Pages

Monday, October 22, 2012

Assad dalang

Assad dalang
Insiden pengeboman kereta di daerah Ashrafieh, timur Beirut.
BEIRUT - Lubnan kelmarin menuduh Presiden Bashar al-Assad sebagai dalang bertanggungjawab menyebabkan Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri terbunuh dalam satu insiden pengeboman kereta di daerah Ashrafieh, timur Beirut.
Menteri Maklumat, Walid Daouk berkata, kejadian menggemparkan itu telah meragut tujuh nyawa termasuk Jeneral Wissam al-Hassan manakala lebih seratus cedera.

Letupan dahsyat tersebut turut memusnahkan beberapa kenderaan dan balkoni di sebuah apartmen berhampiran Dataran Sassine.

Media tempatan melaporkan, letupan itu sememangnya menyasarkan Jeneral Hassan susulan daripada penglibatan beliau sebagai penyokong kumpulan pemberontak Syria dan ketua siasatan yang membawa kepada penahanan sekutu Assad paling setia iaitu bekas Menteri Maklumat, Michel Samaha.

Sebelum ini, Samaha didakwa merancang siri pengeboman dan pembunuhan di Lubnan atas arahan dari Damsyik.

Ogos lalu, bekas menteri tersebut turut dikatakan pernah berkhidmat sebagai salah seorang pembantu tertinggi kepada Assad.

Sementara itu, beberapa jam selepas kejadian tersebut keadaan di Lubnan dilaporkan tegang selepas sekumpulan penduduk bertindak mengadakan protes dan menghalang lalu lintas di beberapa lokasi.

Tunjuk perasaan tersebut turut bertukar ganas selepas penyokong pro-Assad bertempur dengan penentang rejim Syria di bandar Tripoli.

Dalam satu kenyataan, bekas Perdana Menteri Saad Hariri menegaskan beliau juga percaya kejadian pengeboman itu didalangi oleh Assad.
"Jika presiden tersebut boleh membunuh rakyatnya tanpa perikemanusiaan, tidak mustahil beliau akan melakukan tindakan sama ke atas penduduk Lubnan, demi untuk melindungi dirinya," kata Hariri lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Perdana Menteri Najib Mikati memaklumkan satu mesyuarat tergempar melibatkan menteri Kabinet telah diadakan.

Katanya, kerajaan turut mengisytiharkan, semalam sebagai hari berkabung.

Pada Januari 2008, Beirut  pernah digemparkan dengan insiden pengeboman kereta yang  mengorbankan tiga mangsa termasuk penyiasat utama antikeganasan. - AFP

No comments: