Pages

Thursday, March 31, 2011

Banjir di Thailand ragut 21 nyawa


BANGKOK: Banjir di seluruh Thailand menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan beribu-ribu yang lain terkandas di pulau percutian yang dilanda ribut ketika sebuah pesawat tentera laut digunakan dalam operasi menyelamat.

Jumlah mangsa dihanyutkan air atau tertanam dalam banjir lumpur meningkat ketika hujan berterusan di luar musim yang menenggelamkan kebanyakan rumah dan premis perniagaan membabitkan satu juta penduduk.
Penduduk juga terputus bekalan elektrik di kebanyakan kawasan dinaiki air, manakala jalan raya, landasan kereta api dan rangkaian udara ke wilayah selatan masih lagi ditutup.
Beribu-ribu pelancong terkandas di pulau peranginan Koh Samui dan Koh Tao di Teluk Thailand berikutan perkhidmatan feri dibatalkan kerana keadaan cuaca buruk.

Timbalan perdana menteri, Suthep Thaugsuban berkata kerajaan menghantar sebuah pesawat untuk membawa keluar kira-kira 1,000 orang yang terkandas di Koh Tao.

“Ada kira-kira satu juta penduduk terjejas di kebanyakan wilayah. Pada mulanya kami menyangka bahawa banjir hanya selama satu dua hari tetapi kini sudah seminggu,” katanya kepada pemberita.

Bangkok Airways berkata kira-kira 2,000 orang kebanyakan mereka adalah pelancong terkandas di pulau Samui sama ada di lapangan terbang atau di hotel selepas syarikat penerbangan terbabit membatalkan penerbangan selama dua hari berturut-turut.
Kira-kira 800 penumpang juga menunggu di Bangkok untuk ke pulau terbabit.

Cuaca buruk dan bekalan elektrik terputus di lapangan terbang Samui menyebabkan 50 penerbangan terkandas pada Isnin dan Selasa.

Banjir yang bermula di selatan Thailand seminggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh penduduk terbunuh di wilayah Nakhon Si Thammarat, tiga di sepanjang pantai Surat Thani dan seorang di wilayah berjiran, Phattalung. – AFP

No comments: