Pages

Wednesday, August 3, 2011

Golden Churn ada DNA babi

JAKIM, JAIS sah mentega dari New Zealand tidak halal 
KUCHING: Kekeliruan mengenai status mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ terjawab semalam, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengesahkan ia tidak halal kerana mengandungi DNA babi.
Sebelum ini orang ramai keliru apabila JAKIM dalam surat bertarikh 30 Jun lalu kepada pembuat mentega itu mengesahkan mentega jenis itu tidak mengandungi DNA babi, sedangkan Majlis Islam Sarawak dalam kenyataan pada 28 Julai lalu, mengesahkan ia haram kerana mengandungi DNA babi.
Mesyuarat bagi membincangkan status mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ itu berlangsung di sini petang semalam dan disertai beberapa agensi berkaitan mengesahkan ia haram kerana mengandungi DNA babi. 
http://www.bharian.com.my

Kepala terlekat di pelepah sawit


KEPALA yang ditemui terlekat pada pelepah kelapa sawit di Ladang Kelapa Sawit Air Merah,semalam.
KEPALA yang ditemui terlekat pada pelepah kelapa sawit di Ladang Kelapa Sawit Air Merah,semalam.

Bau meloyakan disangka bangkai haiwan 

KULIM: Seorang pekerja ladang terkejut menemui kepala manusia terlekat pada pelepah kelapa sawit ketika dia sedang mengait buahnya di Ladang Air Merah berhampiran Taman Melur di sini, semalam.
S Nandakumaran, 31, berkata dia terhidu bau busuk yang meloyakan sebaik memasuki ladang itu, pagi semalam, namun menyangkakan bau itu daripada bangkai haiwan.
Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di sebatang pokok sawit setinggi kira-kira dua meter dan cuba mengait buahnya dia ternampak objek berwarna hitam dan berbau busuk. 

“Saya kemudian menghampiri objek itu dan terkejut apabila mendapati ia adalah kepala manusia yang hampir reput. 

“Di kawasan berhampiran, saya terserempak mayat manusia yang sudah reput tanpa kepala. Saya kemudian menghubungi Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Nandakumaran berkata, kali terakhir dia menjalankan kerja mengutip buah kelapa sawit di situ adalah pada 13 Julai lalu dan ketika itu tiada apa-apa berlaku di kawasan berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata berdasarkan maklumat pada kad pengenalan yang ditemui berhampiran mayat mangsa, polis mengenal pastinya sebagai lelaki bernama, A Benny Roy, 31, dari Klang, Selangor. 

“Polis turut menemui seutas tali pada kepala mangsa, manakala bahagian badannya yang lain terasing mungkin dibawa oleh binatang. Keadaan mayat itu hampir reput dan hanya tinggal kaki saja manakala kedua-dua belah tangannya dijumpai beberapa meter dari situ. 

“Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan buat masa ini kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. 

Ghuzlan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai berdekatan atau Balai Polis Kulim di talian 04-4906222. 
http://www.bharian.com.my

Israel gagal bunuh Nasrallah


pix_gal0
Letupan gegar mesyuarat Hizbullah

BEIRUT: Israel cuba membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dengan satu letupan bom di kawasan mewah Beirut, Jumaat lalu, tetapi usahanya menemui kegagalan, lapor akhbar Kuwait, Al Jareeda yang memetik sumber tidak dinamakan, semalam.
Sumber memberitahu akhbar berkenaan bahawa Israel bertindak selepas mendapat maklumat bahawa Nasrallah dijangka mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan pergerakan Syiah itu, termasuk dengan bekas tahanan negara Yahudi itu, Samir Kuntar.
“Tiada berita mengatakan Nasrallah cedera, tetapi beberapa anggota Hizbullah dilaporkan cedera dalam serangan itu,” kata sumber itu. 

Antara yang cedera termasuk ketua tentera Hizbullah, Mustafa Badr al-Din, yang dikehendaki oleh Tribunal Khas bagi Lubnan kerana terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri. 

Banyak khabar angin bertiup mengenai letupan itu, tetapi beberapa jam selepas kejadian Hizbullah mengeluarkan kenyataan memaklumkan kejadian disebabkan kebocoran gas dan tiada siapa yang cedera. 

Kenyataan itu diragui pemerhati kerana anggota Hizbullah kemudian mengadakan sekatan di sekitar kawasan terbabit. 
Selain itu, Nasrallah semalam memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai ‘mencuri’ sumber air wilayah Lubnan. 

Pemimpin Syiah itu juga mengumumkan bahawa sesiapa yang mengancam projek maritim masa depan Lubnan akan menghadapi padah. 

Dalam ucapan secara langsung di televisyen sebagai menyambut kemenangan ke-5 Perang Lubnan ke-2, Nasrallah juga berjanji membalas dendam selepas Israel cuba menggali sumber asli di kawasan yang didakwanya perairan Lubnan. 

Samir Kuntar adalah antara tahanan terkenal di penjara Israel. Dia dibebaskan oleh Israel sebagai tukaran kepada mayat askar Yahudi, Ehud Goldwasser dan Eldad Regev pada 2008. 

Kuntar terbabit dalam serangan di Nahariya yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dan tiga anggota keluarga Nahariya pada 1979. – Agensi 
http://www.bharian.com.my

Muhammad Ali tolak alasan Breivik


Muhammed Ali
Muhammed Ali

OSLO: Legenda tinju dunia, Muhammed Ali, menolak alasan penyerang Norway bahawa perbuatannya mengganas sebagai tindakan menentang ‘pencerobohan Islam’ di Eropah.

Dalam surat terbuka disiarkan semalam, ketika menyuarakan kecewa dengan tindakan Anders Behring Breivik, 32, Ali menolak kebimbangan pelampau Kristian itu yang mendakwa kewujudan pelbagai budaya adalah punca tragedi.
“Saya kecewa, bukan hanya kerana kematian sia-sia ramai mangsa tidak bersalah, termasuk orang muda, tetapi juga disebabkan dakwaan mengenai punca tindakan kejam ini dilakukan.
“Kebimbangan terhadap pelbagai budaya menunjukkan kurangnya persefahaman yang wujud dalam masyarakat pelbagai etnik, keturunan dan agama,” katanya dalam surat yang disiarkan oleh akhbar VG. – AFP 
http://www.bharian.com.my

Pekerja culas puasa dipecat

Datuk Bandar Bengkulu beri amaran 

BENGKULU: Kakitangan awam yang tidak berpuasa ketika Ramadan akan dipecat, kata Datuk Bandar Bengkulu, Ahmad Kanedi pada hari pertama bulan suci itu, kelmarin.

Beliau juga menawarkan 1 juta rupiah (RM348.97) kepada penduduk yang membantu menangkap pekerja makan di khalayak ramai.
“Kakitangan awam yang didapati makan tengah hari di tempat awam seperti restoran ketika bulan puasa tahun ini akan berdepan tindakan termasuk dipecat serta merta daripada tugas,” kata Ahmed Kanedi yang dipetik Antara. 

Ahmad juga menggesa penduduk aktif membantu pentadbiran Bengkulu menguatkuasakan disiplin ketika bulan puasa. 

“Saya hadiahkan 1 juta rupiah kepada sesiapa yang dapat menangkap penjawat awam kerana makan di khalayak ramai seperti restoran, pasar dan terminal bas,” katanya. 

Sementara itu, di Jakarta, pentadbir bandar ini akan cuba mengosongkan laluan pada petang bagi menyediakan persekitaran lebih aman ketika solat Tarawih. 
Bersama Jabatan Sosial dan Agensi Arahan Umum (Satpol PP), pentadbiran merancang untuk meningkatkan kawalan dengan menghapuskan kehadiran pengemis dan budak tidak berumah daripada mengganggu jemaah yang keluar selepas menunaikan solat asar sepanjang bulan puasa. 

“Kami akan bekerja dan mengambil tindakan, daripada kumpulan paling kecil sehingga yang besar,” kata jurucakap pentadbiran Cucu Ahmad Kurniawan. “Tiada seorang pun akan terlepas.” 

Jurucakap Satpol PP, Darwis berkata operasi itu bagi memudahkan penduduk Jakarta bersolat. 

“Kita tahu setiap tahun, ramai pengemis mengganggu ketika solat. Operasi pada tahun sebelumnya mengurangkan jumlah mereka. 

“Kita mahu mengurangkan lebih banyak lagi,” kata Darwis. – Agensi
http://www.bharian.com.my

Ramadan berdarah di Syria, Afghanistan


KOMBINASI gambar menunjukkan beberapa aksi yang dituduh sebagai pensabotaj atau anggota kumpulan bersenjata menentang kerajaan Syria.
KOMBINASI gambar menunjukkan beberapa aksi yang dituduh sebagai pensabotaj atau anggota kumpulan bersenjata menentang kerajaan Syria.

Hama diserang, serangan bunuh diri di Kunduz 

BEIRUT: Hari pertama Ramadan menyaksikan pertumpahan darah berlarutan di Syria dengan askar terus menyerang kota Hama selepas tunjuk perasaan antikerajaan berterusan manakala tiga penyerang bunuh diri menyerang sebuah rumah tetamu yang biasa didiami warga asing pada hari kedua berpuasa di Kunduz, Afghanistan.
Di Hama, penunjuk perasaan anti-kerajaan mengadakan sekatan dan mengumpul kayu dan batu untuk mempertahankan diri kelmarin ketika rejim pemerintah cuba menghapuskan pemberontakan yang berlangsung lima bulan.
Penunjuk perasaan berazam tidak menjadi mangsa pemerintah seperti pada 1982 apabila ribuan penduduk dibunuh di Hama selepas bapa Presiden Bashar Assad mengarahkan kekerasan dilancarkan. 

Menjelang malam, penduduk berkata kereta kebal tentera terus melepaskan bedilan manakala tentera melepaskan tembakan mesingan ke arah penduduk yang menghala ke masjid untuk solat Tarawih. 

Penduduk baru saja berbuka puasa dan serangan itu jelas menyasarkan untuk menghalang mereka daripada berkumpul dalam masjid, bimbang mereka akan mencetuskan bantahan anti-kerajaan besar-besaran. 

Ia adalah hari kedua serangan ke atas Hama dan bandar lain. Dalam serbuan terdahulu, empat orang terbunuh di Hama dan tiga lagi dibunuh di bahagian lain negara itu, kata penduduk dan kumpulan hak asasi. 
Tindakan keras terbaru jelas menyasarkan penunjuk perasaan agar tidak bertambah ketika Ramadan. 

Keganasan Ahad lalu menyebabkan 74 maut di seluruh negara, 55 daripadanya di Hama dan kejiranan berhampiran manakala dalam kekerasan terbaru dipercayai 24 lagi terbunuh. 

Serangan itu menyebabkan Amerika Syarikat mengutuk pentadbiran Bashar manakala kerajaan Eropah melanjutkan sekatannya ke atas Syria dengan membekukan aset dan mengehadkan pergerakan lima lagi pegawai kerajaan dan tentera. 

Dalam serangan di Kunduz, seorang penyerang meletupkan bom kereta di pintu masuk rumah tetamu itu manakala dua lagi penyerang menyerbu sebuah lagi bangunan dan terbabit dalam tembak menembak dengan askar kerajaan. 

Pertempuran meletus beberapa jam sebelum pemberontak meletupkan beberapa butir lagi bom ketika bertempur dengan anggota kerajaan menyebabkan empat pengawal keselamatan yang bekerja dengan sebuah syarikat Jerman maut, kata penyiasat polis, Abdul Rahman. – Agensi 
http://www.bharian.com.my

Banyak barang daripada pembeli di Gaza

BUDAK ini menjaga gerai yang menawarkan pelbagai lampu untuk sambutan Ramadan di Gaza.
BUDAK ini menjaga gerai yang menawarkan pelbagai lampu untuk sambutan Ramadan di Gaza.



SEMENANJUNG GAZA: Kebanyakan pasar di Semenanjung Gaza dipenuhi makanan berikutan sambutan Ramadan yang bermula Isnin, tetapi ramai penduduk tidak mampu mendapatkan bekalan itu berikutan kakitangan kerajaan belum menerima gaji.

Barangan seperti rempah ratus, lampu, manisan dan keperluan lain dipamerkan di kebanyakan kedai.
Antaranya kedai Abu Mohammad Al Shourafa yang dipenuhi pelbagai jeruk, minyak, keju, buah-buahan kering, kurma dan manisan.
“Biasanya, saya sudah jual kebanyakan barangan dan meminta pembekal menghantarnya lagi, tetapi buat masa ini, saya belum jual apa-apa,” katanya.

Ahmad Abu Ramadan, kakitangan dengan pihak berkuasa Palestin berkata: “Saya hanya menerima separuh gaji Jun hampir menyebabkan saya kini hampir tidak mempunyai apa-apa. – Agensi
http://www.bharian.com.my

Kebuluran tak halang ibadah


PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.
PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.


DADAAB (Kenya): Ketika umat Islam seluruh dunia meraikan kedatangan Ramadan, Faduma Aden, terpaksa menahan lapar sepanjang hari kerana tidak cukup makanan untuk ber-buka. 

Ibu kepada tiga anak dari Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran itu berkata, beliau tetap berpuasa.
Hidangan mewah untuk buka puasa tidak pernah difikirkan kebanyakan penduduk Somalia yang berhadapan dengan kebuluran paling teruk dalam sejarah. Biarpun Islam mengecualikan puasa kepada mereka yang sakit, kebanyakan penduduk Somalia tetap melakukannya.

Seperti yang lain, Mohamed Mohamud Abdulle malu kerana tiada makanan ‘bagi memenuhi kepuasan’ ketika berbuka selepas berpuasa sepanjang hari. 

“Bagaimana saya boleh berpuasa jika tidak ada apa-apa untuk berbuka? Semua ahli keluarga kelaparan. Kelaparan memaksa saya ke sini,” kata Abdulle antara puluhan ribu yang berjalan ke kem pelarian di negara jiran, Kenya. 

Penduduk Somalia sudah biasa ‘berpuasa’ berminggu malah berbulan lamanya kerana kekurangan makanan. “Saya tidak boleh berpuasa kerana tidak mempunyai makanan untuk berbuka dan sahur,” kata Nur Ahmed, bapa kepada enam anak di kem yang menempatkan pelarian Somalia di Mogadishu. Isterinya meninggal tahun lalu ketika bersalin. 
Sheik Ali Sheik Hussein, ketua masjid di Mogadishu bimbang apabila ramai penduduk tidak dapat berpuasa kerana terlalu lemah akibat kelaparan dan tiada makanan untuk berbuka. 

“Kami meminta umat Islam seluruh dunia menderma bagi membantu mereka yang kebuluran,” katanya. – AP 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kebulurantakhalangibadah/Article

Kucing miliki tompok seperti misai Hitler



ANAK kucing yang memiliki tompok hitam di bawah hidung yang kelihatan seperti misai Adolf Hitler.


GODMANCHESTER, Britain - Seekor anak kucing diberi nama jolokan Kitler kerana haiwan itu mempunyai tompok hitam di bawah hidung yang menyebabkan ia kelihatan mirip misai bekas pemimpin Nazi dari Jerman, Adolf Hitler.
Anak kucing itu ditinggalkan di tepi sebatang jalan raya dan kini dijaga oleh sebuah pusat perlindungan haiwan di sini.
Ratusan pengunjung yang melawat pusat perlindungan haiwan itu enggan mengambil anak kucing tersebut untuk dipelihara kerana tompokan seperti misai tersebut.
Hitler memang terkenal kerana kekejamannya mengetuai pembunuhan kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Nenek 82 tahun buat terjunan dari pesawat


JUDY WADE yang berusia 82 tahun terjun bersama seorang cucunya, Joe Kemp di New York pada Ahad lalu.


NEW YORK - Seorang nenek berusia 82 tahun, Judy Wade meraikan ulang tahun kelahirannya dengan terjun dari sebuah pesawat di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia terjun bersama seorang cucunya dari sebuah pesawat pada ketinggian 4,267 meter dengan kelajuan 193 kilometer sejam.
Nenek itu terjun bersama dengan cucunya, Joe Kemp yang merupakan wartawan akhbar New York Daily News pada Ahad lalu di sini.
Menurut Kemp, neneknya itu menyuarakan hasrat untuk membuat terjunan dari udara buat kali pertama bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-82.
- Agensi

Remaja Orang Asli mengaku tertembak adik



TERTUDUH remaja Orang Asli bawah umur yang tertembak mati adik sendiri didakwa di Mahkamah Majistret Maran, Pahang semalam.


MARAN - Seorang remaja Orang Asli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat dan memiliki dua laras senapang buatan sendiri.
Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah apabila tertembak adik kandungnya yang berusia 10 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.
Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul di sini pada 26 Julai lalu di antara pukul 7 petang hingga 8.15 malam.
Mengikut pertuduhan, mangsa dipercayai terkena tembakan secara tidak sengaja semasa tertuduh membersihkan senjata yang digunakan selepas memburu babi.
Senjata tersebut dipercayai meletup sendiri dan terkena pada tangan serta perut mangsa menyebabkan kanak-kanak perempuan itu maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata (Akta 206) kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat sama.
Jikas sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Noor Zaihan menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak remaja itu.
Tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli terbunuh apabila senjata buatan sendiri milik abangnya meletup.

Duit raya hangus terbakar


MUSTAFA memeriksa rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Atas Tol di Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Hajat seorang bapa untuk memberikan wang saguhati persaraannya kepada anak-anaknya sempena kedatangan Aidilfitri tidak kesampaian apabila rumah yang dihuni hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Atas Tol dekat sini semalam.
Selain memusnahkan harta benda, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan wang simpanan sebanyak RM2,000 milik mangsa, Mustafa Abu Bakar, 56, hangus menjadi debu.
Beliau yang merupakan bekas kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, wang itu sebelum ini telah diniatkan untuk diagihkan kepada enam anaknya yang berusia 20-an dan 30-an sempena persaraannya dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Duit itu mungkin sedikit, tetapi itu adalah tanda terima kasih saya kepada anak-anak yang banyak memberi dorongan selama saya bekerja sebagai pemandu di MBKT.
“Selain itu, duit itu juga sebagai duit raya kepada mereka sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mustafa lagi, isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, yang tidak berada di rumah ketika kejadian turut kehilangan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam bilik.
“Duit itu adalah duit simpanan peribadi isteri saya dan tidak sangka pula selepas menyimpan begitu lama, duit itu hangus begitu sahaja,” ujarnya.
Menceritakan mengenai kejadian, Mustafa berkata, dia ketika itu berada di beranda rumah sebelum terdengar bunyi meletup dan apabila diperiksa api sudah marak di bahagian dapur.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim berkata, seramai 16 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.37 pagi.
Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian dan punca kebakaran masih disiasat.

Pemenang pertandingan penggodam ditawar kerja



LAS VEGAS, Amerika Syarikat (AS) - Agensi Keselamatan Nasional (NSA) mempelawa penggodam-penggodam komputer dari seluruh dunia menyertai pertandingan untuk menyelesaikan masalah komputer paling sukar di dunia.
Pertandingan itu merupakan acara sampingan konvensyen penggodam sedunia pada minggu ini yang bertempat di sini dan dikenali sebagai Defcon.
"Hari ini, kami memerlukan pahlawan siber dan bukannya saintis roket," kata pengarah teknikal NSA, Richard George.
Setiap penggodam yang ingin menyertai pertandingan itu perlu membayar yuran penyertaan sebanyak AS$150 (RM443) secara tunai dengan peserta tidak perlu mendedahkan identiti mereka.
Pertandingan tersebut dijangka menarik sebanyak 10,000 peserta. Para pemenang berpeluang untuk berkerja dengan NSA.
Penggodam komputer yang bilangannya amat kecil di AS, amat diperlukan Washington dalam usaha membanteras jenayah siber yang mengancam keselamatan negara.
NSA yang kini mengupah sekitar 1,500 penggodam pada tahun ini akan menggaji sejumlah 1,500 penggodam lagi dengan kebanyakan mereka adalah pakar siber pada tahun depan.
NSA yang merupakan agensi keselamatan AS melakukan aktiviti pengintipan elektronik terhadap musuh-musuh negara dan melindungi rangkaian komputer AS daripada serangan siber. - Reuters

15 motosikal, 3 kereta dibakar




SEBAHAGIAN motosikal yang hangus di tempat letak kenderaan di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Ketenangan kira-kira 300 umat Islam bersahur pada hari kedua Ramadan bertukar kecoh apabila tiga buah kereta dan 15 motosikal milik penduduk di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras di sini semalam tiba-tiba terbakar angkara perbuatan khianat.
Kejadian pada pukul 4 pagi di tempat letak kenderaan di flat tersebut memusnahkan semua 15 buah motosikal dan masing-masing sebuah Proton Savvy, Perodua Kancil dan Proton Pesona.
Proton Savvy dan 15 buah motosikal hangus seratus peratus.
Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan lebih RM50,000.
Pemilik sebuah motosikal, Intan Tajuddin, 27, berkata, dia mengetahui mengenai kebakaran melibatkan skuter Yamaha Ego miliknya ketika bangun bersahur pukul 5 pagi.
“Sebaik selesai bersahur saya dikejutkan dengan panggilan seorang jiran yang memaklumkan skuter saya terbakar,” kata Intan.

Kajian dapati pengguna Internet Explorer miliki IQ yang rendah



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Satu kajian baharu mendapati para pengguna perisian Internet Explorer (IE) adalah bodoh kerana mereka memiliki purata tahap kecerdasan intelektual (IQ) cuma 80, lapor sebuah akhbar semalam.
Internet Explorer (IE) yang mula digunakan pada awal 1990-an merupakan sistem operasi komputer popular ciptaan firma Microsoft yang diterajui bilionair, Bill Gates.
Kajian tersebut dilakukan oleh firma perunding Kanada, AptiQuant yang menguji 101,326 orang berusia 16 tahun dan ke atas dari pelbagai negara termasuk AS, Kanada, Britain, Australia serta New Zealand.
Mereka diminta mengambil ujian IQ manakala sistem operasi dan lokasi komputer mereka direkodkan menerusi alamat protokol Internet (IP).
Kajian mendapati mereka yang menggunakan IE rata-ratanya hanya memiliki IQ cuma sekadar 80.
Menurut skala IQ, kepintaran manusia normal ialah 100 manakala angka 80 dan ke bawah menunjukkan seseorang itu mengalami terencat akal.
Kajian sama mendapati pengguna sistem operasi Firefox atau Google Chrome memiliki IQ melepasi tahap normal iaitu sekitar 110.
Pengguna sistem operasi Opera atau Camino dikategorikan sebagai paling bijak dengan tahap IQ sekitar 120.
Kajian tersebut merumuskan bahawa IE masih popular dalam kalangan jutaan pengguna kerana ia mudah dan seseorang itu tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk menggunankannya.
- Agensi

Ibu lahirkan anak saman doktor




HALINA JANE GILLETT (kiri) dan ibunya.


NEWCASTLE - Seorang ibu, Halina Jane Gillett menyaman seorang doktor terkenal, Profesor Jeffrey Robinson (gambar kecil) atas dakwaan melakukan kecuaian kerana dia tidak melakukan pembedahan semasa dia melahirkan anak, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Halina, doktor itu tidak mengikut hasrat ibunya supaya satu pembedahan dilakukan semasa dia melahirkan anak lebih 25 tahun lalu di sebuah hospital di sini pada Oktober 1985.
Mahkamah diberitahu kelmarin bahawa lengan anak keempat Halina, Marilyn Benson-Inglis lumpuh disebabkan oleh kelahiran dengan menggunakan alat forsep.
Saman itu dikemukakan di sebuah mahkamah tinggi di sini. - Agensi

50 tinggal dalam hutan di New Jersey




DERETAN khemah yang dihuni penganggur di dalam sebuah hutan kerana tidak mampu membayar ansuran rumah di bandar.


MANHATTAN - - Puluhan keluarga yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi di Amerika Syarikat (AS) terpaksa tinggal di khemah yang mereka dirikan di sebuah hutan di Lakewood, New Jersey, lapor sebuah akhbar semalam.
Senario tersebut mengingatkan kembali pada era kemelesetan ekonomi dahsyat yang melanda AS pada tahun 1930-an dikenali sebagai Great Depression.
Setakat ini, lebih 50 orang telah menyertai penempatan setinggan khemah itu yang terletak sekitar satu jam perjalanan dari Manhattan.
Hampir semua penduduk setinggan itu hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar ansuran rumah mereka akibat krisis kewangan yang kini menghimpit AS.
"Saya dan isteri saya telah setahun tinggal di khemah di sini," kata seorang bekas pekerja hotel berusia 43 tahun, Burt Haut.
"Kami dihimpit masalah kewangan yang teruk sejak AS dilanda krisis hutang tiga tahun lalu," tambahnya.
Situasi menyedihkan itu berlaku ketika anggota-anggota Kongres di Washington mengundi untuk meluluskan usul meningkatkan had hutang negara itu.
AS diramal akan jatuh muflis kerana tidak dapat membayar hutangnya jika had hutang itu tidak dinaikkan. - Agensi

Bekas model Playboy hidup disara kerajaan



TRACY HARRISON


WILLENHALL, Britain - Seorang bekas model majalah bogel Playboy yang pernah hidup mewah di Beverly Hills, Amerika Syarikat (AS) kini terpaksa tinggal di sebuah rumah kerajaan dan menerima elaun pengangguran £50 (RM241.28) seminggu untuk menyara kehidupannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Model seksi berkenaan, Tracy Harrison pernah menerima bayaran £40,000 (RM193,027) untuk satu sesi foto dan hidup dalam kemewahan sejak dia berhijrah ke Los Angeles ketika berusia 21 tahun.
Harrison, 46, pernah tinggal di sebuah kapal layar mewah di Monaco selama 15 tahun bersama teman lelakinya selepas dia meninggalkan California, AS.
Namun, wanita itu kini menganggur dan tinggal di rumah kerajaan tempat dia dibesarkan di sini.
Wanita itu memberitahu, dia telah menjual semua barang kemasnya untuk menyara kehidupannya sejak pulang ke Britain beberapa tahun lalu.
Menurutnya, dia gagal memperoleh pekerjaan sejak empat tahun lalu.
"Sebaik sahaja pihak majikan mengetahui tentang kisah silam saya, mereka tidak mahu mengupah saya," katanya. - Agensi

Ibu lahir kembar lapan akan bertinju





SPRINGFIELD, Massachusetts - Penganjur Persekutuan Tinju Selebriti, Damon Feldman mengumumkan kelmarin bahawa ibu yang melahirkan kembar lapan, Nadya Suleman (gambar) akan menyertai satu pertarungan di sini.
Dia mendapat kritikan dan diberi gelaran sebagai Octomom pada tahun 2009 apabila melahirkan kembar lapan di sebuah hospital di California.
Wanita itu yang merupakan seorang ibu tunggal yang menganggur memiliki enam lagi anak.
Feldman berkata, dia mencari seorang wanita yang mahu mendapatkan cincin dan berlawan dengan ibu terkenal itu.
Peserta wanita akan memakai sarung tangan besar dan pelindung kepala semasa bertinju. - AP