Pages

Thursday, July 24, 2014

Pekerja Islam dipaksa makan ketika Ramadan

Pekerja Islam dipaksa makan ketika Ramadan
Ahli Parlimen Kongres mengadakan perhimpunan membantah tindakan seorang ahli Parlimen Shiv Sena cuba memaksa seorang pekerja Islam makan pada bulan Ramadan. 
New Delhi: Kemarahan tercetus di parlimen India semalam berikutan rakaman televisyen menunjukkan seorang ahli parlimen Hindu cuba memaksa seorang lelaki Islam makan pada bulan Ramadan ketika seluruh umat Islam menunaikan ibadat berpuasa.

Ahli parlimen pembangkang Kongres melancarkan bantahan dan mengatakan bahawa ahli parlimen terbabit melanggar kepercayaan agama seseorang dengan bertindak agresif cuba untuk menyuap capati ke dalam mulut mangsa.

“Ia benar-benar memalukan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya,” kata seorang jurucakap parti Kongres, Manish Tewari kepada pemberita selepas itu.
Ahli parlimen terbabit daripada parti Hindu, Shiv Sena, parti sekutu penting Perdana Menteri Narendra Modi yang meraih kuasa ketika pilihan raya Mei lalu.

Insiden terbabit pastinya mengundang kebimbangan di kalangan penduduk Islam dan minoriti agama lain terhadap kerajaan Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) Modi.


Adu kualiti makanan

Rakaman yang disiarkan di televisyen tempatan itu menunjukkan sekumpulan ahli parlimen Shiv Sena bertemu dengan seorang penyelia katering Khamis lalu di New Delhi.

Ahli parlimen terbabit mengadu mengenai kualiti makanan yang ditawarkan kepada sebuah rumah tetamu bagi pegawai dari Maharashtra lokasi pejabat Shiv Sena.

Rakaman menunjukkan bahawa ahli parlimen Rajan Baburao Vichare beberapa kali cuba memasukkan roti dalam mulut penyelia terbabit sambil dikelilingi orang ramai.

Vicahare berkata beliau tidak cuba untuk memaksa penyelia terbabit berbuka puasa sebaliknya cuba untuk menunjukkan bahawa capati yang disajikan adalah terlalu keras.

“Ini hanya satu bantahan terhadap kualiti makanan dan urusan lain di (rumah tetamu) Maharashtra di mana ramai tetamu kehormat datang dan tinggal,” kata Vichare kepada rangkaian berita Headlines Today.

“Pengurusan kantin di sini dalam keadaan teruk. Capati yang mereka buat susah untuk dikoyak, kualiti sayur dan kekacang amat teruk.”

“Menjadikan perkara ini isu agama adalah tidak masuk akal,” katanya. - AFP

No comments: