Pages

Sunday, September 25, 2011

Diplomat liat bayar saman RM53.81 juta





2011/09/25

NEW YORK: Diplomat pelbagai negara berhutang saman tempat letak kereta hampir AS$17 juta (RM53.81 juta) dengan bandar raya ini, termasuk AS$725,000 (RM2.29 juta) oleh diplomat Indonesia, satu jumlah besar yang mungkin meningkat minggu ini ketika pemimpin dunia berkumpul pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). 

Jabatan Kewangan bandar berkata, saman tempat letak kereta tidak berbayar berjumlah AS$16.7 juta (RM52.86 juta) hingga akhir Julai lalu. Mesir mengungguli senarai dengan saman sebanyak AS$1.9 juta (RM6.01 juta) diikuti Nigeria dengan kira-kira AS$1 juta (RM3.17 juta) manakala Indonesia dengan kira-kira AS$725,000.
Anggota kongres Amerika Syarikat Michael Grimm, Peter King dan Edolphus Towns memperkenalkan undang-undang yang mungkin mengenakan sekatan ke atas negara yang diplomatnya gagal membayar saman tempat letak kereta di bandar raya ini.
Kami hanya bayangkan berapa banyak yang dikumpul minggu ini, kata jurucakap Grimm, Carol Danko, mengenai diplomat dan pemimpin dunia yang bertemu di PBB di sini. 

Mengikut undang-undang terkini, 110 peratus jumlah saman tempat letak kereta tidak berbayar yang dihutang kepada Bandar Raya New York dan Washington akan ditahan daripada bantuan asing dan menjadi kewajipan terhadap negara yang melakukan kesalahan itu untuk membayarnya. 

Namun bandar raya itu tidak mendapat mana-mana wang terbabit, kata Danko. 

Cadangan perundangan meminta Jabatan Negara Amerika menafikan pembaharuan lesen diplomatik kepada mana-mana negara dengan saman tempat letak kereta tertunggak. 
Bandar raya ini didiami kira-kira 289 misi asing dan konsulat. Saman diplomat dikeluarkan untuk pelanggaran keselamatan termasuk menghalang pili bomba. 

Tiada perkara seperti kekebalan diplomatik daripada membayar saman tempat letak kereta. Jika anda mendapat saman di New York, anda perlu membayarnya. 
Tiada pengecualian. Bajet Bandar Raya New York cukup ketat seperti sedia ada dan diplomat asing tidak berhak mendapatkan pas percuma atas perbelanjaan pembayar cukai Bandar Raya New York. kata Grimm apabila perundangan itu diperkenalkan Mei lalu. Reuters 

No comments: