Pages

Saturday, September 1, 2012

AS tak mahu disalahkan




         
BAITULMAQDIS: Israel berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat daripada masyarakata antarabangsa supaya ia tidak menyerang Iran.

Amerika Syarikat khususnya secara jelas membantah keras sebarang serangan seumpama itu.


Retorik pemimpin Israel baru-baru ini yang mendakwa masa semakin suntuk untuk menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear mencetuskan kebimbangan bahawa tindakan ketenteraan mungkin tidak boleh dielakkan meskipun terdapat gesaan pihak luar supaya ia memberi peluang kepada tindakan sekatan ekonomi dan diplomasi memberikan kesan kepada Iran.

Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Martin Dempsey sering mengingatkan Israel supaya tidak melancarkan serangan.


Dia meningkatkan amarannya minggu ini dengan berkata, Washington tidak mahu disalahkan untuk sebarang tindakan Israel.


“Saya tidak mahu terbabit jika Israel memilih untuk menyerang,” kata Dempsey seperti yang dipetik oleh akhbar Britain, Guardian, semalam.

Ia membayangkan beliau akan melihat langkah Israel itu sebagai tindakan yang patut dikeji atau haram.


Beliau sekali lagi berkata, serangan Israel hanya boleh melewatkan projek nuklear Iran tetapi tidak akan dapat memusnahkannya.

Israel dan Barat percaya Iran merancang menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya tetapi Teheran menafikannya.


Israel, satu-satunya negara di Asia Barat yang memiliki senjata nuklear melihat kewujudannya terancam jika Iran memiliki senjata seumpama itu.


Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semalam mendakwa Iran menambah pengempar pengayaan uranium di kubu bawah tanahnya, membayangkan hasrat untuk meluaskan aktiviti nuklearnya. - Reuters

No comments: