“ADALAH memalukan apabila tidak ramai wanita menceburi bidang sains. Di China, ramai wanita terlibat dalam fizik.

Terdapat salah faham di Amerika di mana saintis wanita tidak pandai menjaga penampilan. Namun, dalam masyarakat Cina, lelaki menggalakkan wanita untuk berjaya dan pada masa sama masih kekal feminin,” – Chien Shiung Wu

Chien Shiung Wu adalah seorang ahli fizik Cina yang telah membuat sumbangan besar dalam bidang fizik nuklear.

Wu terlibat dalam Projek Manhattan, di mana beliau membantu membangunkan proses memisahkan logam uranium kepada uranium 235 dan 238 melalui resapan gas.

Selain itu, beliau terkenal kerana menjalankan eksperimen Wu sekali gus membuatkannya memenangi hadiah yang julung kali diadakan, Wolf Prize dalam Fizik pada 1978.

Kepakaran beliau dalam bidang itu membuatkannya diberi pelbagai nama samaran antaranya Chinese Marie Curie, First Lady of Physics, Madame Wu, dan Dragon Lady yang diberi oleh pejarnya di Universiti Columbia.


Kehidupan awal

Wu dilahirkan pada 31 Mei 1912 di Liu ho, China dan merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Beliau dibesarkan di sebuah bandar kecil di Taicang, kira-kira 65 kilometer dari Shanghai.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Perempuan Ming De, dan meninggalkan kampung halaman pada tahun 1923 ketika berusia 11 tahun untuk ke Sekolah Perempuan Suzhou.

Pada tahun 1926, Wu memasuki  National Central University di Tanah Besar China. Pada tahun sama, beliau turut mengajar di Sekolah Awam di negara itu.

Antara tahun 1930 hingga 1940, Wu menyambung pengajian dalam bidang fizik di universiti sama dan bekerja sebagai pembantu di Universiti Zhejiang sebaik tamat pengajian. Beliau kemudiannya menjadi seorang penyelidik di Institut Fizik Academia Sinica.


Kehidupan di Amerika Syarikat

Sejak kecil Wu mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik. Oleh itu, beliau memohon untuk belajar di universiti luar negara.

Ketika menjadi penyelidik di di Institut Fizik Academia Sinica, penyelianya Profesor Gu Jing-Wei menggalakkan Wu mengambil ijazah kedoktoran sepertinya.

Wu diterima masuk ke Universiti Michigan, dan bapa saudaranya Wu Zhou-Zhi menyediakan segala dana yang diperlukan.

Beliau memulakan pengajian di AS bersama rakan wanita Dong Ruo-Fen, seorang ahli kimia dari Taicang dan menerima PhD pada tahun 1940.


Kerjaya saintifik

Wu menyertai projek Manhattan pada awal Perang Dunia Kedua. Beliau membantu membangunkan proses untuk memperkayakan bijih uranium untuk menghasilkan bahan api untuk kegunaan bom atom.

Pada 1944, beliau menerima jawatan di Universiti Columbia dan membuat satu penyelidikan yang seterusnya diambil menjadi undang-undang asas semula jadi.
Wu juga menjalankan kajian mengenai perubahan molekul dalam ubah bentuk hemoglobin yang membawa kepada anemia sel sabit.


Pengiktirafan

Sepanjang kariernya sebagai ahli fizik, Wu banyak menerima anugerah dan penghargaan. Beliau merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai presiden Persatuan Fizikal Amerika dan menerima Cyrus B. Comstock Award of the National Medal of Sciences.

Beliau juga menerima Pingat Kebangsaan Sains pada tahun 1975 dan Pingat John Price Wetherill di Institut Franklin pada tahun 1962.

Selain itu, beliau juga adalah penerima pertama Wolf Prize dalam bidang fizik pada tahun 1978.


Persaraan

Semasa persaraannya pada tahun 1981, beliau merupakan salah seorang ahli fizik terkemuka di dunia dan menerima banyak anugerah serta pengiktirafan.

Selepas bersara, Wu mengembara dan memberi ceramah secara meluas bagi menggalakkan wanita muda untuk menceburi bidang saintifik.

Pada 16 Februari 1997, Wu meninggal dunia di New York City akibat strok ketika berusia 84 tahun.


Trivia

Bapanya, merupakan pengasas Sekolah Perempuan Ming De.

Wu berkahwin dengan Luke Chia Liu Yuan, cucu kepada Yuan Shikai, presiden Republik China pertama.

Ketika hari perkahwinannya, kedua belah keluarga tidak dapat hadir kerana tercetusnya Perang Pasifk.