Pages

Friday, April 1, 2011

Perisik CIA, MI6 aktif di Libya

WASHINGTON: Berpuluh-puluh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat dan rakan mereka dari Britain, MI6 sudah bergerak membantu penentang Muammar Gaddafi ketika kedudukan pemimpin di Libya itu semakin tergugat dengan pembelotan Menteri Luarnya, Mussa Kussa, semalam.


Presiden Barack Obama menandatangani arahan sulit mengarahkan bantuan kepada penentang Gaddafi dengan mengumpul maklumat membolehkan serangan lebih berkesan dilakukan terhadap tentera Libya yang menentang pemberontak.
Obama menandatangani dokumen diberi nama ‘Presidential finding’ (Perintah Presiden) dua atau tiga minggu lalu yang membenarkan operasi rahsia itu dilancarkan, kata pegawai.
Di LONDON, Mussa Kussa disoal pihak berkuasa Britain berpaling tadah yang dianggap memberi semangat kepada penentang Gaddafi, pembelotan terbaru pegawai kanan Libya.

Mussa, bekas ketua perisikan Libya dan bekas duta ke Britain. Beliau tiba secara suka rela di lapangan terbang Farnborough.

“Beliau memberitahu sudah meletak jawatan. Kami sedang berbincang dengannya dan akan mengeluarkan perincian lanjut tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mussa, 59, terbang ke Britain selepas dua hari melakukan kunjungan peribadi di Tunisia.
Di AJDABIYAH, tentera Gaddafi menawan semula bandar Brega yang sebelum ini dikuasai pemberontak dan meneruskan kemaraan ke sebuah lagi bandar utama di timur negara itu.

Serangan udara Tentera Bersekutu memberi kesan kepada tentera Gaddafi tetapi angkatan darat beliau mempunyai kelengkapan senjata yang lebih canggih, tersusun dan terlatih berbanding pemberontak.

Tentera dilihat terus meningkatkan tekanan ke atas Gaddafi dengan serangan udara di beberapa bahagian lain di Libya.

Mereka dikatakan sedang mengadakan perbincangan bagi mencari negara yang sanggup memberi perlindungan kepada pemimpin Libya itu.

Gaddafi setakat ini tidak menunjukkan tanda beliau bersedia mengalah, sebaliknya berikrar untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. – AFP/Reuters/AP
Berita Harian Online | Perisik CIA, MI6 aktif di Libya

Ratusan mayat di zon larangan nuklear Jepun

HONG KONG: Kira-kira 1,000 mayat mangsa gempa bumi dan tsunami masih tidak dikutip dalam kawasan zon larangan di sekitar loji nuklear kerana kebimbangan terhadap kesan radiasi, kata laporan hari ini.

Memetik sumber polis, Kyodo News berkata, pihak berkuasa berhasrat menghantar mayat keluar daripada zon larangan 20 kilometer di sekitar loji Fukushima tetapi menimbang semula rancangan berkenaan.

Mayat itu sudah 'terdedah dengan kesan radiasi tinggi selepas kematian', kata laporan itu memetik sumber.
Polis tempatan memutuskan untuk tidak mengutip mayat-mayat berkenaan kerana kebimbangan terhadap radiasi.

Kira-kira 28,000 orang disahkan mati atau disenaraikan sebagai hilang sejak
gempa bumi dan tsunami melanda pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun serta melumpuhkan operasi loji nuklear berkenaan dan berlaku kebocoran sehingga menyebabkan kesan radiasi. - AFP"
Berita Harian Online | Ratusan mayat di zon larangan nuklear Jepun: "

Helang botak sambar burung kuang



SEEKOR burung helang menyambar burung kuang di Dakota Selatan, Amerika Syarikat.


DAKOTA SELATAN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang jurugambar kelahiran Britain, Chris Bailey berjaya merakam beberapa gambar seekor helang botak besar yang kelaparan menyambar burung kuang di kawasan salji di sini untuk dijadikan makanan, lapor sebuah akhbar semalam.
Salah satu gambar tersebut merakam aksi dramatik helang botak menyambar burung kuang itu dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya sebelum terbang tinggi.
Bailey, 54, yang terkejut pada masa itu cuba menjejaki helang botak yang membawa burung kuang tersebut ke kawasan berdekatan sebelum menjadikannya sebagai makanan.
Menurut Bailey yang bekerja sebagai pengarah servis Ford, dia sedang merakam gambar salji yang menutupi keseluruhan sebuah padang di sini.
"Tidak lama kemudian, saya menyaksikan helang botak yang cuba menyambar burung kuang berada di sana. Kejadian ini berlaku pada masa dan tempat yang tepat di depan mata saya," jelasnya.
Helang botak yang memiliki sayap berukuran 2.44 meter boleh terbang dengan kelajuan 72 kilometer sejam dan boleh hidup sehingga 30 tahun. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kamera GPS rakam kereta langgar treler


KERETA Vauxhall Astra sebelum (kiri) dan selepas kemalangan tersebut (kanan).


ABERDEEN, Britain - Detik cemas sebuah kereta dipandu melawan arus memasuki susur keluar sebatang jalan raya di Britain sebelum ia berlanggar dengan sebuah treler yang membawa muatan simen berjaya dirakam kamera sistem pengesanan global (GPS) lori kedua, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam kejadian pada Selasa lepas, kereta Vauxhall Astra yang dipandu seorang wanita cuba memasuki jalan besar A90, dekat sini, Scotland, melalui susur keluar jalan itu.
Melihat sebuah treler seberat 44 tan di depannya, dia melencongkan keretanya dan berada dalam laluan lori kedua di jalan raya itu.
Tidak mahu dirempuh, kereta itu cuba kembali ke susur keluar itu dan melanggar sisi treler terbabit.
Pelanggaran tersebut menyebabkan treler berkenaan terbalik, manakala bahagian sisi dan hadapan kereta itu remuk.
Tiada yang cedera dalam kemalangan itu. Namun, wanita berusia 20 tahun itu didakwa kerana memandu secara berbahaya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Terselamat selepas terjatuh dari tingkat lapan


ANGELO NICOTRA dan gambar sinar-X menunjukkan tulang tangannya yang patah (kanan)

BIRMINGHAM, Britain - Seorang lelaki, Angelo Nicotra bernasib baik dapat berjalan semula setelah hampir semua tulangnya patah akibat terjatuh dari tingkat sembilan flatnya pada ketinggian 30.48 meter, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebanyak 14 tulang lelaki berusia 22 tahun itu patah, manakala beberapa lagi tulangnya retak apabila dia menghempap laluan konkrit di laman flat berkenaan.
Dia telah mengambil pil tidur dan tidak dapat mengingati insiden terjatuh dari tingkap bilik tidurnya pda Disember tahun lalu.
Doktor-doktor yang merawatnya kagum kerana dia tidak mati dalam kejadian tersebut.
Namun, Nicotra terpaksa menjalani lapan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
"Doktor-doktor cuma memberi saya peluang 20 peratus untuk hidup. Mereka terkejut saya sembuh dengan begitu cepat dan kini boleh berjalan semula," katanya di sebuah hospital di sini kelmarin.
Mengulas kejadian itu pakar ortopedik Hospital Heartlands, tempat dia dirawat, Dr. Andreas Sambatakasis berkata: "Saya belum pernah melihat seseorang terselamat selepas terjatuh dari tempat begitu tinggi,". - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Jepun mengaku kalah



SEBUAH bangunan di loji Fukushima Daiichi dikelilingi palang-palang besi yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu.

TOKYO - Jepun akhirnya mengaku kalah dalam usaha mengekang pencemaran radiasi di empat reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang rosak dan akan menutup kesemua reaktor berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa pegawai berkata, dalam sedikit masa lagi, semua bekalan kuasa ke reaktor-reaktor itu akan ditutup, manakala usaha untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear akan dihentikan.
Langkah terakhir, melibatkan proses mencurahkan bertan-tan konkrit untuk menimbus reaktor-reaktor itu. Sekali gus memastikan tiada radiasi yang bocor keluar.
Perkembangan itu berlaku selepas agensi keselamatan nuklear Jepun mendedahkan bahawa bacaan radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi melonjak sebanyak 4,385 kali ganda berbanding takat yang dibenarkan.
Pengumuman dramatik tentang penutupan semua empat reaktor itu dibuat pada Selasa lalu oleh Pengerusi Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tsunehisa Katsumata yang mengendalikan loji nuklear tersebut. .
Loji Fukushima Daiichi terletak sekitar 240 kilometer dari ibu negara Jepun, Tokyo.
Katsumata berkata, beliau berasa kasihan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka atau terpaksa tinggal di dalam rumah disebabkan oleh krisis nuklear berkenaan.
"Saya memohon maaf kerana kesusahan dan ketakutan yang berlaku akibat kebocoran radiasi ini," kata Katsumata.
"Kami telah gagal untuk menyejukkan reaktor-reaktor terbabit. Tetapi kami melakukan usaha paling maksimum untuk menstabilkan keempat-empat reaktor itu," tambahnya.
Krisis nuklear bermula selepas sistem penyejukan reaktor-reaktor nuklear di loji Fukushima Daiichi rosak akibat gegaran kuat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang melanda pada 11 Mac lalu, disusuli oleh tsunami.
Tidak lama kemudian, beberapa letupan dan kebakaran menyebabkan kebocoran radiasi berlaku di loji tersebut.
Setakat kelmarin, tahap radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi ialah 3,355 kali ganda daripada bacaan normal.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurutera nuklear Amerika Syarikat (AS), Michael Friedlander memberitahu stesen televisyen CNN bahawa dia bimbang kesan pencemaran air laut yang berlaku.
"Plankton menyerap radiasi, ikan memakan plankton, ikan besar pula memakan banyak ikan kecil. Justeru, kandungan radiasi akan berlaku dalam rantaian makanan," katanya.
Aktiviti menangkap ikan kini dilarang dalam lingkungan sekitar 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi. - Agensi
-kosmo

21 maut banjir di selatan Thai


BANJIR lumpur yang melanda selatan Thailand.


BANGKOK - Seramai 21 orang terkorban, manakala beribu-ribu pelancong asing terkandas di gugusan pulau selatan Thailand selepas rantau itu dilanda bah dan banjir lumpur.
Perkhidmatan kereta ke rantau berkenaan telah dibatalkan dengan tiga lapangan terbang ditutup, termasuk sebuah lapangan terbang utama di Pulau Koh Samui yang merupakan destinasi pelancongan popular.
Turut ditutup ialah lapangan terbang Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani.
Tentera laut Thailand menghantar empat buah kapal perang yang dilengkapi bot dan helikopter untuk menghantar bekalan asas, selain mengeluarkan pelancong serta penduduk kampung di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.
"Tentera darat dan laut bekerjasama untuk membantu mereka yang terkandas. Penduduk yang tinggal di kawasan berlakunya banjir lumpur juga dipindahkan," kata menteri di pejabat perdana menteri, Satit Wongnongtoey.
Hampir sejuta orang terjejas dalam kejadian banjir akibat hujan lebat selama seminggu di selatan Thai.
Setakat ini, banjir lumpur dilaporkan berlaku di tiga kawasan di wilayah Krabi.
Sekurang-kurangnya 10 terkorban di sebuah kampung manakala 10 yang lain masih hilang.
Ketua Pengarah Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana, Wiboon Sangruanpong berkata, adalah terlalu awal untuk membuat anggaran kemusnahan akibat banjir kali ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa kejadian banjir lumpur dijangka terus berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi. - Agensi

Thursday, March 31, 2011

414,421 kes nahas jalan raya 2010

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 414,421 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 6,872 kematian dilaporkan pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata berikutan kadar kemalangan dan kes kemalangan maut di negara ini yang terus meningkat, pelbagai langkah drastik diambil bagi mengatasi masalah ini.
"Antaranya meningkatkan kekerapan kempen kesedaran dan program berasaskan komuniti khususnya kepada kumpulan sasaran utama iaitu penunggang dan pembonceng motosikal yang merupakan golongan paling berisiko iaitu penyumbang kepada 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata kementerian juga meningkatkan kekerapan dan keberkesanan kempen media mengenai keselamatan jalan raya menerusi saluran perdana seperti saluran perdana menerusi media elektronik dan cetak serta rangkaian sosial Facebook dan youtube.
"Kita juga melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengurangkan kematian yang mempunyai kaitan dengan memandu terlalu laju yang menjadi 62.6 peratus daripada punca kematian.
Menurutnya, kementerian juga meningkatkan penyamaran di dalam bas, memperbanyak penguatkuasaan secara ”omni presence” melalui operasi bersepadu selain memastikan inisiatif lain bergerak selari secara berkesan.
"Ini termasuk pendekatan 5E iaitu pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, alam sekitar dan penilaian yang menjadi kunci Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2011-2020 bagi menangani masalah ini secara holistik dan komprehensif,” katanya. - Bernama

Presiden tuduh 'dalang' mahu binasakan Syria



DAMSYIK (Syria): Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, berkata semalam pemberontakan di negaranya angkara 'dalang-dalang' yang mahu membinasakan Syria. Beliau berkata sekumpulan minoriti telah cuba mencetus 'huru-hara' di bandar Deraa, tetapi 'mereka akan dikalahkan oleh majoriti'.
Beliau menyampaikan ucapan pertamanya sejak tunjuk perasaan tercetus hampir dua minggu lalu.Apabila beliau memasuki parlimen, para penggubal undang-undang melaungkan 'Tuhan, Syria dan Bashar sahaja.' dan 'Roh kami, darah kami, kami korbankan untuk anda, Bashar.'.Ucapan beliau itu dilihat sebagai satu ujian penting akan kepimpinannya dan sesuatu yang boleh menentukan masa depan Syria.Encik Assad berkata pasukan keselamatan telah diberi 'arahan jelas' agar tidak mencederakan rakyat ketika rusuhan-rusuhan itu. Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata lebih 60 orang terbunuh sejak pihak berkuasa bertindak ke atas para pemberontak.Hari-hari mendatang akan menentukan apakah langkah-langkah memujuk pemberontak boleh meredakan bantahan, yang tercetus apabila pasukan keselamatan memberkas beberapa belia yang menconteng grafiti antipemerintah di tembok bandar Daraa yang miskin.Sebelum itu, Encik Assad dijangka mengumumkan pindaan perlembagaan dan pembaharuan meluas, termasuk pembatalan satu perintah darurat hampir 50 tahun yang membolehkan rejim itu memberkas rakyat sesuka hati tanpa dakwaan. Namun beliau tidak mengumumkan sebarang perubahan semalam. -- AP, Reuters.

Sebuah lagi loji nuklear terbakar



TOKYO - Krisis nuklear Jepun semakin buruk apabila asap tebal dapat dilihat di sebuah lagi loji nuklear di timur laut Jepun, semalam.

Menurut pengendali loji, Tokyo Electric Power (Tepco), asap dikesan di reaktor No.1 di loji Fukushima Daini tetapi dilaporkan keadaan kembali reda, sejam selepas kejadian itu berlaku.

Loji nuklear Fukushima Daini terletak kira-kira 10 kilometer dari loji Fukushima Daiichi yang rosak teruk dalam kejadian gempa bumi dan tsunami, awal bulan ini.

Kegagalan sistem penyejukan turut dikesan di loji Fukushima Daini dan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer dari loji itu diarah berpindah dengan segera.

Sementara itu, kerajaan Jepun akan meningkatkan piawai keselamatan untuk loji nuklear di negara itu.

Pengumuman itu dibuat selepas paras plutonium dalam air laut di sekitar loji itu meningkat kepada 3,355 kali ganda melebihi had undang-undang, sekali gus membuktikan berlaku kebocoran reaktor.

Menurut Kementerian Perdagangan Jepun, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat di loji Fukushima Daiichi yang rosak selepas gempa sekuat 9.0 pada skala Richter melanda Jepun, 11 Mac lalu.

"Kerajaan harus mempertimbang semula dasar tenaga Jepun dengan memfokuskan kepada potensi tenaga suria," menurut kenyataan kementerian itu.

Jepun turut mempertimbang untuk menutup loji yang musnah menggunakan fabrik khas untuk menyekat penyebaran radiasi.

Sementara itu, radiasi pada tahap berisiko rendah turut dikesan di Amerika Syarikat, Britain, Iceland, Switzerland, Korea Selatan, Filipina dan China.

Serangan udara, letupan kedengaran di tenggara pedalaman Tripoli

TRIPOLI: Letupan menggegarkan timur pedalaman Tirpoli, lewat Rabu, apabila serangan udara dilakukan di ibu kota Libya, kata seorang saksi menerusi temubual telefon.

Saksi yang enggan namanya didedahkan, berkata sejurus selepas pesawat kelihatan melepasi timur dan tenggara pedalaman bandar itu, kedengaran letupan sehingga tenggara daerah Salaheddine.
Beliau berkata, serangan itu mensasarkan kawasan ketenteraan di lokasi terbabit. - AFP

Menteri luar Gaddafi letak jawatan, tiba di London


LONDON: Menteri Luar Libya, Mussa Kussa, terbang ke Britain dan mengumumkan beliau meletakkan jawatan serta tidak mahu mewakili rejim pemerintah Tripoli itu.

Kenyataan Pejabat Luar Negera, berkata Mussa tiba di Lapangan Terbang Farnborough, barat London.
"Beliau melakukan perkara itu atas kehendak sendiri. Beliau memberitahu kami sudah meletakkan jawatan. Musa adalah pemimpin kanan kerajaan Muammar Gaddafi dan beliau tidak mahu mewakili kerajaan rejim itu di peringkat antarabangsa," tambahnya lagi. - AFP

AS belanja RM1.67b operasi tentera di Libya



WASHINGTON: Amerika Syarikat membelanjakan AS$550 juta (RM1.67 bilion) setakat ini untuk operasi ketenteraan di Libya, namun kos dijangka stabil kepada AS$40 juta (RM121.16 juta) sebulan sebaik saja pembabitan tentera Amerika dikurangkan dan NATO mengambil alih kawalan lebih besar.


Jabatan Pertahanan berkata kelmarin kira-kira 60 peratus daripada kos berkenaan adalah untuk peluru berpandu dan bom dengan bakinya untuk memindahkan anggota tentera ke rantau itu dan operasi tempur.
Komander atasan operasi NATO memberitahu senator Amerika bahawa operasi ketenteraan Amerika di Libya, di mana tentera Muammar Gaddafi sedang memerangi pasukan pemberontak yang mahu menyingkirkannya, menelan belanja ratusan juta dollar setakat ini.
“Boleh dikatakan operasi itu menelan belanja ratusan juta dolar,” kata Laksamana James Stavridis, yang juga Komander Tertinggi Sekutu NATO, Eropah dan komander Markas Eropah Amerika, ketika memberi keterangan dalam Senat Amerika.


Jurucakap Pentagon Komander Tentera Laut Kathleen Kesler berkata agak sukar untuk menganggarkan kos akan datang, namun berkata Pentagon menjangka untuk membelanjakan AS$40 juta dalam tempoh tiga minggu akan datang ketika Amerika mengurangkan tenteranya di rantau itu dan NATO mengambil alih banyak tanggungjawab.


“Kos masa depan masih tidak menentu walaupun Pentagon menjangka operasi berterusan di Libya menelan belanja kira-kira AS$40 juta sebulan, jika tenteranya beroperasi pada tahap rendah yang dirancangkan,” katanya.


Anggaran itu tidak termasuk kos jet pejuang F-15 yang terhempas di Libya berikutan kegagalan mekanikal, kata Kesler.
Penganalisis pertahanan Byron Callan dari Capital Alpha Partners, berkata operasi ketenteraan di Libya tidak dijangka memberi kesan material ke atas bekalan pertahanan Amerika, terutama kini jet pejuang diletakkan di pangkalan di Itali, mengurangkan keperluan mengisi minyak dalam penerbangan. – Reuters 

Banjir di Thailand ragut 21 nyawa


BANGKOK: Banjir di seluruh Thailand menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan beribu-ribu yang lain terkandas di pulau percutian yang dilanda ribut ketika sebuah pesawat tentera laut digunakan dalam operasi menyelamat.

Jumlah mangsa dihanyutkan air atau tertanam dalam banjir lumpur meningkat ketika hujan berterusan di luar musim yang menenggelamkan kebanyakan rumah dan premis perniagaan membabitkan satu juta penduduk.
Penduduk juga terputus bekalan elektrik di kebanyakan kawasan dinaiki air, manakala jalan raya, landasan kereta api dan rangkaian udara ke wilayah selatan masih lagi ditutup.
Beribu-ribu pelancong terkandas di pulau peranginan Koh Samui dan Koh Tao di Teluk Thailand berikutan perkhidmatan feri dibatalkan kerana keadaan cuaca buruk.

Timbalan perdana menteri, Suthep Thaugsuban berkata kerajaan menghantar sebuah pesawat untuk membawa keluar kira-kira 1,000 orang yang terkandas di Koh Tao.

“Ada kira-kira satu juta penduduk terjejas di kebanyakan wilayah. Pada mulanya kami menyangka bahawa banjir hanya selama satu dua hari tetapi kini sudah seminggu,” katanya kepada pemberita.

Bangkok Airways berkata kira-kira 2,000 orang kebanyakan mereka adalah pelancong terkandas di pulau Samui sama ada di lapangan terbang atau di hotel selepas syarikat penerbangan terbabit membatalkan penerbangan selama dua hari berturut-turut.
Kira-kira 800 penumpang juga menunggu di Bangkok untuk ke pulau terbabit.

Cuaca buruk dan bekalan elektrik terputus di lapangan terbang Samui menyebabkan 50 penerbangan terkandas pada Isnin dan Selasa.

Banjir yang bermula di selatan Thailand seminggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh penduduk terbunuh di wilayah Nakhon Si Thammarat, tiga di sepanjang pantai Surat Thani dan seorang di wilayah berjiran, Phattalung. – AFP

Presiden loji nuklear masuk hospital



LOJI Fukushima Dai-ichi di Okumamachi, Fukushima musnah teruk akibat tsunami 11 Mac lalu.
LOJI Fukushima Dai-ichi di Okumamachi, Fukushima musnah teruk akibat tsunami 11 Mac lalu.

Krisis terbaru menimpa TEPCO ketika bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa

TOKYO: Bacaan tahap radiasi dalam air laut berhampiran loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mencatatkan paras tertinggi semalam ketika presiden syarikat pengendali loji itu dimasukkan ke hospital.
Presiden Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Masataka Shimizu, tidak kelihatan hampir dua minggu selepas muncul dalam satu sidang media di sini, dua hari selepas gempa bumi yang merosakkan sistem penyejukan loji Fukushima Dai-ichi dan menyebabkan kebocoran radiasi.
Shimizu, 66, dibawa ke sebuah hospital di sini, kelmarin selepas mengadu pening dan mengalami tekanan darah tinggi, kata jurucakap TEPCO, Naoki Tsunoda.

Sebelum ini terdapat banyak spekulasi berhubung kesihatan Shimizu sejak beliau menghilangkan diri dari pandangan umum, dengan Naib Presiden syarikat Sakae Muto muncul menggantikannya dalam taklimat berita.

Pihak berkuasa TEPCO sebelum ini tidak banyak menjawab soalan berhubung kesihatan Shimizu, hanya menyatakan beliau sedang ‘berehat’ di ibu pejabat syarikat.

Ia adalah krisis terbaru yang menimpa TEPCO yang masih bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa yang terlebih panas dan membendung radiasi menyusup dari kompleks loji ke laut dan tanah berhampiran.
Gempa dengan magnitud 9.0 menghasilkan tsunami yang memutuskan bekalan elektrik dan sistem sokongan penting untuk memastikan suhu turun di dalam loji reaktor.
Penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji dipindahkan dua minggu lalu, sementara mereka yang tinggal 30 kilometer digesa berpindah secara sukarela sejak beberapa hari lalu.

Paras radiasi meningkat di sekitar loji, sayuran, susu mentah dan air.
Minggu lalu, air paip sejauh Tokyo ini terletak 220 kilometer ke selatan dikesan mengandungi paras iodin-131 penyebab kanser dianggap tidak selamat untuk bayi.

Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut di luar loji didapati mengandungi 3,335 kali paras biasa iodin radioaktif iaitu kadar tertinggi setakat ini dan ia satu tanda bahawa lebih banyak air tercemar memasuki laut.

Jumlah iodin-131 ditemui di tepi pantai 300 meter selatan loji itu tidak memberi satu ancaman segera kesihatan manusia namun ia satu ‘kebimbangan’, kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Hidehiko Nishiyama, semalam.
Katanya kegiatan menangkap ikan tidak berlaku di kawasan itu.

“Kami akan menamatkan punca dan melakukan sedaya upaya untuk menghalangnya daripada terus meningkat,” katanya.

Nishiyama sebelum ini mengakui sesetengah air tercemar dari loji itu menyusup ke dalam laut, namun tidak jelas bahagian loji mana yang bocor.

Plutonium yang amat toksik turut ditemui menyusup ke dalam tanah di luar loji, kata TEPCO.

Pegawai keselamatan berkata, jumlah itu tidak memberi risiko kepada manusia, namun beberapa penemuan menyokong perasaan curiga bahawa air radioaktif berbahaya bocor dari rod bahan api nuklear yang rosak. – AP 

Uganda mempertimbangkan perlindungan buat Gaddafi

KAMPALA 31 Mac - Uganda akan mempertimbangkan permohonan perlindungan dari pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, seperti yang dilakukan kepada sesiapa yang menjadi pelarian di negara Afrika Timur.
Menurut Menteri Rendah Hal Ehwal Luar Negara, Henry Okello Oryem, dia serta menteri-menteri lain ada berbincang berkenaan Libya di dalam mesyuarat Kabinet tetapi tidak menyebut secara khusus tentang perlindungan.
“Namun, jika Gaddafi memohon perlindungan di Uganda, kami akan mempertimbangkannya seperti yang dilakukan kepada pelarian lain,” ujarnya. - Reuters

Kanak-kanak tiga tahun seberat 62kg


Lu Hao yang baru berusia 3 tahun bermain bola di kawasan rumahnya di Foshan, Guangdong di China. - REUTERS

BEIJING 30 Mac - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di China menggemparkan laman Internet minggu lalu apabila mempunyai berat 62 kilogram.
Lu Hao dikatakan boleh memakan tiga mangkuk besar nasi sekali hidangan dan akan mengamuk selagi tidak kenyang.
The Sun melaporkan, ibu bapa kepada kanak-kanak itu, Lu Yuncheng dan Chen Huan bimbang dengan pembesaran melampau anak mereka itu dan cuba mengurangkan makanannya, tetapi tidak berjaya kerana Lu Hao akan menangis tanpa henti.
Mereka juga telah cuba menggalakkannya berdiet tetapi turut gagal.
Lu Hao dilaporkan mengalami peningkatan lebih 9 kilogram tahun lalu.
Menurut Lu Yuncheng, anaknya itu hanya seberat 2.5 kilogram ketika dilahirkan, tetapi kini berat badannya lima kali lebih berat dari kanak-kanak seusianya. - AGENSI

Anggota kanan JI ditahan





JAKARTA 30 Mac - Anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) dan ejen al-Qaeda, Umar Patek (gambar) yang dikehendaki berhubung serangan bom di Bali pada 2002 ditangkap di Pakistan pada awal bulan ini.
Penangkapan militan warga Indonesia itu dipercayai boleh membantu pihak berkuasa mendapat maklumat perisikan berharga mengenai al-Qaeda dan komplot serangan akan datang.
Maklumat mengenai penangkapan Umar didedahkan oleh dua pegawai perisikan yang enggan dikenali di Indonesia dan Filipina, tetapi tidak jelas sama ada Pakistan menangkapnya tanpa dirancang atau hasil maklumat perisikan.
"Pasukan perisikan kami sedang mengesahkan maklumat itu dengan pihak berkuasa Pakistan bagi memastikan orang yang ditangkap benar-benar Umar, dan jika betul orangnya, itu berita sangat baik bagi kami," kata ketua Agensi Antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai.
Tidak ada butir lanjut mengenai kegiatan Umar di Pakistan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia berada di negara itu untuk merancang serangan dengan ketua operasi al-Qaeda menjelang hari ulang tahun ke-10 serangan 11 September, 2011 di Amerika Syarikat (AS).
Umar, 40, berketurunan Arab-Jawa dikenali oleh perkhidmatan perisikan di seluruh dunia dan dipercayai menjadi timbalan komander medan JI dalam letupan kelab malam yang membunuh 202 orang di Bali pada 2002.
AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) untuk penangkapan Umar, yang dikenali sebagai 'Arab kecil', kerana serangan yang turut membunuh tujuh warga AS itu.
Umar melarikan diri ke Filipina selepas serangan di Bali, mendapat perlindungan dan menjalani latihan dengan pertubuhan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kemudian dengan kumpulan Abu Sayyaf, kata pakar keselamatan.
Namun, dia dipercayai terus terlibat secara aktif dalam operasi JI di Indonesia dan penangkapannya di Pakistan dijangka membangkitkan persoalan bagaimana seorang militan begitu berprofil tinggi boleh melakukan perjalanan merentasi sempadan antarabangsa.
Umar adalah antara komander kanan terakhir JI yang mempunyai pengalaman luas di kem asal al-Qaeda di Afghanistan. - AP

Diskriminasi Islam di Amerika



WASHINGTON 30 Mac – Penduduk Islam Amerika Syarikat (AS) berhadapan diskriminasi agama yang semakin meningkat di tempat kerja dan sekolah sejak 10 tahun selepas serangan 11 September 2011, demikian satu jawatankuasa Kongres dimaklumkan, semalam.
Bukti ketaksuban antiIslam itu disiarkan semasa inkuiri di jawatankuasa kecil Kehakiman Senat, sekali gus menyukarkan tugas pentadbiran Presiden Barack Obama untuk memelihara hubungan baik dengan masyarakat Islam AS dan menjamin bantuan kepada golongan itu daripada ancaman keganasan dalam negara.
Bagaimanapun, cabaran itu diburukkan lagi dengan ulasan oleh pegawai kerajaan dan individu berpengaruh yang mengapi-apikan lagi perbahasan awam dan mengancam untuk memudahkan lagi diskriminasi, menurut keterangan saksi.
“Kami akan terus mendapatkan dan menerima sokongan penduduk Islam AS yang sayangkan negara ini dan yang bekerja dengan kerajaan kami untuk melindunginya.
“Pada masa sama, ramai penduduk Islam AS yang mematuhi undang-undang berhadapan diskriminasi dan dakwaan yang menyatakan mereka bukan rakyat AS sebenar hanya kerana agama mereka,” kata Senator daripada Parti Demokrat, Dick Durbin yang mempengerusikan prosiding tersebut.
Anggota panel daripada Parti Republikan, Senator Lindsey Graham pula berkata, beliau menyokong hak penduduk Islam AS, tetapi meminta golongan itu lebih proaktif dalam melindungi AS daripada serangan.
“Mari sama-sama menyertai perjuangan ini. Anda perlu membantu negara, anda juga unik berbanding orang lain kerana anda lebih faham apa yang berlaku dan perlu berjuang,” katanya.
Seorang pembantu peguam negara untuk hak sivil, Thomas Perez memberitahu panel, sentimen antiIslam semakin meningkat sejak Mei tahun lalu dalam kes-kes diskriminasi persekutuan, melibatkan hak guna tanah dan beberapa pihak berkuasa tempatan juga dilapor menghalang pembinaan masjid di kawasan mereka.
Jelas beliau, kadar diskriminasi di tempat kerja juga meningkat 150 peratus, termasuk melibatkan etika pemakaian dan jadual solat, sementara golongan muda Islam pula selalu menjadi mangsa buli di sekolah-sekolah. – Reuters

Junta tentera Myanmar dibubar



GAMBAR yang dipetik daripada rakaman televisyen kerajaan Myanmar, MRTV menunjukkan majlis angkat sumpah Thein Sein sebagai presiden republik tersebut di Parlimen di ibu negara barunya, Naypyidaw, semalam. – AFP


YANGON 30 Mac – Junta tentera Myanmar yang memegang kuasa selama hampir 50 tahun dibubarkan hari ini sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan awam.
Junta yang dikenali dengan nama rasminya Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) ‘telah dibubarkan secara rasmi’, lapor televisyen kerajaan dengan memetik arahan yang ditandatangani oleh Jeneral Kanan Than Shwe.
Than Shwe yang menjalankan pemerintahan autoritarian sejak 1992 disebut hanya sebagai ‘Pengerusi SDPC’ dalam laporan itu dan beliau dipercayai telah digantikan sebagai ketua komander tentera.
SPDC, sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketenteraman Negara (SLORC) merampas kuasa pada 1988, tetapi Myanmar diperintah oleh junta tentera sejak 1962.
Pengumuman bersejarah mengenai pembubaran junta itu dibuat selepas seorang pegawai berkata, seorang ketua tentera baru menghadiri majlis angkat sumpah sekutu rapat Than Shwe, Thein Sein sebagai Presiden Myanmar.
Jeneral Min Aung Hlaing hadir pada majlis angkat sumpah itu selaku Ketua Komander Angkatan Bersenjata negara ini, iaitu jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Than Shwe.
Than Shwe dijadual bersara daripada angkatan bersenjata tetapi akan terus memainkan pengaruh besar di sebalik tabir memandangkan ramai sekutunya kini menduduki jawatan utama dalam kerajaan baru.
Turut mengangkat sumpah pada majlis di ibu negara baru, Naypyidaw tersebut ialah kedua-dua Naib Presiden, Tin Aung Myint Ooo dan Sai Mauk Kham serta anggota Kabinet yang lain.
“Semua sekali 58 anggota baru Kabinet termasuk Presiden, dua Naib Presiden, menteri dan pegawai mengangkat sumpah pagi ini di Parlimen Kesatuan di Naypyidaw,” kata seorang pegawai.
Parti yang disokong junta, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya November lalu, dengan menguasai 388 daripada 493 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai suara di Parlimen baru, kerana partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dibubarkan kerana memilih untuk memboikot pilihan raya. – AFP

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas


SENDAI 30 Mac - Jepun hari ini menimbangkan rancangan untuk menyelubungi bangunan-bangunan reaktor nuklear yang rosak di Fukushima dengan kain penutup khas bagi membendung radiasi, dan mengepam air radioaktif ke dalam sebuah kapal tangki yang berlabuh di luar pesisir.

Pihak berkuasa belum dapat menstabilkan keadaan di loji nuklear yang terlampau panas dan mengeluarkan radiasi itu.
Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan dalam usaha Jepun untuk menyelesaikan krisis nuklear terburuk di dunia sejak malapetaka Chernobyl 25 tahun lalu, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano hari ini.
Langkah itu termasuk menyelubungi tiga bangunan reaktor yang rosak teruk dengan kain penutup khas dan memasang penapis udara untuk membataskan radiasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.
Satu lagi rancangan ialah menempatkan sebuah kapal tangki kosong di perairan dekat reaktor No. 2, supaya pekerja boleh mengepam air radioaktif menyamai kapasiti beberapa kolam renang Olimpik ke dalam badan kapal.
"Kami berada dalam situasi luar biasa, kerana itu kami perlu memikirkan pelbagai strategi, selain yang biasa kami fikirkan," kata seorang pegawai agensi keselamatan nuklear.
Kerajaan turut mengarahkan langkah keselamatan ditingkatkan segera di kesemua 55 loji tenaga nuklear di negara ini.
Arahan itu menandakan pengakuan pertama kerajaan bahawa piawai keselamatan tidak memadai apabila gempa bumi dan tsunami merosakkan kompleks nuklear di Fukushima hampir tiga minggu lalu.
Sementara itu kebocoran radiasi terus dikesan di sekitar loji tersebut, dengan bacaan menunjukkan iodin radioaktif di laut berhampiran pada tahap 3,355 kali paras dibenarkan. - AFP/Reuters

Obama yakin pemimpin Libya akan tumbang


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam berkata, beliau yakin Muammar Gaddafi akan meletak jawatan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan membekalkan senjata kepada pemberontak yang berusaha menggulingkan pemimpin Libya itu.

Menurut Obama, Gaddafi kian tersepit tetapi pada masa sama berkata, setakat ini belum ada tanda-tanda menunjukkan Gaddafi mahu berunding untuk meninggalkan negaranya meskipun tenteranya berdepan dengan serangan besar-besaran pasukan bersekutu.

Obama berkata demikian ketika diwawancara oleh tiga rangkaian televisyen sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertahankan dasarnya berhubung Libya.

Kenyataan Obama menggambarkan cubaan oleh tentera Amerika dan sekutu Baratnya bagi meningkatkan tekanan terhadap Gaddafi dan tenteranya bagi menggulingkan pemimpin Libya itu.

“Jangkaan kami ialah apabila kita meneruskan tekanan, bukan sahaja menerusi tindakan ketenteraan tetapi juga dengan cara lain, Gaddafi akhirnya akan meletak jawatan,” kata Obama dalam wawancara dengan NBC. Obama, ketika berucap kepada rakyat Amerika Isnin lalu berkata, walaupun beliau akan menggunakan tentera untuk melindungi orang awam, usaha untuk menggulingkan Gaddafi secara paksa akan mengulangi kemusnahan dan kos yang tinggi seperti yang berlaku pada Perang Iraq. - AP

Arab Saudi tahan profesor tuntut pembebasan tahanan


RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seorang profesor universiti sehari selepas beliau menggesa pembebasan anggota keluarganya dan tahanan lain.
“Dr Mubbarak bin Zuair sepatutnya memberitahu berita baik itu kepada penunjuk perasaan di depan Kementerian Penerangan yang membantah lanjutan penahanan keluarga masing-masing, bahawa sebahagian mereka akan dibebaskan,” menurut kenyataan Persatuan Hak Asasi Pertama (HRFS).

“Bagaimanapun, pada jam 10.30 pagi 20 Mac lalu, ketika dalam perjalanan ke Kementerian Penerangan, tempat tunjuk perasaan diadakan, Mubbarak ditahan oleh polis rahsia,” katanya.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mansour al-Turki tidak dapat mengesahkan penahanan Mubbarak, profesor Universiti Alimmam Mohammad Bin Saud di Riyadh. - Reuters

Kena ikat perut


YAMAGATA: Penduduk di Yonezawa, di sini sukar mendapatkan keperluan harian termasuk makanan dan bekalan minyak petrol, diesel atau gasolin hingga terpaksa ke bandar lain mendapatkan bekalan.
Pengurus Bahagian Inovasi Marusada Co Ltd, Mahathir Mohammad Rafie, berkata barangan makanan seperti sayur, roti dan susu sukar diperoleh selama dua minggu selepas kejadian gempa dan tsunami berlaku.

Menurutnya, penduduk terpaksa ke bandar lain kira-kira 100 kilometer atau dua jam perjalanan hanya untuk mendapatkan sayur dan roti, namun itu juga terpaksa mengambil kira bekalan petrol.

“Di sini kekurangan minyak, selepas tragedi itu memang sukar mendapatkan petrol. Namun ketika ini keadaan semakin pulih dan setiap kali bekalan minyak tiba, penduduk akan beratur untuk membelinya.

“Kebiasaannya bekalan disalurkan tidak banyak, sekejap saja habis. Inilah yang kami terpaksa hadapi,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik, Mohammad Hanis Shahabudin, 22, berkata selain masalah kekurangan bekalan makanan, mereka di sini juga kesejukan apabila tiada minyak gasolin untuk alat pemanas.

“Cuaca dan suhu di sini tidak menentu selepas bencana gempa dan tsunami, kadang-kadang salji turun dengan lebat dan suhu menjadi terlalu sejuk, alat pemanas kami tidak boleh digunakan kerana tiada minyak.

“Sejak dua minggu lalu kami terpaksa mengikat perut dengan hanya makan telur saja kerana bekalan makanan tiada dan untuk ke pasar raya terdekat mengambil kira-kira dua jam perjalanan,” katanya.

Russia bantah Barat bekal senjata kepada pemberontak


MOSCOW: Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata semalam, negaranya percaya kuasa asing tidak mempunyai hak untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Libya menerusi resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Menteri Luar Perancis baru-baru ini berkata negaranya bersedia berbincang dengan rakan sekutunya untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Libya,” kata Lavrov, merujuk kepada persidangan London kelmarin.

“Sejurus selepas itu, Setiausaha Agung Nato, Fogh Rasmussen berkata operasi di Libya dilakukan untuk melindungi penduduknya, bukan untuk melengkapkan mereka dengan senjata. Kami amat bersetuju dengan Setiausaha Agung Nato itu,” kata Lavrov.

Alain Juppe berkata pada mesyuarat berkenaan, negaranya bersedia berbincang untuk membekalkan senjata bagi membantu pemberontak Libya menentang tentera Gaddafi.

Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton berkata, isu itu tidak dibincangkan di London sambil menegaskan, takrifan Washington berhubung ketetapan 1973 Majlis Keselamatan PBB ‘mengatasi larangan mutlak mengenai senjata kepada sesiapa di Libya.’ Dalam pada itu, Lavrov mengulangi, Russia percaya sudah tiba masanya untuk Gaddafi meletakkan jawatan dan membenarkan rakyat itu menentukan bentuk baru kerajaan negara itu. - AP

Gaddafi tawan semula Ras Lanuf


ORANG RAMAI mengusung keranda seorang pemuda, Munther Da'as ketika majlis pengebumian di bandar Al-Azizya, kira-kira 40 kilometer dari Tripoli, semalam. Da'as, 23, terbunuh ketika serangan udara Ahad lalu di pelabuhan perikanan di Sirt. - Foto Reuters 



UQAYLA: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam menawan Ras Lanuf, bandar minyak penting di Libya, menyebabkan pemberontak meninggalkan bandar itu.
Sementara itu, kuasa dunia masih berbahas mengenai rancangan membekalkan senjata kepada pemberontak yang berusaha menggulingkan pemimpin Libya itu.

Wartawan memetik anggota pemberontak sebagai berkata, tentera Gaddafi menawan Ras Lanuf, bandar strategik yang menjadi pusat penapisan minyak selepas membedil kedudukan pemberontak dengan kereta kebal dan meriam.
Beratus-ratus pemberontak melarikan diri menerusi Uqayla, 20 kilometer ke timur Ras Lanuf. “Kami mahu Perancis mengebom askar Gaddafi,” kata seorang pemberontak, Ali Atia al-Faturi.

Beratus-ratus kereta dan pikap bergegas meninggalkan Uqayla dan Brega, satu lagi bandar penting, kira-kira 240 kilometer ke selatan Benghazi, kubu kuat pemberontak.

“Kami berdepan dengan masalah besar. Kami terpaksa berundur. Tentera Gaddafi melepaskan tembakan roket dan kereta kebal,” kata seorang lagi pemberontak, Salama Dadida.
Selasa lalu, kumpulan penentang Gaddafi itu berada kira-kira 100 kilometer dari Sirte, bandar kelahiran pemimpin Libya itu sebelum berdepan dengan tentangan sengit, sekali gus menggagalkan kemaraan mereka yang dilakukan ketika Britain, Perancis dan Amerika Syarikat mula melancarkan serangan udara pada 19 Mac.

Dalam perkembangan semalam, pemberontak yang berdepan dengan serangan sengit melarikan diri beramai-ramai di jalan pantai yang berdebu dengan kebanyakannya menaiki pikap.
Mereka berkumpul di Ras Lanuf malam kelmarin tetapi tentera Gaddafi melancarkan serangan itu pada waktu subuh. - 

RM50 juta setahun selenggara kapal selam




KAPAL selam pertama milik Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dianggarkan RM50 juta setahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.
Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat semalam, beliau memberitahu, kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn. Bhd..
Jelasnya, kontrak antara kerajaan dan syarikat itu meliputi perjanjian selama enam tahun.
"Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakannya pada bila-bila masa," katanya.
-kosmo

Malaysia 'mangsa' gempa jiran




PETA menunjukkan kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ada kemungkinan turut menerima kesan jika berlaku gempa bumi kuat di negara-negara jiran.


KUALA LUMPUR – Kajian mendapati Malaysia akan turut berisiko menerima tempias gegaran dari semasa ke semasa sekiranya bencana alam yang teruk berlaku di Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina.
Walaupun negara ini tidak termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik namun fenomena itu diakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains sendiri melalui kajian yang dilakukan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, jika gempa bumi melanda Sumatera, sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia akan terasa gegaran manakala Sabah dan Sarawak pula menerima kesan sama jika bencana itu berlaku di Filipina.
“Kepingan tektonik bumi dan titik gempa di negara ini dalam keadaan solid (kukuh) berbanding negara lain yang sentiasa aktif.
“Namun negara ini tidak akan terlepas merasai gegaran sama ada kuat atau sedikit akibat tempias daripada kedua-kedua negara itu dan ia bergantung kepada skala di mana titik gempa di dua negara itu sama ada cetek atau dalam,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.
-kosmo

Ritz-Carlton hotel tertinggi di dunia




HOTEL Ritz-Carlton Hong Kong menawarkan penginapan mewah kepada pengunjungnya.


HONG KONG - Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi hotel paling tinggi dan bangunan keempat tertinggi di dunia selepas dibuka kepada orang awam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Hotel yang berada di tingkat 102 ke-118 di Pusat Perdagangan Antarabangsa (ICC) itu mempunyai 312 buah bilik. Ia menawarkan pemandangan bandar dan pelabuhan, selain menyediakan kemudahan seperti pusat beli-belah seluas 93,000 meter persegi, enam buah restoran, spa dan kolam renang.
Menurut Presiden rangkaian hotel mewah itu, Herve Humler, Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi sebuah mercu tanda kepada kemuncak kejayaan selepas kerja keras selama bertahun-tahun.
"Kami mampu merealisasi sebuah hotel yang betul-betul hebat. Jadi kami mengalu-alukan tetamu bukan sahaja ke hotel yang tertinggi di dunia, malah hotel yang terbaik," katanya.
Selain itu, Ritz-Carlton telah meletakkan rasa mewah ke tahap yang baru dalam semua aspek. Menara hotel itu juga kelihatan jauh lebih tinggi daripada bangunan sekelilingnya. - Agensi
-kosmo

Bom gugur dekat istana Gaddafi




SEBUTIR bom yang digugurkan hampir mengenai kawasan istana Muammar Gaddafi di Tripoli.


TRIPOLI - Seorang jurugambar profesional, Mahmud Turkia berjaya merakam detik beberapa butir bom yang digugurkan dari udara dan hampir mengenai kediaman rasmi pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, lapor sebuah akhbar semalam.
Kawasan pinggir bandar Taiura yang terletak di ibu negara Libya, Tripoli menjadi sasaran serangan udara tentera bersekutu Barat pada Isnin lalu.
Asap tebal dan api menjulang ke udara dapat dililihat selepas bom-bom berbentuk peluru itu mengenai kawasan berhampiran istana berkenaan.
Ketika kejadian, beberapa pesawat pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilaporkan terbang melintasi kawasan itu. - Agensi
-kosmo

Britain akan bekal senjata kepada pemberontak




PEJUANG pemberontak bergegas menaiki trak ketika berundur dari serangan meriam tentera Gaddafi di antara bandar Ajdabiyah dan Brega.


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam tidak menolak rancangan untuk melengkapkan pihak pemberontak yang memerangi tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan senjata.
"Britain tidak menolaknya, tetapi kami juga belum memutuskan untuk melaksanakan rancangan itu," kata Cameron kepada Parlimen Britain ketika disoal tentang dasar Britain mengenai isu tersebut di sebalik sekatan senjata yang dikenakan ke atas Libya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Cameron, resolusi PBB, termasuk penguatkuasaan zon larangan terbang dan sekatan senjata ke atas Libya, tidak membabitkan operasi membekalkan senjata kepada pemberontak yang memerangi rejim Gaddafi.
"Peraturan PBB jelas, sekatan senjata itu melibatkan semua wilayah Libya," kata Cameron
"Namun, pada masa yang sama, Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 1973 membenarkan semua bentuk tindakan bagi melindungi orang awam dan kawasan penduduk awam. Kami berpendapat, bantuan senjata perlu untuk membantu mereka (pemberontak) melindungi orang awam Libya dalam situasi sekarang," tambahnya.
Pendirian Cameron itu senada dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menimbang untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Libya.
Setakat ini, Perancis turut menyokong rancangan itu tetapi ia ditentang oleh Rusia.
Sementara itu, pihak pemberontak Libya terus berundur semalam apabila mereka dibedil meriam tentera Gaddafi, sekali gus menunjukkan bahawa mereka lemah tanpa serangan udara Barat.
Pengunduran mendadak itu berlaku dua hari selepas tentera pemberontak mara di sepanjang jalan raya pesisir pantai barat Libya untuk memburu tentera Gaddafi.
Tentera pemimpin Libya berusia 68 tahun itu berundur dari bandar Ajdabiyah selepas deretan kereta kebal dan artileri mereka musnah dalam serangan udara Barat selama lima hari.
Mereka kemudian menyerang hendap konvoi pemberontak di luar bandar pemimpin itu, Sirte manakala bandar Nawfaliyah, Bin Jawad dan Ras Lanuf turut jatuh dalam serangan balas tentera Gaddafi.
"Kami hanya memiliki raifal dan mesingan. Kami tidak berdaya menentang meriam serta trak pelancar roket Gaddafi," kata seorang pejuang pemberontak. - Agensi
-kosmo