Pages

Tuesday, April 17, 2012

Syria terus bedil kubu pemberontak

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pelarian Syria dan penduduk tempatan mengusung jenazah pelarian Syria, Fayyad, 25, dan Mohammad, 22, untuk dikebumikan di bandar Al Ramtha, Jordan dekat sempadan Syria, kelmarin. Kedua-dua lelaki itu dibawa ke bandar itu dari bandar Homs dan Deraa di Syria bagi mendapatkan rawatan di Jordan minggu lalu selepas mengalami kecederaan akibat ditembak oleh tentera Syria. - REUTERS


DAMSYIK 16 April - Tentera Syria terus bertempur dengan pemberontak dan membedil kubu kuat mereka hari ini, hanya beberapa jam selepas pasukan pertama tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di sini untuk memantau gencatan senjata bagi menghentikan pertumpahan darah sejak setahun lalu.
Askar Presiden Bashar al-Assad membunuh dua penduduk awam di bandar Huma, tengah Syria, dan bertempur dengan pemberontak di Idlib di barat laut, sambil membedil bandar Homs, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Sejak gencatan senjata yang disokong PBB mula berkuat kuasa pada subuh Khamis lalu, sekurang-kurangnya 41 orang, kebanyakan mereka penduduk awam, terbunuh dalam keganasan yang mendorong Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menggesa Syria memastikan gencatan senjata itu tidak gagal.
Satu pasukan awal enam pemerhati antarabangsa tiba di Damsyik malam tadi, diketuai pegawai tentera dari Maghribi, Kolonel Ahmed Himmiche, umum PBB.
Delegasi itu, kumpulan pertama daripada 30 pemantau yang misinya diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB kelmarin, akan mendirikan ibu pejabat dan menyediakan rutin tugas supaya misi mereka dapat mengesahkan sama ada gencatan bersenjata bertahan atau tidak.
"Mereka sudah tiba dan akan memulakan tugas pada pagi Isnin (pagi ini), manakala pemantau lain dijangka tiba di Syria dalam beberapa hari lagi," kata jurucakap Jabatan Operasi Pengaman PBB, Kieran Dwyer.
Misi mereka adalah sebahagian daripada pelan damai enam perkara yang dipersetujui oleh Assad dengan Duta khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan. - AFP

'via Blog this'

No comments: