Ulama Afghanistan beri amaran pada AS
Penduduk membakar bendera AS ketika tunjuk perasaan di Kabul.
Ulama Afghanistan beri amaran pada AS
Hamid Karzai.
KABUL - Majlis Ulama Kebangsaan memberi amaran bahawa kehadiran pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara itu bakal menerima padah, sekiranya  mereka enggan membebaskan tahanan Afghanistan di penjara Bagram, Wardak, utara Kabul.

“Jika AS tidak akur dengan permintaan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai,  maka tentera AS akan menerima serangan daripada kumpulan anti-AS,” kata jurucakap Majlis Ulama itu, dipetik daripada Reuters.

Kelmarin, Karzai berulang kali  mendesak AS berbuat demikian selepas mengetahui tahanan di penjara itu menerima layanan kejam.

Beliau juga mengarahkan AS meninggalkan wilayah Wardak dan melarang askar memasuki kawasan universiti serta memberhentikan serangan udara di negara itu.

Namun, komander pasukan gabungan Nato di Afghanistan, Jeneral Joseph Dunford berkata, sekiranya tahanan itu dibebaskan ia akan menimbulkan ancaman besar kepada Afgahnistan sekali gus negara itu akan kembali bergolak.

Sementara itu, beratus penduduk melakukan tunjuk perasaan dengan berarak ke kompleks Parlimen di Kabul bagi menuntut pasukan khas AS itu berundur dari wilayah tersebut.

Timbalan Ketua Polis, Daud Amin berkata, penunjuk perasaan mendesak ahli Parlimen supaya memberi tekanan kepada AS bagi membebaskan kesemua tahanan di penjara tersebut.