Pages

Wednesday, February 6, 2013

Abadikan nama kekasih di muka



Moscow: Seorang lelaki yang gemarkan tatu mengabadikan namanya di wajah teman wanitanya kurang daripada 24 jam selepas mereka bertemu buat kali pertama.

Lesya Toumaniantz dari Saransk, Russia membenarkan Rouslan Toumaniantz mengukir nama ‘Ruslan’ di wajahnya menerusi tulisan gergasi Gothik pada hari mereka bertemu.

Pasangan itu yang bertemu di laman sembang dalam talian berkata, mereka serta-merta ‘jatuh cinta’ dan kemudian segera bertemu di Moscow, tempat di mana mereka akan berkahwin.

“Ia adalah simbol kesetiaan abadi kami. Saya mahu dia mentatu setiap inci tubuh saya,” kata Lesya.
Foto

WAJAH Lesya yang ditatu kurang daripada 24 jam selepas bertemu kekasihnya buat kali pertama.

Foto
LESYA berkenalan dengan Toumaniantz di laman sembang di Internet.
Bekas pelajar sastera yang gilakan tatu dan mempunyai kakak yang bekerja sebagai pelukis tatu itu berkata, di atas keningnya, Toumaniantz melukis ‘Semuanya Untuk Cinta’.


“Semuanya untuk Ruslan,” katanya ketika memuat naik gambar tatunya dalam Facebook hari ini.

Dan kini Lesya yang sudah pun menggunakan nama Toumaniantz walaupun baru sahaja bertunang pada 20 Januari lalu belajar untuk membuat tatu di bawah bimbingan tunangnya itu.

“Rancangan mereka untuk hidup bersama, termasuk Lesya belajar melukis tatu dan membolehkan seluruh tubuhnya ditatu seperti mana yang selalu diidamkannya, selain sudah tentu untuk membina keluarga,” kata seorang rakan Toumaniantz.

Toumaniantz berkata: “Saya tahu ada orang yang bimbang Lesya membuat keputusan terburu-buru yang akan dikesalinya kelak, tetapi kadangkala keputusan terbaik dibuat serta-merta berdasarkan gerak hati berbanding keputusan yang sudah lama berlegar di fikiran anda.

Rakan Lesya membanjirinya dengan mesej memuji kerja seni itu dan mengatakan betapa cantik dia kelihatan.

“Kamu pasti sangat gembira kerana mempunyai tatu itu. Ia nampak hebat,” tulis Ralf Bieler.

Kerja seni Toumaniantz itu pernah menjadi tajuk utama akhbar pada 2009 selepas dia mentatu 56 bintang di wajah seorang gadis berusia 18 tahun yang kemudian menipu dan menuduhnya mentatunya ketika dia tidur.

Toumaniantz melarikan diri dari Belgium selepas skandal yang dicetuskan Kimberley Vlaeminckin pada 2009. - Daily Mail

No comments: