Pages

Saturday, April 16, 2011

Lawan kera gigit muka bayi




SAKIT...Abd Razak bersama anaknya, Siti Hajar yang cedera digigit kera, semalam.
SAKIT...Abd Razak bersama anaknya, Siti Hajar yang cedera digigit kera, semalam.





DIRAWAT...Rokiah dirawat di Hospital Melaka.
DIRAWAT...Rokiah dirawat di Hospital Melaka.




MELAKA: “Saya cekak tengkuk kera itu sekuat hati, baru haiwan itu lepaskan gigitan terhadap bayi yang saya jaga,” kata Rokiah Abd Rahman, 59, menceritakan detik cemas menyelamatkan bayi berusia setahun tiga bulan yang diserang seekor kera, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, dekat sini, tindakan berani warga emas itu berjaya menghalang haiwan liar berkenaan daripada terus menggigit dan mencakar muka Siti Hajar Abd Razak.

Bagaimanapun, Sti Hajar cedera agak serius dan menerima hampir 30 jahitan di mukanya akibat digigit haiwan liar itu.

Rokiah berkata, ketika kejadian dia baru saja menidurkan Siti Hajar di kerusi buaian di bahagian tengah rumahnya selepas menutup semua tingkap dan pintu.

“Ketika menidurkan Siti Hajar, saya terlelap dengan berbaring di sisinya sambil tangan kanan diletakkan di badannya.


“Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, saya tersentak apabila mendengar Siti Hajar menangis dengan kuat dan pada masa sama, saya berasa teramat sakit di tangan kanan.

“Apabila membuka mata, saya terkejut apabila mendapati seekor kera menggigit muka Siti Hajar.

“Melihatkan keadaan itu, saya menarik badan kera terbabit supaya dia melepaskan gigitan di muka Siti Hajar, tetapi ia enggan melepaskannya.

“Saya memberanikan diri mencekak tengkuk haiwan liar itu, baru ia melepaskan gigitan,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurut Rokiah, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat sangat dengan tangan kanan berlumuran darah kerana digigit kera itu, dia terus menarik kera terbabit.


“Ketika itu, saya melihat muka Siti Hajar berlumuran darah dan dia menangis akibat kesakitan. Anak jiran saya yang mendengar bunyi bising dalam rumah masuk untuk memberi bantuan.


“Dia yang terkejut melihat kami berlumuran darah mencengkam kera itu sebelum memijaknya dan mencampaknya ke luar,” katanya.


Menurutnya, dengan bantuan jiran, dia menghantar Siti Hajar ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum kedua-dua mereka dirujuk di Hospital Melaka.


“Saya jarang melihat kumpulan kera berada di kawasan kampung ini, tambahan pula rumah saya terletak di laluan sibuk dan hampir dengan kawasan kilang.


“Mungkin kera terbabit masuk ke rumah saya menerusi bahagian bumbung yang tidak mempunyai siling,” katanya yang menjaga Siti Hajar sejak setahun lalu.


Dalam pada itu, Rokiah juga amat bersyukur kerana seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijaganya dan tidur di dalam bilik tidak diserang haiwan terbabit.


Ibu tunggal kepada tiga anak itu cedera pada tangan kanan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Roslan Ahmad melawat Rokiah dan Siti Hajar, semalam.


Sementara itu, ibu Siti Hajar, Hazilah Mohamad, 33, berkata ketika kejadian dia bertugas di Politeknik Merlimau, apabila dihubungi anak Rokiah yang memaklumkan kejadian itu.


Katanya, dia menggigil apabila dimaklumkan berita itu kerana menyangka anaknya demam teruk.


Dia menghubungi suaminya, Abd Razak Bakar, 33, dan mereka bergegas ke Poliklinik Merlimau.


“Anak saya cedera di dahi, hidung, bibir, gusi dan tangan kiri, namun saya dan suami bersyukur kerana Siti Hajar selamat menjalani pembedahan selama dua jam bermula jam 10.30 malam tadi (kelmarin),” katanya.


Roslan berkata, dia akan meminta pihak Jabatan Perhilitan negeri segera melakukan pemantauan di kawasan kampung berkenaan bagi menangkap kera itu.myMetro | Lawan kera gigit muka bayi

'Bermadu' anak sendiri

KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.
Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.


“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.


Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.myMetro | 'Bermadu' anak sendiri

Letupan lepas solat Maghrib


MENDAP...lubang sedalam kira-kira dua meter terbentuk dalam kejadian tanah mendap, kelmarin.
MENDAP...lubang sedalam kira-kira dua meter terbentuk dalam kejadian tanah mendap, kelmarin.


KUALA LUMPUR: “Selepas selesai menunaikan solat Maghrib, saya terdengar jeritan jiran mengatakan penutup saluran paip bawah tanah berhampiran rumah saya sudah meletup.
“Dalam keadaan hujan masih belum reda saya meninjau keadaan di luar dan mendapati air salur paip yang pecah itu sudah melimpah,” kata Sharul Ahmad, 31, mangsa kejadian tanah mendap di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru di sini, malam kelmarin.

Sharul berkata, semuanya bermula apabila hujan lebat kira-kira jam 7 malam yang mengakibatkan kawasan berhampiran rumahnya dinaiki air hingga membentuk satu lubang besar.

“Kira-kira dua jam kemudian, banjir mulai reda tetapi mendapan tanah yang berlaku semakin besar.

“Kejadian mendapan itu adalah yang pertama berlaku sepanjang 20 tahun saya dan keluarga menetap di sini dan berharap ia akan menjadi kejadian terakhir kerana bimbang kejadian seterusnya bakal meragut nyawa,” katanya.


Sharul berkata, dia sekeluarga sempat menyelamatkan barangan berharga dan bersyukur terselamat dalam kejadian itu.

Difahamkan, mendapan tanah berkenaan berpunca dari saluran air bawah tanah yang menyalurkan air ke Sungai Bonus yang sudah usang dan dikatakan pecah kerana tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak akibat hujan lebat.

Aliran air laju turut membawa pasir bersama mengakibatkan jalan raya berhampiran mendap dan menghasilkan dua lubang besar sedalam kira-kira dua meter.

Seorang penduduk, Abdul Ghani Muhamad Nor, berkata, kejadian itu membabitkan 36 keluarga yang tinggal di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.


“Buat sementara waktu, semua mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Jalan Hamzah sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, selewat-lewatnya esok dan dijangka ditempatkan selama dua minggu sementara kerja penyelenggaraan dijalankan. “Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kemudahan pengangkutan seperti lori bagi memudahkan penduduk memindahkan barangan mereka ke PPR Air Panas,” katanya.


Selain DBKL, agensi lain yang memberi bantuan ketika kejadian semalam adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).myMetro | Letupan lepas solat Maghrib

Isteri lari ikut Mat Afrika

JOHOR BAHRU: Bukan sekadar memikat dan melarikan isteri seorang pemandu lori yang hamil tiga bulan, seorang pelajar ‘Awang Hitam’ didakwa berlagak sebagai suami wanita berkenaan sejak setahun lalu dan tinggal sebumbung meski pun mereka berdua tiada sebarang ikatan sah.
Lebih membimbangkan, penuntut Afrika di kolej swasta di Selangor dipercayai bukan Muslim dan sekiranya mereka bersekedudukan ia dikhuatiri menyimpang akidah wanita dan bayi yang dijangka lahir Disember lalu.

Tidak cukup dengan kejayaan melarikan wanita itu, Awang Hitam berkenaan dengan berani menghantar SMS kepada suami wanita itu mengugut mahu mengambil tindakan sekiranya masih mengganggu keluarganya.

Selain itu, Awang Hitam terbabit mendakwa suami wanita itu pernah merogol dan memukul wanita berkenaan, sebelum mengakui wanita itu kini isterinya.

Mangsa, Zakaria Hitam, 35, berkata, dia tidak sangka mahligai dibina sejak enam tahun lalu lenyap selepas isterinya, Jasnianih Japar, 31, berkenalan dengan lelaki Afrika berusia 20-an yang dipercayai menerusi rakan sekerjanya, awal tahun lalu.


“Hampir setiap hari saya melihat isteri berbalas SMS dan berbual di telefon tetapi tidak pernah menyangka ia perkara serius hingga menjadi punca kehancuran rumah tangga saya.

“Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas menghidu perbuatannya menerusi bil telefon yang mencecah ratusan ringgit sebulan.

“Saya pelik dengan perubahan isteri kerana mudah terpaut dengan kata romantis dan bentuk fizikal lelaki itu yang juga pelajar asing sebuah intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor.

“Selepas bersemuka, saya memberi peluang kedua dan memaafkan perbuatannya demi anak pertama di dalam kandungan yang berusia tiga bulan ketika itu,” katanya.

Zakaria berkata, isterinya hanya berubah buat seketika sebelum menjalin semula hubungan dengan lelaki berkenaan dan nekad menghilangkan diri dengan membawa pakaian dari rumah mereka di Taman Tampoi Utama, 20 Mac tahun lalu.


Selain itu, katanya, isterinya yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta di Kempas juga memohon cuti selama sebulan daripada majikan dengan alasan mahu berehat.


“Hati saya tersinggung dengan perbuatan isteri yang sanggup memburukkan nama saya di kalangan rakan sekerjanya sebelum menghilangkan diri.


“Selepas setahun saya berusaha mencari isteri, pada 24 Mac lalu saya menerima SMS daripada lelaki Afrika berkenaan yang mengakui dirinya sebagai Kenneth serta mengugut mahu membuat laporan polis dan mendakwa saya mengganggu isteri dan pernah merogolnya,” katanya.


Menurutnya, selain itu lelaki berkenaan menghantar 20 SMS termasuk dakwaan menyatakan dia berkahwin dengan wanita itu dan mereka kini hidup berkeluarga.


Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat tiga laporan polis mengenai perbuatan lelaki Afrika berkenaan yang memporak-perandakan rumah tangganya di Balai Polis Skudai pada 28 Mac lalu (Isnin lalu).


“Dia datang ke sini menggunakan pas pelajar sepatutnya menuntut ilmu dan bukannya mengganggu rumah tangga orang lain. Selain polis, saya membuat laporan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ), namun hingga kini masih tiada sebarang maklumat diberikan,” katanya.


“Selain isteri, saya tidak tahu nasib zuriat sama ada isteri selamat melahirkannya kerana anak sepatutnya dilahirkan Disember tahun lalu.


“Saya bukan saja bimbang isteri dipergunakan untuk kesenangan lelaki Afrika berkenaan, malah anak dan isteri mungkin terjebak dengan ajaran bukan Islam.


“Berikutan itu, saya memohon dan merayu pihak berkuasa menyiasat perkara ini sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap anak mahupun isteri,” katanya yang datang ke Pejabat Harian Metro, semalam.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Jasnianih diminta menghubungi talian 019-7400116.myMetro | Isteri lari ikut Mat Afrika

Hosni mungkin digantung

KAHERAH: Hosni Mubarak berdepan dengan hukuman gantung atau penjara jika disabitkan kesalahan mengarahkan pembunuhan rakyat Mesir yang bangkit menolak pemerintahannya, lapor media tempatan semalam.
Memetik Ketua Mahkamah Rayuan, Zakaria Shalash, akhbar al-Ahram melaporkan, Hosni boleh dikenakan hukuman itu jika didapati bersalah dalam perbicaraan dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya setahun.

“Keterangan bekas Menteri Dalam Negeri Meris, Habib al-Adly, menjadikan Hosni sekutunya dalam keputusan mengarahkan penembakan penunjuk perasaan.

“Jika bersalah, Hosni dan Habib boleh dikenakan hukuman maksimum gantung sampai mati,” katanya.

Mubarak dan dua anaknya, Alaa dan Gamal, kini ditahan reman 15 hari selepas pendakwa melancarkan siasatan berhubung keganasan kerajaan ke atas penunjuk perasaan pada Februari lalu.


Panel antirasuah pula akan mula menyoal mereka atas dakwaan melakukan penyelewengan.

Habib pula kini dibicarakan atas tuduhan mengarahkan pembunuhan penyokong reformasi.

Menurut Habib, dia mendapat arahan daripada Hosni supaya menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan terbabit. Kata Zakaria, Hosni mungkin dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika tiada bukti mensabitkannya dengan kematian penunjuk perasaan.

“Hosni juga boleh dipenjara di antara tiga hingga lima tahun jika terbukti mencacatkan penentangnya,” katanya. - AFPmyMetro | Hosni mungkin digantung

Berat Balagi turun 81 kilogram


MALINDA RAZAK BALAGI masih dirawat di wad HPP, George Town semalam meskipun telah berjaya menurunkan berat badan sebanyat 81 kilogram.

GEORGE TOWN – Selepas kira-kira enam bulan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), keadaan lelaki obes, M. Balagi, 44, kini semakin baik apabila berat badannya yang dahulu mencecah 300 kilogram (kg) kini turun kepada 219 kg.
Perubahan itu hasil diet Balagi yang mengamalkan minuman susu rendah lemak sahaja selain menjalani latihan fisioterapi setiap hari di bawah bimbingan pakar-pakar di HPP.
Sebelum ini berat Balagi berjaya diturunkan kepada 280 kg selepas 20 hari di tempatkan di HPP dan turun lagi tiga bulan kemudian kepada 240kg sebelum mencecah 230 kg bulan lalu.
Balagi yang kelihatan semakin sihat bagaimanapun masih dirawat di wad HPP kerana masih tidak mampu berdiri akibat kesan kecederaan di bahagian pinggang semasa jatuh di dalam bilik air di rumahnya pada 26 Oktober tahun lalu.
“Menurut doktor, saya masih perlu tinggal di sini untuk satu tempoh yang belum dapat dipastikan bagi memastikan saya betul-betul pulih dan boleh mengimbangkan badan supaya dapat berjalan seperti dahulu.
“Memang bosan sangat kerana sudah lama terlantar di sini, namun saya gembira dengan perubahan berat badan serta cukup berterima kasih kepada doktor, jururawat serta jurulatih fisioterapi di sini,” ujarnya ketika ditemui.
Kosmo! Online - Negara

Cukai mewah di Taiwan


GAMBAR bertarikh 8 April lalu menunjukkan sebuah kawasan pembinaan di Hsintien, Taipei, Taiwan.


TAIPEI - Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou mengalu-alukan kejayaan rang undang-undang 'cukai mewah' yang diluluskan Parlimen semalam yang dilaksanakan dalam usaha untuk mengawal harga hartanah.
"Buat masa sekarang, para spekulator membuat keuntungan manakala pembeli-pembeli rumah mengeluh, kami berharap langkah ini akan memastikan keadilan," kata Ying-jeou ketika beliau bertemu dengan sekumpulan pemimpin perniagaan.
Beliau membuat komen itu selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang yang membenarkan kenaikan cukai sehingga 15 peratus ke atas rumah yang tidak dihuni oleh pemiliknya.
Rang undang-undang itu yang turut melibatkan cukai sebanyak 10 peratus ke atas pelbagai jenis barang mewah seperti jet peribadi, kapal layar, kulit haiwan yang berbulu dan keahlian kelab golf.
Ia akan dikuatkuasakan pada awal Jun ini.
Kementerian Kewangan menganggarkan undang-undang itu akan membawa hasil cukai sebanyak AS$500 juta (RM 1.5 bilion).
Langkah ini diambil ekoran harga perumahan di Taiwan meningkat, menjadikan Taipei salah sebuah bandar raya yang termahal di Asia selain menyebabkan tekanan ekonomi disebabkan terdapat jurang perbezaan yang luas di antara golongan kaya dan miskin. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

Kereta Mercedes remuk teruk rempuh garaj


KERETA Mercedes milik Donald Lambdin rosak teruk selepas ia merempuh garaj di rumahnya di Plymouth, England baru-baru ini.


PLYMOUTH, England - Seorang warga emas berumur 90 tahun di sini tidak mengalami sebarang kecederaan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di garaj meletak kereta di rumahnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki itu, Donald Lambdin yang mengundurkan kereta jenis Mercedes C280 tiba-tiba tertekan pedal minyak dan keretanya itu hilang kawalan dan mengundur dengan laju dan meruntuhkan dinding batu di rumahnya itu.
Kereta itu bergerak kira-kira 20 meter ke belakang rumah.
Menurut Lambdin yang sudah mempunyai pengalaman memandu selama 50 tahun, kejadian tersebut sangat pantas dan dia tidak tahu bagaimana kereta itu boleh bergerak dengan laju
Keretanya rosak teruk dan ia tidak lagi boleh digunakan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Britain guna jet masalah alat ganti


SEBUAH jet Typhoon berlepas dari sebuah pangkalan tentera udara dekat Bari, Itali kelmarin.


LONDON - Jet pejuang tentera Britain, Typhoon yang melancarkan serangan bom di Libya dalam minggu ini pernah digantung perkhidmatan pada tahun lalu.
Menurut ahli-ahli parlimen semalam, ia pernah digantung perkhidmatan disebabkan kekurangan alat ganti.
Namun, jet itu digunakan semula buat kali pertama dalam pengeboman di bandar Misrata, Libya dalam minggu ini.
Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox menegaskan kelmarin bahawa jet itu pada akhirnya dapat digunakan.
Jawatankuasa Laporan Pembekalan Awam Dewan Rakyat menyatakan masalah bekalan alat ganti itu akan berkekalan sehingga 2015.
Menurut laporan tersebut, bekalan alan ganti tersebut mungkin dapat diselesaikan pada 2015.
Britain menyertai perang di Libya menerusi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu bagi mengelak tentera pemimpin Muammar Gaddafi melakukan serangan terhadap orang awam. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kecoh kucing lahir anak anjing?


SEEKOR anak anjing (kanan) dikatakan mencetuskan kekecohan kerana ia dikatakan dilahirkan oleh seekor kucing betina di Yangshan, China baru-baru ini.


YANGSHAN, China - Seorang wanita, Zhou Yun terkejut apabila kucing peliharaannya yang baru melahirkan anak dilihat memelihara seekor anak anjing di belakang rumahnya, lapor sebuah akhbar akhbar semalam.
Yun berkata, dia sudah mengetahui kucingnya itu akan melahirkan anak.
Namun, dia berasa terkejut apabila melihat seekor anak haiwan tersebut seperti anjing.
"Setelah diperiksa dengan teliti memang sah ia anak anjing," kata Yun di sini baru-baru ini.
Menurutnya, haiwan itu turut melahirkan seekor lagi anak yang memang merupakan kucing tetapi ia telah mati.
Namun, dia kini kebingungan bagi meyakini bahawa kucing peliharannya itu telah melahirkan seekor anak anjing.
Yun menyatakan dia memang memelihara seekor anjing yang selalu tidur dan makan bersama kucing betina itu.
Bagaimanapun, seorang presiden sebuah klinik haiwan peliharaan, Lai Xiaoyun berkata, adalah mustahil kucing boleh melahirkan anak anjing.
Menurut Xiaoyun, kucing itu mungkin menemui seekor anak anjing dan membawa ia pulang selepas seekor anak haiwan itu mati semasa dilahirkan.
"Kucing dan anjing merupakan dua spesies berbeza dan amat mustahil ia mempunyai keturunan yang sama," katanya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pasangan berkahwin berbogel jimat kos pakaian

MELANIE SCHACHNER (dua dari kanan) dan Rene Schachner (dua dari kiri) bergambar dalam keadaan bogel di Feldkirchen, Austria baru-baru ini




FELDKIRCHEN, Austria - Satu pasangan di sini berkahwin dalam keadaan bogel manakala para tetamu lain memakai pakaian, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu, Melanie Schachner, 26, dan Rene Schachner memilih untuk berbogel bagi menjadikan majlis perkahwinan mereka sebagai sesuatu yang boleh diingati buat selama-lamanya.
Melanie berkata: "Kami tidak malu mengenai tubuh kami dan kami mahu melakukan sesuatu yang berlainan. Ia pastinya akan menyelamatkan kos pakaian perkahwinan kami."
Dalam majlis itu, seorang pendaftar perkahwinan yang memakai pakaian menyaksikan pasangan berkenaan membaca ikrar perkahwinan.- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Friday, April 15, 2011

Serangan nekad di masjid Jawa Barat ketika solat Jumaat

JAKARTA: Beberapa orang cedera dalam apa yang dipercayai serangan nekad di sebuah masjid di Jawa Barat ketika solat Jumaat.

“Kami mengesyaki ia adalah serangan bom nekad,' kata Ketua Polis Jawa Barat, Suparni Parto, kepada radio Elshinta selepas letupan di masjid di Cirebon itu.

Seorang lelaki yang dipercayai pengebom nekad itu, terbunuh. - AFP

Gaddafi tetap melawan selepas serangan NATO

TRIPOLI: Muammar Gaddafi meninjau kawasan di Tripoli dengan menaiki kenderaan utiliti sambil menumbuk tangan ke udara sebagai tanda melawan selepas serangan udara NATO menggegarkan bandaraya itu.

Menteri Luar negara sekutu walaupun bersetuju untuk menekan pemimpin Libya itu supaya berundur, tidak pula sepakat untuk meningkatkan serangan udara yang selama ini gagal menggulingkan beliau.

Gaddafi pula langsung tidak menunjukkan akan bertolak ansur walaupun selepas dua bulan perang saudara dan tekanan antarabangsa untuk beliau berundur.
Sebaliknya, tentera beliau terus mengepung dan membedil bandar Misrata untuk beberapa jam. Sasaran serangan ialah pelabuhan Misrata, iaitu satu-satunya talian hayat pemberontak yang mempertahankan bandar itu.

Di Tripoli, beberapa letupan kedengaran dan kepulan asap hitam kelihatan naik dari kawasan tenggara bandaraya itu selepas beberapa pesawat NATO melepaskan bedilan. - AP

Polis Jepun temui 10 mayat dalam zon nuklear

TOKYO: Polis Jepun menemui 10 mayat mangsa tsunami dalam gerakan mencari pertama dalam lingkungan 10 kilometer dalam zon bahaya sekitar loji nuklear Fukushima Daiichi.

Ratusan anggota polis lengkap dengan pakaian perlindungan mencari mayat mangsa di bawah timbunan di kawasan kejiranan berhampiran kompleks itu yang dilanda tsunami selepas gempa bumi kuat sebulan lalu.

Beberapa mayat ditemui di dalam kereta yang tertimbus di bawah runtuhan dan sampah akibat bencana itu.
Pasukan dengan kekuatan 300 anggota itu akan meneruskan usaha mencari mayat mangsa di dalam zon yang lebih hampir dengan loji nuklear itu.

Sukar dinyatakan bilangan mayat mangsa yang akan ditemui tetapi akhbar Yomiuri Shimbun mengaggarkan terdapat kira-kira 1,000 mangsa di kawasan itu. - AFP
Berita Harian Online | Polis Jepun temui 10 mayat dalam zon nuklear: "

Bapa bakar diri meninggal dunia

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang membakar dirinya hingga menyebabkan dua anak lelakinya turut cedera parah kerana mahu menyelamatkannya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pagi ini.

Zinol Ismail, 51, yang melecur pada keseluruhan badan, meninggal dunia pada 10.20 pagi tadi.

Dua anak lelakinya, Badrol Amin, 14 dan Amirul Hadi, 12 yang parah melecur dengan masing-masing pada tahap 42 dan 32 peratus, semakin stabil.
Abang ipar mangsa, Harun Saad,49, berkata pihak keluarga dihubungi HSB pada jam 10.30 pagi untuk memaklumkan kematian itu.

Jenazah Zinol dikebumikan di Kampung Ruat, Yan petang tadi.

Zinol yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak menyimbah petrol ke badan dan membakar dirinya dalam sebuah bilik di rumah mereka sebelum cuba diselamatkan oleh dua anaknya itu."

Perancis kini dalam bahaya diserang militan

PERANCIS LARANG PURDAH DAN BURKA
LONDON: Larangan memakai purdah dan burka di Perancis telah mencetuskan ancaman bahawa negara itu akan diserang oleh anggota kumpulan militan.
Perkhidmatan pemantau pengganasan, Site, melaporkan ancaman itu dibuat di ruang sembang dan forum Internet yang khusus digunakan oleh anggota militan.Berbeza daripada Britain dan Sepanyol, Perancis tidak pernah diserang oleh Al-Qaeda walaupun ia merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), yang terlibat dalam serangan ke atas Afghanistan.Para pegawai keselamatan Barat melahirkan keprihatinan gesaan dan ancaman yang dibuat anggota militan di ruang sembang dan forum Internet itu akan menggalakkan penyokong mereka melancarkan serangan.Satu satu mesej di forum pengganas berbunyi:'Sarkozy, jangan ganggu saudara perempuan kami atau kami benar-benar akan bertindak.'Salah lagi mesej berbunyi:'Dengan bertindak demikian, Perancis hanya akan membawa kemusnahan kepada diri sendiri.'Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Encik Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata tindakan Perancis melarang pemakaian purdah telah membesarkan isu yang hanya menjejas segelintir wanita Islam di Barat.Perancis menjadi negara pertama di Eropah menguatkuasakan undang-undang yang melarang pakaian yang menutup muka termasuk purdah dan burka, Isnin lalu.'Mereka yang memakai burka, terutamanya di Eropah atau negara Barat, adalah minoriti yang sangat kecil dan saya tidak faham mengapa anda meluluskan undang-undang untuk melarangnya,' kata Encik Ihsanoglu kepada wartawan pada forum Amerika Syarikat-Dunia Islam di sini, pada Selasa lalu.Katanya, larangan itu mengalihkan perhatian kepada sebilangan kecil orang dan menjadikannya isu besar.'Saya fikir ini isu kecil dan tidak wajar diberi perhatian sebegitu rupa,' katanya.Pihak berkuasa Perancis menganggarkan hanya 2,000 wanita, berbanding jumlah penduduk Islam kira-kira enam juta orang, memakai purdah atau burka. -- AFP, Reuters, cyberita

Libya tuduh Qatar bekal senjata

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

TRIPOLI 14 April – Libya menuduh Qatar membekalkan peluru berpandu pemusnah kereta kebal kepada pemberontak yang mahu menggulingkan pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi.

Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim mendakwa, 20 pakar Qatar juga berada di bandar raya ini untuk melatih kira-kira 700 pemberontak, manakala sebilangan anggota pergerakan Hizbullah dari Lebanon turut menyertai pemberontak di timur Libya.

“Qatar menghantar peluru berpandu Milan buatan Perancis kepada pemberontak di Benghazi, bandar raya yang menjadi pangkalan mereka di timur negara ini,” kata Khaled pada sidang media di Tripoli, semalam. – AFP"

Ibu rayu Intan Najihah pulang ke rumah




Intan Najihah Junniy


SHAH ALAM 14 April – Seorang ibu, Marza Azizan, 32, merayu anak perempuannya, Intan Najihah Junniy, 14, yang menghilangkan diri sejak dua hari lalu agar segera pulang ke rumah mereka di Meru, Klang.
Menurut Marza, anak sulungnya yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Meru itu menghilangkan diri pada petang Selasa lalu dan tidak pernah pulang ke rumah sejak itu.
Ujar ibu kepada tiga anak itu, kali terakhir Intan Najihah dilihat oleh rakan-rakannya ialah ketika waktu persekolahan tamat pada petang Selasa lalu dan sebuah basikal yang merupakan kenderaannya ke sekolah ditemui ditinggalkan di dalam sekolah.
“Saya amat bimbangkan keselamatan Intan Najihah dan berharap dia pulang ke rumah dengan segera.
“Kami sekeluarga termasuk ayahnya, Junniy Che Dak, 37, amat merinduinya dan berjanji tidak akan memarahinya sekiranya dia pulang ke rumahnya,” katanya yang datang ke pejabat Utusan Malaysia cawangan Shah Alam bersama suaminya petang ini.
Suri rumah itu memberitahu, Intan Najihah anak yang baik serta mendengar kata dan kehilangannya walaupun baru dua hari amat dirasai.
Oleh itu, katanya, apabila anaknya itu gagal dikesan ayahnya terus melaporkan kehilangannya kepada pihak polis di Balai Polis Meru, Klang Utara dekat sini.
Sehubungan itu, Marza meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Intan Najihah agar menghubunginya di talian 017-310 9973 dan 019-367 9499 (Junniy) atau mana-mana balai polis terdekat.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Pencarian mayat di luar 10 kilometer dari loji



TENTERA Jepun berpakaian keselamatan radiasi mencari mayat mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di perairan Rikuzentakata, Iwate, Jepun, semalam. – REUTERS


TOKYO 14 April – Polis memulakan pencarian mayat-mayat penduduk yang terkorban akibat tsunami di zon 10 kilometer luar dari loji nuklear Fukushima ketika usaha mengawal krisis nuklear masih diteruskan.

Beratus-ratus polis memakai pakaian perlindungan kali pertama menjalankan pencarian mayat mangsa ombak gergasi yang menghentam timur laut Jepun ekoran gempa 11 Mac lalu di sekitar runtuhan berdekatan kawasan loji.

Pasukan terdiri daripada 300 pegawai itu dikerah ke kawasan itu dan bergerak mendekati kawasan loji selepas mereka memulakan pencarian yang lebih luas pada 3 April lalu yang meliputi kawasan luar di 20 kilometer kawasan larangan.

Dalam masa yang sama, krew kecemasan di kawasan loji terus berusaha menghentikan kebocoran radioaktif ke dalam laut dengan membina pagar dasar laut bagi memperlahankan penyebaran bahan tercemar ke dalam laut dan mengepam lelehan air bertoksik tinggi ke dalam tangki.

Operator loji Tokyo Electric Power (TEPCO) berkata, usaha itu juga bagi menganalisis rakaman video yang diambil oleh helikopter tanpa manusia di kawasan loji yang dilanda tsunami itu dan menilai kerosakan bangunan reaktor yang hangus terbakar.

Siasatan ke atas reaktor No.4 yang mengandungi kolam 1,000 rod tenaga terdedah selepas letupan hidrogen menanggalkan bumbungnya menunjukkan sesetengah rod itu telah rosak tetapi masih ada yang berada dalam keadaan baik.

Pekerja loji terus mengepam lelehan air bertoksik ke dalam tangki khas supaya mereka dapat meneruskan kerja membaik-pulih sistem penyejukan loji itu lalu menutupnya.

“Setakat ini kami telah mengalihkan 700 tan air dari sana.

“Jika semuanya berjalan lancar sekalipun, ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk mengalih semua kebocoran dari dalam dan luar fasiliti,” ujar jurucakap TEPCO. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kastam tahan 49 kereta Jepun ada kesan radiasi berlebihan


VLADIVOSTOK (Russia): Kastam Russia menahan hampir 50 buah kereta terpakai yang import dari Jepun yang menunjukkan tahap radiasi nuklear berlebihan.
“Kami menahan 49 kereta yang mempunyai tahap radiasi enam kali lebih tinggi daripada normal,” kata Ketua Jabatan Kastam Wilayah yang mengawasi tahap radiasi, Roman Famin, semalam.

Menurutnya, kenderaan terbabit tiba di pelabuhan Vladivostok 10 hari lalu, tetapi pemerhati pengguna kerajaan belum memutuskan tindakan yang akan diambil ke atas kenderaan yang tercemar itu.

“Jika keputusan tidak dibuat segera, pelabuhan itu akan dipenuhi dengan kenderaan berradioaktif,” katanya.

Pelabuhan Vladivostok menerima kira-kira 300 kereta dari luar negara setiap hari dan pihak pengurusan bimbang mereka tidak cukup tempat menyimpan kenderaan tercemar terbabit.- AFP

Pemberontak gusar


ALGIERS: Pemberontak Libya memberi amaran berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Misrata oleh tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi jika Nato tidak meningkatkan serangan ke atas tentera kerajaan di bandar itu.
Amaran itu dikeluarkan berikutan serangan hebat roket oleh penyokong pemimpin Libya itu ke atas kawasan perumahan berhampiran pelabuhan yang dikuasai pemberontak telah mengorbankan lapan penduduk.

Jurucakap pemberontak berkata, angka kematian dijangka meningkat.

“Pembunuhan beramai-ramai ... akan berlaku jika Nato tidak campur tangan secara lebih serius,” jurucakap pemberontak, Abdelsalam, memberitahu Reuters melalui telefon dari Misrata.

Perancis dan Britain - negara yang mengetuai serangan ke atas tentera Gaddafi - semakin kecewa dengan kurangnya sokongan daripada negara sekutu Nato lain.

Pemberontak yang mempertahankan Misrata, bandar utama terakhir yang masih dikuasai mereka di barat Libya dan kawasan berlakunya pertempuran sengit sejak beberapa minggu lalu, bimbang dengan ketiadaan strategi ketenteraan yang jelas bagi menumbangkan Gaddafi.

Menurut pemberontak, tentera kerajaan telah menghujani roket buatan Russia ke wilayah Kasr Ahmad di Misrata ketika subuh dan ia berterusan ke tengah bandar.

Mereka telah melepaskan sekurang-kurangnya 80 roket di kawasan itu. “Setakat ini lapan penduduk terbunuh dan 20 lagi cedera,” kata jurucakap pemberontak Abdelbasset Abu Mzereiq.
Pertempuran sehari sebelum itu mengorbankan lima orang dan berpuluh lagi cedera. - Reuters

Rakyat gembira Hosni, anak ditahan

KAHERAH: Pemimpin penunjuk perasaan Mesir menyambut baik penahanan Hosni Mubarak dan dua anak lelakinya dengan berkata, ia ‘langkah positif’ oleh tentera Ketiga-tiga mereka ditahan selama 15 hari, dengan Mubarak ditahan di sebuah hospital di Sharm el-sheikh di Laut Merah selepas beliau dilaporkan diserang sakit jantung, manakala anaknya, Gamal dan Alaa ditahan di Penjara Tora di Kaherah.
Ketua Pendakwa Raya membenarkan mereka ditahan 15 hari sebagai “sebahagian daripada siasatan ke atas penggunaan kekerasan ke atas penunjuk perasaan ketika kekacauan pada Januari dan Februari lalu.” Kumpulan belia yang menganjurkan tunjuk perasaan yang menumbangkan Hosni mengalu-alukan perkembangan itu dan berkata, ia akan menangguhkan tunjuk perasaan yang dirancang Jumaat ini. - AFP

Simon Cowell raih RM629,627 sehari


LONDON: Selebriti muzik Britain, Simon Cowel dilaporkan memperoleh pendapatan sebanyak AS$208,230 (RM629,627) sehari hasil daripada royalti muzik dan aset televisyen beliau termasuk rancangan realiti popular The X Factor. 


Laman web Femalefirst melaporkan, berdasarkan angka terbaru, syarikat milik Cowel, Simco yang menghasilkan rancangan realiti The X Factor dan America’s Got Talent memperoleh AS$52.7 juta (RM159 juta) dalam tempoh sembilan bulan pada 2009.
Cowell yang dianggarkan memiliki kekayaan sebanyak AS$266 juta (RM804 juta), menubuhkan operasi perniagaan pada 2002 dan menjualkannya kepada Sony BMG pada 2005.
Sejak angka itu dikeluarkan, Cowell menstruktur semula perniagaan milik beliau dan menubuhkan sebuah syarikat baru dipanggil Syco Entertainment Limited yang dimiliki bersama beliau dan Sony BMG. 

Beliau kini memiliki semua aset muzikal dan televisyen beliau termasuk The X Factor versi Britain dan Amerika Syarikat. Beliau juga mempunyai kontrak dengan artis superstar seperti Leona Lewis. 

Di bawah termanya, Cowell dilaporkan memperoleh kira-kira 50 peratus daripada setiap keluaran syarikat beliau. – Agens, Bharian

'Pandai buat pandailah simpan'


DOMINIQUE akan memulakan prosedur perceraian jika suami enggan berpindah ke Lubnan.
DOMINIQUE akan memulakan prosedur perceraian jika suami enggan berpindah ke Lubnan.


Dominique tidak mahu tahu jika suami curang 
BEIRUT: Penyanyi terkenal Lubnan, Dominique Hourani mendedahkan bahawa beliau langsung tidak kisah jika suaminya memutuskan untuk berlaku curang asalkan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuannya.
Dominique menegaskan, kenyataan bahawa beliau tinggal di Lubnan dan suaminya, Ali Rida Al Mashi, di Eropah menjadikan beliau tidak kisah jika suaminya mahu mencari seorang teman untuk mengisi kekosongan dalam hidupnya.

Menurut laman internet MBC, Dominique berkata, apabila suaminya tinggal bersamanya di Lubnan beliau tidak akan dapat menerima kecurangan berkenaan tetapi disebabkan beliau tiada di sisinya, tidak adil sekiranya beliau mahu suaminya terus jujur kepadanya. 


Penyanyi itu juga menjelaskan bahawa sehingga kini beliau tidak pernah berlaku curang terhadap suaminya sebagai tanda hormat tetapi jika hubungan jarak jauh mereka berterusan pastinya Ali tidak akan terus setia dan akan bertemu seseorang suatu hari nanti. 


Dominique turut mengakui, beliau terlalu tergesa-gesa untuk berkahwin dan perlu bersedia untuk berhadapan dengan keadaan sukar secara berhati-hati. 


Katanya, mulanya beliau tidak kisah di mana beliau dan suaminya tinggal tetapi selepas mempunyai anak pertama, beliau memutuskan untuk tinggal di Lubnan bagi memastikan anak perempuannya itu dibesarkan dalam persekitaran Arab dengan tradisi dan etika yang sama seperti beliau. 
Penyanyi itu mendedahkan, beliau memberikan peluang terakhir kepada suaminya untuk mengalihkan perniagaan ke Lubnan dan tinggal bersama beliau dan anak perempuan mereka di mana perkara itu sedang diusahakan suaminya kini. 


Dominique memastikan bahawa jika suaminya tidak mahu berpindah ke Lubnan beliau akan memulakan prosedur perceraian kerana tidak boleh meneruskan hubungan dengan cara itu yang sudah bertahan selama dua tahun. 


Disember lalu, Hourani, menafikan bahawa suaminya yang berasal dari Iran itu yang juga ahli perniagaan ditahan di Austria kerana menipu. 


Ali didakwa melakukan penggubahan wang dan penyeludupan senjata. Dominique percaya, Ali menjadi sasaran kerana kejayaannya dan ada pihak yang cemburu cuba untuk menjejaskan imej mereka. 


Beliau juga menegaskan bahawa suaminya itu tidak terjejas dengan khabar angin berkenaan. – Agensi 

Ahli politik amal poligami dipecat


Mangni berdolak-dalik bilangan isteri depan hakim 


PATNA: Ahli politik India tidak asing dengan bigami dan poligami iaitu berkahwin lebih seorang kerana kebanyakan mereka mempunyai apa yang disifatkan sebagai 'chhinavidu' dalam bahasa Tamil, bermaksud 'rumah kecil.'
Dalam satu kes melucukan, seorang ahli parlimen tempatan, Mangni Lal Mandal memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu berapa ramai isteri yang dimilikinya.
Ahli Parlimen dari Jhanjharpur, yang pernah menjadi menteri dalam kerajaan itu juga sama saja dengan seorang lagi ahli politik, Bagun Sumbrai yang mempunyai berdozen isteri. 

Atas sebab gagal memberitahu mahkamah bilangan isterinya, Mangni dipecat daripada jawatan ketua parti di Lok Sabha. 

Keadaan itu timbul apabila seorang ahli dewan, SB Mangalam meminta Mangni untuk memberitahu berapa ramai isterinya, persoalan yang mengejutkan Mangni. 
“Tidak perlu memberitahu dewan bilangan isteri saya,” katanya. 
Mangalam tidak berpuas hati. Beliau meminta Mangni menjawab pertanyaan itu kerana ia isu besar selepas memfailkan petisyen bagi pihak Vishnudeo Bhandari, seorang aktivis politik. 

Mangni akhirnya berkata: “Saya tidak tahu! Tidak tahu!” Tidak lama kemudian, Mangni kembali ke mahkamah. “Tuan hakim, saya mempunyai sesuatu untuk dikatakan,” katanya yang mendapat kebenaran Hakim V N Shinha. 

“Saya tidak boleh maklumkan mahkamah sebelum ini bahawa saya mempunyai dua isteri.” 

Mangni tidak memberitahu mengapa beliau tidak dapat mendedahkan bilangan isterinya di mahkamah atau dalam afidavit Suruhanjaya Pilihan raya apabila beliau bertanding dalam pilihan raya Lok Sabha pada 2009. 

Dalam ruangan afidavit isteri, Mangni menyebut nama Arti Mandal sebagai isterinya tanpa menulis nama Sunita Devi, isteri pertamanya, lapor Times of India. 

Bhandari, seorang pekerja politik dari Madhubani mengkritik tindakan Mangni dalam pilihan raya kerana melanggar tanggungjawab perlembagaan dengan menyembunyikan maklumat pasangannya. Ketika kes itu masih diperkatakan, ahli politik terbabit digantung daripada sebarang aktiviti parti JD (U). 

Ini bukan kali pertama Mangni berhadapan dengan perkara memalukan berkaitan isterinya. – Agensi 

PM Jepun didesak berundur




PEGAWAI kastam di bandar Vladivostok, Russia memeriksa  radiasi pada  kenderaan dari Jepun. Gambar kecil, Naoto Kan.
PEGAWAI kastam di bandar Vladivostok, Russia memeriksa radiasi pada kenderaan dari Jepun. Gambar kecil, Naoto Kan.




Gagal urus krisis nuklear, radiasi dikesan pada ikan
TOKYO: Semakin banyak pihak menggesa Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan supaya meletak jawatan atas kegagalannya mengendalikan dengan baik bencana alam dan krisis nuklear.
Kan yang mendapat sokongan umum kira-kira 30 peratus, cuba mendapatkan kerjasama parti lain bagi membantu memulihkan negara daripada lumpuh berikutan bencana alam dan meminda rang undang-undang bagi membayar projek pembangunan semula terbesar negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Parti Demokratik pimpinan Kan menguasai Dewan Rakyat tetapi perlu bantuan pembangkang untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan kerana kurang majoriti di Dewan Negara yang boleh menghalang perundangan dilaksanakan. 


Ketua parti pembangkang, Parti Demokratik Liberal (LDP) mendesak Kan melepaskan jawatan beliau. 


“Sudah tiba masanya untuk (Perdana Menteri) memutuskan sama ada beliau akan bertahan atau pergi,” lapor agensi berita Kyodo yang memetik Sadakazu Tanigaki memberitahu sidang media. 


Speaker Dewan Negara, Takeo Nishioka yang dikenali kerana mengkritik Kan daripada Demokrat juga mendesak Kan untuk melepaskan jawatannya, lapor Kyodo. 
Lima minggu lalu, gempa bumi terbesar dan tsunami menyebabkan hampir 28,000 maut atau hilang, memusnahkan timur laut Jepun dan merosakkan loji kuasa nuklear Fukushima. Tiada tanda penyelesaian terhadap krisis reaktor berkenaan. 


“Kerajaan Jepun mengesan kadar tinggi radioaktif dalam sayur yang ditanam berhampiran stesen kuasa nuklear di timur laut Jepun dan pada ikan di kawasan perairan berhampiran,” kata laporan berita semalam. 


Kementerian Kesihatan mendapati tahap radioaktif melebihi had dibenarkan dalam ikan yang ditangkap di Fukushima dan 11 jenis sayur di wilayah terbabit di mana Stesen Kuasa Nuklear Fukushima yang bermasalah terletak, lapor penyiar umum NHK. – Reuters/Agensi 

Bekas Presiden Tunisia hadapi 18 tuduhan


pix_gal0
Zine el Abidine Ben Ali


TUNIS: Pendakwa Tunisia merancang membicarakan bekas presiden negara itu Zine el Abidine Ben Ali (atas) dengan 18 dakwaan berasingan, termasuk pembunuhan dan mengedar dadah, kata Menteri Kehakiman, Lazhar Karoui Chebbi. 


“Antara pertuduhan termasuk pembunuhan, bersubahat melanggar undang-undang, mengedar dan menyalahgunakan dadah,” kata Chebbi dalam satu temu ramah dengan stesen televisyen rasmi, kelmarin.
Ini adalah kali pertama pihak berkuasa memaklumkan secara terperinci mengenai pendakwaan yang akan dihadapi Ben Ali jika dihantar pulang ke tanah air yang pernah diperintahnya secara kuku besi selama 23 tahun.
Kerajaan sebelum ini mengesahkan bahawa Ben Ali dikehendaki atas dakwaan pembunuhan dan menghasut. 

Ben Ali lari ke Arab Saudi selepas digulingkan daripada pemerintahan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran 14 Januari lalu. Beberapa ahli keluarga, anggota keselamatan dan rakan rapatnya ditahan sejurus beliau digulingkan. 

Satu waran tangkap antarabangsa dikemukakan ke atas beliau pada 26 Januari. Isteri keduanya Leila Trabelsi juga termasuk antara senarai orang paling dikehendaki di Tunisia. 

Sebuah agensi berita di Tunisia, sebelum ini memetik kenyataan Chebbi sebagai berkata, 44 kes perundangan disediakan oleh kementeriannya terhadap Ben Ali, keluarga dan rakan rapatnya. – AFP