Pages

Monday, October 22, 2012

10 maut serangan bom di Damsyik

GAMBAR menunjukkan beberapa buah kereta yang rosak
akibat letupan yang berlaku berhampiran balai polis
 di daerah Bab Touma, Damsyik semalam.
DAMSYIK - Satu letupan kuat berlaku di bandar lama di sini semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam, kata aktivis Syria.
Seorang pegawai Syria berkata, letupan itu disasarkan ke atas sebuah balai polis di kawasan kejiranan Bab Touma di sini.
Bab Touma merupakan sebuah tempat tarikan beli-belah yang kebanyakan dihuni oleh kaum minoriti penganut Kristian Syria.
Angka kematian tersebut dilaporkan oleh Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Bagaimanapun, angka tersebut tidak menyatakan sama ada semua mangsa yang maut terdiri daripada orang awam atau turut melibatkan anggota polis.
Namun, ia menggambarkan letupan yang berlaku sebagai amat kuat dan menyatakan beberapa ambulans dan kereta polis dikejarkan ke tempat kejadian.
Tiada maklumat lain diberikan.
Dalam kejadian berasingan, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di hadapan sebuah hospital di Jalan al-Zohour, bandar Aleppo.
Agensi berita SANA memberitahu, tiada kemalangan jiwa berlaku tetapi letupan itu menyebabkan beberapa pejalan kaki cedera.
Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi membincangkan soal gencatan senjata selama empat hari sempena sambutan Aidiladha bermula Jumaat ini.
Beliau tiba di Damsyik pada Jumaat lalu selepas mengadakan lawatan di Timur Tengah untuk mendapatkan sokongan pemimpin-pemimpin negara terbabit bagi menghidupkan harapan gencatan senjata di Syria.
Konflik di Syria yang bermula pada Mac 2011 telah meragut lebih 30,000 nyawa. - Agensi

No comments: