Pages

Monday, July 12, 2010

Jenayah remaja di Haiti


GEMPA bumi merubah kehidupan para penduduknya terutama kanak-kanak dan remaja.


GEMPA bumi yang melanda Haiti menyebabkan sejumlah besar kanak-kanak telah kehilangan ibu bapa masing-masing. Lebih memilukan apabila mereka yang sepatutnya berada di sekolah kini berubah karektor menjadi gangster.
Situasi itu berlaku kerana mereka mahu menyara diri daripada kegiatan jual beli dadah dan memiliki pistol.
Ketidakselesaan di rumah dan makanan yang tidak mencukupi antara cabaran yang terpaksa didepani oleh ribuan remaja di Haiti. Gempa bumi yang berlaku pada 12 Januari lalu telah banyak merobah corak hidup mereka.
Segelintir anak-anak yatim yang miskin menjadikan kehidupan gangster yang tidak berperikemanusiaan sebagai pilihan.
Misalnya di Sun City, sekumpulan anak muda melabelkan diri mereka sebagai Toutou Soleil 19 sering berada di lorong-lorong gelap dan kotor.
Seorang pemuda yang bernama Toutou, 31, sentiasa membawa pisau dan mengakui bahawa senapang-senapang miliknya telah diserahkan ketika pengampunan daripada kerajaan empat tahun lalu.
"Sekitar lapan atau sembilan anak yatim yang tidur di sini semenjak berlakunya gempa bumi," terang Toutou sambil menunjukkan keadaan rumahnya yang daif kerana tiada individu yang datang memberi bantuan.
Dalam pada itu, di luar pintu pondok kelihatan kanak-kanak sedang menghendap sebuah radio yang dipegang oleh Jef. Toutou yang berada di situ memberikan sekotak susu kepada Jef, 14, untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakannya yang lain.
"Ramai kanak-kanak yang terpaksa hidup susah di sekitar Cite Soleil. Meskipun saya tidak tahu jumlah sebenar tetapi mereka memang memerlukan makanan, klinik dan minuman bersih," beritahu Toutou.

KUMPULAN gangster menjadi tonggak kebanyakan remaja di Haiti.


Ketiadaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pegawai tempatan menyebabkan sekurang-kurangnya 300,000 penduduk di Haiti menggunakan kuasa de facto iaitu seseorang yang memegang kuasa tanpa mengikut apa yang ditetapkan oleh undang-undang.
Menjadi penyelamat
Selepas berlakunya malapetaka itu, semakin ramai anak-anak yatim berubah menjadi gangster.
"Mereka datang kepada kami kerana tiada tempat untuk berteduh. Kami cuba untuk membantu mereka tetapi di sini juga tiada apa-apa," jelas Toutou yang menolak topi yang dipakainya ke bawah.
Sementara itu, Jef memberitahu, keluarganya telah terbunuh apabila rumah mereka musnah akibat gempa bumi. Kini dia terpaksa menjalani kehidupan dengan memecah masuk rumah pada waktu malam.
"Kami lakukannya bersama kanak-kanak lain. Kami mahu bersekolah tetapi tidak ada duit," akuinya yang berhenti sekolah selepas tragedi gempa bumi.
"Lagipun kesemua sekolah di Cite Soleil turut musnah," tegas Jimis, 25, yang merupakan seorang ahli kumpulan geng Toutou dan juga penyanyi rap.
Persekitaran tempat tinggal kanak-kanak itu dipenuhi dengan iklan dan tampalan gambar lucah di dinding. Mereka bukannya tidur di tempat yang selesa sebaliknya sekadar beralaskan kotak lama yang diletakkan di atas lantai yang pecah.
Kesemua ahli kumpulan gangster itu amat menghormati Toutou dan menganggapnya sebagai seorang bapa. Kebanyakan anak muda ditangkap kerana melakukan beberapa kesalahan setelah kehidupan masing-masing terabai akibat kematian ibu bapa.
"Ada antara mereka menjual dadah dan memiliki pistol yang telah diberikan oleh kumpulan itu," luah seorang pekerja sosial.
Sejurus itu, Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini melakukan siasatan ke atas anak yatim di kawasan kotor itu. Pekerja PBB bertanggungjawab dengan projek terbabit bagaimanapun masih tidak mempunyai maklumat yang lengkap.
Bagaimanapun, ketua gangster kini berperanan menjadi penyelamat dan jurucakap untuk memberi bantuan.
"Kami memerlukan pertolongan sekurang-kurangnya kanak-kanak itu tidak akan menjadi seperti kami. Jadi mereka tidak akan dipandang negatif dan berbahaya kepada persatuan," beritahu Ea yang turut keluar daripada tawanan Port-au-Prince.

KEHILANGAN ibu bapa akibat gempa bumi menyebabkan ramai remaja di Haiti terlibat dalam jenayah.


Seorang Pengarah Kemudahan Kumpulan Perubatan Antarabangsa Medecins Sans Frontieres, Karel Janssens, memberitahu, bilangan mangsa yang cedera akibat ditembak telah meningkat.
"Perkara itu cukup membimbangkan," ungkapnya.
Sementara itu, seorang lagi ketua pasukan gangster, Patrick menjelaskan, dia tidak gembira sekiranya bantuan perubatan tidak tiba kerana penduduk Haiti pasti akan memberontak.
"Kami akan memperjuangkannya sehingga kami menerima sokongan dan keamanan. Kehidupan di sini seperti tahanan dalam penjara," keluhnya. - AFP

No comments: