Pages

Thursday, March 31, 2011

Obama yakin pemimpin Libya akan tumbang


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam berkata, beliau yakin Muammar Gaddafi akan meletak jawatan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan membekalkan senjata kepada pemberontak yang berusaha menggulingkan pemimpin Libya itu.

Menurut Obama, Gaddafi kian tersepit tetapi pada masa sama berkata, setakat ini belum ada tanda-tanda menunjukkan Gaddafi mahu berunding untuk meninggalkan negaranya meskipun tenteranya berdepan dengan serangan besar-besaran pasukan bersekutu.

Obama berkata demikian ketika diwawancara oleh tiga rangkaian televisyen sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertahankan dasarnya berhubung Libya.

Kenyataan Obama menggambarkan cubaan oleh tentera Amerika dan sekutu Baratnya bagi meningkatkan tekanan terhadap Gaddafi dan tenteranya bagi menggulingkan pemimpin Libya itu.

“Jangkaan kami ialah apabila kita meneruskan tekanan, bukan sahaja menerusi tindakan ketenteraan tetapi juga dengan cara lain, Gaddafi akhirnya akan meletak jawatan,” kata Obama dalam wawancara dengan NBC. Obama, ketika berucap kepada rakyat Amerika Isnin lalu berkata, walaupun beliau akan menggunakan tentera untuk melindungi orang awam, usaha untuk menggulingkan Gaddafi secara paksa akan mengulangi kemusnahan dan kos yang tinggi seperti yang berlaku pada Perang Iraq. - AP

No comments: