Pages

Tuesday, May 18, 2010

Risiko barah jika guna telefon 30 minit sehari

2010/05/17
LONDON: Kajian terhadap penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun menunjukkan bukti ada pertalian di antara alat itu dengan kanser otak.
Menurut penyelidikan firma Interphone, penggunaan telefon bimbit sekurang-kurangnya 30 minit sehari meningkatkan risiko seseorang mendapat ketumbuhan sehingga lebih daripada satu pertiga.
Kajian itu dijalankan dengan mengambil data dari 13 negara dan mendapat pembiayaan daripada syarikat pengeluar telefon bimbit.

Sejak lama dulu, orang ramai memang percaya radiasi daripada telefon bimbit dan menara pemancar membahayakan kesihatan pengguna.

Walaupun begitu, kajian itu - berdasarkan temubual dengan lebih 5,000 mangsa kanser otak - menunjukkan hanya ‘pengguna tegar’ berdepan dengan ancaman kesihatan.

Ia termasuklah seseorang yang bercakap menggunakan telefon bimbit lebih daripada setengah jam sehari.

Laporan sama turut menyatakan, tiada risiko ketara ditunjukkan jika seseorang menggunakan telefon bimbit kurang dari 30 minit sehari, atau menggunakan aksesori pendengaran.

Pengkaji juga mengakui, data itu tidak mengambil kira pengguna berusia di bawah 30 tahun. Keadaan itu menyebabkan timbul persoalan terhadap kesahihan keputusan kajian. Hasil kajian Interphone yang menunjukkan tahap penggunaan rendah boleh melindungi seseorang daripada kanser turut dipertikaikan banyak pihak, termasuk di kalangan penyelidik terbabit. - Agensi

No comments: