LONDON 24 Feb. - Seorang remaja di Britain terpaksa bertarung nyawa selepas mengalami alahan yang teruk gara-gara mengambil beberapa dos ubat selesema yang diberikan oleh ibunya.
DailyMail Online difahamkan, Max Brown, 13, yang pada mulanya mengalami selesema diberi makan pil berkenaan oleh ibunya, Nichola Wheatley, namun kesan ubat terbabit menyebabkan alahan yang teruk sehingga mengakibatkan kulitnya melecur teruk dan bibirnya menjadi hitam.
Lebih menyedihkan, Brown akan mengerang kesakitan setiap kali kulitnya disentuh sehingga menyebabkan dia pengsan.
Menurut doktor, remaja terbabit mengalami penyakit Sindrom Stevens-Johnson (SJS), sejenis penyakit yang menyebabkan sel permukaan kulit mati dan gugur.
Wheatley, 45, berkata, anaknya boleh mati akibat alahan itu dan terpaksa menghabiskan masa selama sebulan di unit rawatan rapi (ICU) pada November lalu.
"Saya dimaklumkan bahawa punca sebenar alahan itu disebabkan oleh pil selesema. Saya tidak tahu Brown alah kepada ubat berkenaan kerana dia pernah mengambilnya beberapa tahun lalu," katanya.
Wheatley berkata, selepas seminggu dimasukkan ke hospital, keadaan Brown sangat menyedihkan kerana dia tidak boleh membuka mata selain seluruh kulit badannya menggelembung dan menggelupas.
Jelasnya, penyakit SJS tidak mempunyai ubat yang khusus dan doktor hanya memberi morfin dan antibiotik sebagai rawatan sampingan.
Malah katanya, berat badan Brown juga menurun sebanyak 38 kilogram dan seluruh badannya perlu dibalut dengan kain.
"Setiap kali kain pembalut ditukar, dia akan mengerang kesakitan dan jatuh pengsan. Namun, saya bersyukur kerana penyakitnya itu beransur pulih secara sendiri selepas empat minggu di ICU dan kulitnya tidak lagi menggelupas,"katanya.
Kini, Brown telah pulih sepenuhnya dan Wheatley berharap lebih banyak kajian tentang penyakit SJS dilakukan bagi membantu pesakit yang mengalami alahan tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140225/lu_09/Remaja-masuk-ICU-akibat-ubat-selesema#ixzz2uHc4OaRG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment