Dengan mengambil konsep sebuah kafe di Amerika Syarikat (AS), pemilik restoran di Ningbo, Lu Dike, 48, sanggup mengeluarkan belanja yang besar sebanyak 60,000 yuan (RM32,711) bagi setiap robot itu yang dilengkapi sistem deria optik dan boleh berbahasa Mandarin.
Malah menurut laporan portal berita Mail Online, kafe yang terletak di tingkat pertama kompleks beli-belah Liangsheng Square di wilayah Zhejiang, ti­mur laut China itu, sepenuhnya beroperasi menggunakan pelayan robot yang ditugaskan mengambil pesanan pelanggan dan menghidangkan makanan.
Menurut Dike, robot setinggi satu meter itu mempunyai jaminan selama lima tahun dan hanya perlu dicas selama empat jam sahaja pada setiap hari sebelum mula bekerja selama lapan jam.
Jelasnya, perkhidmatan robot itu juga menjadikan restorannya sangat popular sehingga ramai pe­langgan datang untuk merasai pe­ngalaman dilayan oleh mesin yang boleh bercakap sehingga 40 ayat dalam bahasa Mandarin seperti ‘sila nikmati hidangan anda’ atau ‘minta maaf, saya sedang sibuk bekerja.’
“Ada pelanggan mendesak saya menjual robot berkenaan kepada mereka yang mahu menggunakannya di rumah, tetapi saya hanya akan menjualnya pada satu hari nanti apabila tidak lagi memerlukan khidmat robot di restoran ini,” katanya tanpa memberitahu syarikat yang menjual robot itu.