Setiap tiga tahun sekali, 
penduduk yang menetap di sekitar kawasan pergunungan Sesean akan mengadakan acara 
tradisi Ma’nene atau adat 
menggantikan pakaian jasad nenek moyang mereka yang 
dikebumikan di dalam peti mayat di kawasan perkuburan Patane.
Ritual itu dimulakan dengan berkunjung ke lokasi perkuburan nenek moyang penduduk 
yang dinamakan Patane di 
kampung atau Lembang Paton, mukim Sariale.
Di Patane, mayat moyang penduduk yang telah berusia ratusan tahun masih tersimpan dalam keadaan baik kerana telah diberikan bahan pengawet.
Proses Ma’nene dilakukan oleh pihak keluarga yang membersihkan badan mayat dengan menggunakan kuwas atau alat mengecat sebelum dipakaikan dengan pakaian baharu.
Mayat lelaki akan dipakaikan dengan sut lengkap bertali leher dan berkaca mata hitam.
Sebelum membuka pintu kubur dan membersihkan peti mayat, ketua adat yang dipanggil Ne’ Tomina Lumba, terlebih dahulu akan membacakan doa dalam bahasa Toraja kuno bagi memohon izin nenek moyang supaya masyarakat mendapat rahmat dan keberkatan setiap kali musim menanam hingga mendapat hasil melimpah ruah.
Ritual yang diadakan tiga tahun sekali itu juga bertujuan 
membawa ahli keluarga yang tinggal di perantauan agar pulang menjenguk orang tua mereka demi mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.
“Adat Ma’nene ini diadakan setiap tiga tahun sekali berdasarkan kesepakatan mesyuarat Lembang, di samping mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga yang berada jauh di perantauan,’’ kata seorang penduduk, Piter Rayub kepada Tribunnews.com.
Piter berkata, Ma’nene 
diadakan sebelum musim 
menanam bermula atau selepas musim menuai dengan hasil 
yang diperolehi digunakan semasa ritual itu berlangsung.
Proses menukar pakaian 
satu mayat tidak lama iaitu hanya memerlukan masa kira-kira 30 minit.
Selepas menggantikan pakaian mayat nenek moyang mereka, penduduk kampung di Lembang Poton kemudiannya berkumpul 
untuk menyertai acara makan 
beramai-ramai.
Makanan yang dihidangkan adalah hasil sumbangan setiap 
keluarga yang menjayakan 
adat berkenaan.