Pages

Monday, March 10, 2014

Nombor 7777777 dibida RM6.8j


Abu Dhabi: Nombor istimewa syarikat telekomunikasi Etisalat, 050-7777777 dijual dengan harga menakjubkan Dh7.87 juta (RM6.8 juta) dalam satu majlis pembidaan nombor telefon bimbit VIP, lapor media semalam.

Bidaan dilangsungkan firma Emirates Auction secara serentak di hotel Emirates Palace di sini, dan Hotel Armani di Dubai.

Pegawai bidaan Emirates Auction berkata, sebanyak 70 nombor telefon bimbit VIP dibida, termasuk menggunakan nombor tujuh seperti 050-7777777, 050-7777770, dan sebagainya.

Kata pegawai itu, nombor begitu dimasukkan ke kategori “Diamond Plus.” “Nombor 050-7777777 dijual dengan harga Dh7.87 juta.

“Secara keseluruhan seramai 700 pembida terbabit dalam lelongan kali ini,” katanya.

Walaupun jumlah keseluruhan dikutip hasil acara itu tidak diketahui, Etisalat berkata, sebahagian daripada kutipan akan disumbang untuk membantu program Yayasan Khalifa, selain membiayai projek tanggungjawab sosial korporatnya.

Selain nombor dikategorikan “Diamond Plus.” 25 nombor “Diamond” (berlian), 18 “Platinum” dan 20 “Gold” (emas) turut dilelong.

Kategori berkenaan membabitkan pakej berbeza dengan pembeli Diamond Plus mendapat 22,500 minit panggilan tempatan; 2,250 minit bagi panggilan antarabangsa; data sebanyak 100GB; 22,500 SMS tempatan dan 300 minit perayauan semuanya untuk sebulan bagi tempoh dua tahun.

Mereka turut mendapat telefon pintar terkini selain khidmat pelanggan khas.

Pakej Diamond mendapat 7,500 minit bagi panggilan tempatan; 750 bagi panggilan antarabangsa; 20GB data; 7,500 SMS tempatan; 100 minit perayauan semuanya bagi tempoh sama selain telefon pintar dan khidmat pelanggan khusus.- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

No comments: