Pages

Monday, April 19, 2010

Apabila jenayah berlaku di depan rumah





RAKYAT sudah diperjelaskan secara terperinci apa sebenarnya projek menaik taraf sistem laporan polis (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa melibatkan perisik Israel.
Jawapan yang dikemukakan oleh kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa walaupun ia lebih menjurus kepada soal teknikal. Tanpa menafikan wujudnya ahli lembaga pengarah berasal dari Israel pada entiti asal Asiasoft, apa yang disalah mengertikan adalah proses mengambil alih Asiasoft yang kemudiannya memisahkan sama sekali hubungan kerja dengan mereka.
Lagi pun secara logik, PDRM tidak akan mudah terjebak untuk mengguna pakai kepakaran Israel, yang bukan sahaja bertentangan dengan dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf negara Yahudi itu, malah dikhuatiri menjadi platfrom untuk rejim Zionis menyelinap dan merisik kegiatan pasukan keselamatan kita.
Nampaknya pasukan polis tidak putus-putus dipolitikkan. Tatkala sebahagian daripada rakyat menganggap isu di atas sebagai proses gemilang demokrasi iaitu periksa dan diseimbangkan antara parti pemerintah dengan pembangkang, sebahagian besar lagi rakyat mahukan fungsi polis diperhalusi oleh kedua-dua pihak dalam konteks membanteras jenayah.
Baru-baru ini, ramai yang menonton siaran berita yang menunjukkan perompak mengejar mangsa sehingga memanjat pagar rumah. Rakaman itu bukan sedutan filem Hollywood. Ia juga bukan kejadian yang berlaku di Kyrgyzstan. Tetapi ia berlaku di bumi Malaysia sendiri. Ini bermakna jenayah kejam sememangnya rancak berlaku di negara ini dan ia boleh berlaku kepada diri kita dan keluarga kita.
Ayat-ayat di atas mungkin tidak sepatutnya ditulis kerana bagi sesetengah pihak, ia dianggap penulisan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan rakyat menjadi panik. Namun, jikapun tidak ditulis perenggan di atas pun, setiap hari kita akan membaca dan melihat kejadian jenayah berlaku sama ada pembunuhan, rompakan, samun, ragut, buang anak dan sebagainya melalui media massa.
Kegelisahan di hati bertambah meruncing apabila jiran di sebelah rumah dirompak pada pukul 11.30 pagi Selasa lalu. Dua penunggang motosikal mendekatinya semasa dia tiba di hadapan rumah, seorang daripadanya membuka helmet sebelum digunakan untuk memecahkan tingkap kiri kereta dan meragut beg tangan jiran yang tergamam dan ketakutan. Difahamkan kes seumpamanya sudah banyak dilaporkan di Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara dan di mana saja.
Mungkin 'panik' bukan istilah tepat untuk menggambarkan perasaan rakyat sekarang, sebaliknya 'trauma' lebih afdal. Ini kerana ia berlaku di depan rumah! Apabila kita ke pejabat, perasaan jadi tidak tenteram memikirkan keselamatan anak-anak yang ditinggalkan bersama orang gaji di rumah. Ada dua lagi jiran yang merupakan pegawai kanan polis pun tidak menjamin apa-apa kerana apabila mereka ke pejabat, risiko masih wujud.
Maka di kalangan jiran mula berbincang. Perlukah diadakan Rukun Tetangga? Ia berkesan pada waktu malam. Bagaimana pada waktu siang? Sedangkan, jenayah kini boleh berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika ramai kaum lelaki tiada di rumah. Cadangan meletak penghadang di pintu masuk pun kelihatan sukar dilaksanakan. Ini kerana dengan hanya satu aduan penduduk yang terasa kebebasannya disekat oleh penghadang akses itu, pihak berkuasa tempatan dengan pantas akan mencabutnya. Jadi, bagaimana?
Di samping mengadakan dialog dengan polis mengenai kaedah-kaedah pencegahan jenayah proaktif di pihak penduduk, pihak polis juga diminta kerap mengadakan rondaan di kawasan perumahan. Mungkin langkah seterusnya adalah membina pondok polis tetap di situ tetapi ia juga bergantung kepada kesudian polis.
Senario ini perlu dinilai oleh wakil-wakil rakyat. Mereka sepatutnya memberi tumpuan jujur bagi menghalusi fungsi polis kepada masyarakat iaitu apakah polis memiliki keupayaan yang cukup baik daripada segi tenaga kerja dan peralatan? Bagaimana tahap kemahiran mereka? Jika kurang, luluskan dana untuk memperkasakan polis.
Dan tentu sekali paling mustahak, kebajikan polis. Ini kerana jika kebajikan mereka dijaga, akan berkuranganlah 'buah epal busuk' dalam pasukan sekali gus persepsi umum akan meningkat.
Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan kadar baru gaji dan elaun polis untuk anggota berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan yang diyakini akan meningkatkan taraf kehidupan anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan dan prestasi pasukan berkenaan. Ini langkah yang cukup bagus walaupun kena tunggu beberapa lama untuk diluluskan.
Dalam konteks sekarang, adalah mustahak PDRM diberi dana peruntukan yang secukupnya bagi memperkuatkan pasukan baik dari segi anggota, kemahiran dan peralatan. Kebanyakan penjenayah merasakan diri mereka halimunan kerana merasakan tidak wujud anggota polis di kawasan yang mereka hendak serang.
Jika wakil-wakil rakyat baik pembangkang mahupun kerajaan ketepikan sikit hal-hal politik dan tumpukan kepada isu menangani jenayah, alangkah baiknya.

No comments: