Pages

Wednesday, June 4, 2014

Otak bercantum dengan tengkorak


Archie Outlaw menikmati kehidupan yang lebih baik selepas menjalani pembedahan memisahkan otak (gambar kanan) dan tengkoraknya. - AGENSI
LONDON 2 Jun - Kebiasaannya, kebanyakan bayi normal dilahirkan dengan memiliki ruang di bahagian dalam tengkorak bagi membolehkan otak membesar dengan sempurna.
Tetapi lain pula kisahnya di Britain apabila seorang kanak-kanak, Archie Outlaw yang dilahirkan dengan keadaan otaknya bercantum bersama tengkorak atau dikenali sebagai Frontometaphyseal dysplasia, penyakit genetik yang hanya dihidapi kira-kira 35 orang sahaja di seluruh dunia.
Kanak-kanak yang menghidap sindrom tersebut boleh mengalami kerosakan otak atau tekanan terhadap otak selain masalah pembentukan rangka badan dan kesihatan buah pinggang, pundi kencing dan jantung jika tidak dirawat dengan segera.
Ekoran itu, Outlaw, 4, terpaksa bertarung nyawa selama lima jam menjalani pembedahan yang boleh merosakkan otaknya, sehingga meninggalkan kesan jahitan seperti mata gergaji apabila doktor membelah tengkoraknya untuk pembentukan semula tulang kepala budak lelaki itu.
Ibunya, Kelly, 32, berkata, dia mula menyedari kecacatan anaknya itu ketika berusia lima bulan apabila Outlaw mengalami masalah pernafasan dan dimasukkan ke hospital.
Selain itu, rawatan lanjut doktor mendapati anaknya juga menghadapi masalah pendengaran, penglihatan dan pertuturan disebabkan otaknya yang tidak boleh berkembang.
"Bagaimanapun disebabkan faktor usia yang masih kecil, Outlaw perlu menunggu sehingga berusia tiga tahun setengah untuk menjalani pembedahan memisahkan otak daripada tulang tengkoraknya.
"Selepas dibedah, kehidupan anak saya lebih baik dan lebih cergas melakukan aktiviti fizikal," katanya kepada Mail Online.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140603/lu_08/Otak-bercantum-dengan-tengkorak#ixzz33cIDQZor
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: