Dan Price, 31, memberitahu New York Times bahawa beliau terpaksa menyewakan rumahnya untuk menambah pendapatannya kini.

"Saya bekerja keras untuk memastikan yang keputusan saya adalah betul," kata Price sambil merujuk kepada keputusan yang dibuat beliau April lepas.

Tindakan Price memotong gajinya sendiri dan menaikkan gaji 120 pekerjanya sehingga USD70,000 (RM267,750) setahun menyebabkan syarikatnya Gravity Payments kehilangan pelanggan dan dua pekerja berkebolehan.

[ARTIKEL BERKAITAN: CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja]

Salah seorang pekerja tersebut, Maisey McMaster, 26 memberitahu bahawa Price menaikkan gaji pekerja-pekerja baru setaraf dengan pekerja-pekerja lama.

"Price memberi kenaikan gaji yang banyak kepada pekerja yang kurang berkebolehan untuk membuat kerja, dan mereka yang berkeupayaan tidak menerima kenaikan yang setimpal," kata McMaster.

McMaster mendakwa bahawa Price menuduhnya mementingkan diri sendiri ketika mereka membincangkan perkara tersebut.

McMaster meletakkan jawatan tidak lama kemudian.

Seorang lagi pekerja, Grant Moran, 29, juga meletakkan jawatan selepas mendakwa kenaikan gaji tersebut 'membingungkan'.

"Pekerja biasa juga mendapat gaji yang sama seperti saya. Ia menyebabkan pekerja berkeupayaan tinggi 'terikat' dengan pekerja yang biasa," katanya ketika ditemuramah.

Gravity Payments yang merupakan sebuah syarikat pemprosesan kad kredit juga kehilangan pelanggan kerana menjangkakan syarikat tersebut akan menaikkan caj untuk menampung kenaikan gaji tersebut.

Memburukkan lagi keadaan, Price akan berhadapan dengan tuntutan mahkamah selepas abangnya, Lucas yang memiliki 30 peratus saham syarikat menuduh Price mengeluarkan berjuta-juta dolar wang syarikat untuk menjayakan kenaikan gaji tersebut.