Robot pengawal keselamatan diberi nama K5 dan dibangunkan oleh syarikat Knightscope Inc. seberat 136 kilogram dan setinggi 1.5 meter itu, digunakan bagi memantau kawasan yang berpotensi berlaku jenayah di sini.
Bagaimanapun robot itu tidak dilengkapi dengan senjata sebaliknya boleh memaklumkan kepada polis dan pusat kawalan tentang situasi semasa di sesebuah tempat.
K5 yang dibangunkan sejak tahun lalu menggunakan imbasan laser, kamera, mikrofon dan deria bau bagi membantunya berfungsi sama seperti deria manusia dengan mampu melihat, merasa, mendengar dan menghidu.
“Anggaplah K5 sebagai mata dan telinga pintar bagi membantu pengawal keselamatan peribadi serta pegawai penguatkuasa melakukan tugas mereka dengan berkesan,’’ kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Knightscope, William Santana Li kepada CNBC.
K5 yang menggunakan kuasa bateri dan dilengkapi jalur lebar boleh mengumpul data dalam bentuk video, audio dan teks untuk menentukan kemungkinan jenayah di sesuatu tempat.
Menurut Li, robot itu mampu memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, mengesan pergerakan mencurigakan atau memaklumkan sekiranya tahap suasana kebisingan terhenti pada sesuatu ketika.
Knightscope menawarkan khidmat ‘versi asas’ unit robot itu pada harga AS$6.25 (RM21) sejam tetapi akan memberi keutamaan kepada pelanggan yang mahu menggunakan khidmat mesin berkenaan untuk tempoh 24 jam selama setahun atau lebih.