Yessica Ortiz Delgado meriba bayi lelakinya, Francisco Leon Ortiz yang dilahirkan dengan berat kira-kira 6.4 kilogram di Hospital Komuniti Grays Harbor di Washington pada 2 Disember lalu. – AGENSI
Bayi lelaki berkenaan yang diberi nama Francisco Leon Ortiz dilahirkan oleh seorang wanita Yessica Ortiz Delgado di Hospital Komuniti Grays Harbor di Aberdeen pada 2 Disember lalu.
Saiznya sangat besar sehingga memaksa bapanya, Francisco Leon Diaz membeli pakaian lain kerana pakaian bayi yang dibelinya tidak muat dipakai oleh bayi itu.
Portal berita Mail Online yang memetik kenyataan Pengarah Hal Ehwal Perhubungan Awam hospital itu, David Quigg melaporkan, ini merupakan kali pertama hospital itu menyambut kelahiran bayi seberat Ortiz.
Menurutnya, dua anak Yessica yang lain sebelum ini lahir dengan berat kira-kira 5.4 kilogram dan doktor menjangkakan berat Ortiz dalam lingkungan 5.8 kilogram.
Yessica dan anaknya dilaporkan berada dalam keadaan sihat, walaupun pada mulanya Ortiz ditempatkan di unit rawatan rapi sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Kebiasaannya bayi yang baru lahir mencapai berat purata 3.4 kilogram.
Mengikut rekod dunia, bayi terbesar yang pernah dilahirkan adalah di Kanada pada 1879 apabila wanita yang dikenali sebagai Anna Bates melahirkan anak lelaki seberat 10.43 kilogram, tetapi bayi berkenaan meninggal dunia 11 jam kemudian.
Pada 2005, seorang wanita melahirkan bayi seberat 7.7 kilogram yang diberi nama Admilton dos Santos.