• Masalah kemiskinan dan kurangnya pendidikan antara punca utama meluasnya amalan perkahwinan kanak-kanak di Niger.Masalah kemiskinan dan kurangnya pendidikan antara punca utama meluasnya amalan perkahwinan kanak-kanak di Niger.

NIAMEY - NIGER. Sebagai sebuah negara yang mencatatkan kadar perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia, Niger sedang berusaha untuk hentikan amalan itu kerana dikhuatiri permasalahan itu tidak ada penghujungnya.

Antara faktor yang dikenalpasti berlakunya perkara itu disebabkan oleh masalah kemiskinan dan kedudukan wanita dalam masyarakat.

Malah keadaan semakin parah apabila negara itu juga mempunyai kadar kelahiran tertinggi di dunia dan kedudukan negara itu paling rendah dalam indeks Pembangunan Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di tangga 187 daripada 187 kedudukan.

Statistik mendapati 24 peratus daripada gadis yang mencecah umur 15 tahun akan dikahwinkan manakala 80 peratus pula apabila menjangkau 18 tahun, lapor BBC.

Namun amalan perkahwinan kanak-kanak sudah menebal dalam masyarakat negara itu susulan pemberian mahar (wang hantaran) yang lumayan sekali gus meringankan beban sara hidup keluarga.

Tidak hairanlah wujudnya ketakutan bahawa jika anak gadis mereka tidak dikahwinkan segera, mereka bimbang anak meningkat remaja itu akan hamil sebelum berkahwin dan ia sendiri disuarakan oleh seorang ibu dari negara tersebut.

Selain kemiskinan, kekurangan pendidikan dalam masyarakat di Niger juga punca utama perkahwinan kanak-kanak masih dipraktikkan sehingga ke hari ini apabila anak-anak gadis mereka tidak dibenarkan ke sekolah.

Apabila kerajaan Niger cuba memberikan perlindungan lebih kepada kaum hawa ini, ia mendapat tentangan yang hebat daripada ulama terkemuka di negara itu.

Menurut seorang tenaga pengajar sekolah agama di Agadez, Sheikh Abbas Yahaya bahawa perkahwinan perlu bergantung kepada kematangan fizikal pasangan.

"Jika kedua-dua pasangan matang mereka layak berkahwin, kerana dalam agama Islam walaupun pada usia sembilan tahun, jika gadis itu adalah dalam keadaan yang sesuai dia boleh dapat berkahwin,” katanya pada media antarabangsa, semalam.

Dalam pada itu, bagi menangani masalah perkahwinan kanak-kanak itu, Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) telah berkempen untuk melakukan perubahan dengan menjalankan program kesedaran di bandar-bandar dan kampung-kampung .

Ketua Pegawai perlindungan kanak-kanak di Niger, Brigitte Sonnois berkata, perkahwinan kanak-kanak mesti ditangani dengan meluas pada masa akan datang.