Pages

Sunday, January 27, 2013

30 maut protes mahkamah Mesir hukum mati 21 peminat bola


KAHERAH - Angka kematian ekoran kemarahan membantah keputusan mahkamah Mesir semalam, yang menghukum mati 21 orang berkaitan rusuhan di stadium bola sepak awal tahun lalu, meningkat kepada 30 orang.

Laporan media menyebut penyokong-penyokong defendan cuba menyerbu penjara yang menempatkan mereka yang dihukum mati, semalam.

Perkembangan itu memburukkan lagi keadaan di Mesir yang kelmarin berhadapan dengan pertempuran antara polis dan penyokong kumpulan yang menentang kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan
hampir 500 cedera.

Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas 21 defendan, yang merupakan penyokong kelab al-Masry yang berpangkalan di Port Said.

Keputusan mahkamah itu disambut baik oleh saudara-mara mangsa.

Bagaimanapun penyokong defendan yang marah dengan keputusan bertempur dengan pihak berkuasa.

Dua anggota polis ditembak mati di luar penjara di Port Said manakala bangunan keselamatan kerajaan pula dibakar.

Selain dua anggota polis 28 lagi maut.

Antara yang turut terbunuh ialah dua pemain bola sepak iaitu bekas penjaga gol kelab al-Marsy, Tamir al-Fahlah dan pemain kelab Port Said, Muhammad al-Dadhawi.

Seramai 74 orang terbunuh dalam rusuhan susulan perlawanan antara kelab al-Masry dan al-Ahly pada 2 Februari lalu.

Penyokong-penyokong menyerbu padang lalu menyerang pemain al-Ahly sebaik perlawanan berakhir.

Bandar Port Said terletak di sebelah timur Kaherah.

No comments: