Pages

Wednesday, August 8, 2012

Tentera Syria gempur Aleppo




         
DAMSYIK: Tentera Syria mengebom kawasan penting dikuasai pemberontak di Aleppo semalam, sehari selepas Perdana Menteri, Riad Hijab, membuat pengumuman berpaling tadah dan menyertai pembangkang.

Walaupun pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia mendakwa pertempuran sengit menggegarkan bandar komersial itu, wartawan tidak menganggap ia serangan besar-besaran seperti diancam rejim Presiden Bashar al-Assad sebelum itu. Menurut pertubuhan berpangkalan di London itu, pemberontak digempur di kawasan Bab Antakya, Aziziyeh, Bab Janin dan Sabaa Bahrat di pusat bandar, selain berhampiran Istana Keadilan di bahagian barat. Pemberontak juga menghadapi serangan bom di Shaar, Shakhur dan Qatarji di timur.


“Pertempuran membunuh 46 orang dan kebanyakannya orang awam,” kata pertubuhan itu. Pegawai kanan keselamatan Syria berkata, pihak berkuasa selesai menghantar tentera tambahan ke Aleppo menjadikan jumlah mereka kira-kira 200,000.

Katanya, mereka bersedia melakukan serangan besar-besaran di bandar itu sejak kali terakhir dijalankan pada 20 Julai lalu.


Akhbar prokerajaan, al-Watan, melaporkan operasi tentera itu masih di peringkat awal, tetapi setakat ini membunuh berpuluh-puluh pemberontak.


Sementara itu, Riad dilaporkan berada di Jordan mengukuhkan rancangannya selepas menyelinap melepasi sempadan Syria pada malam Ahad lalu.

Dia menjadi pegawai kerajaan paling tinggi berpaling tadah menyokong pembangkang setakat ini. Jurucakap pembangkang berkata, Riad menuju negara penyokong kuat pemberontak, Qatar. - AFP

No comments: