Pages

Thursday, July 24, 2014

Serangga air terbesar ditemui di China

Serangga air terbesar  ditemui di China
Serangga air luar biasa dipercayai terbesar di dunia ditemui di China, baru-baru ini. Serangga dari keluarga Megaloptera ini bersaiz besar menyerupai burung dengan lebar sayap sepanjang 21 sentimeter (8.27 inci) apabila sayapnya terbuka.
 Beijing: Spesies serangga air terbang terbesar di dunia dengan penyepit ditemui di kawasan pergunungan Chengdu wilayah Sichuan China, kata pakar.

Serangga dari keluarga Megaloptera ini bersaiz besar menyerupai burung dengan lebar sayap sepanjang 21 sentimeter (8.27 inci) apabila sayapnya terbuka.

Muzium serangga di Barat China memberitahu, serangga pelik yang menyerupai pepatung gergasi dengan penyepit itu diserahkan oleh penduduk tempatan di wilayah terbabit, awal bulan ini.
Rekod asal yang pernah dipecahkan untuk serangga akuatik pernah dipegang oleh pepatung Amerika Selatan yang mempunyai sayap selebar 19.1 sentimeter (7.5 inci).

Dikenali sebagai petunjuk kualiti air 

“Serangga itu cukup besar untuk menutup wajah seorang dewasa, dan mempunyai penyepit seperti gigi panjang ini juga dikenali di kalangan pakar entomologists sebagai petunjuk kualiti air,” kata jurucakap muzium.

Tidak banyak maklumat yang boleh diperoleh mengenai serangga ini. Pakar turut meramalkan spesies ini adalah yang paling besar, lapor jurnal ScientificAmerican edisi Julai 2014.
Serangga jenis ini ketika di dalam bentuk larva, banyak menghabiskan waktu di dalam air sama ada di sungai, kolam atau danau.

Ketika dewasa, serangga ini menghabiskan masa hidupnya untuk mencari pasangannya. Serangga jenis ini juga termasuk pemakan tumbuhan dan haiwan atau omnivor.

Pihak muzium turut memeriksa beberapa jenis serangga tetapi mendapati spesimen yang dikenali dobsonfly gergasi itu agak luar biasa. Ia dikatakan berasal dari China dan Vietnam.

Serangga ini membuat rumah di atas air yang bersih dan sangat sensitif kepada sebarang perubahan dalam ketulenan air dan kehadiran ejen pencemaran.

Menariknya, jika ia mendapati terdapat sedikit pencemaran ia akan pergi ke tempat lain untuk mendapatkan air yang bersih.

Serangga ini juga boleh dijumpai di wilayah-wilayah lain di China, Assam India, dan di utara Vietnam. Ini adalah kali pertama ia telah muncul di wilayah Sichuan. - AGENSI

No comments: