Pages

Sunday, September 2, 2012

Jumlah pelarian Syria naik mendadak



Sebahagian pelarian Syria di kem Za'atri di bandar Mafraq, Jordan berhampiran sempadan Syria kelmarin. - REUTERS
NEW YORK 31 Ogos - Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, jumlah rakyat Syria yang mencari perlindungan di negara-negara jiran 'meningkat mendadak' dengan 229,000 orang kini berdaftar sebagai pelarian di Turki, Iraq, Lebanon dan Jordan.
Beliau berkata, konflik di Syria menyebabkan berlakunya 'krisis kemanusiaan dramatik dan semakin teruk' di rantau tersebut.
PBB berkata, dianggarkan 2.5 juta rakyat Syria menderita akibat pertempuran di dalam negara itu.
''Permohonan bantuan bagi membantu rakyat Syria adalah sebanyak AS$180 juta (RM558 juta) namun hanya separuh daripada jumlah itu berjaya dikumpul,'' kata badan dunia tersebut.
PBB menggesa kerajaan Syria membenarkan agensi bantuan untuk memasuki negara itu bagi membolehkan penghantaran bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, pemberontak Syria melancarkan serangan di sebuah bangunan perkhidmatan keselamatan di Aleppo awal hari ini, ketika pertempuran sengit berlaku di bandar itu dan luar bandar Damsyik.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan di bangunan agensi keselamatan yang terletak di barat Aleppo itu menyaksikan pemberontak dan ejen-ejen keselamatan berbalas tembakan.
''Pertempuran turut berlaku di antara askar dan pemberontak di daerah Saif al-Dawla dan Salehiddin dan Hanano,'' kata agensi kemanusiaan itu.
Di Damsyik, pemberontak menangkap sembilan askar dalam pertempuran di Sayyida Zeinad. - dpa/AFP

No comments: