Pages

Sunday, March 23, 2014

RM2.3j musnah sekelip mata


Kuasa komputer berteknologi tinggi, patung ujian pelanggaran yang dipasang sensor bernilai hampir AS$700,000 (RM2.3 juta) dan 600 ujian setahun - itu yang perlu dilakukan untuk memastikan kenderaan keluaran Ford mampu menepati tahap keselamatan global.

Syarikat pembuat kereta itu baru-baru ini membuka pintunya kepada media di Pusat Pembangunan Dearborn, Michigan, untuk membolehkan dunia luar melihat apa sebenarnya terjadi di sebalik pembinaan kenderaan Ford baru sehingga mampu dibawa ke jalan raya.

Syarikat berkenaan yang baru-baru ini menamatkan ujian pelanggaran ke-20,000 sejak 1954 di Dearborn membuat demonstrasi ujian terhadap model 2014 Explorer.

Sekelip mata, kenderaan itu menuruni litar disediakan sebelum merempuh penghadang pada kelajuan 50 kilometer sejam (km/j). Setiap detik dirakam kamera khas dan patung ujian yang mahal.
Foto
TRAK digunakan dalam demonstrasi ujian pelanggaran Ford di Pusat Pembangunan Dearborn.

Foto
PATUNG diguna merangkumi saiz kanak-kanak hingga dewasa.
Foto
SETIAP patung dipasang sehingga 100 sensor berbeza bagi menghantar 300 saluran data yang merekodkan impak akibat rempuhan.
Foto
SEORANG kakitangan Ford memberi penerangan mengenai patung ujian pelanggaran.
Pengarah Global Ford, Steve Kenner berkata, syarikat itu sentiasa mengemas kini rejimen latihannya supaya tidak ketinggalan memenuhi tahap piawaian terkini berikutan sering berubah seiring keperluan masyarakat dunia.




Katanya, satu contoh ujian terbaru diperkenal membabitkan kemalangan kenderaan yang merempuh pokok atau tiang telefon.

“Kami perlu sentiasa memastikan produk kami dapat memenuhi syarat global bagi setiap pasaran yang bakal dimasuki,” katanya.

Syarikat itu mempunyai lebih 500 jurutera keselamatan di seluruh dunia yang melaksanakan lebih 31,000 ujian di 1,800 lokasi.

Detroit Free Press melaporkan Ford mempunyai lebih 100 patung ujian - dikenali sebagai ujian antropomorfik berskala penuh - daripada patung bersaiz kanak-kanak sekecil 18 bulan untuk ujian tempat duduk kanak-kanak hinggalah bagi ujian membabitkan lelaki dewasa bersaiz besar.

Setiap patung berharga AS$50,000 (RM163,578) hingga $700,000 (RM2.3 juta) dengan setiap satunya turut dimuatkan sehingga 100 sensor berbeza bagi menghantar 300 saluran data yang merekodkan impak akibat rempuhan.

Kenderaan digunakan untuk ujian itu juga dicat untuk lebih menyerlahkan elemen penting, manakala alat pengesan, akselerometer dan kamera berkelajuan tinggi turut dimuatkan untuk merakam sehingga 30 sudut pandangan berbeza rempuhan dan mengukur kekuatan impak.

Selain itu, wajah patung ujian dicat untuk menunjukkan bahagian muka yang terkena beg udara akibat rempuhan.

Namun, sebelum ujian rempuhan dilakukan, sekumpulan jurutera menghabiskan beberapa minggu melakukan ribuan simulasi komputer terlebih dulu.

Penyelia makmal Dearborn Jerome Ng berkata, data mengenai rempuhan yang dimuat turun dalam tempoh setengah jam selepas ‘kemalangan’ berlaku kemudian melalui proses analisis selama dua minggu.

Detroit Free Press melaporkan, Ford mempertingkatkan kuasa pengkomputeran sehingga 50 peratus sejak 10 tahunlalu, malah ini menggandakannya setiap dua tahun untuk memastikan kenderaan dihasilkan selamat diguna.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

No comments: