Pages

Monday, March 10, 2014

Deritanya hidup mewah


London: Seorang bekas guru matematik menceraikan isterinya - seorang usahawan wanita paling kaya di Britain - hanya kerana dia sudah bosan hidup mewah.

Tony Hawken, 57, dan isterinya, Xiu Li, 51, mencipta kekayaan selepas wanita terbabit membina pusat beli belah di bangunan bekas pusat perlindungan serangan udara di China.

Hasil perniagaan itu, mereka memperoleh pendapatan dianggarkan kira-kira £1.1 bilion (RM5.9 bilion) pada 2011 dan meletakkan Xiu dalam senarai wanita terkaya The Sunday Times.

Pasangan itu menjual rumah asal mereka di South Norwood, London dan membeli rumah lain bernilai £1.5 (RM8.1 juta) di Surrey.


Xiu yang kini mempunyai kekayaan sebanyak £700 juta (RM3.9 bilion) cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebegitu.


Antara kemewahan dinikmatinya, membeli wain berharga RM4,904 untuk diminum di atas sebuah kapal layar mewah.

Bagaimanapun, tuah itu tidak dinikmati Hawken kerana lelaki terbabit lebih selesa hidup seperti orang biasa.

Walaupun kaya-raya, Hawken masih membeli buku dari kedai kebajikan dan tidak memilih untuk memakai pakaian berjenama.

Dalam sesi temubual bersama The Times, dia berkata, kekayaan membuatkan dirinya tidak selesa kerana selama ini memang dia tidak berbelanja besar.

“Saya dibesarkan dalam keadaan begitu.

“Hingga kini saya tidak suka bermewah-mewah, sebaliknya selesa hidup dengan berjimat cermat,” katanya.

Kini pasangan itu memutuskan untuk berpisah dan Hawken hanya memerlukan £1 juta (RM5.4 juta) untuk keperluannya.

“Ia sudah memadai,” katanya.

Kata Hawken, dengan rumah yang sederhana, ia mencukupi baginya dan dengan perancangan yang betul, dia mungkin tidak perlu bekerja sepanjang hayat.

“Saya tak mahu memikirkan kekayaan diperoleh Xiu dan saya tak mahu berbalah mengenainya,” katanya.

Hawken mengenali Xiu ketika dia masih bekerja sebagai guru, manakala wanita terbabit menuntut di Britain.

Selepas berkahwin dan perniagaan Xiu kian berkembang, mereka semakin jarang bersama.

Namun, itulah rahsia Hawken dapat hidup lebih lama dengan Xiu.

“Jika kami tinggal sebumbung dan kerap bersama, perceraian ini mungkin terjadi lebih awal,” katanya.

Pasangan itu dikurniai seorang anak lelaki berusia 17 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/10

No comments: