Pages

Saturday, October 27, 2012

Konflik di Rakhine mencecah lebih 50 orang

Sebuah keluarga berehat di tempat tinggal yang disediakan di Kem Baw
Du Pha yang menempatkan 7,575 penghuni etnik Islam Rohingya
dekat Sittwe, Myanmar pada 9 Oktober lalu. - UTUSAN
SITTWE, Myanmar 26 Okt. - Angka kematian dalam konflik agama dan etnik terbaru di Rakhine kini mencecah lebih 50 orang.
Jurucakap kerajaan Rakhine, Win Myaing hari ini berkata, sekurang-kurangnya 64 maut dalam pertempuran yang bermula Ahad lalu antara puak Rakhine beragama Buddha dan puak Rohingya beragama Islam.
Beliau berkata, 72 orang lagi termasuk 10 kanak-kanak dilaporkan cedera.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kira-kira 2,000 buah rumah musnah dalam konflik tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan Myanmar merayu kedua-dua pihak bertelagah supaya berdamai, kerana kejadian keganasan yang berlaku mengancam reputasi negara untuk melaksanakan pemerintahan demokrasi.
''Tentera, polis dan pihak berkuasa lain kini bekerjasama untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan.
''Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau pertubuhan yang cuba mencetuskan huru-hara,'' kata satu kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Presiden Thein Sein yang disiarkan dalam akhbar Myanma Ahlin hari ini.
Kenyataan itu berkata, masyarakat antarabangsa kini memantau pelaksanaan peralihan demokrasi dan kejadian seumpama ini akan mencemarkan imej negara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121027/lu_04/Konflik-di-Rakhine-mencecah-lebih-50-orang#ixzz2AUxBk75r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: