Pages

Sunday, September 2, 2012

Pengebom berani mati bunuh 12 orang



KABUL 1 Sept. - Dua pengebom berani mati, satu daripadanya memandu lori tangki minyak, meletupkan diri berdekatan sebuah pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di timur Afghanistan hari ini, menyebabkan 12 orang terbunuh.
Serangan tersebut dilancarkan pada waktu subuh di pekan Sayed Abad dekat wilayah Wardak, kira-kira 70 kilometer dari Kabul.
Pasukan tentera NATO yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dalam kenyataannya berkata, tiada askar AS dan NATO yang maut dalam serangan terbabit.
Namun jelas kenyataan itu, ramai askar dilaporkan cedera dalam letupan tersebut dan jumlah sebenar mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.
Jurucakap Gabenor Wardak, Shahidullah Shadid berkata, seorang pengebom berani mati meletupkan diri di luar kawasan perumahan yang berkawal dekat pejabat pegawai daerah.
Katanya, seorang lagi penyerang meletupkan lori tangki yang dibawanya di sebatang jalan yang memisahkan kawasan perumahan itu dengan pangkalan NATO.
"Mangsa yang terbunuh merupakan lapan orang awam dan empat anggota polis tempatan," katanya.
Ketua Polis Wardak, Jeneral Abdul Qayum Bakizai berkata, letupan serangan terbabit sangat kuat, menyebabkan banyak tingkap rumah di kawasan berhampiran pecah. - AGENSI

No comments: