani autograf.
“Saya berada di kedai tersebut dan tidak percaya apabila saya melihat dia membelanjakan £1,300 dalam tempoh yang singkat,” katanya. – Agensi, KOSMO

Libya ada Presiden baharu dalam tempoh 20 bulan


SEORANG anggota penentang Muammar Gaddafi mengawal satu pusat pemeriksaan dekat sebuah lapangan terbang di Tripoli kelmarin.

LONDON – Libya akan mempunyai Presiden baharu bagi mentadbir negara itu selepas pilihan raya Presiden dan parlimen diadakan pada awal 2013.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang wakil Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini sebuah badan yang mentadbir Libya setelah rejim Muammar Gaddafi tumbang.
“Kita mempunyai pelan jalan yang jelas, satu era peralihan kira-kira 20 bulan,” kata wakil NTC itu, Guma al-Gamaty kepada stesen penyiaran BBC di Britain.
Menurutnya, proses peralihan kuasa sedang berjalan dan pihak kepimpinan NTC akan menyelesaikan perpindahan mereka ke Tripoli dalam tempoh beberapa hari.
Dia berkata, satu majlis akan ditugaskan untuk merangka perlembagaan Libya sebelum pilihan raya tersebut diadakan.
Sementara itu, para pemimpin sementara Libya mendesak supaya pengikut-pengikut Gaddafi supaya meninggalkan Tripoli dan pulang ke kampung masing-masing.
Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmed Darrad semalam.
“Tripoli kini bebas dan setiap orang perlu meninggalkan bandar ini dan kembali ke bandar mereka,” katanya.
Menurutnya, bermula hari ini, terdapat sejumlah anggota keselamatan yang akan bertugas semula.
Pergolakan di Libya bermula sejak Februari lalu apabila para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama 42 tahun.
Rejim Gaddafi tumbang pada minggu lalu dan sehingga kini pemimpin tersebut masih bersembunyi manakala terdapat sejumlah pengikutnya yang masih melakukan serangan ke atas para pemberontak yang kini menguasai negara tersebut.
– Agensi, kosmo

Filem Bodyguard pecah rekod box-office

MUMBAI – Filem terbaharu Bollywood, Bodyguard berjaya memecahkan rekod box-office semasa ditayangkan selama dua hari, kata kata penganalisis industri hiburan semalam.
Filem itu menampilkan Salman Khan sebagai pengawal peribadi untuk aktres Kareena Kapoor.
Menurut seorang penganalisis, Taran Adarsh di laman bollywoodhungama.com, filem tersebut memecahkan rekod filem lain dalam sejarah filem Hindi.
Dia berkata, filem itu memperoleh 215 juta rupee (RM13.92 juta) pada Rabu lalu dan 183 juta rupee (RM11.84 juta) kelmarin.
Menurutnya, filem tersebut memperoleh jumlah kutipan keseluruhan 398 juta rupee (RM25.76 juta).
Berdasarkan laman boxofficeindia.com, filem Dabangg pada tahun lalu memperoleh kutipan sebanyak 193.4 juta rupee (RM12.52 juta) pada hari pertama tayangannya. – Agensi

Kabinet baharu Jepun dipenuhi golongan muda

TOKYO – Perdana Menteri baharu Jepun, Yoshihiko Noda semalam mengumumkan barisan Kabinetnya yang dipenuhi dengan golongan muda.
Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri selepas Naoto Kan meletakkan jawatan.
Kan meletakkan jawatan setelah 14 bulan mentadbir ekoran kritikan terhadap cara beliau menangani krisis bencana alam tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu.
Perdana Menteri baharu itu mengisi Kementerian Luar dan Kewangan dengan dua menteri yang berusia 40-an.
Umur itu dianggap muda dalam dunia politik Jepun.
Menteri Kewangan dipegang oleh Jun Azumi berusia 49 tahun sekali gus menangkis ramalan Parti Demokratik yang dianggotainya bahawa Noda akan melantik seorang anggota politik veteran untuk berdepan dengan masalah hutang negara.
Azumi merupakan seorang wartawan dengan stesen televisyen NHK sebelum beliau menyertai politik.
Jawatan Menteri Luar dipegang oleh Koichiro Gemba yang berusia 47 tahun.
Beliau sebelum ini merupakan Menteri Negara yang mengendalikan hal ehwal strategi kebangsaan.
Motohisa Furukawa yang berusia 45 tahun memegang jawatan Menteri Strategi Kebangsaan dan Menteri Ekonomi dan Dasar Fiskal.
Menteri Alam Sekitar diisi oleh Goshi Hosono yang berusia 40 tahun.
Seorang wanita berusia 43 tahun, Renho dilantik sebagai Menteri Negara yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran.
Yoko Komiyama yang berusia 63 tahun dan juga seorang wanita dipilih menjadi Menteri Kesihatan.
Beliau merupakan bekas kakitangan penyiaran stesen televisyen NHK. – Agensi, kosmo

Amah cuti Aidilfitri peningkan majikan Indonesia

JAKARTA – Ramai keluarga di Indonesia merungut kerana amah mereka bercuti panjang selama dua minggu bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Ramai amah itu pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada Rabu lalu.
Seorang wanita yang bekerja sebagai setiausaha, Tuti Rachmawati, 34, menyatakan suami dan dua anaknya yang kecil kini jarang berada di rumah kerana ketiadaan amah.
Menurutnya, mereka kini makan di restoran di gedung beli-belah di sini.
Dia berkata, lantai rumahnya kotor kerana tidak dilap manaka pakaian kotor bertimbun tanpa dibasuh.
“Makan di restoran bermakna saya tidak perlu membasuh pinggan,” katanya.
Kebanyakan resort juga mengalami kekurangan pekerja ekoran cuti Hari Raya Aidilfitri.
Seorang pengusaha agensi pekerja yang membekalkan amah, Susilowati berkata, ramai pihak yang menghubunginya untuk mendapatkan amah sementara.
Namun, katanya, tidak ada amah yang sanggup untuk menukarkan cuti mereka dengan gaji sebanyak 100,000 rupiah (RM34.76) sehari semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
Ramai amah tetap di Indonesia dibayar semurah 500,000 rupiah (RM173.81) sebulan. – Dpa, kosmo

Kapal terbaharu Tentera Laut Diraja Britain


KAPAL terbaharu Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin.

LONDON – Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin dengan menggunakan teknologi terbaharu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kapal HMS Dragon itu dilengkapi dengan sistem pertahanan peluru berpandu selain mampu menangkis serangan jet-jet pejuang.
Ia kini ditempatkan di sebuah pangkalan di Portsmouth.
Kapal itu dilancarkan pada November 2008 dari Dermaga Govan di Scotland.
Sejak itu, kapal tersebut melakukan satu siri ujian di perairan Scotland.
Kapal itu yang berada dalam kelas pemusnah 45 memiliki panjang 152 meter dengan kelajuan maksimum 27 knots serta 190 kru selain berat 7,500 tan.
Ia yang dibina oleh syarikat BAE Systems mempunyai kemampuan untuk menentang ancaman terbesar daripada jet-jet pejuang dan peluru berpandu.
Kapal itu kini sudah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Britain.
– Agensi, kosmo

Terowong dijadikan tempat berlumba kereta mewah


TEROWONG Hindhead di Surrey, England menjadi tumpuan golongan muda memandu laju dengan menggunakan kereta sport mewah.

HINDHEAD – Sebuah terowong sejauh 2.09 kilometer di selatan England di sini menjadi tumpuan golongan muda untuk memandu kereta sport mewah pada kelajuan tinggi, lapor sebuah akhbar semalam.
Golongan muda itu memandu kereta Lamborghini, Ferrari dan Aston Martin untuk mencipta rekod mereka sendiri semasa memandu laju di terowong tersebut.
Terowong itu bernilai £370 juta (RM1.7 bilion) dan ia digunakan untuk kereta dan lori yang bergerak di antara London dengan kawasan Pantai Selatan.
Beberapa laporan menyatakan bahawa terdapat beberapa kereta yang dipandu dengan laju dan membelok di sekitar bulatan dekat sebuah sekolah rendah.
Aksi pemandu kereta itu boleh ditonton di laman YouTube., kosmo
Terowong itu dibuka pada 29 Julai lalu.
Seorang penduduk, William Broadhurst, 66, yang tinggal beberapa meter dari terowong itu menyatakan perbuatan pemandu yang tidak bertimbang rasa telah menyebabkan penduduk sukar tidur pada waktu malam.
Dia bimbang kematian akan berlaku di terowong tersebut ekoran tindakan para pemandu berkenaan. – Agensi, kosmo

Menara untuk pengunjung tak takut gayat


BEBERAPA orang berdiri di atas lantai kaca di Menara Blackpool, Britain baru-baru ini.

BLACKPOOL, Britain – Sebuah menara berusia 118 tahun diubah suai apabila kaca diletakkan di lantai untuk membolehkan para pengunjung melihat pemandangan bangunan di bawah mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Menara Blackpool itu mempunyai ruang yang dikenali sebagai Skywalk pada ketinggian 115.82 meter.
Para pengunjung perlu menaiki lif untuk tiba di lantai seberat 4.15 tan.
Kaca itu turut diletakkan di bahagian bumbung. – Agensi, kosmo

Dua beradik dicari kes tembak lembu


KAMARUZZAMAN menunjukkan gambar Suhaimi dan adiknya, Mustaki yang dicari pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

KUANTAN – Dua beradik dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes menembak mati dua ekor lembu yang dipercayai cuba dicuri di Kampung Tanjung Putus dekat Bukit Rangin di sini kelmarin.
Dua beradik berkenaan ialah Suhaimi Mat Yaacob, 47, yang beralamat di Kampung Cherang Hangus Bekelam, Bachok, Kelantan manakala adiknya, Mustaki Mat Yaacob, 44, dari Kampung Bugis dekat Beserah, Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, kedua-dua beradik itu dicari selepas polis menerima satu aduan daripada penternak lembu berusia 25 tahun yang memaklumkan dua ekor haiwan ternakannya ditembak mati sebelum disyaki cuba dicuri.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 1.30 pagi semalam (kelmarin) dan kebetulan pengadu berada di tempat peliharaan lembunya bagi menghalau kira-kira 25 haiwan yang dilepaskan supaya masuk semula ke kandang.
“Tiba-tiba pengadu mendakwa dia ternampak seekor lembunya telah rebah sebelum dikejutkan pula dengan bunyi satu das tembakan yang disusuli seekor lagi lembunya rebah,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, pengadu kemudian ternampak dua buah kereta Proton Satria berada di kawasan ladang ternakan lembu miliknya menyebabkan pengadu mengejar kedua-dua buah kereta tersebut.
Pengadu mengejar kereta Proton Satria itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Turut menemani abang pengadu.
Selepas dikejar kira-kira dua kilometer, salah sebuah daripada kereta Proton Satria itu tiba-tiba mengalami kerosakan.
Kereta tersebut kemudian terbabas ke dalam longkang.
Sebuah lagi kenderaan tidak menghiraukan kereta Proton Satria yang terbabas itu dan terus memecut laju.
“Pengadu kemudian melihat dua lelaki keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri meninggalkan keretanya,” kata beliau.kosmo

Polis sembunyi dalam belukar untuk tangkap pemandu laju


GAMBAR dalam bulatan menunjukkan lokasi persembunyian anggota-anggota polis di Dollar, Scotland pada 17 Ogos lalu.

DOLLAR, Scotland – Beberapa anggota polis bersembunyi di dalam belukar di sini untuk menahan pemandu yang memandu kereta dengan laju, lapor sebuah akhbar semalam.
Taktik itu tidak menyalahi undang-undang kerana mereka tidak menggunakan alat pengesan kelajuan yang perlu dilihat orang ramai.
Anggota-anggota polis itu akan menahan kereta yang dipandu laju dengan serta-merta di lokasi tersebut.
Perbuatan anggota-anggota polis itu dirakamkan oleh seorang penduduk tempatan, Mike Day.
Namun, beberapa pengkritik berkata, tindakan polis itu akan menyebabkan pemandu menekan brek dengan tiba-tiba kerana mereka melihat anggota-anggota polis tersebut keluar dari belukar.
– Agensi, kosmo

Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui



LIMA pedati kayu dan 12 rangka tulang kuda ditemui di dalam sebuah makam di Luoyang, China.

LUOYANG, China – Beberapa ahli arkeologi telah menemui rangka tulang kuda dan pedati kayu di sebuah makam Dinasti Zhou di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Usia rangka tulang kuda dan pedati itu dipercayai hampir 3,000 tahun.
Sebanyak lima pedati kayu dan 12 rangka tulang ditemui di dalam makam tersebut.
Ahli-ahli arkeologi percaya makam itu milik seorang pegawai terkenal pada zaman itu. – Agensi,kosmo

Friday, September 2, 2011

Gaddafi didakwa sembunyi di Bani Walid, tenggara Tripoli

TRIPOLI, 1 Sept — Pemimpin Libya digulingkan Muammar Gaddafi dipercayai berada di bandar padang pasir Bani Walid, kira-kira 150km ke tenggara Tripoli, demikian menurut seorang komander Majlis Peralihan Kebangsaan hari ini.
Abdel Majid, penyelaras bilik operasi tentera Tripoli memberitahu Reuters, “mereka yang kami percaya” memaklumkan bahawa Muammar telah pergi ke kawasan itu bersama anaknya Saif al-Islam dan ketua risikan Abdullah al-Senoussi tiga hari selepas Tripoli jatuh minggu lalu. — Reuters

Gaddafi dilapor cuba lari ke Algeria

ALGIERS: Diktator Libya yang diguling, Encik Muammar Gaddafi, cuba berunding dengan pihak berkuasa Algeria bagi memasuki negara itu dari sebuah bandar di sempadan Libya tempat beliau sedang bersembunyi, kata akhbar El-Watan dalam edisi dalam taliannya kelmarin.


Encik Gaddafi sedang dalam pelarian sejak pasukan pemberontak mengambil alih Tripoli, ibu kota Libya, seminggu lalu.Sambil memetik sumber-sumber dekat dengan presiden Algeria, El-Watan melaporkan Encik Gaddafi
 'cuba menghubungi Presiden Abdelaziz Bouteflika menerusi telefon tetapi beliau enggan menjawab panggilan itu
'.Laporan itu berkata Encik Gaddafi, yang bersembunyi di bandar Gadames bersama anggota keluarganya, sedang menunggu keizinan bagi menyeberang ke Algeria, di mana isteri, dua anak lelaki dan anak perempuannya dilaporkan berada.
'Ini bukan kali pertama Gaddafi dan para utusannya cuba menghubungi presiden Algeria,


' kata akhbar itu.Anak perempuan Encik Gaddafi melahirkan anak di Algeria selepas melarikan diri dari Libya sedang rejim bapanya runtuh.Pemerintah Algeria berkata kelmarin beliau menyeberang ke Algeria Sabtu lalu bersama saudara lelakinya, Hannibal, ibu mereka, Safiya, iaitu isteri kedua Encik Gaddafi, - dan anak lelaki sulung pemimpin Libya itu, Mohammed.


Bagaimanapun, seorang anak lelaki Encik Gaddafi, Seif al-Islam, dalam satu rakaman audio berkata beliau masih berada di Tripoli dan perjuangannya terhadap pemberontak akan diteruskan, walaupun para pemimpin dunia sedang berkumpul di Paris bagi merancang masa depan Libya selepas pemerintahan Encik Gaddafi.


'Kami dalam keadaan baik. Kepimpinan dalam keadaan baik dan pemimpin dalam keadaan baik,




' kata Seif lewat kelmarin kepada stesen televisyen Syria, Arrai Oruba, yang menjadi alat sebaran am rejim runtuh itu.'Kami gembira, kami sedang minum kopi dan teh dengan rakan-rakan kami dan kami sedang bertempur. 


Saya bercakap dengan anda dari kawasan subbandar Tripoli. Penentangan diteruskan dan kemenangan sudah dekat,
' katanya sambil memberi amaran kepada pemberontak supaya jangan menyerang Sirte, kampung halaman bapanya.Namun, pengerusi Majlis Peralihan Negara (NTC) Libya, Encik Abdel Hafiz Ghogha, memberitahu AFP Seif sedang menghadapi gangguan waham. -- AFP.








Sungai melimpah dek 'Irene' di AS mulai surut


RUMAH HANYUT: Sebuah rumah yang musnah akibat ribut Irene hanyut di sebatang sungai di Rochester, Vermont, semalam sedang pemiliknya, Encik Jon Graham (kanan), dan rakan-rakannya mengeluarkan barang-barang dari rumah itu. -- Foto AP

KILLINGTON (Vermont): Sungai-sungai yang airnya melimpah di kebanyakan kawasan di timur laut Amerika Syarikat mulai surut semalam.
Ini membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk beberapa bandar kecil di Vermont, yang terputus hubungan dengan saluran bantuan akibat air bah deras yang dibawa taufan Irene.


Keadaan itu meredakan sedikit kesan banjir kelmarin, yang melumpuhkan wilayah tersebut, dan menampakkan kerosakan yang dialami kawasan kediaman, ladang dan perniagaan di seluruh kawasan terjejas.Anggaran kerja pembaikan menunjukkan kejadian itu mungkin antara bencana alam paling merugikan bagi Amerika, walaupun kosnya tidak setinggi yang dikhuatiri sebelumnya.


Daripada 11 kawasan kediaman yang terputus hubungan dengan dunia luar, Wardsboro, sebuah kampung 850 penduduk di Green Mountains, paling akhir dapat diberi bantuan.Pasukan Pengawal Negara Amerika terus menyediakan beberapa bekalan keperluan kepada bandar-bandar di kawasan pergunungan yang terputus bekalan kuasa elektrik, khidmat telefon dan pengangkutannya.


Helikopter-helikopter tiba dengan bekalan keperluan seperti makanan, selimut dan air minum.Air bah turut memusnahkan beberapa bahagian di wilayah New Jersey dan Connecticut.Dua daripada tiga reaktor nuklear di selatan New Jersey telah mengurangkan penjanaan kuasanya kerana serpihan-serpihan akibat taufan itu menghalang kemasukan air pendingin.


Sementara itu, korban akibat taufan Irene mencecah 53 jiwa, termasuk 46 orang yang maut dalam 13 wilayah Amerika dan Puerto Rico.Satu anggaran oleh firma perunding cara Kinetic Analysis Corp menggunakan model komputer sejurus selepas taufan itu melanda Amerika mengunjurkan kerugian akibat bencana tersebut sekitar AS$7.2 bilion ($8.7 bilion) dalam lapan wilayahnya dan di kawasan Washington D.C. -- AP.CYBERITA

Pelacur di Jerman diwajib sediakan tiket cukai

BERLIN 1 Sept. - Pelacur di sekitar bandar Bonn perlu membawa tiket yang dibeli dari mesin yang menyerupai mesin tiket meletak kereta ketika bekerja jika tidak mahu dikenakan denda dari pihak berkuasa cukai, menurut rancangan baru yang dilancarkan Isnin lalu.
Di Jerman, pelacur-pelacur membayar cukai pendapatan berbeza di setiap kawasan tetapi undang-undang tersebut sukar dikuatkuasakan kepada mereka yang mencari pelanggan di tepi jalan.
Tiket bermeter cukai perkhidmatan pelacuran pertama di Jerman yang dijual dengan harga 6 euro (RM26.10) untuk satu malam itu bagi memastikan sistem cukai dilaksanakan dengan adil, kata jurucakap bandar itu.
"Pegawai pemeriksa akan mengawasi pelaksanaan baru itu, bukan setiap malam tetapi ia akan kerap dijalankan," katanya.
Jika ditangkap tanpa tiket yang sah, pesalah akan ditegur dahulu, kemudian akan dikenakan denda dan mereka juga akan dilarang mencari pelanggan jika masih tidak mematuhi arahan tersebut.
Kira-kira 200 pelacur bekerja di Bonn tetapi pegawai bandar tersebut mengehadkan kawasan untuk mereka beroperasi di kawasan-kawasan tertentu kerana bantahan dari penduduk. - Reuters, utusan

Aset Gaddafi bernilai RM447 bilion dibeku

GENEVA 1 Sept. - Aset yang dikawal oleh pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan orang kanannya di luar negara dianggarkan bernilai AS$150 bilion (RM447 bilion) telah dibekukan oleh kerajaan asing.
Sementara itu, 144 tan emas milik Gaddafi dan pengikut-pengikutnya turut ditahan oleh bank pusat Libya.
Perancis semalam meminta jawatankuasa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik pembekuan aset Libya bernilai 1.5 bilion euro (RM6.4 bilion). - REUTERS

Bosnia bangga amal 'Islam Eropah'


UMAT Islam Bosnia bersedia untuk mengerjakan solat Aidilfitri di perkarangan masjid Gazi-Husref Bey di Sarajevo, Selasa lalu. - AFP



SARAJEVO 1 Sept. - Di Bosnia, di mana rakyatnya berbangga dengan gelaran 'Islam Eropah', keghairahan mengerjakan ibadah dan kehidupan bebas dapat disaksikan dengan meluas, walaupun ketika bulan suci Ramadan.
Ketika kebanyakan penduduk Sarajevo mengerjakan ibadah puasa dengan tekun, kafe-kafe di jalan-jalan ibu negara Bosnia itu dipenuhi oleh pelancong asing dan penduduk tempatan.
Wanita muda yang memakai purdah serta yang mendedahkan rambut bersilih ganti bersiar-siar di ibu negara Bosnia, manakala meminum arak adalah bebas untuk semua.
"Rakyat Islam Bosnia hidup mengikut konteks, politik dan undang-undang Eropah selama lebih seabad.
"Sejak menjadi sebahagian daripada empayar Austro-Hungarian pada lewat abad ke-19, Bosnia telah berubah menjadi negara baru," kata seorang profesor etnik dan falsafah di Fakulti Pengajian Islam Serajevo, Dzevad Hodzic.
Menurutnya, ekoran kemunculan kumpulan radikal ketika perang Balkan 1990-an, Islam Bosnia lebih menggangap agama sebagai urusan peribadi, mula dikenali sebagai 'Islam Eropah' atau 'Euro-Islam'.
Prospektif yang timbul ketika tahun 1990-an itu masih menjadi subjek perdebatan, terutamanya merujuk kepada tuntutan agama yang disesuaikan dengan nilai Eropah, termasuk hak kemanusiaan, peraturan dan kesamarataan jantina.
Sesetengah pihak menyifatkannya sebagai Islam 'buatan Eropah" yang meliputi perpecahan gereja dan negara, tidak seperti Afrika Utara, Asia Barat atau negara majoriti Muslim yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.
Menurut Dzevad, kepercayaan rakyat Bosnia dibentuk melalui 'pandangan kepada dunia luar' selagi ia tidak bertentangan dengan agama, tetapi menganggap agama sebagai sebahagian daripada moral, hal peribadi, rohaniah dan domain keluarga serta negara yang diasingkan daripada kepercayaan. - AFP, utusan

Seif al-Islam ikrar terus melawan pemberontak di Libya

TRIPOLI 1 Sept. - Anak lelaki Muammar Gaddafi, Seif al-Islam berikrar penyokong setia bapanya akan memerangi pemberontak sehingga ke titisan darah terakhir.
Seif menyampaikan mesej enggan mengalah itu ketika abangnya, Saadi melahirkan kesediaan untuk menyerah diri manakala pemberontak mengumumkan penangkapan bekas Menteri Luar, Abdelati al-Obeidi.
"Kami semua termasuk pucuk pimpinan dan pemimpin kami dalam keadaan baik.
"Saya bercakap dari pinggir Tripoli dan kami ingin memberi jaminan kepada rakyat Libya bahawa kami masih bertahan dan terus memberi tentangan, malah kemenangan makin hampir," kata Seif kepada televisyen Arrai Oruba di Syria, dalam mesej audio yang disiarkan malam tadi.
Beliau memberi amaran kepada pemberontak supaya jangan berani melancarkan serangan ke atas bandar kelahiran bapanya, Sirte iaitu bandar utama yang masih dikuasai oleh penyokong setia Gaddafi.
Naib Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Hafez Ghogha berkata, Seif kini mengalami sindrom penafian.
"Seif al-Islam hidup dalam mimpi dengan mendakwa kemenangan makin hampir, sedangkan yang makin hampir ialah kemenangan pemberontak," kata Ghogha, di kubu pemberontak di Benghazi.
Sementara itu, Saadi Gaddafi menyuarakan kesediaan untuk menyerah diri.
"Saya bersedia untuk menyerah diri malam ini jika tindakan ini akan menghentikan pertumpahan darah," katanya kepada stesen televisyen Al-Arabiya malam tadi.
Naib Pengerusi majlis tentera pemberontak, Mahdi al-Harati memberitahu wartawan di Tripoli, rundingan sudah bermula mengenai penyerahan diri Saadi.
Sementara itu, para pemimpin dunia berhimpun di Paris hari ini untuk membincangkan masa depan Libya selepas kejatuhan rejim Gaddafi.
Menjelang persidangan di Paris itu, Perancis mengumumkan akan menarik balik pembekuan aset Libya bernilai 1.5 bilion euro (RM6.4 bilion) manakala Rusia menyertai banyak negara lain untuk mengiktiraf NTC sebagai kerajaan Libya yang sah. - AFP, utusan

Aidilfitri penuh makna di empat negara Arab

KAHERAH 1 Sept. - Sambutan Aidilfitri yang diraikan sempena berakhirnya sebulan umat Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadan tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini bagi negara Syria, Libya, Mesir dan Tunisia.
Pergolakan masih berterusan di Syria, pasukan pemberontak baru mengukuhkan kedudukan di Libya. Mesir dan Tunisia masih melalui kesan dari revolusi yang menggulingkan pemimpin-pemimpin Arab awal tahun ini. Elemen gembira, kecewa dan perubahan bercampur-baur dan menular di negara-negara tersebut.
Libya memulakan sambutan Aidilfitri mereka Rabu lalu dengan berpuluh-puluh ribu penduduk menyempurnakan solat Aidilfitri di Dataran Hijau yang dinamakan Dataran Syahid di Tripoli.
Walaupun rakyat Libya mempunyai sebab kukuh untuk meraikan perayaan itu yang disifatkan imam di sana sebagai 'revolusi terhebat zaman ini' di dalam khutbahnya, mereka tetap bersedih kerana perjuangan mereka selama enam bulan konflik itu berlaku mengorbankan sehingga 50,000 orang.
Tambahan pula, pemburuan terhadap Muammar Gaddafi dan keluarganya masih diteruskan. Pemberontak kini sedang berusaha memantapkan semula tahap keselamatan dan pembekalan bahan asas serta perkhidmatan yang diperlukan di sana.
Sementara itu, banyak komuniti Islam di Syria tidak menyambut Aidilfitri tahun ini bagi menghormati keluarga berpuluh-puluh ribu penduduk yang terbunuh dan ditahan pasukan keselamatan.
Penduduk Syria dikejutkan dengan tindakan keras yang dilakukan ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi pada hari raya kedua dimana sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh.
Bulan Ramadan kali ini menyaksikan paling ramai yang terkorban iaitu anggaran 470 orang yang terkorban sejak 1 Ogos lalu, dan 2,200 orang terkorban sejak pemberontakan bermula pertengahan Mac lalu.
Namun, negara Arab lain seperti Mesir, penduduk benar-benar meraikan Aidilfitri dengan penuh meriah tahun ini kerana berjaya menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak.
Beribu-ribu umat Islam di sana berkumpul di Dataran Tahrir di Kaherah, lokasi utama pemberontakan menuntut revolusi, Selasa lalu bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Di Yemen, ribuan penduduk meraikan Aidilfitri di tengah-tengah kebuntuan politik yang berterusan apabila Presiden Ali Abdullah Saleh enggan meletakkan jawatan sebaliknya berjanji mempercepatkan pilihan raya presiden.
Sejak pertengahan Februari lalu, berjuta-juta penduduk Yemen mengadakan tunjuk perasaan meminta pemimpin mereka disingkirkan dan beratus-ratus orang yang terkorban oleh tindakan keras kerajaan. - dpa, utusan

Polis NY intip penduduk Islam

NEW YORK 1 Sept. – Beberapa bulan selepas serangan 11 September, 2001, Jabatan Polis New York (NYPD) dengan bimbingan seorang pegawai veteran Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengadakan program perisikan untuk memantau kegiatan penduduk Islam termasuk lokasi mereka membeli-belah, makan dan bersolat.
Kewujudan program yang dikenali sebagai Unit Demografi itu dinafikan oleh NYPD tetapi dokumen yang diperoleh oleh Associated Press (AP) menunjukkan unit itu menyimpan senarai ‘keturunan etnik yang diberi perhatian’ dan menerima laporan harian mengenai kehidupan penduduk Islam.
Dokumen itu memberikan gambaran yang jarang diperoleh mengenai program perisikan yang dibentuk dan dikemudikan oleh seorang pegawai CIA.
Kerjasama itu dianggap luar biasa kerana CIA diharamkan daripada menjalankan kegiatan perisikan domestik.
Anggota polis yang beroperasi secara sulit, dikenali sebagai ‘raker’, mengunjungi kedai buku, kafe, perniagaan dan kelab yang diusahakan oleh orang Islam.
Polis mencari perniagaan yang menarik golongan minoriti tertentu seperti syarikat teksi yang mengambil penduduk etnik Pakistan sebagai pemandu.
Mereka diarah supaya memantau perkembangan semasa, meneliti papan kenyataan komuniti di rumah ibadat dan mengenal pasti ‘kawasan panas’.
Unit Demografi yang terdiri daripada 16 anggota polis yang boleh bertutur sekurang-kurangnya lima bahasa ialah satu-satunya pasukan seumpamanya yang beroperasi di AS.
NYPD dengan menggunakan maklumat banci dan pangkalan data kerajaan memetakan kawasan kediaman etnik di New York, New Jersey dan Connecticut.
Apabila CIA melancarkan serangan dengan pesawat tanpa juruterbang atau ‘drone’ di Pakistan, NYPD akan menghantar anggotanya ke kawasan kediaman etnik Pakistan untuk mendengar retorik dan kenyataan yang membidas Amerika, kata pegawai yang terlibat dalam program itu. – Agensi

Somalia bagaikan negara tidak 'bertuan', Masjid Isbahasyiga turut musnah

MOGADISHU 1 Sept. - Mencapai kemerdekaan pada 1 Julai 1960, Somalia kini boleh dianggap sebagai wilayah tidak 'bertuan'.
Di ibu negaranya iaitu Mogadishu sahaja sudah mampu menceritakan segala-galanya yang tersirat tentang negara yang digelar 'Tanduk Afrika' ini.
Konflik bersenjata sejak 1991 masih berbekas di kebanyakan kawasan khususnya pada dinding bangunan yang berlubang akibat kesan tembakan.
Banyak bangunan seperti bangunan Parlimen yang menjadi nadi pemerintahan Somalia termasuk Masjid Isbahasyiga turut hancur dibedil meriam dan tembakan ekoran pergolakan.
Kanak-kanak dan golongan wanita yang meminta sedekah di tepi jalan merupakan pemandangan biasa di sini.
Sementara itu, beberapa laluan jalan raya di sekitar Mogadishu juga tidak terurus dengan sistem aliran trafik yang buruk.
Meskipun kumpulan Al-Shabab 'meredakan' sejenak serangan di Mogadishu dan menguasai sebahagian besar selatan Somalia, ada ketika bunyi tembakan dan bom masih kedengaran di beberapa kawasan di ibu negara itu.
Di Mogadishu sendiri, beberapa lelaki bersenjata AK47 dengan peluru yang melilit badan kelihatan berlegar-legar di sekitar bandar untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
Sehingga kini, Somalia masih berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Transisi (TFG) yang bersifat sementara sebelum pergolakan dapat diselesaikan.
Keadaan diburukkan lagi dengan kemarau panjang sejak tiga tahun lalu mengakibatkan haiwan ternakan mati dan tanaman musnah.
Ribuan penduduk yang berada jauh di pedalaman sanggup berjalan kaki ratusan kilometer untuk memasuki Mogadishu bagi mendapatkan bantuan makanan terutama daripada bantuan agensi asing termasuk Malaysia.
Ia menyebabkan Mogadishu sesak dengan kebanyakan gelandangan membina khemah kecil demi kelangsungan hidup.
-utusan

'Beri kami air, makanan'

KANAK-KANAK yang kehausan minum air dari paip di kem perlindungan
sementara mangsa kebuluran di Bad-Badoo, Mogadishu, Somalia, semalam.

MOGADISHU 1 Sept. - ''Beri kami air, beri kami air. Ada makanan untuk kami?''
Itu jeritan sekumpulan wanita tatkala pasukan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) memasuki kem perlindungan sementara mangsa kebuluran di Kem Bad-Badoo, dekat sini.
Kem perlindungan tersebut yang diwujudkan sejak tiba bulan lalu itu kini menempatkan seramai 12,000 keluarga yang datang dari pelbagai kawasan di seluruh Somalia ekoran kebuluran.
Seorang mangsa, Mariam Ali Mohamed, 40, berkata, dia dan ramai lagi 'penghuni' kem sementara itu amat memerlukan bekalan air bersih.
''Saya sampai di sini sejak dua bulan lalu. Tempat tinggal saya di Shabeellah tidak ada air. Saya sangat perlukan air bersih. Anak saya di sini ada lima orang. Tolong beritahu semua termasuk kerajaan, bawalah bekalan air," rayunya sambil menitiskan air mata.
Kata Mariam, sejak berada di kem itu, dia dan anak-anaknya sering kali bergerak ke sana-sini meraih simpati sesiapa sahaja yang sudi menghulurkan bantuan termasuk makanan.
Nasib sama turut menimpa Aminah Osman, 29, yang berasal dari Baydhabo.
Baginya, air paip yang tidak diketahui tahap kebersihannya terpaksa digunakan untuk meneruskan hidup.
''Hendak dapat air mana lagi kalau bukan air paip yang dikongsi ramai orang dalam kem ini. Memanglah tak bersih, itu sahaja pilihan yang ada," jelasnya.
Sementara itu, lain pula dengan nasib beberapa anggota tentera Somalia yang cedera parah ekoran serangan pengganas Al-Shabab dan kini mendapat rawatan di Hospital Martini.
Menurut seorang tentera, Dahir Mohamad Mahmud, 43, kaki kirinya mungkin terpaksa dipotong selepas ditembak dengan mesingan dalam satu serangan Al-Shabab di Hoosh, dekat sini tahun lalu.
Katanya, dalam serangan pada waktu malam itu, peluru mesingan terkena kaki kirinya.
Nasib sama turut menimpa Yusuf Ahmad, 51, yang diserang pengganas Al-Shabab di Hotel Jubba sembilan bulan lalu.
''Kaki kiri saya terpaksa dipotong. Saya ada lima anak. Dengan keadaan begini, saya pun tidak tahu bagaimana hendak menyara keluarga. Saya amat memerlukan bantuan kaki palsu untuk bergerak," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Perubatan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Dr. Alwi Rahman berkata, pasukan perubatannya sudah menilai keperluan bekalan perubatan di hospital berkenaan.
''Kebanyakan mereka mengalami kesan luka dan kecederaan disebabkan konflik bersenjata. Mereka memerlukan ubat dan vaksin tertentu termasuk rawatan susulan," katanya.-utusan

Nasib mangsa kebuluran masih kabur

MALEKHA Mahdi bersama anaknya kini tinggal di kem
perlindungan sementara Darul Shifa, Mogadishu.
MOGADISHU 1 Sept. – ‘‘Kami terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer dari kampung halaman ke Mogadishu untuk hidup. Ada yang meninggal dunia di pertengahan jalan. Namun nasib kami masih kabur.”
Demikian keluhan Malekha Mahdi, 51, yang kini berada di kem perlindungan sementara Darul Shifa di Mogadishu sejak dua bulan lalu selepas meninggalkan rumahnya di Bulaabdala yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini.
Menempuh segala cabaran sepanjang berjalan kaki bersama enam anak, baginya, ia dilakukan demi kelangsungan hidup bersama anak- -anak selepas kampung halamannya ‘kering’ lantaran kemarau panjang.
‘‘Di tempat tinggal saya, bagaikan tiada kehidupan. Kering kontang. Tidak ada air dan makanan. Kehidupan kami anak-beranak amat susah. Suami saya juga berada di kem perlindungan di tempat lain.
‘‘Kami terpaksa berjalan kaki untuk terus hidup dengan mengharapkan bantuan sesiapa sahaja di Mogadishu,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan berupa wang, tudung, kain sarung, biskut dan kurma daripada Kelab Putera 1Malaysia di sini hari ini.
Ujar Malekha, selepas ancaman kumpulan bersenjata Al-Shabab, kebuluran kini menjadi ancaman utama di Somalia ekoran kemarau berpanjangan.
Sementara itu, bagi seorang kanak-kanak, Fatma Maday, 4, dia dan adiknya, Ishia Maday, 3, turut menempuh saat getir sepanjang berjalan kaki bersama ibu dari Marka, selatan Somalia.
Ayah serta adik lelakinya, Salad Maday yang baru berusia 10 bulan sudah meninggal dunia dalam satu serangan sementara ibunya pula berada di kem lain.
Sementara itu, Ibrahim Maadey Ahmad, 52, yang datang dari Marka berkata, beliau terpaksa merantau sejauh 90 kilometer ke Mogadishu kerana dua batang sungai di kampung halamannya kering kontang.
‘‘Sangat susah. Sungai Jubba dan Sungai Shabella kering. Ramai yang sakit dan kurang zat makanan. Sebab itu saya dan beberapa lagi datang ke sini (Mogadishu). Kami berjalan kaki. Ramai juga yang meninggal ketika berjalan ke sini.
‘‘Saya tak ambil kisah hal politik meskipun kawasan saya dikuasai Al-Shabab. Apa yang kami mahukan adalah makanan, air dan ubat. Kami sedang berperang dengan kebuluran,” katanya.
Beliau meminta Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan di Somalia.-utusan

KL kembali sesak

KENDERAAN sesak di Plaza Tol Senawang ekoran orang ramai mengambil jalan alternatif menggunakan Lebuhraya LEKAS menghala ke Kuala Lumpur. Gambar dirakam pada jam 8.00 pm. Foto: Sairien Nafis (01/09/2011)
KENDERAAN sesak di Plaza Tol Senawang ekoran orang ramai mengambil jalan alternatif menggunakan Lebuhraya LEKAS menghala ke Kuala Lumpur. Gambar dirakam pada jam 8.00 pm. Foto: Sairien Nafis (01/09/2011)

Ribuan seluar dalam wanita bertaburan

LANCASTER (Ohio): Pihak berkuasa kini bingung memikirkan persoalan: mengapa ada ratusan seluar dalam - kebanyakannya milik wanita - dibiar bertaburan di sepanjang jalan bandar di tengah Ohio.
Pegawai polis tempatan, Gary Hummel, berkata seluar dalam itu ditemui dibuang di celah pokok dan pinggir bukit di beberapa lokasi sejak beberapa hari lalu.
“Sesetengah seluar dalam itu masih rapi berlipat seperti baru dibawa keluar dari kilang, manakala sebahagian lagi kelihatan sudah dipakai,” katanya.

Secara keseluruhan, kata Hummel, dianggarkan ada hampir 1,700 seluar dalam pelbagai warna dan corak ditemui di kawasan itu.


“Apabila dikumpulkan, ia memenuhi 10 beg sampah besar dan kami masih bingung kerana tidak tahu dari mana ia datang,” katanya. - AP, hmetro

Wanita bangsawan agih kekayaan untuk pujuk anak izin berkahwin


MADRID: Wanita bangsawan tua yang bercadang berkahwin dengan lelaki 24 tahun lebih muda daripadanya berkata, tiada sesiapa mendesak dia mengagihkan kekayaan kepada anak-anaknya sebagai cara memujuk mereka merestui niatnya untuk bersuami.
Dalam temu bual pertama sejak mengumumkan pelannya berkahwin dengan Alfonso Diez, Duchess of Alba, 84, berkata dia memang bersusah payah mengatasi halangan warisnya.

Pernah berkahwin dua kali sebelum ini, wanita bernama Maria del Rosario Cayetana Fitz-James-Stuart itu dilaporkan menyerahkan sebahagian besar hartanya kepada enam anak, termasuk seorang perempuan.

Antara kekayaan yang diagihkan ialah beberapa istana, estet dan lukisan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, harta itu hanya akan dimiliki sepenuhnya oleh anak Maria apabila dia mati.

Katanya, dia memang berniat berkongsi kekayaan dengan anak-anaknya.


“Tiada sesiapa memaksa saya. Lagi pun, selagi saya hidup, semua kekayaan itu berada dalam kawalan saya,” katanya kepada majalah Hola! Kata Maria, dia tidak suka sesiapa mengongkong atau menguruskan hidupnya.

“Saya ada idea dan cara tersendiri untuk mencapai impian,” katanya.
Dikenali dengan gaya rambut menggerbang dan pakaian berwarna-warni, Maria bercadang berkahwin dengan Diez, seorang pekerja Kementerian Buruh yang berjaya “mengubah hidupnya” walaupun lelaki terbabit panas baran.

“Diez lelaki hebat yang mengubah saya sepenuhnya,” katanya. Harta semasa Maria dianggarkan bernilai sehingga RM15 bilion. - AFP, hmetro

Sotong labu

pix_middle

ORANG ramai melihat dari dekat susunan labu yang membentuk imej sotong di Klaistow berhampiran Beelitz, timur laut Jerman, semalam. Lebih 100,000 labu daripada 400 jenis berbeza dipamerkan sempena pesta itu.
hmetro

Jantan miang gugat pantai Dubai

DUBAI: Ketika suhu semakin menurun dan penduduk setempat mula bertumpu ke pantai, pengunjung kawasan rekreasi di Dubai kini berdepan dengan bahaya baru - serangan seksual.
Menurut saksi dan mangsa, serangan biasanya dilakukan lelaki miang yang berpura-pura berenang atau menyelam berhampiran wanita.

Disebabkan ancaman itu, pihak berkuasa berkata, semakin ramai wanita menjauhi kawasan pantai di Dubai.

Sementara itu, seorang wanita Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Candice, berkata dia mengunjungi kawasan pantai Jumeirah bersama suami dan rakannya dua minggu lalu.

Kata Candice, 28, ketika dia bermain air agak jauh dari kenalannya, dia terkejut apabila berasa ada tangan menyentuh kaki kanannya.

“Ada seseorang berenang di bawah saya dan tangannya mula meraba-raba sehingga ke parah paha,” katanya.


Mengaku terlalu takut untuk menjerit, Candice berkata, dia cepat-cepat berenang semula ke pantai dan mengadu kononnya tidak sihat.

Dia kemudian meminta dihantar ke biliknya. Kata Candice, dia takut jika mengadu, keadaan boleh menjadi tidak terkawal jika suaminya bertindak mencari lelaki miang terbabit.

Justeru, katanya, dia cuba melupakan insiden itu.

Bagaimanapun, Candice mengaku tidak akan mahu mengunjungi pantai berkenaan lagi.

Darleen, 31, juga mendakwa pernah mengalami insiden menakutkan.

Katanya, sebagai wanita bujang, dia terpaksa melakukan semua aktiviti bersendirian, termasuk jika mahu menonton wayang, membeli-belah atau beriadah di pantai.

“Pada satu petang, saya terfikir mahu berenang di Jumeirah lalu mengunjungi kawasan itu tanpa ditemani sesiapa,” katanya.

Di situ, kata Darleen, dia ternampak sekumpulan pemuda berenang tidak jauh dari tempatnya.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya cuma memejamkan mata dan mengapungkan diri untuk merehatkan badan.

“Tidak lama kemudian, saya berasa ada seseorang menyelam di bawah dan menyentuh tubuh saya,” katanya.

Dia terkejut dan segera membuka mata.

Kata Darleen, dia terserempak dua lelaki yang berpura-pura meminta maaf, tetapi pada masa sama, ketika itu kaki mereka bergerak menyentuh kakinya di dalam air.

Dua wanita Eropah - Mary dan Nadine - turut menjadi mangsa di kawasan rekreasi terkenal itu.

Kata Mary, 32, dia berang apabila seorang lelaki menyinggul dadanya ketika mencapai tuala yang digantung tidak jauh daripadanya.

“Bagi saya, itu bukan kebetulan atau tidak disengajakan,” katanya.

Rakannya, Nadine, 29, bersetuju dengan pandangan itu.

“Sejak tahun lalu kawasan pantai ini bukan lagi seperti sepatutnya apabila berlaku banyak gangguan seksual,” katanya. - GN, hmetro

2 korban ombak besar


LOKASI...kawasan tragedi yang meragut nyawa dua saudara di Pantai Pasir Panjang.
LOKASI...kawasan tragedi yang meragut nyawa dua saudara di Pantai Pasir Panjang.

SAYU...jenazah Abdullah Mukmin dibawa keluar  hospital.
SAYU...jenazah Abdullah Mukmin dibawa keluar
 hospital.

BALIK PULAU: “Abang Chik nak manja dengan ayah boleh tak?” Itulah kata-kata yang terngiang-ngiang di telinga Ahmad Nasir Osman, 42, bapa kepada Abdullah Mukmin, 12, yang lemas ketika berkelah di pantai Kampung Pasir Panjang di sini, semalam.
Mengenang semula detik pada malam menjelang 1 Syawal, Ahmad Nasir berkata, anak keempatnya itu tiba-tiba mengungkapkan kata sedemikian kepadanya. Menurutnya, dia tidak menyangka anak lelaki yang mahu bermanja dengannya itu pergi meninggalkan keluarga selepas lemas ditelan ombak bersama bapa saudaranya, Abdul Razak Osman, 32.

“Arwah juga kelihatan gembira menyambut Aidilfitri bersama sepupu dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau, semalam.

Kejadian berlaku jam 11 pagi ketika Abdullah Mukmin dan Abdul Razak sedang duduk bersama Ahmad Nasir dan abangnya, Abdul Latif Osman, 43, di atas batu sebelum ombak besar menghanyutkan mereka ke laut.

Abdul Latif dan Ahmad Nasir berjaya menyelamatkan diri tetapi turun semula ke laut mencari mangsa, namun terlambat apabila mereka ditemui tidak bernyawa.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Latif berkata, ombak besar tiba-tiba menghempas batu tempat mereka berehat selepas mandi. “Hanya saya dan Ahmad Nasir berjaya kembali ke pantai, manakala Abdul Razak dan anak saudara saya tiada,” katanya.


Menurutnya, dia kembali semula ke laut sebelum menemui Abdul Razak yang sudah lemas dan menariknya ke pantai sebelum orang ramai mula tiba untuk memberikan bantuan.

Katanya, dia dan Ahmad Nasir turun semula ke laut mencari Abdullah Mukmin sebelum menemuinya 100 meter dari pantai.


Jenazah Abdullah Mukmin, dikebumikan bersama Abdul Razak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Betong, di sini, kira-kira jam 10 pagi ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hamidah Ramli, 30-an dan dua anak berusia empat tahun dan lapan bulan.
hmetro



Dicekup ketika menggerudi


KESAN...pasukan forensik meneliti cap jari pada kenderaan suspek kes rompak kedai pajak gadai.
KESAN...pasukan forensik meneliti cap jari pada kenderaan suspek kes rompak kedai pajak gadai.


Foto
ALAT GERUDI...mesin penggerudi yang 
menggunakan air bagi mengelak bunyi bising.
PETALING JAYA: Tindakan enam penjenayah cuba merompak sebuah kedai pajak gadai pada cuti Aidilfitri gagal apabila mereka diberkas polis dalam kejadian di Seri Setia, Sungai Way, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu disedari seorang lelaki yang juga peniaga di premis berdekatan sebelum memaklumkan kepada polis.
Saksi yang hanya dikenali sebagai Siva berkata, dia menyedari selepas mendengar bunyi bising termasuk bunyi alat penggera dari arah kedai itu sebelum menghubungi polis.

Katanya, anggota dari Balai Polis Sungai Way yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian bergegas ke lokasi dan menahan enam lelaki yang leka menebuk dinding kedai kasut bersebelahan kedai pajak gadai untuk memasuki premis berkenaan.
Foto
BAHAN BUKTI...seorang anggota forensik 
memeriksa batu-bata dinding yang ditebuk.
Foto
LUBANG...penjenayah menebuk dinding bagi 
membolehkan mereka memasuki kedai pajak gadai

Difahamkan, enam suspek menggunakan tiga kenderaan termasuk dua MPV jenis Naza dan sebuah jenis Mercedes.

2 loji rawatan air milik Johor


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian  antara Tan dan Obet pada majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB   di Loji Air Gunung Pulai di Johor Bahru,  semalam. Turut sama (dari kiri) Menteri Kanan Negeri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Grace Fu; Abdul Ghani, Vivian dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kanan).
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Tan dan Obet pada majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB di Loji Air Gunung Pulai di Johor Bahru, semalam. Turut sama (dari kiri) Menteri Kanan Negeri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Grace Fu; Abdul Ghani, Vivian dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kanan).


Kontrak 50 tahun Singapura tamat

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan Johor kelmarin.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB, Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil, di Loji Air Gunung Pulai di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tahun tamat antara PUB dan kerajaan negeri di bawah Perjanjian Air 1961 kelmarin.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri akan terus meneroka sumber bekalan air baru sebagai persediaan jangka panjang bagi memenuhi keperluan penduduk dan industri, termasuk industri petroleum yang dibangunkan di Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Katanya, langkah terbaru penerokaan sumber air dari Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan negeri menyediakan bekalan air melangkaui jangka masa panjang untuk keperluan penduduk dan industri di negeri ini,” katanya pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Sungai Mati, semalam.
Abdul Ghani berkata, sebuah syarikat jururunding sudah dilantik untuk menjalankan kajian terhadap kemungkinan membina sebuah loji rawatan air di Sungai Sedili Besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teo Yen Hua, berkata kerajaan negeri sedang menggubal enakmen baru, Enakmen Sumber Air Negeri bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di kawasan empangan, sekali gus mutu air di semua empangan negeri sentiasa berada pada tahap terbaik dan terkawal.

Katanya, akta berkenaan akan membolehkan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) melakukan penguatkuasaan sendiri di semua kawasan empangan di negeri ini yang berisiko.

“Enakmen baru ini apabila siap digubal akan memastikan empangan serta kawasan sumber air negeri sentiasa terjamin, termasuk daripada pencerobohan haram terutama membabitkan perladangan mahupun dijadikan tempat buangan sisa toksik berbahaya,” katanya. bharian

1.9 juta tan sisa raya di Jakarta

Sampah paling banyak dari selatan ibu negara
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 1.9 juta tan sampah dikutip di Jakarta pada petang sambutan Aidilfitri, jauh lebih rendah daripada kadar yang dijangka iaitu 2.8 juta, kata Agensi Pembersihan Jakarta. 

Ketua agensi itu, Eko Bharuna berkata 350 pekerja diupah untuk melakukan kerja pembersihan selama 12 jam yang berakhir pada petang Rabu, lapor akhbar Jakarta Post.

“Sampah dikumpulkan dihantar ke pusat pembuangan Bantar Gebang di Bekasi. Jumlah itu tidak termasuk sampah dipungut di kawasan tumpuan pelancong seperti Ancol, Zoo Ragunan, Taman Mini Indonesia Indah dan Tugu Negara,” kata Eko, semalam.
Beliau menambah, kawasan yang mengeluarkan hasil sisa buangan paling banyak adalah di selatan Jakarta iaitu 569.7 tan, diikuti wilayah timur Jakarta ( 380.6 tan) 

“Kawasan tengah Jakarta menghasilkan 362.7 tan, manakala utara Jakarta sebanyak 275.1 tan dan barat Jakarta pula 139.4 tan. 

“Kami juga menyediakan tukang cuci tambahan sebanyak 350 orang di setiap kawasan sebagai tambahan kepada 150 pekerja yang sedia ada di setiap kawasan. 

“Tukang cuci tambahan itu bertugas di 726 masjid dan padang yang menjadi tempat solat Aidilfitri berlangsung. Kami menyediakan 649 trak untuk memungut sampah,” kata Eko. – Agensi. bharian