Pages

Wednesday, August 8, 2012

Ikhwanul Muslimin dakwa Mossad jadi dalang



KAHERAH - Pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan di laman webnya bahawa serangan ke atas sebuah balai polis di Sinai pada Ahad lalu dipercayai didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.
Menurut Ikhwanul Muslimin, serangan yang meragut nyawa 16 anggota polis itu merupakan percubaan untuk menggugat kedudukan Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Kenyataan tersebut memberitahu, Mossad cuba meredakan kebangkitan rakyat Mesir yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada tahun lalu.
Bagi mencapai matlamat tersebut Tel Aviv perlu menimbulkan keadaan untuk menyemak semula syarat perjanjian damai antara Mesir dan Israel.
"Jenayah ini didalangi oleh Mossad yang cuba menggagalkan revolusi rakyat Mesir dan buktinya adalah rejim Zionis memberi arahan kepada rakyatnya di Sinai supaya segera beredar dari kawasan itu beberapa hari lalu," kata kumpulan tersebut di laman webnya pada Isnin lalu.
"Jenayah tersebut lebih mudah dilakukan kerana pasukan keselamatan kita di Sinai tidak mencukupi untuk melindungi rantau itu dan sempadan negara ini. Justeru, syarat perjanjian antara kita dengan Israel terpaksa disemak semula," tambah kenyataan berkenaan.
Mesir melabelkan lelaki-lelaki bersenjata Islam yang melakukan serangan tersebut sebagai 'kafir' dan berjanji akan melancarkan operasi memburu mereka.
Insiden serangan tersebut menyebabkan hubungan antara Kaherah dan kedua-dua Israel serta Palestin menjadi tegang. - Reuters

No comments: